Wednesday, July 27, 2016

Ulasan Filem Star Trek Beyond


Penulis adalah peminat siri televisyen dan filem Star Trek. Penulis mula tertarik dengan Star Trek sejak daripada sekolah rendah lagi di mana stesen TV3 waktu itu menayangkan siri The Next Generations, di mana kapal angkasa Enterprise waktu itu dikepalai oleh Kapten Jean-Luc Picard lakonan Patrick Stewart (kemudian terkenal dengan lakonan sebagai Professor X dalam siri filem X-Men). Penulis teringat lagi siri TV ini sangat berbeza dengan siri TV lain yang ditayangkan pada waktu itu. Penulis tak ingat hari apa siri ini ditayangkan namun biasanya pada malam hari biasa. Pada waktu itu, susah untuk penulis untuk menonton televisyen pada waktu malam hari sekolah. Biasanya kami akan dipaksa untuk membuat kerja sekolah. Namun apabila Star Trek ditayangkan, mama membenarkan untuk tonton. Mungkin kerana idea dan cerita yang ditayangkan dalam siri ini sesuai untuk mengembangkan imaginasi kanak-kanak.

Siri TV ini membantu penulis berminat dengan sains terutamanya sains fiksyen. Inilah sumbangan terbesar sains fiksyen kepada masyarakat iaitu memecah tembok imaginasi kanak-kanak. Walaupun sering kali sainsa fiksyen dianggap mengarut, namun banyak imaginasi dalam Star Trek akhirnya menjadi kenyataan. Contohnya telefon bimbit yang kita pegang sekarang. Dalam siri Star Trek sejak 1960-an lagi sudah ditunjukkan teknologi tersebut seperti "communicator.", yang menunjukkan karakter bercakap dengan alat kecil di tangan mereka. Hasil usaha peminat Star Trek yang menonton siri tersebut dan terpengaruh dengannya sejak kecil, akhirnya fantasi menjadi realiti. Ramai jurutera dan "innovator" datang daripada mereka yang minat sains fiksyen. Oleh itu jangan pandang rendah kesan filem dan televisyen terhadap kanak-kanak. Filem dan siri TV yang bagus boleh merubah masyarakat.

Berbalik kepada filem yang penulis mahu tulis mengenainya iaitu Star Trek Beyond. Filem ini adalah siri ketiga daripada siri Star Trek "reboot" yang dimulai sejak 2009. Siri filem ini memaparkan Kapten James Kirk sejak daripada sebelum menyertai Starfleet dan bagaimana beliau menjadi kapten Enterprise. Namun begitu siri ini berbeza dengan siri Star Trek awal yang dilakonkan oleh William Shatner dan Leonard Nimoy di mana mereka mengambil pendekatan menukar timeline di mana terdapat watak jahat yang telah mengembara masa dan akhinya mengubah sejarah. Oleh itu siri filem yang terbaru ini tidak perlu mengikut siri filem yang lama sepenuhnya. Itu yang berlaku pada tahun 2009. Untuk filem terbaru ini, Enterprise telah mengembara selama 3 tahun dan Kapten Kirk, lakonan Chris Pine nampak sudah keletihan dan mula mempersoalkan objektif usaha mereka. Namun apabila cuba melaksanakan sebuah misi penyelamatan di planet terpencil, mereka diserang secara tiba-tiba menyebabkan Enterprise terhempas dan krew kapap terpisah. Filem ini menceritakan mengenai bagaimana mereka bersatu kembali dan kemudian mengalahkan watak jahat yang cuba memusnahkan Starfleet.

Penulis telah menonton semua filem Star Trek. Bagi penulis filem Star Trek yang terbaru ini boleh dikategorikan sebagai antara 5 terbaik. Ianya juga lebih baik kalau dibandingkan Star Trek 2009 dan Into Darkness. Ada banyak sebab penulis menganggap begitu. Pertama watak Kapten Kirk yang dilakonkan oleh Chris Pine mencapai tahap kematangan. Sebelum ini kita lihat watak ini sangat semberono dan tidak berfikir panjang. Walaupun begitu ianya kena dengan watak Kapten Kirk sejak dulu yang terkenal dengan bertindak dahulu, berfikir kemudian. Sebab itu ada watak Spock yang menjadi pengimbang. Bezanya Chris Pine dengan William Shatner adalah kita dapat melihat perkembangan watak tersebut. Daripada anak muda di Akademi sehinggalah kini menjadi seorang kapten kapal yang lebih matang dan rasional.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai filem ini adalah suasana di Yorktown, sebuah pusat pelabuhan Starfleet yang berbentuk sfera. Dari jauh ianya macam Death Star, namun ia sebenarnya kelihatan seperti bebola kaca yang lutsinar di mana kita dapat melihat suasana bandar dalamnya. Ianya satu perkara yang baru dalam siri Star Trek. Memang ini satu tujuan terpenting filem sains fiksyen, iaitu mencipta satu benda yang imaginatif.  Inilah salah satu sebabnya mengapa dalam beberapa dekad ini filem sains fiksyen kurang popular kerana kebanyakan teknologi telah mencapai tahap tinggi dan masyarakat seperti sudah tidak menerima rekaan dan ciptaan yang tidak masuk akal. Namun dengan teknologi visual yang semakin canggih dalam filem, banyak benda-benda baru dapat dicipta dalam medium filem menyebabkan berlaku kebangkitan filem-filem sains fiksyen. 

Penulis berharap pembikin filem Star Trek yang seterusnya akan lebih berani bereksperimen dengan kepelbagaian cerita apatah lagi sekarang berlaku pertembungan dengan filem-filem Star Wars yang baru. Memang walaupun Star Trek tidak akan mengutip tiket setinggi Star Wars, namun objektif mereka patutnya membikin filem yang mencabar minda manusia tetapi dalam masa yang sama menggunakan latar angkasa untuk mencipta aksi dan babak yang menarik untuk tontonan ramai.

Saturday, July 16, 2016

Ulasan Filem Star Wars Episode 3 : Revenge of the Sith


Filem Star Wars yang ketiga ini adalah filem Star Wars yang pertama yang saya tonton di wayang. Saya teringat semasa saya Tingkatan 5, tahun 2005 semasa bersekolah di SMKA Tun Ahmad Zaidi di Kuching. Saya dan kawan saya, Sabri Hussin dan Hazwan Mahli keluar bandar (kerana waktu itu saya di asrama) dan pergi menonton wayang di pusat bandar Kuching. Masa itu tak banyak wayang di Kuching. Saya teringat semasa pertama kali imej di gambar keluar, filem menunjukkan bintang-bintang di angkasa, kemudian berpusing dan menunjukkan kapal angkasa besar di atas Planet Coruscant, pusat pentadbiran Galactic Republic. Kemudian kamera berpusing lagi dan menunjukkan bahawa pertempuran antara pesawat pejuang dan kapal angkasa sedang berlangsung dengan sengit. Kamera mengikut dua pesawat yang dinaiki oleh Anakin Skywalker serta Obi-Wan Kenobi. Kedua-dua pesawat ini berpusing mengelak daripada ditembak oleh pesawat musuh, dan akhirnya berjaya masuk ke dalam kapal angkasa induk musuh. Tujuan mereka masuk ke dalam kapal tersebut adalah untuk menyelamatkan Canselor Palpatine yang sedang ditawan oleh Jeneral Grievous, robot separuh manusia yang mengumpul lightsaber Jedi. Babak awal filem ini sangat mengujakan, dan terus ke perang bintang tanpa perlu menunggu akhir filem. Babak ini juga adalah sambungan terus daripada siri animasi 2D Clone Wars yang banyak menunjukka kehebatan Jedi memimpin tentera Stormtrooper mengalahkan Tentera Separatist.

Peminat Star Wars secara konsensus sekarang telah mengkritik sehebat-hebatnya Prequels Star Wars. Namun bagi saya filem ketiga, Revenge of the Sith antara filem Star Wars yang terbaik. Malah saya rasa dua filem sebelum ini adalah "set-up" kepada filem ketiga ini. Dalam filem ini, konflik antara Anakin Skywalker dan Obi-Wan Kenobi memuncak. Malah kita juga faham mengapa Anakin menerima "the dark side" kerana beliau mahu menyelamatkan Padme Amidala. Namun mungkin babak Anakin membunuh kanak-kanak di Jedi Temple mungkin terlalu melampau dan berlaku secara tiba-tiba serta tidak kena dengan watak Anakin. Walaupun Anakin menunjukkan sisi gelapnya sejak filem kedua, di mana beliau membunuh puak Sands, namun kita tidak merasakan bahawa beliau akan membunuh orang biasa yang tidak memberi ancaman. Malah karakter Darth Vader dalam Star Wars Original juga jahat tetapi tidak dilihat sebagai kejam dan membunuh sesuka hati. Sebab itu sampai sekarang, masih ramai yang suka dan berpakaian kostum sebagai Darth Vader.

Babak kemuncak dalam filem ini serta keseluruhan Star Wars Saga adalah semasa Emperor Palpatine melawan Yoda di dalam Galactic Senate. Ianya adalah simbol Jedi menentang Sith. Walaupun tiada pemenang namun ternyata Emperor yang menguasai keadaan terutamanya setelah berjaya menipu Jedi bertahun lamanya serta tentera Stormtroopers yang diklon memang di bawah telunjuk Emperor. Pertarungan mereka yang berlaku di dalam Senate adalah simbolik menunjukkan pemerintahan selepas ini akan berlaku secara kuku besi serta segala pendapat tidak akan dihormati dan penentangan akan menghadapi kekuatan tentera.

Babak paling sedih adalah di mana pahlawan Jedi dibunuh oleh Stormtrooper daripada belakang dan tanpa mengetahui sebabnya. Pertarungan antara Anakan dan Obi-Wan pula adalah seperti adik-beradik. Walaupun mereka bertarung secara habis-habisan, namun mereka juga tidak sanggup membunuh sesama sendiri. Namun kerana keegoan Anakin, akhirnya beliau kalah dan dibakar oleh lava. Dari situlah sebabnya beliau memakai kostum hitam tersebut dan juga menjadi sokongan hidup kepada beliau. Saya merasakan perlu adan apresiasi yang betul kepada filem Episode 3 ini dan ditonton secara adil.