Saturday, February 25, 2017

Ulasan Filem Malcolm X



Filem Malcolm X adalah sebuah filem arahan Spike Lee yang ditayangkan pada tahun 1992. Malcolm X sendiri dilakonkan oleh Denzel Washington. Filem ini diiktiraf sebagai filem penting dalam pemaparan Malcolm X sebagai pejuang nasib orang kulit hitam di Amerika Syarikat. Ianya juga terbaik dari sudut pembikinan, struktur penceritaan dan lakonan yang mantap. Bukan senang untuk memfilemkan seorang tokoh seperti Malcolm X yang mempunyai pelbagai turun naik dalam kehidupannya. Namun filem ini bertuah kerana ianya adalah adaptasi daripada autobiografi tulisan Alex Haley. Sekiranya anda membaca autobiografi tersebut, ianya seolah-olah ditulis oleh Malcolm X sendiri kerana ditulis dari sudut pandang orang pertama. Namun sebenarnya ianya ditulis oleh Alex Haley dengan menemuramah Malcolm X beberapa kali. Temuramah tersebut berlaku sejak Malcolm X menjadi orang penting dalam Nation of Islam sehinggalah selepas beliau menubuhkan organisasi orang kulit hitam yang baru. Oleh itu temuramah ini unik kerana ianya menulis kehidupan Malcolm X daripada beberapa fasa dalam kehidupan beliau. Daripada seorang yang sangat ekstrem dengan kepercayaan Elijah Muhammad, sehingga menjadi seorang Islam yang syumul setelah balik dari menunaikan Haji.

Penceritaan dalam novel bermula dengan zaman kanak-kanak beliau, di mana bapanya dibunuh kerana menyebarkan fahaman Kristian yang bertujuan menguatkan identiti kulit hitam dan menolak Kristian versi kulit putih. Ini menyebabkan Klu Klux Klan, sebuah organisasi pengganas kulit putih membunuh bapanya. Ibu Malcolm X pula adalah seorang perempuan kulit hitam yang lahir akibat ibunya yang kulit hitam dirogol oleh orang kulit putih. Ini menyebabkan kulit ibu Malcolm X sedikit cerah. Namun kerana sejarah hitamnya sebelum ini, menyebabkan ibunya sangat membenci orang kulit putih. Fahaman ini turun kepada anak-anaknya. 

Dalam filem pula, ianya bermula dengan Malcolm X pergi ke salon untuk memerangkan rambut dan membuatkannya lurus. Perbuatan ini biasanya dibuat oleh remaja kulit hitam pada masa dahulu untuk menunjukkan yang mereka ini bergaya seperti orang kulit putih. Oleh itu, filem bermula dengan memaparkan Malcolm X sebagai seorang yang cuba melunturkan identiti kulit hitamnya. Mengapa filem yang mengisahkan tentang pejuang kulit hitam bermula dengan sejarah buruk watak utama? Ini kerana untuk memaparkan perjuangan Malcolm X yang sebenar, sebelum beliau menjadi pejuang dan menyebarkan idea pembebasan kulit hitam, kita sebagai penonton kena tahu bagaimana Malcolm X berubah.

Ini satu aspek yang kurang diberi perhatian oleh pembikin filem yang mahu memaparkan tentang tokoh dan perjuangan umat Islam. Filem kena bermula dengan watak utama berada dalam kegelapan, namun dengan usaha dan hidayah Tuhan, akhirnya watak utama berubah, dan menjadi pejuang sejati. Paparan ini sangat penting kerana disitulah penonton akan lebih bersimpati dengan watak utama. Kalau pembikin filem mahu filem mereka memberi kesan kepada penonton, kita kena tunjuk bagaimana tokoh yang hebat ini berubah, barulah ianya menjadi inspirasi kepada penonton. Tidak cukup menunjukkan tokoh tersebut sudah hebat dan hanya berjuang melawan musuh luar. Hakikatnya semua tokoh hebat dalam sejarah, sebelum mengalahkan musuh luar, mereka terlebih dahulu mengalahkan musuh dalam diri sendiri iaitu nafsu.

Filem Malcolm X terbahagi kepada 4 bahagian. Bahagian pertama adalah zaman di mana Malcolm X masih muda dan ‘jahiliah’. Di sini kita ditunjukkan tentang penglibatan beliau dalam jenayah dadah serta percintaan dengan wanita kulit putih. Bagi pembikin filem yang biasa-biasa sahaja, mereka tentu akan “fast forward” bahagian ini dan ditunjukkan terus Malcolm X yang sudah berubah dan menjadi pejuang.  Namun Spike Lee membuat tindakan tepat dengan memaparkan dahulu zaman gelap Malcolm X. Bahagian hidup ini sangat penting kerana sekiranya anda membaca autobiografi beliau, Malcolm X ada menyebut bahawa antara sebab ceramah beliau ramai yang datang adalah kerana  orang ramai tahu beliau sendiri pernah terlibat dalam jenayah. Beliau menganggap bahawa penjenayah terutamanya daripada kalangan orang kulit hitam bukan orang jahat pada asalnya.  Mereka terjebak dengan jenayah kerana tiada peluang mencari pekerjaan serta melanjutkan pelajaran. Beliau sendiri menceritakan semasa beliau masih bersekolah, cita-cita beliau sebenarnya mahu menjadi peguam. Namun guru di sekolah pula yang mengatakan bahawa impian Malcolm X adalah mustahil dan sepatutnya orang kulit hitam hanya menjadi pekerja kilang sahaja.

Bahagian kedua pula adalah bahagian di mana beliau ditangkap kerana merompak. Di dalam penjara, beliau mula mendengar ceramah daripada pengikut Nation of Islam. Beliau mula melihat bahawa Nation of Islam ini terutamanya kata-kata Elijah Muhammad, pemimpin tertinggi Nation of Islam adalah penyelesaian kepada masalah orang kulit hitam di Amerika. Beliau mula banyak membaca, malah di dalam gelap semasa waktu malam dengan berbekalkan sedikit cahaya lampu. Malcolm X juga menyalin semula kamus serta berhujah dengan paderi kristian di gereja penjara  di mana beliau mengkritik Kristian yang hanya mementingkan orang kulit putih walhal Jesus Christ sendiri bukan kulit putih. Di dalam bahagian ini ditunjukkan bagaimana Malcolm X mula memahami dunia sebenar melalui penerangan pendakwah Nation of Islam. Malcolm X tidak berubah secara tiba-tiba, namun sedikit demi sedikit kekerasan beliau cair. Malcolm X juga menghormati pendakwah Nation of Islam yang berani melawan warden kulit putih, bukan dengan kekerasan, tetapi dengan kata-kata dan hujah. Dari situ beliau terinpirasi untuk menjadi seorang penceramah.

Bahagian ketiga adalah bahagian kemuncak beliau. Setelah keluar daripada penjara, Malcolm X berjumpa dengan Elijah Muhammad dan dilantik sebagai Minister untuk salah sebuah Temple Nation of Islam. Ceramah beliau dihadiri ramai orang dan mula mendapat perhatian peringkat nasional sehingga masuk dalam program televisyen nasional. Media memaparkan Malcolm X sebagai radikal dan mengajar orang kulit hitam membenci orang kulit putih. Beliau juga sangat dipengaruhi dengan idea Elijah Muhammad di mana beliau mengajak supaya orang kulit hitam membuat negara sendiri kerana mereka telah ditindas terlalu lama, oleh itu mereka perlu membina hidup di negara baru. Malcolm X dilihat sangat taksub dengan ajaran Nation of Islam sehingga tidak nampak di dalam organisasi beliau sendiri berlaku skandal.

Kehidupan Malcolm X sangat menarik kerana dalam bahagian keempat dan terakhir, beliau mula meragui ajaran Elijah Muhammad. Beliau juga dituduh oleh orang atasan dalam organisasi sebagai cuba menjadi ketua dan menjatuhkan Elijah Muhammad. Akhirnya setelah berlaku cubaan membunuh Malcolm X, beliau keluar negara dan menunaikan Haji. DI situ beliau mula belajar erti agama Islam yang sebenar dan melihat bahawa agama Islam meraikan kepelbagaian kaum. Di sini juga beliau sedar agama Islam adalah agama terbaik untuk menyelesaikan isu perkauman di Amerika Syarikat. Balik dari Haji, beliau membuat sidang media mengumumkan tentang perubahan strategi beliau dalam memperjuangkan nasib kulit hitam dengan bekerjasama dengan pelbagai pihak. Namun tidak lama selepas itu, beliau dibunuh semasa sedang berceramah di hadapan khalayak ramai. Ramai yang melihat pembunuhan beliau samada dilakukan oleh Nation of Islam atau CIA dalam usaha mengekang aktivis kulit hitam pada waktu itu.

Secara umumnya filem ini berjaya membuatkan kita berfikir tentang kesusahan perjuangn menegakkan kebenaran. Ianya tidak cukup setakat berdoa. Ianya juga satu filem dakwah yang bagus di mana ianya menunjukkan kepelbagaian kehidupan orang Islam dan ideologi dalam Islam sendiri. Filem Islamik terutamanya di Malaysia sering terperangkap dengan tema cuba memaksa penonton menjadi baik dengan menunjukkan watak utama membuat kebaikan akhirnya mendapat ganjaran daripada tuhan. Dunia sebenar tidak begitu. Orang baik juga mungkin terseksa di dunia, seperti mana Malcolm X sendiri yang mendapat cabaran dari dalam dan luar, dan akhirnya dibunuh pula. 

Jadi oleh itu, penulis mencadangkan supaya sekiranya terdapat pembikin filem yang berhasrat untuk menonjolkan elemen Islam dalam filem mereka, lebih baik mula dengan membuat filem diadaptasi daripada novel autobiografi atau kisah tokoh-tokoh Islam yang terdahulu. Melalui pengalaman sebenar penonton dapat memahami dan bersimpati dengan perjuangan yang mereka lalui dahulu. Filem yang baik, seperti mana buku yang baik, dapat memberi pengaruh yang besar dalam menginspirasikan umat Islam di luar sana, terutamanya orang muda. Dalam dunia yang dikuasai oleh audio-visual sekarang, filem patut menjadi medium yang penting dalam mengajarkan Islam yang sebenar.