Wednesday, April 22, 2015

Ulasan Filem PK : Tuhan.... Di Mana Kamu???


Memang ulasan filem ini agak lambat, Kerana filem ini ditayangkan pada Disember tahun lepas. Penulis sendiri pun tidak menonton filem ini di pawagam. Namun petanda sesebuah filem yang bagus bukan pada populariti dan jumlah kutipan tiket, tetapi pada impaknya kepada masyarakat selain wacana yang terhasil daripada tema filem tersebut. Dari sinilah kita dapat membentuk agenda sebenar "Filem Kita, Wajah Kita", apabila filem itu sendiri menjadi cerminan kehidupan seharian kita. Melalui mata watak dalam filem, kita melihat wajah sebenar masyarakat kita tanpa tapisan prejudis diri sendiri. 

Filem PK ini berlatarbelakangkan masyarakat India abad ke-21. Pertembungan antara kelompok yang kuat berpegang kepada agama dengan kelompok yang menganggap agama hanyalah urusan peribadi sahaja. Filem ini adalah mengambil semangat yang sama seperti filem "3 Idiots", juga lakonan Aamir Khan dan arahan Rajkumar Hirani. Dalam 3 Idiots, mereka mengkritik sistem pendidikan di India, manakala dalam filem PK, mereka mengkritik fanatisme agama dalam masyarakat India. Untuk pengetahuan anda, 3 Idiots adalah adaptasi novel "Five Points Someone" tulisan Chetan Bagat, seorang jurutera yang akhirnya menjadi penulis. Banyak novel beliau mendedahkan realiti sebenar keresahan anak muda di India pada zaman moden. Penulis sendiri dapat membaca novel beliau apabila ayah penulis membeli novel tersebut apabila beliau melawat India (satu tradisi ayah membawa balik buku). Novel tersebut ditulis dalam Bahasa Inggeris campuran Hindi, bukanlah novel yang baik untuk anda mengasah pembacaan anda dalam Bahasa Inggeris. Ceritanya juga sebenarnya sangatlah berbeza dengan adaptasi filem.

Berbalik kepada filem, penulis merasakan tidak perlu menceritakan tentang kritikan filem ini kepada agama terutamanya sekali agama Hindu, agama terbesar di negara India. Selain mengakui kejahilan penulis mengenai agama Hindu, penulsi juga ingin memfokuskan mengenai watak Aamir Khan sendiri iaitu PK. PK sebenarnya adalah seorang (manusia ke?) makhluk asing yang dihantar ke Bumi untuk membuat kajian, namun alat komunikasi PK dicuri orang. Seluruh filem ini selepas itu berkisar tentang bagaimana PK berkomunikasi dengan manusia, memahami cara manusia di samping berterusan mencari alat komunikasi tersebut.

Terdapat juga subplot mengenai kisah cinta antara seorang perempuan dari keluarga Hindu bernama Jaggu dan seorang lelaki Islam dari Pakistan. Namun subplot ini muncul di awal dan akhir filem. Plot ini mungkin dirancang untuk memberi sebab motivasi Jaggu, perempuan yang mempergunakan PK mengapa beliau membencikan agama kerana ditinggalkan lelaki Islam. Selain itu, ianya memberi perencah cinta segitiga apabila PK akhirnya jatuh cinta dengan Jaggu.

Nama PK sendiri bukanlah nama sebenar makhluk asing tersebut tetapi diberi orang. Maksud PK adalah mabuk, diberi orang kerana perlakuan PK yang semacam tidak tahu apa-apa menyebabkan orang sangka dia mabuk. Mungkin penulis filem mahu mengaitkan dengan kata-kata popular Mao Zedong yang mengatakan agama itu candu, sama seperti PK yang seperti orang mabuk mencari Tuhan mana yang boleh mengembalikan alat komunikasi beliau.

Babak-babak kontroversi filem ini berlaku semasa PK sedang mencari Tuhan. Ini kerana beliau diberitahu oleh orang ramai supaya mencari Tuhan untuk menyelesaikan masalah beliau. Tetapi malangnya apa yang beliau jumpa hanyalah orang agama, bukanlah Tuhan. Ini menyebabkan beliau kecewa. Ditambah lagi beliau berjumpa dengan Jaggu, seorang wartawan yang sentiasa cuba membongkarkan topeng orang yang mempergunakan agama untuk keperntingan peribadi. Akhirnya Jaggu cuba memahamkan PK bahawa sebab mengapa Tuhan masih belum menerima 'doa' PK adalah kerana 'nombor' yang mereka dail salah. Sebab itulah 'doa' tersebut masih belum sampai.

Filem ini penuh dengan komedi ala-ala Mr Bean, kerana watak utamanya naif tidak tahu langsung tentang norma kehidupan dan sensitiviti manusia. PK keliru mengapa ritual agama-agama lain, dan akhirnya membuat keputusan untuk mencuba semua agama, masuk kuil, masuk gereja, bersembahyang di masjid. Di sini beberapa pendapat mengatakan filem ini mempromosi pluralisme. Tetapi bila kita berfikir balik, bukankah watak seperti PK ini wujud dalam realiti kita. Ingatkah kita kepada mualaf seperti Malcolm X, Yusuf Islam, Hamza Yusuf dan lain-lain? Bukankah mereka dalam perjalanan mencari Tuhan, mencuba pelbagai agama dan akhirnya berjumpa dengan agama Islam. Bagaimana pula dengan ramai lagi orang yang masih kecewa dengan agama kerana tidak berjumpa dengan orang yang betul. Dan akhirnya memerangi agama. 

Tema yang dibawa oleh filem PK sangat bertepatan dengan situasi manusia zaman sekarang. Lahir begitu ramai kelompok yang mempersoalkan agama tradisi. Mereka bukan mempersoalkan kewujudan Tuhan, tetapi mempersoalkan orang agama yang memesongkannya. Dan akhirnya manusia keliru siapa Tuhan itu sebenarnya. 

Satu fitrah manusia untuk mencari Tuhan. Nabi Ibrahim pun mencari Tuhan, disangkanya baginda matahari, bulan dan bintang sebelum tutun wahyu Tuhan. Dalam Islam , kebenaran Tuhan terdapat dalam Al-Quran, oleh itu, sejauh mana tersalah 'nombor' orang agama pun, Allah SWT sudah mewahyukan 'Buku Panduan' melalui Rasul-Nya, Muhammad SAW. Beruntunglah kepada orang yang sudah menjumpai 'nombor' yang betul.