Thursday, January 18, 2018

Perbahasan Antara Pengundi Pakatan Rakyat Dengan Petugas Pakatan Harapan




Johan sedang memandu kereta hendak pulang ke rumahnya selepas menghadiri Himpunan 8 Mei di Kelana Jaya untuk membantah penipuan semasa Pilihanraya ke-13 yang baharu sahaja selesai. Pilihanraya tersebut dimenangi oleh Barisan Nasional dengan perbezaan kerusi yang tipis. Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, DAP dan PKR kekal menguasai negeri Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Tetapi malangnya kehilangan negeri Kedah. 

Johan mahu singgah di stesen minyak untuk pergi ke tandas sebentar. Beliau memberhentikan kereta berdekatan tandas dan masuk selama 5 minit. Selepas sahaja keluar, Johan terkejut kerana tidak menemui kereta beliau. Johan mencari-cari di sekitar stesen tersebut dan ternampak ada satu bilik gerakan di sebelah stesen minyak itu. Mungkin orang di situ ternampak keretanya. Nampaknya bilik gerakan tersebut masih ramai petugas parti walaupun pilihanraya dah berakhir. 

Johan terkejut apabila masuk ke dalam bilik gerakan tersebut. Johan melihat poster Mahathir Mohamad ditampal di dinding-dinding. Johan juga hanya mengenali dua sahaja Bendera-bendera yang berkibar di sekitar bilik gerakan tersebut iaitu bendera DAP dan PKR. Namun Johan tidak mengenali 2 lagi bendera yang lain. Satu bendera berwarna oren, dan satu lagi berwarna merah. Kemudian di atas bilik gerakan tersebut terdapat sebuah banner besar dengan nama Pakatan Harapan.
Johan bertanya dengan salah seorang petugas di situ.

Johan    :               Kenapa Bilik Gerakan di sini masih ramai? Bukankah Pilihanraya sudah berakhir?

Petugas :             Pilihanraya hanya beberapa minggu lagi. Nah tuan, ambil flyer ini. Undilah
                                calon Pakatan Harapan.

Johan    :               Pakatan Harapan? Apa tu? Bukankah Pakatan Rakyat?

Petugas :             Pakatan Rakyat itu dulu. Sekarang kita dikenali sebagai Pakatan Harapan. Sama sahaja. Cuma tiada PAS. Kita ganti dengan Amanah.

Johan    :               Kenapa PAS tiada? Amanah ni datang dari mana?

Petugas:              PAS yang nak bertanding sendiri. Mereka tidak mahu bekerjasama dengan parti lain. Tetapi ramai orang PAS yang keluar parti dan menyertai Amanah. Kami juga tidak percaya dengan PAS kerana mereka membuat perjanjian dengan BN. Sebab itu jangan undi diorang. 

Johan    :               Apa pula parti bendera warna merah ni? Nampak macam UMNO je. 

Petugas :             Itu parti Bersatu. Banyak bekas orang UMNO masuk parti ni. Diorang dah serik
                                dengan Najib.

Johan    :               Kenapa ada poster Mahathir belakang tu? Mana Anwar Ibrahim?

Petugas :             Anwar Ibrahim sekarang di dalam penjara. Tak boleh jadi Perdana Menteri. Oleh
                             itu,  pilihan yang kita ada hanyalah Mahathir.

Johan    :               Mana pemimpin muda yang lain? Mahathir ni boleh percaya ke?

Petugas :             Mahathir ni dah minta maaf. Jadi boleh percaya. Pemimpin lain tiada pengalaman.
                                Mahathir pula dah ada pengalaman selama 22 tahun. Rakyat kena bagi peluang  
                                kedua kepada Mahathir.

Johan    :               Tapi bukankah kerana dia menjadi PM lama sangat yang menyebabkan Malaysia
                               jadi macam sekarang. Kenapa tidak bagi peluang kedua kepada Najib?

Petugas :             Najib lagi teruk daripada Mahathir.

Johan    :               Saya sebelum ini mengundi Pakatan Rakyat. Tak kenal la Pakatan Harapan ni. 

Petugas:              Kalau abang tak mengundi Pakatan Harapan, maksudnya abang ni menyokong
                                Barisan Nasional.

Johan berasa aneh kenapa petugas bilik gerakan ini menuduh dia macam itu pula. Johan terus keluar dari bilik gerakan tersebut, menghala semula ke arah stesen minyak. Mungkin dia terlepas pandang kereta beliau. Tetapi sebelumitu, dia mahu pergi ke tandas semula. Selepas keluar dari tandas, beliau ternampak kembali kereta yang beliau letakkan di hadapan stesen minyak. Johan masuk ke dalam kereta dan terus menghala ke rumah. Dalam perjalanan pulang, beliau melihat poster dan billboard dengan gambar Anwar Ibrahim. Nampaknya dunia kembali normal.

Friday, January 5, 2018

Ulasan Filem Jibam

Bukan mudah hendak membikin filem adaptasi daripada novel. Banyak elemen yang mungkin menarik dalam bentuk tulisan tetapi apabila diterjemahkan ke dalam bentuk audio-visual, seringkali tak kena ataupun ‘lost in translation’. Kerisauan itulah yang penulis bimbangkan sebelum hendak menonton filem Jibam, arahan Che Mie, lakonan Mohd Ariff sebagai watak utama Jibam. Ianya adalah adaptasi daripada novel Jibam tulisan Ujang yang diterbitkan pada tahun 1992. Namun, selepas penulis menonton filem ini, penulis berminat untuk membaca novel Jibam. Ini petanda bahawa filem ini berjaya dalam misinya iaitu menceritakan kisah Jibam, sejarah keluarganya dan orang-orang kampung Jibam yang memberi kesan kepada Jibam atau terkesan dengan tindakan Jibam.

Watak Jibam adalah seorang kanak-kanak yang boleh dikatakan tidak siuman. Beliau dibuli oleh kanak-kanak lain yang tidak faham mengapa Jibam membuat perkara yang aneh. Namun begitu, keluarga Jibam dan penduduk kampung tetap menyayangi Jibam dan memastikan Jibam tidak membuat perkara yang merbahaya. Selain daripada Jibam, filem ini juga berlegar tentang misteri kematian ayah Jibam serta layanan Tok Ngah Sudin kepada Jibam. Jibam seringkali mengganggu ketenteraman Tok Ngah Sudin, menyebabkan beliau bersikap kasar dan sering kali memukul Jibam. Walaupun begitu, oleh kerana Jibam kurang mengerti, beliau masih lagi mahu meluangkan masa dengan Tok Ngah Sudin walaupun berkali-kali dihalau.

Filem ini sangat bagus dalam memaparkan suasana penduduk kampung. Namun sukar untuk memastikan tahun bilakah sepatutnya latar masa filem ini. Namun, lakonan setiap penduduk kampung sangat berkesan terutamanya reaksi mereka kepada Jibam dan kesusahan keluarga Jibam. Ini kerana ayah Jibam dianggap orang yang berjasa kepada kampung, oleh itu mereka mahu membantu keluarga Jibam seboleh mungkin. 

Ada beberapa babak melibatkan Tok Ngah Sudin memukul Jibam. Ada yang menjadi babak komedi, namun ada juga penulis merasakan ianya adalah penderaan kanak-kanak. Memang sebagai penonton, kita mungkin memikirkan mengapa Tok Ngah Sudin sangat membenci Jibam. Namun begitu, misteri ini akan dijawab pada pengakhiran. Kita sebagai penonton juga akan berasa kasihan dengan Tok Ngah Sudin, walaupun pada awalnya kita bencikan watak ini.

Penulis memuji pembikinan filem ini yang mengambil kira lakonan serta cerita yang mahu disampaikan, namun bersesuaian dengan medium filem. Boleh sahaja pembikin filem membuat filem biasa sahaja, menjadikan ianya seperti drama komedi yang sering kita tonton di televisyen. Namun kerana ketelitian pembikin filem, terutamanya dalam memaparkan suasana kampung serta misteri kematian ayahnya, ianya bukan sekadar komedi, namun tragedi orang kampung yang perlu difikirkan oleh masyarakat.