Tuesday, April 26, 2016

Ulasan Filem Batman v Superman (Atau sebenarnya DC v Marvel?)


Sejujurnya saya lebih teruja menunggu filem Batman v Superman lebih daripada filem Star Wars atau Captain America : Civil War. Walaupun ramai yang merasakan ada masalah kerana ianya masih lagi diarahkan oleh Zack Snyder, di mana filem beliau Man of Steel tidak diterima baik oleh peminat. Namun bagi saya, ianya adalah satu peristiwa bersejarah, bukan sahaja dalam konteks komik namun dalam perfileman di mana 2 watak superhero yang paling popular bertembung dalam satu filem. Tetapi selepas menonoton filem ini di pawagam, saya merasakan keliru dan juga cuba memikirkan adakah filem ini bagus atau tidak? Saya mula membaca ulasan-ulasan oleh pengkritik di online serta video ulasan-ulasan dalam YouTube oleh peminat-peminat. Kebanyakannya negatif dan menyalahkan Zack Snyder kerana membikin filem yang kelam kabut. Selain itu ramai juga yang mempersoalkan tentang motivasi watak-watak dalam filem ini yang tidak jelas. Yang paling teruk dikritk adalah Lex Luthor Jr. yang dilakonkan oleh Jesse Eisenberg. Beliau dikatakan cuba meniru lakonan Joker oleh Heath Ledger namun akhirnya nampak seolah-olah mengulangi watak beliau sebagai Mark Zuckerberg dalam The Social Network. Lebih teruk lagi motivasi kejahatan beliau tidak jelas. Adakah beliau memusuhi Superman atau Batman? Mengapa hendak mencipta raksasa daripada mayat Jeneral Zod? Ataupun sebenarnya beliau diarahkan oleh seseorang?

Namun saya menonton semula filem ini dan cuba mengurangkan fakulti kritikal terhadap teknik perfileman. Ada sesetengah perkara yang mesti diterima walaupun mungkin filem tersebut tidak menerangkannya. Tidak disangka saya berasa filem ini bolehlah diterima sebagai filem yang bagus. Ia hanya perlukan tontonan kedua supaya beberapa babak dapat difahami. Begitulah juga yang saya fikirkan apabila menonton filem Man of Steel. Memang filem ini banyak 'flashback' namun selepas tontonan kedua, kita dapat lebih memahaminya. Walaupun masih lagi boleh dipersoalkan dari sudut motivasi karakter, namun itu adalah perkara yang perlu kita terima apabila menonton filem bikinan Zack Snyder. Ini berbeza apabila saya menonton kali kedua filem Star Wars : The Force Awakens. Tiba-tiba saya mempersoalkan seluruh kerelevenan francais Star Wars dan adakah ianya adalah filem sama yang menggunakan plot yang berulang-ulang.

Filrm ini banyak potensiny namun kadang-kadang kita rasa ada banyak suntingan menyebabkan sesetengah plot tidak dikembangkan dengan baik. Satu perkara yang kurang dikembangkan adalah elemen pertembungan idealogi antara Superman dan Batman. Saya belum lagi membaca komik yang menginspirasikan filem ini iaitu The Dark Knight Returns. Namun dalam filem ini kita faham Batman marah kepada Superman kerana menyebabkan kemusnahan Wayne Tower di Metropolis, namun kita kurang pasti mengapa Superman mahu menghentikan kegiatan Batman di Gotham. Kalau isu ini tidak difahami, maka kita sukar untuk melihat filem ini sebagai pertembungan ulung antara Batman dan Superman.

Babak yang paling menarik perhatian saya adalah apabila Lex Luthor meletupkan Kongers semasa Superman menghadiri perbicaraan dan beliau tidak menyedarinya. Di wajahnya terlihat rasa kekecewaan kerana tidak sempat menyelamatkan mangsa. Superman menyedari walaupun beliau mempunyai kuasa yang hebat, namun tetap tidak dapat menyelamatkan seluruh manusia. Banyak lagi plot penting yang boleh dikembangkan daripada dilema Superman namun sayangnya tidak dipergunakan dengan baik. Kadang-kadang terfikir juga saya adakah Zack Snyder yang patut dipersalahkan atau Christopher Nolan yang perlu dipersalahkan sebagai penerbit. Mungkin beliau terlampau cuba untuk mengaitkan dunia komik dengan dunia sebenar (seperti yang beliau buat dalam The Dark Knight Trilogy) menyebabkan beliau kurang memanfaatkan kelebihan yang ada dalam dunia komik yang tidak terbatas.

Filem berakhir dengan kematian Superman dan Batman cuba mengumpulkan manusia-manusia yang berkuasa luar biasa untuk mempertahankan Bumi. Kematian Superman jua seolah-olah alegori kepada pengorbanan Jesus Christ yang disalib dan ditikam di dada (menurut tradisi Katolik) di mana Superman juga ditikam oleh Doomsday di bahagian dada untuk menyelamatkan Bumi. Walau apapun yang pastinya prestasi filem-filem DC masih kurang memberangsangkan dan tidak mampu menarik perhatian khalayak ramai seperti filem-filem Marvel. Ya. Filem DC memuaskan hati peminat komik DC sekurang-kurangnya namun ianya tidak cukup untuk menjadi sebuah francais yang mempunyai perkongsian universe. Eksperimen Marvel inilah yang cukup berjaya sehingga berjaya membuatkan oran ramai berminat dengan banyak watak Marvel yang sebelum ini tidak diketahui ramai. (Sebagai contoh Guardians of the Galaxy). Ada yang menuduh bahawa terdapat konspirasi oleh Marvel yang mengupah pengkritik untuk menjatuhkan imej filem Batman V Superman ini supaya penonton mempunyai persepsi buruk sebelum menonton filem ini. Saya fikir Warner Brothers yang menerbitkan filem-filem daripada karakter DC ini sepatutnya mengupah orang baru untuk memberi garis-garis besar francais ini (seperti dalam Marvel, ianya dipandu oleh Kevin Feige). Christopher Nolan tidak sesuai kerana beliau tidak berminat sangat dengan komik manakala Zack Snyder sangat memfokuskan bab teknikal.


Wednesday, April 6, 2016

Ulasan Filem Star Wars Episode 2 : Attack of the Clones


Sejujurnya saya mula tertarik dengan filem Star Wars setelah menonton Episod 2 : Attack of the Clones di Astro. Pada waktu itu sedang ditayangkan maraton filem Star Wars sebelum tayangan Episod 3. Pelik sekali mengapa selalu saya tertarik dengan siri kedua sesebuah siri filem. Saya mula menonton filem Lod of the Ring selepas menonton The Two Towers dan juga masuk ke dalam dunia Harry Potter selepas menonton The Chamber of Secrets. Ini sebelum saya baca buku Harry Potter.

Hampir sedekad kemudian, setelah kefahaman saya tentang perfileman bertambah serta membaca banyak ulasan tentang filem-filem Star Wars, barulah saya mengetahui bahawa Episod 2 dianggap sebagai paling teruk. Ianya lebih teruk daripada Episod 1. Walaupun Episod 1 terdapat karakter Jar Jar Binks, antara yang paling dibenci oleh peminat Star Wars, namun sekurang-kurangnya ianya terdapat babak perlawanan antara Darth Maul, Qui-Gon Jin dan Obi Wan Kenobi serta diiringi dengan muzik yang epik.

Mari kita bercakap tentang perkara yang baik dulu. Tentu sekali babak yang paling diingati adalah perlawanan antara Yoda dan Count Dooku. Rupanya baru saya tahu yang ramai peminat Star Wars tidak sukakan babak ini kerana menganggap karakter Yoda tidak sesuai terbang dan melompat. Bagi mereka Yoda sendiri sudah sangat kuat dan hanya perlu menggunakan 'Force' tanpa perlu menggunakan 'lightsaber'. Namun bagi saya babak ini sangat berkesan sebagai penamat filem kerana ianya menunjukkan bahawa 'The Dark Side' semakin kuat, seiring dengan babak perlawanan pada akhir Episod 1. Selain itu, perlu diingat bahawa Yoda adalah guru kepada Count Dooku. Walaupun Yoda berjaya mengatasi kekuatan Count Dooku, namun ianya mengambil masa juga dan nampak Yoda semakin lemah. Nampaknya siri Star Wars sering menggunakan tema murid yang menderhakai kepada guru. Ianya sudah nampak sejak Episod 4 lagi di mana Obi Wan melawan Darth Vader (dahulunya anak muridnya, Anakin Skywalker). Dalam babak perlawanan ini juga, tangan Anakin dipotong oleh Count Dooku, sama dengan babak Darth Vader memotong tangan Luke dalam Episod 5. 

Ada 2 perkara yang membuatkan filem ini dianggap buruk. Pertama adalah kisah cinta antara Anakin dan Amidala. Ada yang berpandangan bahawa kisah cinta ini tidak perlu dan mengganggu penceritaan. Bagi saya kisah cinta ini perlu kerana ianya menjadi motivasi kepada Anakin pada masa akan datang. Namun apa yang menyebabkan ianya tidak menjadi adalah 'chemistry' antara pelakn Hayden Christiansen dan Natalie Portman. Lakonan Hayden sebagai Anakin agak kaku dan dialog cintanya agak aneh dan 'creepy'. Ini menyebabkan peminat menganggap bahawa George Lucas tidak pandai menulis dialog dan sepatutnya menyerahkan tugas penulisan skrip kepada orang lain. Perkara kedua pula adalah terdapat dua plot cerita yang bergerak selari iaitu Obi Wan yang mencari klu tentang Clone Army dan Anakin yang melindungi Amidala. Pemisahan plot ini menyebabkan filem menjadi tidak fokus dan penonton tidak merasa hubungan karakter antara Obi Wan dan Anakin. Hubungan ini sangat penting kerana ianya akan mencapai kemuncak pada Episod 3. Walaupun begitu mereka tetap berjumpa semula di Planet Geonosis.

Walaupun filem ini gagal dari sudut perkembangan karakter dan plot, namun ianya memperbaiki perkara yang dibenci oleh peminat seperti pembuangan karakter Jar Jar Binks. Namun watak kanak-kanak Anakin yang menjengkelkan diganti dengan watak Anakin dewasa yang nampak terlalu angkuh dan kaku. Filem ini juga diselamatkan dengan lakonan mantap Christopher Lee sebagai Count Dooku. Count Dooku sebenarnya 'villain' Star Wars yang lebih menarik daripada Darth Maul dan Emperor Palpatine kerana beliau adalah bekas Jedi yang melihat The Dark Side menjanjikan lebih kuasa. Selain itu, filem ini juga menunjukkan bagaimana Clone Wars berlaku di antara Republic dan Separatist serta bagaimana Stormtroopers dilahirkan.  Ramai juga peminat-peminat muda Star Wars yang meminati filem ini kerana ianya menunjukkan bagaimana seorang pemerintah mempergunakan ketakutan terhadap musuh untuk memperbanykkan kuasa tentera. Perlu diingat filem ini ditayangkan selepas peristiwa 9/11 dan perang Afghanistan dan pertembungan antara kuasa baik dan jahat sangat kabur. Ini berbeza dengan Star Wars pada tahun 70an dan 80an di mana masih lagi terdapat persaingan kuasa antara Amerika Syarikat dan Soviet Union. Bolehlah dikatakan prequel berjaya menggunakan tema perang pada waktu tersebut tetapi gagal dalam teknik penceritaan filem.

Saturday, April 2, 2016

Ulasan Filem Zootopia / Boboiboy The Movie / Kungfu Panda 3


Bulan Mac 2016 terdapat 3 filem animasi yang ditayangkan di Malaysia. Masing-masing cuba menarik kumpulan penonton kanak-kanak dan ibu bapa mereka. Disney membawa filem Zootopia, sebuah filem yang bertempat di dunia haiwan yang kehidupannya seperti manusia. Kungfu Panda 3 keluaran Dreamworks menyambung cerita Po yang menjumpai bapanya yang terpisah serta cabaran beliau mengajar kaum Panda dalam mempertahankan diri melawan musuh. Manakala syarikat penerbitan Malaysia, Animonsta membawa filem Boboiboy The Movie, sebuah filem yang asalnya daripada siri tv animasi yang banyak berkisar tentang Boboiboy serta rakan-rakannya melawan orang jahat yang cuba menimbulkan kekacauan di bandar kediaman mereka.

Mari kita bercakap tentang Zootopia dahulu. Filem ini boleh dikatakan antara filem Disney yang membawa tema yang agak berat iaitu isu perkauman, Dalam filem, prejudis berlaku antara kumpulan binatang pemangsa dan mangsa (predator dan non-predator) kerana kedua-dua spesis ini yang telah berbaik-baik sekian lama tiba-tiba spesis pemangsa mula menyerang non-predator. Ini kerana ada orang yang telah meracuni pemangsa dengan gas menyebabkan mereka menjadi ganas. Dua watak utama filem ini, seorang...bukan, seekor arnab dan seekor musang yang bergabung untuk mencari dalang di sebalik konspirasi tersebut.

Filem ini berjaya mengimbangi elemen "cuteness" sesebuah animasi, apatah lagi dengan watak haiwan di mana pastilah kanak-kanak akan tertarik untuk memiliki anak patung sebagai hadiah, dengan cerita dan juga elemen "real world" di mana prejudis dan perkauman terus berlaku. Saya teringat juga dengan filem Wall-E yang membawa tema environment dan kemusnahan Bumi kerana tangan manusia. Mungkin ada sesetengah kanak-kanak tidak faham lagi sekarang, namun mereka pasti akan memahaminya pada masa depan dan akan lebih "appreciate" filem Zootopia dan Wall-E. Namun kanak-kanak kini sangat bijak dan lebih cepat menangkap sesuatu perkara, berbanding dengan penulis sewaktu kecil dahulu. Ini satu contoh filem kanak-kanak yang bagus, bukan sekadar memberi hiburan, dan pada masa pengajarannya tidaklah terlalu "straight forward". Pengajarannya masih lagi terkait dengan plot dan motivasi watak-watak utama.


Mengenai Kungfu Panda 3 pula, ianya berjaya menjadi satu penamat?? kepada trilogi perjalanan hidup Po yang pada mulanya hanyalah menjadi pembantu ayahnya di kedai mee sehinggalah berjaya mencapai keadaan sekarang yang akhirnya menerima diri sendiri sebagai Dragon Warrior yang mempunyai tugas melindungi rakyat biasa. Saya tidak ingat ada watak animasi yang sebegini lengkap. Mungkin paling kurang kalau ada sequel pun, kerana hendak mencari pasangan untuk Po. Perjalanan kisah hidup Po seperti Luke Skywalker dalam filem Star Wars, bermula daripada anak peladang sehinggalah pahlawan Jedi yang berkuasa mengalahkan Emperor. 

Walaupun ada yang mengatakan bahawa ketiga-tiga filem Kungfu Panda menggunakan plot yang sama, namun bagi penulis, watak Po sendiri sebagai watak utama sudah berbeza. Pada filem pertama, Po merasakan  diri tidak layak dan hanyalah kebetulan Oogway memilih dia sebagai Dragon Warrior. Malah Po sangat mengharapkan skrol tersebut dapat menunjukkan rahsia mengalahkan penjahat, namun hakikatnya yang beliau lihat adalah cerminan kepada diri sendiri dan beliau perlu percaya kepada diri sendiri. Filem kedua pula beliau terlebih yakin kepada diri sendiri menyebabkan beliau kalah, malah takut menghadapi penjahat kerana penjahat tersebut telah membunuh keluarganya. Namun Po bangkit semula setelah mengingati memorinya bersama ibu kandungnya yang beliau pendam sekian lama. Filem ketiga pula Po lebih percayakan diri sendiri namun ayah angkatnya dan ayah kandungnya pula terlampau "overprotected", dan kurang mempercayai Po. Namun Po menunjukkan kemampuannya sebagai Dragon Warrior sehingga sanggup mengorbankan diri dan melawat penjahat di alam barzakh??? dan kembali semula ke dunia sebenar menjadi lebih kuat. 


BoboiBoy The Movie serta siri TV sebenarnya hampir menyerupai anime Jepun seperti Kamen Rider dan Naruto. Walaupun sasarannya lebih kepada kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah, bukan remaja, namun ada tema-tema dan plot yang mungkin agak dewasa dan mereka yang lebih besaar dapat menghargainya. Dalam filem ini, BoboiBoy terpaksa menghadapi musuh daripada angkasa lepas yang mahu mendapatkan Ochobot. Kisahnya lebih kepada persahabatan antara BoboiBoy dan Ochobot, dan walaupun anda baru sahaja menonton cerita ini, anda juga dapat memahami motivasi dengan mudah. Daripada sudut kawan-kawan BoboiBoy, mereka seperti kawan-kawan Naruto yang membantu BoboiBoy, namun pada akhirnya BoboiBoy jugalah yang akan mengeluarkan jurus yang paling kuat dan mengalahkan musuh, samalah seperti Naruto, Luffy dan Goku. Tetapi penulis merasakan Yaya (watak perempuan) lebih kuat daripada BoboiBoy, malah dalam beberapa aksi, Yayalah yang menyelamatkan BoboiBoy. Mungkin perlu ada filem spin-off untuk Yaya.

Filem ini patut dipuji kerana berjaya membawa filem animasi Malaysia ke tahap yang seterusnya. Khabarnya filem ini akan menjadi batu loncatan untuk siri TV BoboiBoy pergi ke angkasa lepas pula. Dalam dunia sebenar, filem ini juga dapat ditayangkan di negara-negara lain serta memperkenalkan produk Malaysia ke luar. Penulis cuba membandingkan filem ini dan Ola Bola, di mana penulis memikirkan bahawa terlampau banyak marketing yang dibuat oleh Ola Bola, namun kutipan tiket lebih kurang BoboiBoy, malah filem BoboiBoy mampu pergi lebih jauh manakala Ola Bola pula hanya relevan di Malaysia sahaja, dan mungkin susah untuk tarik penonton luar. Apapun, sejak Polis Evo tahun lepas sehingga sekarang, banyak filem-filem Malaysia mencatat kutipan tiket yang memberangsangkan serta kualiti filemnya sangat bagus. Walaupun tetap ada filem yang buruk namun nampaknya filem yang bagus yang mendapat perhatian penonton Malaysia. Ini satu petanda bahawa penonton Malaysia sudah matang dan sepatutnya penerbit dan pengedar filem Malaysia membawakan filem yang lebih bagus untuk tahun 2016 ini.