Friday, November 29, 2013

Tiada revolusi dalam Catching Fire

   Penulis bukanlah peminat The Hunger Games. Kegilaan terkini anak-anak muda selepas Twilight Saga berakhir. Namun penulis faham kefanatikan tersebut kerana pernah terheret tidak sengaja dalam pottermania sehingga tak kisah untuk membeli buku terakhir Harry Potter walaupun mahal. Malah berjaya menghabiskannya kurang dari satu minggu.
    Tetapi tulisan ini kita fokus hanya untuk filem The Hunger Games : Cathing Fire. Sekuel kepada The Hunger Games, filem ini dianggap lebih gelap daripada francais untuk anak muda yang lain kerana melibatkan babak remaja membunuh remaja yang lain. Namun untuk filem yang kedua ini, permainan di'upgrade' dengan peserta semuanya pernah menang pertandingan The Hunger Games (walaupun tiada siapa yang nampak lapar atau dahaga). Pertandingan lebih mencabar kerana masing-masing punya kekuatan sendiri.
     Filem ini memang sangat lama kerana mengambil masa lebih kurang satu jam barulah masuk ke babak pertandingan. Banyak masa dihabiskan untuk membuat 'setting' politik dalam dunia ini, dan kesan protagonis yang berjaya menginspirasikan untuk rakyat biasa melakukan revolusi menentang tirani Capitol. Saya sendiri adalah peminat filem 'political thriller' tapi dalam filem ini tersasar daripada tujuan asal iaitu menunjukkan keperitan bagaimana mahu menang dalam pertandingan The Hunger Games tanpa perlu membunuh siapapun.
      'Setting' politik mungkin diberi penekanan sebagai 'prelude' untuk filem seterusnya. Namun begitu, kelibat 'President Snow' sangat menyakinkan dan ancaman beliau terhadap Katniss untuk terus berlakon dihadapan rakyat sewaktu awal cerita sangat meyakinkan dan menjadi babak penting untuk filem akan datang.
      Kepada peminat francais ini yang memang membaca bukunya mungkin puas hati melihat kata-kata diterjemahkan ke layar perak, naum kepada penonton biasa mungkin pengakhiran filem kurang memuaskan, malah tipikal Hollywood untuk 'memerah sehingga kering susu lembu' francais ini.

Wednesday, November 6, 2013

Thor : The Dark World - Pra Peperangan sebelum The Avengers 2

    Tidak dinafikan Marvel Studios sekarang adalah komoditi paling hangat dalam Hollywood. Semenjak filem Iron Man pada tahun 2008, 'kilang' filem mereka tak henti-henti mengeluarkan filem. Kemuncak kegilaan filem superhero tiba pada tahun 2012 apabila The Avengers ditayangkan. Kumpulan superhero yang sebelum ini hanya dilihat sebagai budak-budak oleh watak DC Comics, Justice League (Batman, Superman DLL) menjadi watak paling dikenali seluruh dunia. Ditambah lagi dengan karisma Iron Man, The Avengers menjadi filem yang bakal diulang-ulang dalam televisyen dan akan sentiasa ditonton. Plot filem mudah namun ditambah dengan watak-watak kesukaan ramai dan penungguan selama 4 tahun, filem ini memuaskan peminat genre superhero-saifai.
    Setahun berlalu, tarikan Marvel masih lagi terasa. Namun setelah reaksi yang pelbagai sejak Iron Man 3, peminat filem mula berasa bimbang dengan Marvel. Untuk pengetahuan, Marvel sudah merancang untuk francais mereka 10 tahun yang akan datang. Ini bermakna hampir setiap tahun paling kurang 2 filem Marvel. Ada yang meramalkan tahun 2013 adalah tahun merudum filem superhero, namun ternyata belum terbukti dengan sambutan kepada Man of Steel dan reaksi peminat kepada sekuelnya, Superman vs Batman.
    Perasaan apabila menonton sekuel kepada Thor ini seperti menonton trailer kepada filem The Avengers 2 yang bakal ditayangkan tahun 2015. Terlalu banyak 'jargon' yang tak diketahui oleh kipas-susah-mati komik atau filem. Malah resolusi filem sangat dijangka, tiada langsung konflik yang membuat kita rasa hero itu akan mati kerana kita tahu dia akan selamat. Ini salah satu aspek penting dalam filem seperti begini, hero perlu ditekan sehingga mencapai matlamat dengan susah payah, dan lebih baik mematikan seorang watak supaya kemarahan kepada sang penjahat bertambah.
   Masalah terlampau banyak sekuel/prekuel/reboot ini memang dibimbangi oleh pengkritik filem. Ini mematikan sebarang usaha untuk membuat filem dengan idea baru kerana penerbit filem takut untuk merisikokan duit mereka untuk watak dan dunia yang tidak dikenali. Akibatnya kita melihat Hollywood banyak mengitar semula watak lama dan mengintrepetasikan dalam wajah dan dunia yang baru kepada generasi baru.
    Mungkin sudah tiba masanya rakyat Malaysia bertukar kiblat daripada menonton filem Hollywood kepada filem dari negara lain seperti China,Indonesia, Thailand, Korea dan Eropah. Filem-filem mereka lebih pelbagai dan mempunyai karya yang lebih bermakna. Lebih baik lagi kalau kita raikan segala macam filem Malaysia. Teruk macamana pun pastinya ia akan mendorong penerbit/pengarah/pelakon membikin filem yang lebih baik setelah mendapat untung.