Thursday, April 27, 2017

Anime Paprika dan Ghost in the Shell


Hari tu aku baru tonton di Netflix filem Paprika, sebuah karya animasi Satoshi Kon. Aku sedar kewujudan filem ini pun kerana menonton video Youtuber Every Frame A Painting. Dalam video tersebut, dia mengulas tentang editing Satoshi Kon yang unik dalam animasi beliau. Filem Paprika ini juga menjadi inspirasi kepada filem Inception oleh Christopher Nolan (walaupun tak diakui). Ini kerana tema filem animasi ini adalah mengenai sekumpulan saintis yang cuba masuk ke dalam mimpi seseorang. Oleh kerana temanya adalah mimpi, maka style editing juga membuatkan kita keliru mana satu mimpi, mana satu realiti. Bagi aku filem ini agak menarik, cuma ambil masa untuk faham. Malah, aku rasa kalau nak tengok filem ini, buat kali pertama feel dulu, just follow the flow. Kemudian untuk tontonan kali kedua atau kali ketiga, baru cuba fahamkan plot dan karakter. Selain daripada Satoshi Kon, pembikin animasi paling terkenal daripada Jepun tentulah Hayao Miyazaki dan studio Ghiblinya. Malangnya aku tak pernah lagi tonton walau satu pun filemnya. Kena tunggu keluar di Netflix. 

Bulan ini juga sebuah filem adaptasi daripada animasi juga baru ditayangkan iaitu Ghost in the Shell. Animasi asal pertama kali ditayangkan pada tahun 1995, manakala adaptasi live action yang baru adalah lakonan Scarlett Johannson. Aku tak pernah tonton animasi asal. Khabarnya ianya adalah salah satu filem yang mempengaruhi filem Matrix kemudian. Aku rasa filem live action ini kurang menarik dari sudut lakonan. Ianya seolah-olah diadaptasi direct daripada animasi. Mungkin animasi ada feel yang lain kerana ianya dalam Bahasa Jepun, namun apabila di dalam Bahasa Inggeris, ianya agak flat. Aku perasan dalam beberapa animasi lain pun, kalau kita tonton versi dubbing English, macam tak best. Walaupun begitu, filem ini ada tema yang menarik iaitu android yang menyerupai manusia berfungsi dalam masyarakat. Oleh kerana filem ini kurang laku, mungin studio Hollywood kurang mahu mengadaptasi filem animasi Jepun selepas ini. Bagi aku animasi dan komik Jepun boleh mencabar superiority Marvel. Kenapa nak Hollywodd juga adaptasi? Bukankah orang Jepun sendiri banyak adaptasi animasi mereka ke live action? Bagi aku Hollywood pandai buat filem yang appeal kepada umum. Manakala kalau orang Jepun buat, dia hanya sesuai untuk Jepun sahaja atau mereka yang dah biasa tonton filem Jepun. Khabarnya lepas ini Akira juga akan diadaptasi kepada live action. Harapnya menjadi filem tersebut.

Friday, April 21, 2017

Referendum Turki : Dari Sistem Berparlimen ke Sistem Kepresidenan


Pada 19 April yang lalu, ABIM menganjurkan sebuah forum yang membincangkan tentang keputusan referendum di Turki. Referendum tersebut dibuat oleh kerajaan yang diketuai oleh AKP di mana ianya memberi pilihan kepada rakyat untuk menjawab “Ya” atau “Tidak” dalam meningkatkan kuasa Presiden Turki. Lebih 50 peratus menjawab “Ya” manakala 40 peratus lagi menjawab “Tidak.” Forum ini menampilkan Tuan Haji Ahmad Azam, Presiden WADAH dan juga Penolong Setiausaha Agung UNIW, sebuah NGO antarabangsa berpangkalan di Turki. Panel kedua pula adalah Dr Mehmet Ozay, koresponden Anadolu Press di Kuala Lumpur.

Sistem kerajaan di Turki sebenarnya lebih kurang sama dengan Malaysia di mana semasa pilihanraya, rakyat akan memilih parti politik yang mereka sukai. Kemudian jumlah undi tersebut menentukan berapa ramai bilangan ahli parlimen yang akan dilantik oleh parti. Parti yang paling banyak ahli parlimen adalah parti yang akan menjadi kerajaan. Presiden pula dipilih oleh rakyat secara terus. Namun, di dalam perlembagaan, Presiden tidak mempunyai kuasa berbanding dengan Perdana Menteri. Namun, dalam sejarah politik Turki, sering kali Presiden dan Perdana Menteri bertembung walaupun daripada sama parti. Ini menyebabkan kerajaan yang memerintah tidak dapat berfungsi dengan baik. 

Walaupun Recep Tayyib Erdogan baru sahaja menjadi Presiden pada tahun 2015, namun oleh kerana beliau telah menjadi Perdana Menteri sejak tahun 2002, beliau mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan parti dan rakyat. Ini menyebabkan beliau mempunyai kedudukan yang unik untuk membuat reformasi dalam sistem kerajaan Turki. Walaupun begitu, usaha yang dipopularkan oleh Erdogan ini telah dilihat sebagai cubaan untuk mengekalkan kuasa beliau walaupun hakikatnya cadangan untuk meningkatkan kuasa Presiden ini telah mula disebut sejak zaman Turgut Ozal.

Rakyat Turki mahukan negara mereka lebih maju dan berpengaruh dalam pentas dunia. Walaupun kerajaan AKP berjaya menaikkan taraf negara mereka, namun ditakuti sekiranya berlaku krisis politik pada masa hadapan, negara mereka akan kucar-kacir kembali. Oleh itu, mereka perlukan kepimpinan yang kuat daripada seorang ketua seperti Presiden. Sistem yang sama juga sudah pun berlaku di Amerika Syarikat, Perancis dan Indonesia di mana Presiden adalah ketua kerajaan dan negara yang berpengaruh dan dapat melakukan polisi mereka dengan lebih cepat. Walaupun begitu, parlimen dan kehakiman perlu sentiasa menjadi semak dan imbang kepada kuasa presiden. Itulah yang membimbangkan ramai pemerhati luar dan sebahagian rakyat Turki sendiri apabila mereka melihat Presiden Erdogan terlampau berkuasa. Dalam negara yang system demokrasi berfungsi, Presiden atau Perdana Menteri sentiasa dipantau oleh ahli-ahli parlimen yang dilantik rakyat serta hakim-hakim yang bebas dan adil. Oleh itu, baik system berparlimen atau presiden, kedua-duanya perlu mendapat sokongan majority rakyat untuk berfungsi dengan baik.

Wednesday, April 12, 2017

Lagu Macam Sama (#6) Nabi Anak Yatim (Raihan) vs Kiss from a Rose (Seal)

Raihan adalah kumpulan nasyid paling berpengaruh di Malaysia, bukan setakat dalam industri nasyid, namun muzik secara umum. Malah Raihan telah menjadi semacam duta Malaysia, sampai sekarang umat Islam di pelbagai ceruk dunia masih mendengar lagu-lagu Raihan. Lagu-lagu Raihan mempunyai lirik yan mudah dinyanyikan serta muzik latar yang pelbagai. Ianya keluar daripada kebiasaan lagu-lagu nasyid yang berbunyi Timur Tengah kepada bunyi-bunyi slow-pop Barat. Antara lagu yang popular dari Raihan adalah lagu Nabi Anak Yatim. Ianya adalah salah satu lagu yang terkandung dalam album ketiga Raihan, Senyum yang diterbitkan tahun 1999. Ini videonya:-


Lagu ini mengisahkan kematian ibu dan bapa Rasulullah SAW, serta betapa Nabi sejak dari kecil sudah diajar berdikari, dan kepentingan menyayangi anak yatim kerana Nabi sendiri adalah seorang yatim.

Lagu ini memang top ten lagu kegemaran aku sejak dari kecil, tetapi ada beberapa part dalam lagu ini membuatkan aku teringat dengan satu lagu lain. Akhirnya bila aku selidik (terutamanya bila aku dengar balik lagu-lagu yang pernah menang Grammy Awards), aku terjumpa satu lagu nyanyian Seal bertajuk Kiss from a Rose. Ini videonya:-


Amacam? Ada perasan persamaan? Kalau anda dengar balik lagu Nabi Anak Yatim, anda akan perasaan part "Anak yatim anak yang mulia" tu memang seakan sama dengan lagu Seal ni. Lagu Seal ini diterbitkan tahun 1994, menjadi soundtrack kepada filem Batman Forever dan memenangi Record of the Year dalam Grammy Awards tahun 1996. Liriknya lebih kepada lagu cinta kepada kekasih, mungkin sesuai sebagai lagu karaoke (eh, lagu Raihan ada karaoke juga!). Muziknya juga dipengaruhi dengan muzik lama medieval Eropah.

Bagaimana boleh ada persamaan? Kurang pasti. Boleh jadi penerbit lagu Raihan banyak mendengar pelbagai jenis lagu. Inilah pentingnya seorang ahli muzik mendengar pelbagai muzik sebagai inspirasi. Tak salah aku ada satu lagu nasyid yang memang seakan sama dengan lagu Coldplay. Tetapi itu mungkin untuk siri yang lain.

Namun begitu, lagu-lagu Raihan tetap menjadi lagu nasyid yang selalu didengari. Mudah dan senang dinyanyikan bersama. Mungkin ini lebih kepada nostalgia. Aku teringat sewaktu pertandingan nasyid di sekolah rendah dulu, semasa populariti Raihan berada di kemuncak, hampir setiap kumpulan menyanyikan lagu Raihan terutamanya lagu Iman Mutiara. Mungkin lagu tersebut sangat mudah diingati liriknya. Raihan juga dikenali di kalangan bukan Islam juga sebab aku teringat sewaktu di Sarawak, semasa program dengan sekolah-sekolah lain, ada seorang pelajar Kristian yang recognize lagu Raihan semasa dimainkan. Aku tak ingat lagu apa. Begitulah popularnya Raihan waktu itu.  

Friday, April 7, 2017

Beauty and the Beast

Dalam minggu ni ada 2 benda yang signifikan yang aku buat. Pertama adalah percubaan menulis outline untuk komik idea Aliemran. Komik tersebut berdasarkan idea dia, diinspirasikan daripada filem The Breakfast Club. Aku punya outline berkisarkan sekumpulan pelajar yang dimasukkan ke kelas khas sebab mendapat markah tercorot. Aku dah buat sampai part diorang dah berkumpul dalam satu kelas. Watak-watak utama pun dah ada, tetapi aku stuck di konflik. Aku dah kenal pasti bahawa akan ada dua watak bertentangan. Satu watak sepertimana yang digagaskan Ali, seorang yang sebenarnya pandai tetapi sengaja menggagalkan diri sebab protes dengan sistem pendidikan. Satu lagi watak pula berusaha bersungguh-sungguh tetapi tetapi tetap juga gagal. Dia sangat percaya dengan sistem peperiksaan dan mengharapkan markah cemerlang boleh membuatkan dia masuk ke universiti yang bagus. Pada pengakhiran cerita, semua orang cuba membantu watak ini untuk lulus supaya dia dapat terus bersekolah di sekolah tersebut. Penggerak cerita dah ada iaitu mereka mesti lulus ujian, tetapi konflik yang besar yang perlu dileraikan belum cukup masak lagi. Mungkn kena banyak bersembang dengan kawan-kawan untuk dapatkan idea.

Benda kedua pula seperti biasa adalah filem. Aku dah tengok filem Life dan Beauty and the Beast. Bagi aku filem Life masih lagi menyeronokkan, cuma konflik start lambat sikit. Tetapi ending dia predictable. Ramai yang mengkategorikan filem ini sebagai campuran elemen filem Gravity dan Alien. Filem seterusnya yang aku tengok adalah Beauty and the Beast. Sejujurnya aku rasa boring filem ni. Salah satu benda yang membuatkan aku mengantuk adalah coloring, kerana filem ini hanya ada warna oren atau biru sahaja. Baru aku sedar kepentingan coloring dalam filem. Oleh kerana aku juga tidak ada rasa nostalgia dengan filem animasi ini pada tahun 1991, menyebabkan aku kurang berminat dengan jalan ceritanya. Aku pun tak pasti mengapa filem ini pada tahun 1991 dipuji ramai sehingga mendapat pencalonan Best Picture di Oscars.