Monday, October 18, 2021

Betulkah China Dah Menang?

 

Sejak Donald Trump dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016, berlaku banyak perubahan polisi kerajaan Amerika terutamanya mengenai polisi luar negara. Amerika Syarikat mula menjadi kuasa besar yang bersifat antagonis dan konfrontatif. Banyak negara yang pada asalnya adalah sekutu kuat Amerika Syarikat terutamanya negara-negara Eropah mula meminggirkan diri daripada Amerika. Pada masa yang sama, negara China mempunyai seorang Presiden yang dipandang tinggi dan mempunyai suatu pandangan jauh iaitu Xi Jinping. Antara idea besar beliau adalah dengan menggagaskan One Belt, One Road, yang bertujuan membina dan menaik taraf laluan perhubungan dan perdagangan baik melalui darat atau laut. Ianya bertujuan menghubungkan pelbagai negara di Asia seperti Malaysia, Pakistan, Turkemenistan dan berakhir di China dan disambung dengan pelabuhan, lebuhraya dan landasan keretapi yang canggih supaya hubungan antara negara lebih pantas dan meningkatkan jumlah perdagangan antara pelbagai negara. Kebanyakan projek ini akan dibiayai oleh China atau diberi pinjaman kepada negara-negara yang terlibat. Amerika di bawah pimpinan Trump melihat idea One Belt, One Road ini satu bentuk ancaman kepada hegemoni ekonomi Amerika dan Eropah di Asia. Demi mengekang kemaraan China, Amerika melaksanakan dasar menaikkan kadar tarif ke atas barang-barang mentah yang dieksport ke China. Sementara itu, syarikat-syarikat teknologi yang berasal daripada China menjadi sasaran dalam pelbagai kes penyiasatan. China membalas dengan mengehadkan bilangan produk Amerika yang boleh dikilangkan di China, menyebabkan syarikat-syarikat teknologi di Amerika berdepan dengan situasi “gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah.” China juga mengurangkan pelajar yang boleh melanjutkan pelajaran ke Amerika, dan ini memberi kesan kepada universiti-universiti di Amerika yang sangat bergantung kepada pelajar-pelajar luar terutamanya dari negara China. Perseteruan antara China dan Amerika ini telah digambarkan sebagai “perang perdagangan” atau “perang dingin yang baru” oleh peneliti hal ehwal antarabangsa.

Mengapa hubungan antara China dan Amerika makin memburuk? Walhal Amerika antara pendokong terbesar China semasa negara tersebut mula-mula menyertai Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) pada tahun 1990-an. Amerika pada zaman Richard Nixon pada tahun 1970-an juga antara negara Barat pertama yang memulakan hubungan dengan kerajaan Komunis Deng Xiaoping dengan matlamat untuk menyemak imbang kuasa Soviet Union yang pada waktu tersebut berseteru dengan China. Kemajuan ekonomi China dari satu aspek sangat terkesan dengan peranan Amerika yang membuka jalan seperti pembinaan kilang-kilang syarikat besar Amerika dibina di China kerana kos buruh di China sangat murah. Kishore Mahbubani, seorang pensyarah dan diplomat berpangkalan di Singapura cuba merungkai persoalan tersebut di dalam bukunya Has China Won? The Chinese Challenge to American Primacy. Mahbubani merungkainya dengan melihat masalah terbesar yang melanda Amerika sekarang adalah masalah dasar luar negara yang kurang diberi perhatian dan China pula masih lagi mengamalkan dasar perdagangan terhad yang sudah lapuk yang menyebabkan kemarahan syarikat-syarikat Amerika yang berada di China.

Dalam bukunya yang mengandungi 9 bab ini, Mahbubani memulakannya dengan membuat perbandingan strategi yang digunakan oleh Amerika pada waktu dahulu dalam menghadapi Soviet Union. George Kennan, Pengarah Kajian Polisi di Amerika telah menggagaskan strateginya pada tahun 1946 dengan menulis di majalah Foreign Affairs dengan nama pena Mr. X. Salah satu strategi penting Amerika dalam melawan ideologi Komunis adalah dengan menyatakan bahawa kuasa Amerika terletak pada keupayaan mereka dalam memberi persepsi kepada negara-negara lain bahawa Amerika adalah negara yang mampu menyelesaikan masalah dalaman tanpa menganggu tanggungjawab mereka sebagai kuasa besar dunia. Perkara ini sangat berbeza pada masa sekarang di mana masalah dalaman Amerika seperti masalah perkauman dan jurang perbezaan yang ketara antara miskin dan kaya sudahpun diketahui oleh ramai orang di luar negara, sehingga seringkali menjadi tayangan di kaca televisyen dan filem. Ini mengurangkan rasa hormat negara-negara lain kepada Amerika, di mana setiap kali Amerika cuba masuk campur dalam urusan negara lain terutamanya dalam hal ehwal hak asasi manusia, Amerika akan ditempelak semula kerana menutup mata dengan masalah dalam sendiri. Ini berbeza dengan China di mana mereka tidak masuk campur dengan urusan dalaman negara lain, ditambah lagi masalah dalaman negara China ditapis dan dihalang untuk disebarkan ke negara-negara lain. Contoh terbaik adalah krisis kemanusiaan Uyghur di mana China mengkritik mana-mana negara yang cuba masuk campur dengan “masalah dalaman” negara mereka. Ditambah lagi negara-negara Islam sendiri mengelak untuk menyentuh isu ini, demi menjaga hubungan dengan China, yang juga tidak pernah masuk campur dengan urusan dalaman negara mereka.

Di dalam bab kedua bertajuk China’s Biggest Strategic Mistake, Mahbubani menyebut bahawa salah satu kesilapan strategi terbesar yang dilakukan China adalah tidak menjaga hubungan baik dengan syarikat-syarikat Amerika yang mempunyai perniagaan di China. Semasa Donald Trump mula melancarkan perang perdagangan ke atas China, hampir tiada syarikat atau institusi penyelidikan di Amerika yang cuba menyanggah Trump dan mempertahankan China. Malah sokongan tindakan Trump ke atas China datang daripada kedua-dua pihak dalam Kongres iaitu Demokrat dan Republikan, suatu persetujuan yang sangat ganjil dalam zaman politik partisan yang rencam di Kongres. Syarikat-syarikat Amerika juga merasakan dilayan tidak adil oleh kerajaan China di mana mereka dipaksa untuk berkongsi teknologi dengan syarikat China sebagai syarat untuk melabur dan membuka kilang di China. Kerajaan China juga masih menutup ekonomi mereka untuk menjadi lebih bebas yang sepatutnya menggalakan persaingan dan tidak lagi memihak kepada syarikat China sahaja. Eksekutif syarikat Amerika juga tidak menyukai budaya perniagaan di China yang menguntungkan satu pihak sahaja, dan apa-apa aduan atau masalah tidak dapat diadukan ke peringkat pengadilan seperti di mahkamah. Sekiranya syarikat Amerika menghadapi masalah di peringkat bandar atau wilayah, mereka tidak dapat membuat aduan kepada kerajaan Pusat di Beijing kerana setiap bandar dan wilayah mempunyai autonomi sendiri dalam membuat beberapa keputusan berkaitan perniagaan. Mahbubani melihat bahawa China patut menjadi pemimpin di dalam mempromosi globalisasi masa kini di mana kebanyakan ahli politik Amerika hanya memikirkan isu domestik. Kemajuan ekonomi China akan lebih bertambah sekiranya dianggap sebagai negara yang paling mesra perniagaan.

Di dalam bab ketiga pula yang bertajuk America’s Biggest Strategic Mistake, kesilapan terbesar Amerika adalah menggunakan tarif yang disangka dapat mengekang ekonomi China. Walaupun ekonomi China memang semakin perlahan kerana kenaikan kadar tarif, namun yang mendapat kesan besar adalah pengguna Amerika sendiri di mana barang-barang semakin mahal. Donald Trump juga dilihat hanya obsess dengan tarif namun tidak memahami kesannya kepada perdagangan antarabangsa. Amerika sebagai negara yang mempromosi ekonomi bebas sepatutnya melihat tarif sebagai penghalang kepada kemajuan ekonomi. Namun kini dunia sudah menjadi terbalik di mana Amerika pula yang menjadi kerajaan yang sangat tidak mesra dengan konsep ekonomi bebas yang pernah mereka perjuangkan dahulu. Tindakan Trump yang melulu dan tidak terarah hanya mengurangkan lagi keyakinan rakyat dan negara-negara lain kepada institusi kerajaan Amerika. Keyakinan sangat penting kepada ekonomi Amerika kerana pengaruh Amerika paling besar ke atas ekonomi dunia bukanlah ketenteraan mereka tetapi penggunaan US Dollar yang meluas. US Dollar adalah satu-satunya matawang yang dipercayai oleh syarikat dan kerajaan seluruh dunia. Malah China sendiri berurusan dengan negara lain menggunakan US Dollar, bukan Yuan China kerana kerajaan negara lain lebih percayakan US dollar. Oleh itu, apabila keyakinan kepada Amerika semakin berkurang, beberapa negara mula mencari alternatif kepada US Dollar kerana sistem kewangan antarabangsa tidak lagi boleh bergantung kepada satu matawang sahaja. Kesilapan lain yang dilakukan oleh Amerika adalah mereka sentiasa merasakan diri sebagai kuasa ekonomi nombor satu dunia walaupun ramai penganalisis melihat bahawa China akan mengatasi Amerika tidak lama lagi. Tetapi tidak banyak perbincangan tentang di Amerika sendiri tentang apakah yang akan terjadi sekiranya Amerika bukan lagi nombor satu. Walaupun Amerika mempunyai dasar kebebasan media, tetapi sekiranya mana-mana ahli politik cuba membincangkan isu ini, mereka akan dipinggirkan. Kesukaran untuk mengakui realiti ini menyebabkan tiada pihak di dalam Amerika yang boleh merangka strategi yang betul-betul berkesan dalam menghadapi China (atau mana-mana negara yang semakin meningkat maju). Amerika hanya boleh berubah sekiranya mereka menerima realiti ini.

Buku ini membincangkan lebih banyak lagi tentang asal-usul hubungan Amerika dan China serta kesan perseteruan kedua-dua kuasa besar ini kepada ekonomi dunia. Mahbubani juga menyentuh tentang bagaimana reaksi dan strategi negara-negara lain menghadapinya terutamanya negara Asia Tenggara yang sangat bergantung kepada kedua-kedua negara ini untuk kemajuan ekonomi. Dengan memahami lebih lanjut tentang situasi sebenar hubungan Amerika dan China, dapat membantu kita dalam menentukan sikap apabila berlakunya konflik pada kemudian hari.