Friday, November 27, 2015

Ulasan Filem The Bridge of Spies : Peguam Juga Hero


Perang Dingn adalah sebuah perang saraf antara Amerika Syarikat dan Soviet Union. Ianya sangat ditakuti oleh masyarakat dunia terutamanya pada tahun 1960an dan 1970an kerana kedua-duanya mempunyai kuasa nuklear. Sekiranya mereka terlibat dalam perang, kesannya akan merasai seluruh dunia. Walaupun kuasa besar ini tidak berperang secara terus, tetapi mereka terlibat dalam perang proksi, dengan membekalkan senjata, wang dan perisiskan kepada negara atau pihak yang terlibat. Semuanya demi memastikan sokongan negara-negara yang berdekatan atau mempunyai kepentingan. Contohnya apabila Soviet Union menakluk Afghanistan, Amerika Syarikat memberi bantuan senjata kepada Taliban. Dalam Perang Korea pula, Soviet Union dan China membantu Korea Utara, dan Amerika Syarikat pula membantu Korea Selatan.

Kejatuhan Blok Komunis pada tahun 1991 menyebabkan sesetengah ahli akademik dan ahli politik mengisytiharkan "a new world order" di mana Amerika Syarikat menjadi satu-satunya polis dunia. 20 tahun kemudian, pengaruh ekonomi US semakin berkurang dengan "bangkitnya naga" China. China mula menguasai kuasa ekonomi dan perdagangan dunia. China juga mahukan pengaruh yang lebih di rantau Asia Timur, Asia Tenggara dan Afrika serta melakukan pelbagai pelabaruan dan bantuan untuk memastikan negara-negara di rantau ini mesra China. Ini menyebabkan US yang sering sibuk dengan negara-negara Arab mula mengalihkan perhatian mereka ke Asia Tenggra, yang dianggap sebagai rantau penting abad ini dan menjadi medan persaingan kuasa-kuasa besar.

Mungkin dengan latar belakang inilah Steven Spielberg membikin filem The Bridge of Spies. Filem ini berkisar pada tahun 1960an, di mana watak Tom Hanks, menjadi peguam kepada perisik Soviet di Amerika dan mahu menukarkannya dengan seorang juruterbang Amerika Syarikat yang ditahan di Soviet, juga kerana melakukan operasi perisikan. Urusan pertukaran tersebut dilakukan di sempada Berlin yang memisahkan Jerman Timur dan kawasan Berlin yang dikuasai NATO. Filem ini boleh dikategorikan dalam genre spy-thriller, tetapi tiada sangat babak aksi yang mungkin kita anggap akan ada dalam filem mengenai perisikan. Oleh kerana hero filem ini adalah peguam, tindakan beliau juga seperti peguam lain dengan menggunakan hujah dan dokumen yang betul dalam melaksanakan misi.

Mungkin babak penting dalam filem ini adalah hubungan dan dialog antara Tom Hanks dan anak guamnya. Semasa dibicarakan di mahkamah Amerika, hakim mahu menjatuhkan hukuman mati, namun Tom Hanks berhujah bahawa tindakan tersebut bercanggah dengan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh US. Tom Hanks mencadangkan supaya perisik tersebut dipenjaraa sahaja, kerana kemungkinan perisik tersebut akan berguna kepada Amerika. Dan ternyata jangkaan beliau betul apabila sebuah pesawat perisikan US ditembak jatuh. Tom Hanks juga dilihat menghormati perisik Soviet tersebut kerana semasa dalam tahanan, langsung beliau tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai Soviet, ini kerana beliau mempunyai maruah dan tidak akan mendedahkan rahsia yang boleh membahayakan negara, Kerana inilah Tom Hanks berasa bertanggungjawab untuk menghantar beliau pulang ke kampung halamannya, di samping boleh menyelamatkan juruterbang US. Tindakan Tom Hanks ini menyebabkan beliau dibenci oleh masyarakat umum yang menganggap perisik tersebut patut dihukum mati. Tetapi apabila beliau berjaya menyelamatkan juruterbang tersebut, beliau kembali dihormati oleh orang ramai. Walaupun dalam filem ini, watak Tom Hanks dilihat sebagai orang biasa yang tidak tahu selok belok perisikan, namun dalam dunia sebenar, James Donovan (watak Tom Hanks) pernah berkhidmat dalam Office of the Strategic Services (organisasi yang kemudian menjadi CIA) semasa Perang Dunia Ke-2. Oleh itu Donovan sebenarnya mempunyai pengalaman dalam perisikan dan hal ehwal ketenteraan.

Dalam suasana sekarang di mana orang Amerika dan Eropah takut Russia kembali cuba menguasai Eropah dan Asia Tengah, terutamanya di bawah pimpinan Putin, menyebabkan banyak filem Hollywood cuba memaparkan orang Russia dalam karakter yang baik dan rasional. Oleh itu, formula orang jahat Hollywood yang biasanya memaparkan orang Russia sebagai orang jahat, mungkin tidak relevan lagi. Ini kerana Hollywood juga sudah kurang memaparkan orang Arab dan China sebagai orang jahat. Malah kebanyakan orang jahat dalam filem Hollywood sekarang adalah orang kaya dan berkuasa yang korup manakala orang baik pula adalah orang kebanyakan yang cuba menjatuhkan kuasa korup tersebut.

Boleh jadi sentimen Spielberg sekarang, yang melihat bahawa dalam kemuncak permusuhan pun akan muncul orang yang rasional yang cuba menyelesaikan dengan cara damai. Dunia kini masuk ke dalam era perang dingin baru. Sempadan yang dibuat pada awal abad ke-20 semakin runtuh, nasionalisme meningkat dalam sesetengah negara di Eropah, tetapi hanya mementingkan majoriti dan meminggirkan minoriti dan imigran. Mungkin dunia memerlukan pemimpin yang bijak, seperti peguam Donovan, yang menggunakan hujah untuk menangani konflik antarabangsa, bukan sekadar berjuang dengan senjata untuk kepentingan negara sendiri sahaja.

Monday, November 23, 2015

Ulasan Filem The Martian : Iklan NASA untuk Angkasawan Masa Depan



Filem The Martian arahan Ridley Scott pasti akan dibandingkan dengan filem Gravity (2013) dan Interstellar (2014). Penulis berasa gembira kerana kebangkitan filem sains fiksyen angkasa lepas dalam beberapa tahun ini. Bagi penulis, filem The Martian memang sangat menyeronokkan. Oleh kerana NASA sendiri memberi bantuan dan nasihat teknikal dalam filem ini, pastilah ianya mempunyai logik bagaimana pengembaraan angkasa lepas berlaku. Walaupun kemungkinan teknologi yang ditunjukkan belum lagi wujud, saya yakin mereka sudah membuat penyelidikan dan sekiranya mempunyai masa, wang dan tenaga yang cukup, pasti teknologi tersebut dapat dicipta. Inilah penulis fikir satu kekuatan besar filem ini yang membezakannya daripada filem Gravity dan Interstellar. Dalam Gravity ianya lebih kepada survival angkasawan dalam menghadapi bencana, Interstellar pula cuba menjawab persoalan sekiranya Bumi sudah tidak boleh didiami oleh manusia, ke mana nasib manusia selepas ini? Adakah wujud planet lain yang serupa Bumi? Atau adakah cara lain manusia boleh hidup di angkasa lepas?

Penulis cukup yakin akan ramai kanak-kanak yang menonton filem The Martian akan berminat untuk masuk dalam program angkasawan atau jurutera roket di NASA. Malah itulah yang berlaku kepada watak Matt Damon di akhir filem ini, di mana beliau menjadi tenaga pengajar di NASA hasil pengalaman beliau di Planet Marikh selama lebih kurang 2 tahun. Inilah dia kuasa filem menjadi inspirasi kepada anak muda untuk menyambung karier mereka. Kadang-kadang kita tidak perlu pun segala ujian personaliti atau sesi bersama kaunselor, yang penting filem apakah yang kita tonton sewaktu kita membesar. Penulis sendiri memang terpengaruh dengan pelbagai jenis filem. Ada yang hanya melalaikan, tetapi banyak juga memberi saya semangat dan inspirasi. 

Menyentuh hal ini, memang satu perkara yang menyedihkan dalam tayangan pawagam di Malaysia adalah kualiti filem yang ditayangkan. Penulis fikir itulah sebabnya kenapa menonton wayang masih lagi dianggap membuang masa dan "lagha." Ini kerana filem yang ditayangkan banyak yang tidak berkualiti, dan didominasi filem Hollywood. Mana filem-filem dari Perancis, British dan Jerman? Bagaimana pula dengan filem dari negara jiran kita sendiri seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang dianggap sebagai kebangkitan generasi filem yang baru. Masalah sebenar adalah pengedar filem di Malaysia tidak yakin yang filem sebegini tidak laku di Malaysia. Yang mereka nak hanyalah filem yang Hollywood yang dianggap sudah pasti meraih keuntungan. Walhal tidak semua filem Hollywood yang akhirnya untung, malah ada sesetengah filem yang datang dari Hollywood rugi di tempat mereka sendiri.

Balik ke filem The Martian, walaupun filem ini agak panjang, hampir 2 jam lebih namun oleh kerana disusun dengan menarik, penonton tidak merasa bosan. Lakonan dalam filem pun tidaklah terlampau terlebih-lebih dan penonton boleh merasai perasaan karakter kerana ianya dilakonkan seperti manusia biasa. Tetapi mungkin watak Matt Damon agak tidak realistik kerana sekiranya seseorang terperangkap dalam sebuah planet selama beberapa tahun, pastilah ianya akan menjadi gila, walaupun orang yang terperangkap itu saintis genius. Dalam aspek yang lain pula, kita dapat melihat bahawa proses pelancaran roket ke angkasa lepas memang sangat rumit dan memerlukan kerjasama beberapa jabatan. Antara kumpulan yang menyerlah adalah jurutera yang bertungkus lumus cuba berkomunikasi dengan Matt Damon di Planet Marikh serta merangka cara bagaimana Matt Damon boleh melancarkan roket yang sudah ada di Planet Marikh dan berjumpa dengan kapal angkasa yang berpatah balik untuk mengambilnya di situ.

Filem ini patut ditonton bersama-sama keluarga. Diharapkan akan ada anak Malaysia yang bercita-cita untuk mencipta roket sendiri dan membina kapa angkasa untuk manusia hidup di planet-planet. Hanya dengan impian sebeginilah kita dapat melupakan perkara remeh temeh yang memecahbelahkan rakyat Malaysia sendiri. Jangan pandang rendah dengan sains fiksyen, kerana generasi yang terpengaruh dengan filem seperti Star Wars dan Star Trek inilah yang akhirnya mencipta teknologi baharu yang meningkatkan lagi kualiti hidup manusia.

Thursday, November 19, 2015

Pendidikan Seimbang Penyelamat Daripada Ekstremisme

Dunia sekali lagi dikejutkan dengan serangan di Paris. Ianya berlaku selepas 10 bulan serangan di Charlie Hebdo pada awal tahun 2015. Serangan kali ini lebih teruk kerana pengganas menyerang dengan pengebom berani mati di kawasan tumpuan yang ramai seperti dewan konsert dan restoran berbanding semasa Januari lalu yang menyerang pejabat majalah Charlie Hebdo yang diketahui telah menghina beberapa agama termasuk agama Islam dengan melukis gambar Nabi Muhammad. Ini menyebabkan beberapa ekstermis cuba bertindak balas dan membalas dendam. Namun serangan terbaru ini seolah-olah seperti satu pernyataan kepada dunia bahawa mereka masih berbahaya dan mampu melancarkan serangan walaupun di tempat yang mempunyai kawalan keselamatan yang ketat.


ISIS dengan segera mengaku merancang pembunuhan tersebut. Dunia pun segera mengecam tindakan tersebut. Ada yang berjanji akan memperhebatkan lagi serangan ke atas kawasan ISIS seperti Raqqa. Ada pula yang menggesa supaya difahami orang yang sanggup melibatkan diri dengan ISIS dan cuba sedaya upaya mencegah mana-mana pihak terutamanya belia menyertai ISIS. Selain itu terdapat pandangan bahawa penyerang bukan ISIS, malah bukan Islam pun dan menganggap semua ini satu percubaan zionis Israel yang memburukkan lagi umat Islam. Ini kerana parlimen Perancis baru sahaja mengundi untuk mengiktiraf negara Palestin dan ini membuatkan Israel marah. Sekiranya kita mengambil hujah bahawa ISIS yang melancarkan serangan tersebut, kita perlu sedar bahawa semua tindakan tersebut berlaku kerana perang di Syria yang tidak berkesudahan. Ditambah dengan isu pelarian di Eropah, perang di Syria perlu tamat dengan segera. Malah Sidang Kemuncak G20 di Turki juga menjadikan Syria sebagai agenda utama. Tetapi sejauh mana persetujuan daripada semua pihak berjaya dicapai masih lagi dalam kekaburan.


Satu sisi penting yang perlu diberi perhatian adalah mengenai latar belakang pengebom berani mati dan penyerang tersebut. Kemungkinan besar mereka adalah warga Perancis sendiri yang terpengaruh dengan propaganda ISIS. Sekiranya benar maka perlulah perubahan layanan kepada Muslim Perancis sendiri. Umum mengetahui dalam 10 tahun ini kelompok ekstremis yang menolak pendatang semakin meningkat di Eropah. Mereka mula menguasai posisi-posisi penting dalam kerajaan sehingga ianya mengancam kestabilan Kesatuan Eropah sendiri kerana kebanyakan daripada mereka juga sangat bersifat nasionalistik dan menolak agenda serantau. Terpalit sekali adalah golongan migran yang sudah tinggal di negara-negara Eropah sejak seratus tahun lalu. Ada rakyat Perancis sendiri merupakan kumpulan pendatang berasal daripada negara-negara jajahan Perancis di Amerika dan Afrika. Kini yang menetap di Perancis adalah generasi ketiga atau keempat dan mereka sudah diasimilasi dalam masyarakat dengan bercakap Bahasa Perancis dan bersekolah di sekolah awam. Namun malangnya ramai daripada remaja dan belia ini tercicir daripada sekolah dan tiada peluang pekerjaan yang baik. Di sinilah pentingnya peranan NGO dan agensi kerajaan dalam memastikan mereka mendapat ilmu dan kemahiran secukupnya dalam menghadapi hidup di masa hadapan. Ditambah pula dengan masalah keluarga, mereka perlu dipertemukan dengan kumpulan yang betul sebagai sistem sokongan supaya tidak terjebak dengan jenayah. Kebanyakan belia yang terpengaruh dengan ISIS kebanyakannya punya sejarah hidup yang buruk dan mengharap penglibatan mereka dalam ISIS adalah satu jalan pantas ke syurga.


Tetapi bagaimana pula hendak melawan naratif ISIS? Propaganda mereka sangat efektif dalam mempengaruhi kumpulan “the angry young man” dalam kalangan Muslim yang kecewa dengan sistem dan pemimpin umat Islam yang hanya mengikut telunjuk Barat. Mereka juga tidak lagi percaya kepada ilmuwan Islam kerana kebanyakan daripada ilmuwan hanyalah duduk di kerusi empuk di menara gading, dan takut untuk menegur pemerintah supaya tidak kehilangan kuasa. Oleh itu mereka melihat agenda ISIS ini lebih efektif dan cepat dalam melahirkan “negara Islam.” Walaupun begitu ramai yang sedar semuanya hanyalah utopia sahaja apabila mereka sampai di kawasan ISIS, tetapi mereka tidak boleh melarikan diri dan kalau tertangkap akan dihukum bunuh. Perlu juga diingat walaupun ISIS disertai oleh ramai pendatang daripada pelbagai negara, di mana menurut jangkaan UN mencecah 6,000 orang, tetapi kepimpinan tertinggi mereka banyak daripada AL-Qaeda dan juga bekas tentera daripada zaman Saddam Hussin. Oleh itu tidak hairanlah mereka mempunyai sistem komunikasi yang berkesan dan tahu bagaimana menggunakan propaganda untuk menakut-nakutkan rakyat di bawah taklukan mereka, di samping menarik ramai belia bersimpati dengan ISIS.


Menurut Prof Alex P. Schimdt semasa Syarahan Counter-Terrorisme anjuran GMM di KLCC pada 27 Oktober 2015, kita memerlukan naratif alternatif, bukan setakat counter-narrative melawan ISIS. Ini kerana kebanyakan penyokong ISIS enggan mendengar mana-mana hujah daripada ilmuwan lain dan hanya mendengar pandangan pemimpin dan ulama’ mereka sahaja. Kebanyakan program yang dibuat hanyalah berceramah kepada belia, dan bukannya cuba memahami hasrat mereka yang sebenar. Kemudian terdapat perbezaan di antara apa yang dijanjikan untuk dibuat dan pelaksanaan yang sebenar. Ini menyebabkan belia hilang kepercayaan dengan pihak berkuasa dan mencari alternatif lain. Prof Alex juga menyebut tentang beberapa faktor penarikan dan perlunya kita membuat pelan tindakan untuk mencegah perkara tersebut berlaku daripada berterusan cuba melawan ISIS tetapi gagal mencabut masalah daripada akarnya. Antaranya adalah peminggiran daripada masyarakat umum seperti pelarian atau bekas penjenayah dan krisis identiti diri kerana hilangnya erti hidup.


Dalam hari yang sama juga ABIM dengan kerjasama GMM menganjurkan Persidangan Meja Bulat Jihad dan Ekstremisme dan Tan Sri Prof Kamal Hasan adalah pengucaptama. Selain itu terdapat ulasan daripada Marwan Bukhari, penyelidik IDE dan Nur Hadiza Addeen, pensyarah UMS yang mengkaji tentang ekstremisme di Asia Tenggara. Pada pandangan Prof Kamal Hasan, pentingnya melahirkan generasi Muslim yang seimbang atau wasatiyyah. Inilah elemen penting yang sering dipinggirkan terutamanya dalam pendidikan belia Islam. Dan dalam pendidikan wasatiyyah tersebut, perlulah diingatkan supaya satu perkara tidak melebihi perkara yang lain. Sebab mengapa belia Islam kini menghadapi krisis identiti adalah kerana mereka keliru dengan keadaan dunia yang berbeza apabila masuk ke dalam alam pekerjaan, tetapi semasa di bangku sekolah dan univeristi diajarkan perkara berbeza. Kontradiksi begini yang perlu dielakkan dan harapan yang tinggi diletakkan kepada pendidik, baik yang rasmi ataupun ibu bapa sendiri mengajarkan nilai Islam yang betul kepada anak-anak.

Thursday, November 12, 2015

Pendakwah Adalah Doktor, Bukan Hakim


Pada 12 November 2015, ABIM bersama-sama Akademi Kajian Ketamadunan menganjurkan sebuah kuliah khas bertajuk Bekalan Penyelamat Buat Dai’e oleh Dr Sheikh Rejab Dieb. Walaupun sheikh sempat bertandang ke Kolej, namun kerana masalah kesihatan sheikh menyerahkan tanggungjawab memberi tazkirah kepada anak muridnya, Sheikh Mahmud Shahadah. Sheikh Mahmud memulakan kuliah dengan berasa berbahagia dapat melawat kolej dan mendoakan yang terbaik untuknya. Kemudian beliau menyebut tentang seorang pelajar perlu mengenal kekuatan dirinya dahulu daripada bergantung kepada orang lain untuk menilai. Tugas utama penuntut ilmu adalah menyambung risalah Nabi, dan tugas Nabi pula adalah berdakwah dan menyebarkan wahyu Allah kepada seluruh manusia. Disinilah juga termasuk tugas dai’e. Dan sheikh memberitahu bahawa tidak semua penuntut ilmu akhirnya menjadi dai’e.

Seperti mana ulama’ lain, sheikh juga mengingatkan dai’e untuk sentiasa menguasai sirah terutamanya sirah Rasulullah SAW. Daripada penguasaan sirah itulah kita dapat mendekatkan diri kepada Allah swt. Inilah satu aspek yang sering dilupakan oleh para dai’e yang sibuk berdakwah kepada masyarakat tetapi tidak menjaga hubungannya dengan Yang Maha Esa. Sheikh memberi perumpamaan seperti lampu mentol yang bercahaya menerangi dewan, bagaimana lampu ini dapat menerangi kalau tidak mendapat kuasa daripada elektrik? Begitulah juga para dai’e seperti mentol lampu yang perlu kepada hubungan dengan Allah supaya dapat terus menerangi masyarakat. Apa yang lebih teruk adalah sekiranya dai’e tersebut tidak terus berhubung rapat dengan Allah, sudah tentu dai’e tersebut sukar berhubung dengan manusia. Walhal tugas dakwah yang paling mencabar adalah berkomunikasi dan berhubung baik dengan pelbagai jenis manusia, bukan sekadar menjadi ‘keyboard warrior’ di hadapan komputer.

Antara kesilapan dai’e yang terbesar dilakukan pada masa ini adalah hanya sibuk bercakap tentang sheikh, masjid atau organisasi mereka, bukan tentang intipati Islam yang sebenar. Sheikh menyebut Islam berkembang pesat di Barat, tetapi usaha dakwah sering terbantut kerana terlampu banyak mazhab, ideologi dan organisasi yang bersaing sesame sendiri. Sheikh merasakan sekiranya semua umat Islam bersatu di Barat, maka seluruh Barat boleh diislamkan selama setahun. Gejala ini berkaitan dengan sifat yang penting yang perlu ada dalam diri para dai’e iaitu ikhlas. Sahabat Rasulullah SAW walaupun serba kekurangan tetapi berjaya menyebarkan dakwah Islamiah ke seluruh dunia kerana sifat ikhlas.

Sheikh juga menyebut satu penyakit yang sering berlaku bagi para dai’e adalah sentiasa ingin menjadi hakim, walhak tugas dai’e sebenarnya seperti seornag doktor, sentiasa ingin merawat. Doktor yang baik menyayangi pesakit, dan bermusuh kepada penyakit dan cuba sedaya upaya membuang penyakit tersebut dari diri pesakit. Seseorang yang berbuat maksiat dosanya dengan Allah, kenapa pula sorang pendakwah dengan cepat menghukum? Nabi Ibrahim sendiri pernah mendoakan supaya pelaku maksiat mati, tetapi kemudian ditegur Allah. Allah menjawab bahawa itu bukan tugas Nabi kerana tugasnya yang sebenar adalah menyebarkan wahyu Allah. Ini kerana pelaku maksiat juga hamba Allah dan sekiranya mereka bertaubat, nescaya Allah akan mengampuni mereka. Sekiranya hati kita terlampau keras dan tidak mahu bertoleransi dengan pelbagai dosa yang dilakukan oleh mad’u kita, pastila mereka akan lari daripada kita dan dakwah kita tak lebih sekadar syok sendiri. Lebih teruk lagi pendakwah sendiri merasakan takkan berbuat dosa dan itu penyakit yang berbahaya.

Mengenai hidayah pula, sheikh memberi perumpamaan ianya seperti hidangan makanan, ada yang mengambil masa 5 minit sahaja untuk disiapkan, tetapi ada pula yang mengambil masa berjam-jam. Begitulah juga seperti hidayah Allah. Seorang dai’e perlu bersabar dan berterusan menyebarkan dakwah, bukan tergila-gilakan KPI dan cuba meletakkan pula garis masa untuk seseorang berubah. Dan apabila mad’u itu tidak berubah dalam masa yang ditetapkan, ditinggalkan begitu sahaja tanpa didikan lanjut. Sheikh meminta kita mengingati semula sirah Nabi, di mana sahabat sendiri bukan semua dengan cepat menerima Islam. Abu Bakar As-Siddiq apabila menerima sahaja risalah Islam daripada Rasulullah SAW, terus sahaja mengucap syahadah. Ali bin Abi Talib pula memerlukan masa sehari, kerana pulang dahulu untuk bertanya dengan bapanya dahulu. Umar Al-Khattab memeluk Islam selepas 3 tahun, apabila mendengar adiknya membaca AL-Quran. Khalid Al-Walid, sahabat yang terkenal handal dalam peperangan, memeluk Islam selepas 20 tahun, iaitu sebelum pembukaan kota Mekkah. Abu Sufyan pula memeluk Islam selepas kota Mekah dikuasai umat Islam, dan beliau antara sahabat yang sering didoakan Nabi supaya memeluk Islam. Semua sahabat yang disebut adalah berjasa besar kepada sejarah umat Islam dan dirahmati di sisi Allah swt. Dan walaupun di kalangan mereka mengambil masa untuk menerima Islam, itu tidak merendahkan martabat mereka kerana yang penting adalah bagaimana kita menghabiskan hidup kita. Seorang pendakwah jangan pandang rendah kepada mad’u, kerana kita tidak tahu pengakhiran kisah hidup kita. Sentiasalah berdoa supaya kita kekal dalam jalan dakwah yang diberkati ini.

Tuesday, November 10, 2015

Ulasan Novel : Gugurnya Azazil - Sains Fiksyen Bertemu Sejarah


Bukan senang menulis novel sains fiksyen. Lebih susah lagi kalau dimasukkan elemen merentas masa. Dan ianya mungkin mustahil untuk menjadikan cerita itu menarik dan tersusun kalau dimasukkan pula elemen sejarah. Dan inilah antara elemen penting dalam novel Fadli Al-Akiti bertajuk Gugurnya Azazil. Penulis memang seorang peminat sains fiksyen dan sudah lama mencari salah satu novel Fadli. Penulis sering membaca blog beliau, Tontonfilem dan mempengaruhi penulis untuk menulis review filem dalam blog. Novel ini mudah dibaca dan tidak menggunakan perkataan yang susah. Fokusnya adalah kepada penceritaan, bukan teknik dan perkembangan karakter juga kurang kecuali watak utama seperti Azizul dan Rizal. Seperti yang disebut, novel ini adalah mengenai merentas masa. Ianya daripada zaman 3024, iaitu semasa manusia sudah menguasai sistem suria dan mengkoloni planet. Tetapi pada zaman itu, Bumi diancam oleh entiti semacam lohong hitam dipanggil Syams Merah, Lohong hitam ini menelan banyak bulan dan stesen angkasa dan membunuh billion manusia. Hasil daripada persetujuan umat manusia di Bumi, mereka menghantar Leftenan Azizul ke lohong hitam tersebut dengan harapan mencari titik kelemahan Syams Merah. Tetapi rupanya lohong itu membawa Azizul ke masa lalu. Beliau terdampar di Semenanjung Tanah Melayu dalam zaman yang tidak diketahui tetapi mungkin pada masa sebelum kedatangan Islam.

Kalau novel ini hanyalah berkisar dalam zaman yang tidak diketahui, mungkin mudah untuk diikuti, tetapi novel ini mengaitkan dengan Malaysia pada zaman kini. Penceritaan pada masa sekarang itulah dikaitkan dengan sejarah. Di mana terdapat elemen pencarian relik purba di sekitar Beruas, Perak. Bagi yang rajin membaca blog Srikandi Alter Terahsia Bangsa Melayu mungkin boleh faham beberapa isi penting. Tetapi hal tentang sejarah Melayu bukanlah plot penting dalam novel ini. Jalan cerita yang paling menarik adalah semasa Azizul berinteraksi dengan orang zaman dahulu. Walaupun tidak dipastikan adakah kaum yang ditemui Azizul ini orang Melayu atau orang asli. Sebab dalam zaman yang sama juga terdapay sebuah kota lain yang mempunyai peradaban yang maju. Namun orang-orang dari kota ini menindas orang-orang di kampung.

Secara jujur semasa membaca novel ini penulis sendiri tak pasti ke arah manakah plot jalan cerita akan berakhir sebab ianya berlangsung dalam 2 zaman yang berbeza. Namun jalan cerita mula berkembang apabila Azizul yang mengajarkan orang asli cara mempertahankan diri dengan menggunakan senjata moden, akhirnya sedar bahawa mereka telah menggunakan senjata canggih tersebut untuk menindas orang lain pula. Malah mereka menyembah pula Azizul dengan menganggap beliau dewa, walaupun telah mengajarkan mereka tentang agama Islam. Novel berakhir apabila kedua-dua zaman bertembung semasa Azizul yang kecewa dengan tindakan orang kampung dan merasakan bahawa beliau tidak sepatutnya berada di zaman tersebut cuba kembali ke masa depan tetapi akhirnya terhempas pada zaman sekarang. Manakala jalan cerita zaman sekarang pula berakhir apabila kumpulan penyelidik menemui teknologi canggih di tempat yang sepatutnya belum wujud lagi, sama seperti yang dibawa Azizul semasa merentas masa.

Pendapat terakhir penulis terhadap novel ini? Mungkin hanya mahu membaca novel sains fiksyen lain tulisan Fadli. Mungkin ada beberapa babak penting yang penulis terlepas pandang. Apapun novel ini patut dibaca kerana cuba meneroka isu apakah yang berlaku sekiranya kita merentas masa ke zaman dahulu? Bagaimanakah kesannya kepada perkembangan sejarah?  Adakah ada perubahan kepada nasib sesebuah kaum? Memang mustahil mesin masa itu wujud, tetapi adakah kita memerlukan mesin masa untuk belajar tentang apa yang berlaku pada zaman dahulu atau terus belajar dan mengumpul pelbagai bukti dan artifak?