Friday, December 30, 2016

10 Filem Terbaik Yang Saya Tonton Pada Tahun 2016


Untuk tahun 2016, saya banyak menonton filem dari pelbagai negara, baik dari Indonesia, Jepun, Korea Selatan, India dan Singapura. Tidak lagi terkongkong dengan Hollywood. Malah saya juga banyak menonton filem Malaysia, tapi malangnya tak semua, walaupun itulah azamnya untuk tahun 2016. Semasa awal tahun, saya cuba untuk menonton semua filem Malaysia, tetapi kebiasaannya saya tidak dapat menonton filem tersebut baik kerana terlampau cepat ditarik dari pawagam sebab kurang penonton, atau filem itu sendiri sangat tidak menarik sehingga saya tidak sanggup membuang duit menonton filem itu. Namun secara umum, filem Malaysia pada tahun ini meningkat naik, malah beberapa kali menjadi trending dan menjadi perbualan ramai. Contohnya filem Pekak yang dikritik kerana menunjukkan babak maksiat di samping bantahan NGO OKU yang dikatakan memaparkan OKU dalam sisi negatif. Selain itu, beberapa filem Malaysia ditayangkan hampir serentak dalam satu bulan dan mendapat sambutan membuatkan rakyat Malaysia tertarik untuk menonton filem Malaysia semula. Contohnya pada bulan Mac, Ola Bola dan Boboiboy ditayangkan dan menjadi antara filem paling mendapat kutipan tiket tertinggi dalam tahun 2016. Pada bulan November pula muncul filem Rock Bro!, Hanyut, Interchange dan Desolasi. Adakah ini strategi yang bagus untuk mempromosi filem Malaysia iaitu dengan menayangkan filem-filem Malaysia hampir serentak supaya berlaku trending?

10. Train To Busan
Filem ‘hit’ di Malaysia ini boleh sahaja menjadi filem zombie ganas biasa-biasa. Namun dengan kepelbagaian karakter dan juga imaginasi dalam situasi bencana seperti serangan zombie ini, apakah masyarakat yang akan lakukan? Adakah anda akan berbuat apa sahaja untuk menyelamatkan diri? Atau anda sanggup berkorban untuk melakukan sesuatu yang betul? Satu perkara yang menarik tentang filem ini adalah kita memang betul-betul merasakan perasaan ayah tersebut yang berusaha bermati-matian untuk menyelamatkan anak perempuannya. Ini tema yang penting apabila membuat filem bencana seperti begini. Mesti bagi karakter utama motivasi yang kuat untuk menyelamatkan diri.


9. Captain America: Civil War
Tak cukup sekadar melihat filem ini secara bersendirian sahaja namun perlu dilihat secara keseluruhan francais Marvel Cinematic Universe. Setiap karakter dalam filem ini mempunyai personaliti dan perkembangan tersendiri yang mereka bawa dari filem-filem terdahulu. Itulah petanda sebuah filem sekuel yang bagus. Karakter sudah diperkenalkan dalam filem pertama, maka dalam filem seterusnya adalah peningkatan konflik. Tentulah babak yang paling diingati dalam filem ini adalah babak pertarungan di lapangan terbang.


8. Rudy Habibie
Filem dari Indonesia ini adalah sekuel kepada filem Habibie & Ainun, menceritakan tentang perjalanan hidup BJ Habibie semasa belajar di Jerman. Saya sendiri belum berkesempatan menonton filem pertama, namun ianya tidak perlu pun kerana yang penting adalah kita melihat konflik dan perjuangan Habibie semasa belajar di Jerman. Ianya akan membangkitkan semangat mahasiswa di samping melalui zaman percintaan dan tekun dalam mempelajari ilmu penerbangan untuk dimanfaatkan oleh rakyat Indonesia akan datang. Ianya adalah filem patriotik, namun dirasakan sangat ‘personal; kerana menceritakan tentang kisah peribadi Habibie, namun mahasiswa biasa masih boleh ‘relate’ dengan kisah hidupnya. Sebuah filem wajib tonton untuk aktivis mahasiswa. 


7. Zootopia
Filem Disney ini pada mulanya dirasakan hanyalah filem animasi biasa sahaja. Namun sebaik plot dan konflik bertambah, saya merasakan bahawa filem ini mahu memberitahu isu yang mendalam, iaitu hubungan antara kaum. Siapa sangka filem animasi mengenai haiwan yang bercakap boleh membuatkan kita merefleksi isu tersebut? Perkara ini sangat bagus terutamanya untuk kanak-kanak kerana walaupun mereka akan sukakan filem ini kerana watak yang comel semasa mereka masih kecil, namun apabila mereka besar nanti, mereka akan lebih memahami isu yang lebih mendalam.


6. Jagat
Filem ini juga telah saya tulis ulasan dalam blog saya. Saya memuji kemajuan masyarakat India di Malaysia yang membangunkan kelompok filem tersendiri dan tidak terpengaruh dengan pelbagai masalah yang menimpa industri filem Malaysia (terutamanya yang berkaitan dengan orang Melayu). Diharapkan pengarah dan pelakon filem ini akan terus membikin filem bagus untuk rakyat Malaysia. Tak perlu dalam bahasa Melayu pun sebab apa yang penting adalah menunjukkan realiti kepelbagaian masyarakat di Malaysia, di mana setiap komuniti ada ceritanya yang tersendiri.



5. Bajirao Mastani
Kalau nak tahu lebih lanjut pandangan saya tentang filem ini, sila baca ulasan saya. Apa pun filem ini menunjukkan baik Bollywood atau Kollywood atau banyak lagi industri perfileman di India perlu diberi perhatian oleh rakyat Malaysia. Saya tidak kisah di Malaysia banyak filem India ditayangkan, dan tidak sepatutnya ditonton oleh masyarakat India sahaja, namun ianya untuk semua kaum. Sejak dari dulu lagi, filem Melayu belajar dari India. Kini kita perlu belajar semula daripada sana untuk maju lebih jauh lagi.


4. Redha
Filem Malaysia ini memang boleh dianggap ‘overlook’ dan tidak diambil serius. Ini kerana subjek filem ini adalah mengenai hubungan bapa dan anak yang ada autisme. Dari segi luarannya, filem ini semacam teledrama biasa hari sabtu. Namun ada ‘twist’ di pertengahan filem dan ditambah dengan lakonan mantap Nam Ron, filem ini menjadi lebih dari itu. Konflik ibu bapa yang mempunyai anak autisme sangat realistik namun dengan segala pancaroba, filem ini berakhir dengan harapan bahawa anak autisme boleh menjadi lebih istimewa. Sinematografi filem ini juga cantik dan pandai menggunakan latar tempat di tepi pantai. Saya tengok filem ini dalam panggung wayang hanya dengan satu keluarga yang lain. Dalam minggu kedua, filem ini ditarik. Diharapkan filem ini mendapat perhatian selepas penjualan DVD dan ditayangkan di televisyen.


3. Son of Saul
Saya tahu dan pernah membaca tentang kekejaman Nazi dan penderitaan mangsa Holocaust semasa Perang Dunia Ke-2. Saya juga pernah menonton filem Schindler’s List arahan Spielberg. Tetapi filem ini membuatkan kita simpati dan mendoakan kesejahteraan untuk roh mangsa Holocaust. Walaupun di dunia mereka terseksa, tetapi di akhirat sana mereka akan mendapat rahmat Tuhan. Filem ini mungkin hanya patut ditonton sekali sahaja kerana membuatkan saya tidak tidur malam.


2. Captain Fantastic
Filem ini hanyalah filem kecil lakonan Viggo Mortensen namun mempunyai visi yang besar. Ianya menceritakan tentang kesan baik dan buruk hidup di hutan memisahkan diri daripada umat manusia di luar terutamanya dalam zaman teknologi maklumat kini. Hubungan Viggo sebagai bapa dengan anak-anaknya sangat berkesan dan ‘natural.’ Filem ini tidak buang masa dengan cuba membuat situasi komedi daripada interaksi anak-anak keluarga yang pertama kali melihat dunia luar. Namun cerita utamanya adalah keluarga. Tidak kisah anda di hutan atau di tengah bandaraya, yang penting anda bersama keluarga.


1. Hanyut
Saya sukakan filem sejarah dan epik. Filem arahan U-Wei Shaari ini dirasakan sangat kena dengan apa yang saya mahu. Lebih-lebih lagi sejarah Tanah Melayu pada abad ke-19. Walaupun ianya adalah adaptasi kepada novel, namun pastilah penulis novel ini (orang British) menulis berdasarkan pengalaman beliau sendiri di Tanah Melayu. U-Wei pandai mengolah filem ini daripada sekadar ‘point of view’ pendatang British kepada refleksi masyarakat Melayu pada waktu itu. Lakonan yang mantap dan ditambah set yang kena dengan zaman dan tidak berlebihan menggunakan CGI. Filem ini mungkin rugi, tetapi ianya akan menjadi filem rujukan rakyat Malaysia untuk sejarah pada masa akan datang.

 
Filem Malaysia/Asia Terbaik Tahun 2016
1. Hanyut
2. Redha
3. Bajirao Mastani
4. Rudy Habibie
5. Train to Busan
6. Sultan
7. Your Name
8. Apprentice
8. Interchange
10. Ada Apa Dengan Cinta 2