Thursday, October 4, 2018

10 Maqasid Syura Menurut al-Raisuni


Syura adalah suatu kewajipan yang telah ditinggalkan oleh umat Islam. Itu perkara penting yang dibincangkan oleh Sheikh Dr Ahmad al-Raisuni dalam bukunya, Syura dan demokrasi dari perspektif Maqasid al-Shariah. Syura telahpun diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat namun ianya ditinggalkan apabila umat Islam mula mempunyai raja dan bilangan penganut Islam semakin ramai sehingga urusan pentadbiran hanya dijalankan oleh segelintir pihak. Ulama’ pula tidak mengembangkan prinsip syura dan hanya berfungsi menjadi penasihat raja. Menurut al-Raisuni, mereka perlu terlibat dengan lebih mendalam lagi terutamanya dalam merangka sebuah sistem syura yang mengikut zaman dan dalam masa yang sama menepati semangat shariah. 

Oleh itu, demi menembalikan semula semangat syura dalam umat Islam, al-Raisuni telah menyenaraikan 10 Maqasid Syura yang memberi manfaat kepada umat. Beliau berpandukan kepada teks kitab daripada ulama’ mazhab Hanafi bernama al-Jasas, ulama’ mazhab Maliki bernama Abu Bakar al-Arabi dan al-Qadi Abu Bakar al-Muradi. 10 Maqasid tersebut adalah:-

1. Mencari Kebenaran dan Ketepatan
Syura adalah cara yang paling efektif untuk mencari kebenaran selepas wahyu Allah. Ayat Al-Quran menyebut bahawa seseorang berada dalam kebenaran sekiranya melakukan penyelidikan, serta terus mundur apabila tidak menggunakan akal fikiran. Syura dapat menjadi medan mengumpul pelbagai pakar yang dapat mengeluarkan fakta supaya umat tidak tersesat dalam kejahilan. Dalam syura, selain cuba membezakan mana yang benar, mana yang salah, boleh jadi syura diperlukan untuk mencari mana satu yang lebih tepat untuk diamalkan sekiranya kedua-duanya benar. 

2. Mengelakkan Hawa Nafsu dan Kepentingan Peribadi
Nafsu dalam diri manusia akan memberi kesan kepada keputusan seseorang. Mereka akan sukar bersikap adil sekiranya ianya melibatkan perasaan seperti cinta, marah atau takut. Syura yang dilakukan dapat mengurangkan kesan perasaan seseorang terhadap sesuatu keputusan yang dibuat. Ianya tidak dibuat semata-mata untuk kepentingan peribadi semata-mata. Ibnu Arabi menyebut bahawa syura dapat membebaskan kebenaran dari pengaruh perasaan.

3. Mengelakkan Kediktatoran dan Kezaliman
Syura dapat mengelakkan keputusan hanya dibuat oleh seorang sahaja. Kediktatoran hanya berlaku apabila sesiapapun tidak berani atau tidak mempunyai jalan untuk membantah keputusan seseorang pemimpin. Sekiranya syura berlaku, pemimpin akan bertindak sewajarnya dan tidak melampaui batas. Syura dalam hal ini juga bukan sekadar melindungi rakyat daripada kezaliman, namun ianya melindungi pemimpin daripada berleluasa menyalahgunakan kuasa. Al-Raisuni juga menyebut kediktatoran juga boleh berlaku dalam konteks sesiapa sahaja yang memegang kuasa seperti mufti dan seorang ayah sebagai ketua keluarga. Semuanya boleh menjadi diktator apabila mereka mabukkan kuasa. Hanya dengan syura dapat mengubatinya.

4. Memupuk Sifat Tawaduk
Syura dapat mengajar seseorang supaya sentiasa mengambil  kira pandangan orang dan tidak merasa tinggi diri atau lebih hebat daripada orang lain. Ianya mengikis perasaan sombong dan melampaui batas. Ianya juga memupuk pemikiran bahawa untuk memastikan hidup sejahtera dalam masyarakat, kita sentiasa memerlukan orang lain untuk melaksanakan tugas. 

5. Memberikan Hak kepada yang Berhak
Melakukan syura sebenarnya adalah satu hak. Tidak ada pihak yang boleh memonopoli keputusan sehinggalah meraka bersyura dahulu untuk menanyakan pandangan. Sebagai seorang pemimpin yang mewakili kepentingan ramai, orang ramai sendiri mestilah bersetuju dahulu dan tidak dipaksa mengikut sahaja keputusan seorang.



6. Menyuburkan Kebebasan
Kebebasan bersuara adalah elemen penting dalam syura. Tidak berlaku syura dalam erti kata sebenar sekiranya ahli syura takut menyatakan kebenaran. Pihak yang bersuara pula hanya mahu mempertahankan kepentingan peribadi sahaja. Kezaliman pula terus berlaku kepada golongan yang takut bersuara. AL-Quran juga mencatatkan bahawa Malaikat juga berdialog dengan Allah SWT dalam hal penciptaan manusia. Ini menunjukkan bahawa syura itu penting untuk meleraikan kekeliruan. Bertanyakan soalan adalah satu elemen penting dalam syura.

7. Memperkasakan Pemikiran dan Kajian
Syura dapat menjadi medan ahli-ahli untuk meningkatkan pemikiran dan mencari ilmu baru. Ini kerana sebelum mereka bersuara, mereka perlu memastikan yang pandangan mereka itu tepat. Oleh itu, kajian perlu dijalankan dan akhirnya dibentangkan di dalam syura. Dari situ, mereka dapat memikirkan dan menemui sesuatu yang belum difikirkan lagi. Ini berbeza dengan berfikir bersendirian. Islam memberi ruang yang luas untuk ijtihad dalam hal-hal keduniaan. Oleh itu, ulama’ yang mengamalkan syura dapat berinteraksi dengan masyarakat supaya mereka lebih memahami permasalahan sebelum membuat keputusan kolektif dalam syura.

8. Menguatkan Sokongan dan Menjayakan Pelaksanaan
Syura dapat membuatkan orang ramai lebih selesa menjalankan tugas kerana pandangan mereka telah diambil kira sebelum membuat keputusan. Sekiranya keputusan yang dibuat hanya seorang, ianya boleh membuatkan orang berasa berat hati untuk melaksanakan tugas dan membuat secara sambil lewa sahaja.

9. Kerjasama dan Kesatuan
Keputusan dalam syura lebih dipandang tinggi oleh orang ramai dan memupuk kerjasama untuk melaksanakannya. Ibnu Ashur menyebut bahawa permesyuaratan menghasilkan kebenaran dan kepuasan semua pihak. Sifat kasar hanya menjauhkan diri dari seseorang. Syura melahirkan orang yang lebih pemaaf dan bersedia untuk mendengar pandangan orang lain. Meninggalkan syura boleh menyebabkan perpecahan. Perpaduan tidak akan berlaku sekiranya tiada kasih sayang dan kemesraan.

10. Bersama Bertanggungjawab
Keputuan dalam syura boleh jadi gagal. Namun itu tidak bermakna syura tidak berkesan. Ianya mungkin masalah pelaksanaan. Ianya tanggungjawab bersama sekiranya gagal dan kajian perlu dilakukan juga di dalam syura untuk memastikan kegagalan tidak berlaku lagi. Kesan negatif yang lebih besar akan berlaku sekiranya tiada syura dan memberi kesan kepada semua namun yang membuat keputusan hanya seorang sahaja. Dr Muhammad Abdul Qadi Abu Faris menyebut bahawa syura adalah pembahagian tugas dan tanggungjawab. Kesan baik dan buruk dikongsi bersama dan mengelakkan masyarakat saling menuding jari sekiranya gagal.