Saturday, April 25, 2020

Ulasan Filem Parasite



Parasite, sebuah filem Korea Selatan arahan Bon Joon-Ho menang anugerah Palme d’Or di Festival Filem Cannes (anugerah tertinggi filem di Perancis) dan Filem Terbaik di Anugerah Akademi Oscar (anugerah tertinggi filem di Amerika Syarikat). Ianya mengisahkan mengenai sebuah keluarga miskin yang menggunakan helah untuk bekerja di kediaman keluarga berada. Ianya bermula apabila si anak lelaki, Kevin mahu bekerja sebagai tutor bahasa Inggeris di kediaman keluarga berada kerana ianya menawarkan gaji yang lumayan. Tetapi dia tidak mempunyai kelulusan daripada universiti luar negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Dia hanyalah lulusan universiti tempatan di Korea. Akhirnya untuk meyakinkan puan keluarga berada tersebut, dia memalsukan sijil akademik.

Penipuan keluarga Kim (keluarga miskin) bertambah apabila adik perempuannya, Choi pula ditawarkan bekerja sebagai tutor seni keluarga berada tersebut, di atas cadangan Kevin. Namun puan keluarga berada itu tidak tahu yang Kevin dan Choi adalah adik-beradik. Kemudian Choi pula membuat rancangan menukar pemandu dan orang gaji kediaman keluarga berada tersebut dengan ayah dan ibu mereka. Dengan pelbagai helah dan penipuan, akhirnya mereka berempat berjaya menjadi pekerja di kediaman keluarga berada tersebut tanpa pengetahuan puan dan suaminya bahawa mereka sebenarnya adalah satu keluarga. 

Filem ini menunjukkan bahawa keluarga miskin bukanlah miskin kerana mereka tidak bijak dan tidak berusaha. Malah, pada awal filem, ditunjukkan bahawa mereka telah membuat pekerjaan yang pelbagai, namun gaji yang diperoleh tetap sedikit. Keluarga Kim berjaya mencapai kejayaan setelah memanipulasi hubungan baik dengan salah seorang kawan keluarga berada tersebut, dan juga beberapa tipu helah. Filem ini juga menunjukkan bahawa keluarga berada tersebut tidaklah terlalu cerdik. Mereka senang tertipu kerana memandang rendah orang miskin dan juga cepat percaya dengan cakap-cakap orang serta dokumen palsu.

Tema filem ini pada awalnya adalah satira hubungan antara kelas di Korea Selatan. Ianya menunjukkan hubungan yang kompleks antara yang kaya dan miskin. Filem ini membawa kepada konflik di dalam kalangan orang miskin pula, di mana mereka sanggup menggunakan keganasan semata-mata untuk mendapatkan manfaat setelah memanipulasi keluarga berada. Sebuah masyarakat yang menjadikan kejayaan material dan kekayaan wang semata-mata akan melahirkan konflik dan penipuan yang tidak berkesudahan.

Sunday, April 12, 2020

Elemen Pertahanan Dalam Kementerian Kesihatan



Dalam teori politik, sesebuah negara hanya boleh berfungsi sekiranya kerajaan dapat menjamin keselamatan rakyatnya. Sebab itulah kerajaan menubuhkan polis dan tentera serta memastikan mereka mempunyai dana dan peralatan yang cukup untuk menjalankan tugas. Di dalam konteks Malaysia, polis dan tentera mempunyai kad pengenalan tersendiri. Ianya sebagai bukti mereka bukan penjawat awam biasa. Sekiranya kerajaan gagal menjaga keselamatan, rakyat mungkin terpaksa mengangkat senjata sendiri, atau berisiko tercetusnya perang saudara dengan pemberontak yang merasakan mereka boleh menguasai negara sekiranya mengalahkan tentera kerajaan.

Ada juga beberapa buah negara seperti Singapura dan Korea Selatan yang membuat kerahan tenaga ke atas seluruh rakyat. Belia yang berumur sekitar awal 20-an diwajibkan menjalani latihan tentera, malah berkhidmat sehingga beberapa tahun sebagai tentera dan menetap di berek. Ianya sebagai persiapan untuk melawan mana-mana negara lain yang cuba menyerang negara. Dalam konteks Singapura, oleh kerana negaranya kecil, maka semua rakyat patut bersiap-sedia mengangkat senjata. Manakala dalam konteks Korea Selatan pula mereka melakukan kerahan tenaga kerana negara mereka masih lagi secara rasmi berperang dengan Korea Utara. Malaysia pernah mempunyai program Khidmat Negara, namun ianya tidak banyak bersifat ketenteraan, namun lebih memfokuskan kepada pembinaan jati diri dan perpaduan antara kaum.

Dunia sekarang sedang berperang dengan Covid-19, sebuah musuh yang tidak dapat dikesan dengan mata kasar. Ianya juga tidak rasional dan menjangkiti semua orang, tidak kira status ataupun warna kulit. Ianya tidak dapat dibeli dan kita tidak boleh meminta Covid-19 melakukan gencatan senjata, semata-mata kerana hendak merawat orang yang sakit ataupun mereka yang terputus bekalan. Walaupun banyak negara yang terlibat dengan perang Covid-19 telah mengerahkan tentera, mereka hanya terlibat dengan kawalan keselamatan dan pergerakan. Tidak ada satu peluru pun yang ditembak untuk membunuh Covid-19. Tugas membunuh Covid-19 terletak pada tangan doktor dan petugas kesihatan di wad kecemasan klinik dan hospital. Mereka terpaksa memakai pakaian PPE yang berat untuk melawan musuh ini. Jika tidak, mereka mungkin akan dijangkiti. Covid-19 juga langsung tidak berehat, menyebabkan pihak kesihatan juga tidak boleh berehat, 24 jam berperang dan bertukar-tukar syif dengan sumber manusia yang terhad. Mereka digelar sebagai frontliner, kerana kalau mereka kalah, seluruh penyakit Covid-19 akan tersebar dan menyerang manusia.

Keterlibatan doktor bukan perkara baru di dalam perang. Perang pada zaman dahulu menggunakan wanita sebagai doktor untuk menyembuhkan mereka yang tercedera. Di dalam Perang Crimea pada tahun 1850-an, Florence Nightingale, seorang jururawat British sanggup meredah medan perang untuk menyelamatkan tentera yang cedera. Ini mengurangkan jumlah tentera yang mati kerana kecederaan. Pertubuhan Bulan Sabit Merah pula ditubuhkan selepas perang di Itali pada tahun 1860-an. Mereka berazam untuk memastikan semua tentera yang cedera mendapat rawatan, tidak kira tentera tersebut daripada pihak kawan atau lawan. Di dalam buku Lawrence Freedman bertajuk The Future of War, salah satu inovasi tentera Amerika Syarikat adalah memastikan setiap unit tentera mempunyai doktor untuk merawat kecederaan dengan segera. Malah tentera Amerika juga dengan cepat cuba membawa mereka yang tercedera balik ke pangkalan. Ini mengurangkan kematian serta tentera yang cedera boleh sembuh dengan cepat dan kembali bertugas dengan segera.

Tetapi bagaimana pula dengan perang Covid-19? Doktor dan jururawat yang sepatutnya menjadi staf sokongan, terpaksa menjadi barisan hadapan, manakala tentera yang sebelum ini berlatih dan bersiap siaga untuk peperangan, menjadi staf sokongan pula. Ternyata cara negara membuat polisi pertahanan perlu berubah selepas musuh Covid-19 dapat dikalahkan. Kementerian Kesihatan perlu mempunyai mentaliti peperangan sekiranya pandemik global berlaku lagi. Setiap pengarah Hospital perlu bertindak sebagai jeneral di medan perang. Doktor dan petugas kesihatan perlu diberi kad pengenalan khas untuk membolehkan mereka cepat bergerak. Belanjawan Kementerian Kesihatan perlu ditingkatkan, terutamanya pembelian fasiliti dan peralatan. Penyelidikan mengenai kesihatan perlu diutamakan. Dari sudut pendidikan pula, setiap pelajar perlu diajar asas perubatan supaya bersedia dengan segala kemungkinan. 

Pihak keselamatan seperti tentera, polis, bomba dan maritim mempunyai tugas besar dalam pandemik global. Mereka perlu mengawal faktor yang paling penting dalam perang iaitu manusia. Dalam hal ini, psikologi manusia perlu difahami. Manusia adalah makhluk sosial yang memerlukan perhubungan sesama manusia. Dengan teknologi sekarang, kita ada media sosial untuk meneruskan perhubungan dengan manusia lain. Namun hubungan dalam maya tidak cukup dan lambat-laun manusia akan mula mencari benda yang sebenar. Hatta introvert dan anti-sosial yang kronik pun akan cuba mencari sebab untuk keluar dalam suasana perintah berkurung. Di sini tugas pihak keselamatan untuk memastikan bekalan makanan cukup serta interaksi manusia tetap wujud walaupun dengan penjarakkan sosial. Bagaimana kesihatan mental rakyat yang terkurung? Kalau polis dan tentera tidak mampu, mungkin pada masa hadapan, kerajaan perlu memecahkan Kementerian Kesihatan kepada dua, Kesihatan Fizikal dan Kesihatan Mental.