Thursday, June 26, 2014

Ketidakstabilan Timur Tengah Bermakna Keamanan Israel




Umat Islam dikejutkan dengan penawanan dua bandar besar di Iraq iaitu Tikrit dan Mosul beberapa minggu yang lalu oleh sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka Islamic State of Iraq and Levant (ISIS). Berita ini menambah kekacauan yang berlaku di Timur Tengah setelah Mesir terus diperintah oleh diktator selepas rampasan kuasa dan Syria masih terus bergolak dengam Rejim Basyar Al-Assad terus mengebom rakyat tidak bersalah.

Peristiwa penawanan ini berlaku dalam keadaan yang sangat mencurigakan di mana dalam masa sehari sahaja kumpulan ISIS ini dapat menawan sebuah bandar besar. Manakala dilaporkan tentera Iraq cepat sahaja sudah berundur daripada melakukan tugas mereka mempertahankan kedaulatan tanah air. Media Barat pula menggambarkan ISIS sebagai pemisah Sunni yang cuba menawan Iraq daripada pemerintahan orang Syiah. Peristiwa ini dilihat tidak lebih sekadar ledakan daripada konflik Sunni-Syiah yang semakin memburuk sejak Amerika Syarikat melakukan keputusan unilateral menawan Iraq pada tahun 2003.

ISIS memang sudah dikenali sebagai pecahan dari Al-Qaeda yang berjuang di Syria. Malah akhirnya pihak ISIS yang sepatutnya bersama-sama pembangkang di Syria iaitu FSA melawan rejim Basyar Al-Assad sebaliknya berperang pula dengan FSA untuk menawan beberapa lokasi strategik. Tindakan ini menimbulkan curiga di kalangan umat Islam di Syria. Malah kebanyakan pejuang ISIS bukan dari Syria dan kelengkapan senjata mereka nampak terlalu canggih dibanding senjata FSA. Mengapa mereka tiba-tiba mengalihkan perhatian mereka daripada Syria ke Iraq?

Perlu diketahui bahawa memang tidak dinafikan di Iraq berlaku konflik antara Sunni dan Syiah. Namun situasi ini menjadi besar apabila pentadbiran Perdana Menteri Iraq, Nouri Al-Maliki sendiri yang meminggirkan pihak Sunni. Hakikatnya rakyat Iraq, baik Sunni atau Syiah sudah tidak percaya kepada kerajaan sekarang. Terlampau banyak penyalahgunaan kuasa dan rasuah di samping ekonomi yang masih belum pulih pasca perang 2003. Oleh itu, tidak hairan sekiranya rakyat Iraq mengangkat senjata untuk menjatuhkan kerajaan zalim ini seperti apa yang berlaku di Syria. Peranan ISIS sengaja dibesar-besarkan oleh media barat walhal begitu banyak ketua puak dan bekas jeneral tentera berpaling tadah dan bersatu untuk menawan Baghdad. Malah beberapa ketua Syiah juga menuntut Nouri Al-Maliki meletakkan jawatan kerana polisi pentadbirannya yang memecah-belahkan Iraq. 

Konflik ini jangan dilihat sekadar dalam sempadan Iraq. Ianya melibatkan keseluruhan Timur Tengah. Tumpuan dunia mula beralih ke Iraq walhal krisis kemanusiaan di Syria semakin memburuk dan perlukan pembelaan. Basyar Al-Assad masih perlu dibawa ke muka pengadilan atas jenayah perang. Iran pula panik dan bersedia untuk campur tangan secara langsung dengan menghantar tentera Iran ke dalam Iraq, suatu tindakan yang pasti akan menimbulkan kemarahan Barat. Amerika Syarikat pula dikiritik hebat kerana membiarkan Iraq di tangan Nouri Al-Maliki. Akhirnya Israel tetap selamat kerana negara-negara jiran terus bergaduh sesama sendiri. 

Israel bermusuh dengan semua negara jiran. Salah satu sebab mengapa Arab berjaya menawan Israel (walaupun sebentar) pada tahun 1967 adalah kerana pada masa itu negara-negara Arab stabil dan mampu bekerjasama. Namun ternyata negara Arab pada masa kini berada pada tahap yang lebih teruk. Israel terus melakukan jenayah kemanusiaan ke atas rakyat Palestin tanpa pembelaan umat Islam. Turki yang sepatutnya menjadi harapan Palestin akhirnya terpaksa memfokuskan agenda luar mereka ke Syria dan Iraq. Baru-baru ini lawatan Presiden Iran ke Turki menunjukkan bahawa kedua-dua negara ini bersedia untuk berbincang dalam menyelesaikan konflik di Iraq dan Syria. Tindakan yang akan dilakukan oleh Arab Saudi masih lagi menjadi teka-teki kerana ternyata masalah yang berlaku di Iraq pasti akan melimpah masuk ke sempadan Arab Saudi. 

Kita sebagai umat Islam perlu berjiwa besar. Sentiasa membaca berita dari media Barat dengan kritikal dan bukan sekadar menelan bulat-bulat apa yang disuapkan. Sebenarnya banyak lagi perkara yang tidak dilaporkan. Melihat konflik ini hanya sekadar perang saudara Sunni dan Syiah adalah satu kesilapan. Begitulah juga apa yang berlaku di Syria. Rakyat mengangkat senjata bukan sekadar Basyar Al-Assad itu Syiah tetapi kerana tidak tahan dengan kezaliman. Basyar Al-Assad yang mengapi-apikan konflik ini seolah-olah Sunni mahu menghalau Syiah dari bumi Syria. Permainan yang sama juga dimainkan oleh Nouri Al-Maliki yang cuba menarik sokongan Syiah dengan mengungkit semula kisah Yazid bin Muawiyah yang membunuh cucu Nabi SAW. 

Kita berdoa supaya lahir pemimpin yang berjaya menyatukan orang Iraq. Rakyatnya sudah berpuluh tahun dalam kesengsaraan. Keluar mulut harimau masuk pula mulut buaya. Matinya Saddam Hussein, lahir pula diktator baru yang tidak punya mentaliti mahu membangun negara namun hanya mahu membalas dendam di samping mengelilingi diri dan kroni dengan kekayaan. Masalah di Iraq boleh selesai sekiranya berlaku perdamaian antara rakyatnya sendiri, bukan bergantung daripada luar. Peperangan di Timur Tengah tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada umat Islam.

(Tersiar juga dalam Berita Harian pada 26 Jun 2014)