Wednesday, January 29, 2014

PKPIM mahu Kerajaan Selangor jadikan UNISEL sebagai model IPT terbaik



            Sejak kepimpinan Selangor beralih kepada Pakatan Rakyat pada tahun 2008, pelbagai rancangan dirangka untuk menambah baik institusi di bawah kerajaan negeri. Penambahbaikan dilakukan supaya ianya selari dengan hasrat kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Salah satu institusi yang paling menjadi perhatian rakyat Selangor adalah Universiti Selangor bertempat di Shah Alam dan Bestari Jaya.
            6 tahun berlalu namun prestasi UNISEL dilihat belum mencapai tahap yang membanggakan. Pelbagai masalah yang timbul terutamanya melibatkan kebajikan mahasiswa UNISEL. Kemudahan asrama yang sepatutnya dinikmati oleh mahasiswa tidak dapat digunakan kerana menghadapi masalah kontraktor. Akibatnya pentadbiran UNISEL terpaksa menyewa kediaman di luar sebagai asrama. Ini hanya menyusahkan pelajar dan membuang masa mereka yang terpaksa berulang-alik antara fakulti dan asrama.
            Apa yang lebih menyedihkan adalah pentadbiran UNISEL kurang berkomunikasi dengan perwakilan pelajar. Banyak maklumat tidak didedahkan dan keputusan yang dibuat tidak dibawa berbincang dengan mahasiswa terlebih dahulu. Tindakan peminggiran ini adalah usaha menafikan suara mahasiswa dan menganggap bahawa mahasiswa hanya belajar di kelas dan tidak mampu untuk berfikir dan mengurus aktiviti sendiri.
            Perkara ini sangat bertentangan dengan janji Pakatan Rakyat yang mahu universiti diberi kuasa autonomi dan mahasiswa diberi kebebasan mengurus aktiviti sendiri daripada terus dikongkong oleh pentadbiran universiti. Kerajaan Selangor perlu menunjukkan UNISEL sebagai model IPT yang terbaik untuk meyakinkan mahasiswa Kerajaan Selangor kali ini betul-betul meraikan anak muda.
            Oleh itu, sempena Pilihanraya Kampus Unisel yang akan diadakan pada 11 Febuari ini, PKPIM menggesa pemilihan ini dilakukan dengan semangat meraikan kebebasan bersuara dan berfikir serta menghayati amalan syura baik di peringkat mahasiswa dengan pentadbiran universiti atau antara mahasiswa sendiri. Semua kelompok perlulah diraikan dan bukan memberi keistimewaan kepada golongan tertentu sahaja.
            Kami juga meminta exco pendidikan negeri, Dr Halimah Ali untuk melibatkan semua kelompok mahasiswa dalam perancangan  membina model mahasiswa yang terbaik daripada UNISEL. Ini supaya mahasiswa UNISEL menjadi ikutan dan harapan kepada mahasiswa lain di seluruh Malaysia. Kami juga mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh mahasiswa UNISEL dalam PRK kali ini. 
Hidup Biar Berjasa!

Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
Naib Presiden PKPIM  

(tersiar juga di Harakahdaily dan Web PKPIM)

Monday, January 6, 2014

Internet takkan menipu

    
     Sejak ledakan media sosial, hampir semua manusia mempunyai sebuah akaun dalam media sosial. Baik Facebook, Twitter, Instagram dan pelbagai lagi yang bakal muncul pada masa depan. Akaun blogpost penulis ini pun boleh dimasukkan dalam kategori media sosial. Malah kehadiran Whatsapp, We Chat dan Viber menambah lagi alat untuk manusia berkomunikasi. Bukan sahaja telefon rumah sudah menjadi tidak berguna lagi, malah kegunaan telefon bimbit kita untuk menelefon dan bermesej mungkin akan dianggap ketinggalan zaman pada masa akan datang.
    Penulis hampir terlupa bagaimana kehidupan sebelum kita semua sangat asyik dengan telefon pintar masing-masing. Kita sibuk mencari-cari rakan di media sosial namun melupakan rakan dan keluarga di hadapan kita sendiri. Ironinya kita sendiri menjadi sangat anti sosial, mengadu bermacam-macam di FB  dan Tweet tapi senyap sahaja apabila ditanya pendapat secara berhadapan. Malah kita sangat teringinkan 'like' sehingga sanggup membuat 'post' yang kontroversi. Dari situ berlaku perdebatan FB yang kita tahu kadang-kadang hanya melibatkan orang-orang yang tak pernah mengenal satu sama lain. Orang yang di sebelah sana mungkin sahaja professor, atau mungkin seorang penganggur yang tiada kerja lain.
     Satu aplikasi yang penting dalam media sosial adalah butang 'share'. Sesuatu gambar, video atau 'post' boleh kita kongsikan dengan orang lain. Daripada sinilah datang fenomena 'viral' kerana apabila sesuatu perkara itu menarik minat orang, ramai yang akan share. Ada yang suka share bahan-bahan yang berfaedah seperti kata-kata nasihat, kisah inspirasi dan ayat-ayat Al-Quran atau Hadis. Kebiasaanya tujuan dibuat perkara ini alasannya adalah untuk dakwah. Ada yang suka berkongsi perkara-perkara humor, dan yang lebih teruk lagi yang suka 'share' video atau gambar yang 'horrific' atau menggerunkan. Sekali lagi alasannya adalah untuk dakwah dan mahu membuatkan orang mengingati mati. Walaupun begitu tak pernah lagi kita dengar ada orang yang terus bertaubat nasuha apabila melihat gambar-gambar semacam begitu. Paling kurang mereka akan mengucap 'Astaghfirullah' dan kemudian menyambung kembali pelayarannya di internet.
      Satu perkara yang merisaukan penulis adalah kita begitu percaya dengan segala apa yang dikongsikan dalam media sosial. Kita menekan butang 'share' dengan begitu cepat tanpa memeriksa dahulu kesahihan sumber maklumat. Kadang-kadang maklumat yang diambil itu diambil dari laman yang jelas punya keraguan malah ada sesetengah laman itu memang sengaja membuat cerita-cerita palsu. Tujuannya tak lain adalah untuk humor dan parodi tetapi perkara itu mungkin tidak disedari oleh orang dari negara lain. 
         Malah kesilapan ini bukan sekadar dilakukan oleh orang awam tetapi syarikat-syarikat berita besar juga pernah melakukan kesilapan ini dimana mereka tidak mensahihkan dahulu maklumat yang diterima kerana mahu menjadi laman berita terawal yang menyiarkan berita tergempar. Walaupun begitu wartawan profesional menyedari perkara ini tetapi kadang-kadang mereka menganggap bahawa berita itu akan menjadi basi sekiranya lambat disiarkan dan kadang-kadang mereka tiada sumber kewangan yang mencukup untuk pergi ke tempat kejadian untuk mensahihkan berita. Contoh terbaik perang saudara di Syria. Banyak maklumat diambil dari media sosial hasil liputan orang ramai. Malah begitu banyak video dan gambar tak dapat mereka sahihkan dan sekiranya mereka menyiarkan berita tergempar tersebut, mereka hanya meletakkan sumber mereka dan bergantung kepada penonton untuk percaya atau tidak. Contoh tempatan pula adalah gambar murid yang tersepit di kerusi pada hari pertama persekolahan. Walaupun mungkin ada seorang sahaja yang tersepit namun kerana ada pihak yang menggabungkan gambar-gambar lama dan baru murid tersepit di kerusi maka menghasilkan ilusi seolah-olah tahun ini begitu ramai murid yang tersepit di kerusi. 
      Fenonmena 'viral' ini sebenarnya hanyalah penyakit lama manusia yang suka bertukar-tukar cerita yang tak betul. Cuma sebelum ini mungkin ianya mengambil masa yang lama untuk tersebar tetapi kini dalam masa satu hari boleh tersebar di seluruh dunia. Malah kita juga kena menukar sikap kita yang sangat percayakan dengan maklumat internet. Jangan menganggap ianya sebagai fakta, paling kurang apabila anda membacanya anggap sahaja sebagai satu pendapat. Diminta juga gunakan logik akal sebab kadang-kadang ada maklumat itu sangat mengarut namun sebab orang lain 'share', kita pun share jugak. Maka betullah media sosial ini hanya meningkatkan 'social pressure' kepada orang ramai.