Friday, December 30, 2016

10 Filem Terbaik Yang Saya Tonton Pada Tahun 2016


Untuk tahun 2016, saya banyak menonton filem dari pelbagai negara, baik dari Indonesia, Jepun, Korea Selatan, India dan Singapura. Tidak lagi terkongkong dengan Hollywood. Malah saya juga banyak menonton filem Malaysia, tapi malangnya tak semua, walaupun itulah azamnya untuk tahun 2016. Semasa awal tahun, saya cuba untuk menonton semua filem Malaysia, tetapi kebiasaannya saya tidak dapat menonton filem tersebut baik kerana terlampau cepat ditarik dari pawagam sebab kurang penonton, atau filem itu sendiri sangat tidak menarik sehingga saya tidak sanggup membuang duit menonton filem itu. Namun secara umum, filem Malaysia pada tahun ini meningkat naik, malah beberapa kali menjadi trending dan menjadi perbualan ramai. Contohnya filem Pekak yang dikritik kerana menunjukkan babak maksiat di samping bantahan NGO OKU yang dikatakan memaparkan OKU dalam sisi negatif. Selain itu, beberapa filem Malaysia ditayangkan hampir serentak dalam satu bulan dan mendapat sambutan membuatkan rakyat Malaysia tertarik untuk menonton filem Malaysia semula. Contohnya pada bulan Mac, Ola Bola dan Boboiboy ditayangkan dan menjadi antara filem paling mendapat kutipan tiket tertinggi dalam tahun 2016. Pada bulan November pula muncul filem Rock Bro!, Hanyut, Interchange dan Desolasi. Adakah ini strategi yang bagus untuk mempromosi filem Malaysia iaitu dengan menayangkan filem-filem Malaysia hampir serentak supaya berlaku trending?

10. Train To Busan
Filem ‘hit’ di Malaysia ini boleh sahaja menjadi filem zombie ganas biasa-biasa. Namun dengan kepelbagaian karakter dan juga imaginasi dalam situasi bencana seperti serangan zombie ini, apakah masyarakat yang akan lakukan? Adakah anda akan berbuat apa sahaja untuk menyelamatkan diri? Atau anda sanggup berkorban untuk melakukan sesuatu yang betul? Satu perkara yang menarik tentang filem ini adalah kita memang betul-betul merasakan perasaan ayah tersebut yang berusaha bermati-matian untuk menyelamatkan anak perempuannya. Ini tema yang penting apabila membuat filem bencana seperti begini. Mesti bagi karakter utama motivasi yang kuat untuk menyelamatkan diri.


9. Captain America: Civil War
Tak cukup sekadar melihat filem ini secara bersendirian sahaja namun perlu dilihat secara keseluruhan francais Marvel Cinematic Universe. Setiap karakter dalam filem ini mempunyai personaliti dan perkembangan tersendiri yang mereka bawa dari filem-filem terdahulu. Itulah petanda sebuah filem sekuel yang bagus. Karakter sudah diperkenalkan dalam filem pertama, maka dalam filem seterusnya adalah peningkatan konflik. Tentulah babak yang paling diingati dalam filem ini adalah babak pertarungan di lapangan terbang.


8. Rudy Habibie
Filem dari Indonesia ini adalah sekuel kepada filem Habibie & Ainun, menceritakan tentang perjalanan hidup BJ Habibie semasa belajar di Jerman. Saya sendiri belum berkesempatan menonton filem pertama, namun ianya tidak perlu pun kerana yang penting adalah kita melihat konflik dan perjuangan Habibie semasa belajar di Jerman. Ianya akan membangkitkan semangat mahasiswa di samping melalui zaman percintaan dan tekun dalam mempelajari ilmu penerbangan untuk dimanfaatkan oleh rakyat Indonesia akan datang. Ianya adalah filem patriotik, namun dirasakan sangat ‘personal; kerana menceritakan tentang kisah peribadi Habibie, namun mahasiswa biasa masih boleh ‘relate’ dengan kisah hidupnya. Sebuah filem wajib tonton untuk aktivis mahasiswa. 


7. Zootopia
Filem Disney ini pada mulanya dirasakan hanyalah filem animasi biasa sahaja. Namun sebaik plot dan konflik bertambah, saya merasakan bahawa filem ini mahu memberitahu isu yang mendalam, iaitu hubungan antara kaum. Siapa sangka filem animasi mengenai haiwan yang bercakap boleh membuatkan kita merefleksi isu tersebut? Perkara ini sangat bagus terutamanya untuk kanak-kanak kerana walaupun mereka akan sukakan filem ini kerana watak yang comel semasa mereka masih kecil, namun apabila mereka besar nanti, mereka akan lebih memahami isu yang lebih mendalam.


6. Jagat
Filem ini juga telah saya tulis ulasan dalam blog saya. Saya memuji kemajuan masyarakat India di Malaysia yang membangunkan kelompok filem tersendiri dan tidak terpengaruh dengan pelbagai masalah yang menimpa industri filem Malaysia (terutamanya yang berkaitan dengan orang Melayu). Diharapkan pengarah dan pelakon filem ini akan terus membikin filem bagus untuk rakyat Malaysia. Tak perlu dalam bahasa Melayu pun sebab apa yang penting adalah menunjukkan realiti kepelbagaian masyarakat di Malaysia, di mana setiap komuniti ada ceritanya yang tersendiri.



5. Bajirao Mastani
Kalau nak tahu lebih lanjut pandangan saya tentang filem ini, sila baca ulasan saya. Apa pun filem ini menunjukkan baik Bollywood atau Kollywood atau banyak lagi industri perfileman di India perlu diberi perhatian oleh rakyat Malaysia. Saya tidak kisah di Malaysia banyak filem India ditayangkan, dan tidak sepatutnya ditonton oleh masyarakat India sahaja, namun ianya untuk semua kaum. Sejak dari dulu lagi, filem Melayu belajar dari India. Kini kita perlu belajar semula daripada sana untuk maju lebih jauh lagi.


4. Redha
Filem Malaysia ini memang boleh dianggap ‘overlook’ dan tidak diambil serius. Ini kerana subjek filem ini adalah mengenai hubungan bapa dan anak yang ada autisme. Dari segi luarannya, filem ini semacam teledrama biasa hari sabtu. Namun ada ‘twist’ di pertengahan filem dan ditambah dengan lakonan mantap Nam Ron, filem ini menjadi lebih dari itu. Konflik ibu bapa yang mempunyai anak autisme sangat realistik namun dengan segala pancaroba, filem ini berakhir dengan harapan bahawa anak autisme boleh menjadi lebih istimewa. Sinematografi filem ini juga cantik dan pandai menggunakan latar tempat di tepi pantai. Saya tengok filem ini dalam panggung wayang hanya dengan satu keluarga yang lain. Dalam minggu kedua, filem ini ditarik. Diharapkan filem ini mendapat perhatian selepas penjualan DVD dan ditayangkan di televisyen.


3. Son of Saul
Saya tahu dan pernah membaca tentang kekejaman Nazi dan penderitaan mangsa Holocaust semasa Perang Dunia Ke-2. Saya juga pernah menonton filem Schindler’s List arahan Spielberg. Tetapi filem ini membuatkan kita simpati dan mendoakan kesejahteraan untuk roh mangsa Holocaust. Walaupun di dunia mereka terseksa, tetapi di akhirat sana mereka akan mendapat rahmat Tuhan. Filem ini mungkin hanya patut ditonton sekali sahaja kerana membuatkan saya tidak tidur malam.


2. Captain Fantastic
Filem ini hanyalah filem kecil lakonan Viggo Mortensen namun mempunyai visi yang besar. Ianya menceritakan tentang kesan baik dan buruk hidup di hutan memisahkan diri daripada umat manusia di luar terutamanya dalam zaman teknologi maklumat kini. Hubungan Viggo sebagai bapa dengan anak-anaknya sangat berkesan dan ‘natural.’ Filem ini tidak buang masa dengan cuba membuat situasi komedi daripada interaksi anak-anak keluarga yang pertama kali melihat dunia luar. Namun cerita utamanya adalah keluarga. Tidak kisah anda di hutan atau di tengah bandaraya, yang penting anda bersama keluarga.


1. Hanyut
Saya sukakan filem sejarah dan epik. Filem arahan U-Wei Shaari ini dirasakan sangat kena dengan apa yang saya mahu. Lebih-lebih lagi sejarah Tanah Melayu pada abad ke-19. Walaupun ianya adalah adaptasi kepada novel, namun pastilah penulis novel ini (orang British) menulis berdasarkan pengalaman beliau sendiri di Tanah Melayu. U-Wei pandai mengolah filem ini daripada sekadar ‘point of view’ pendatang British kepada refleksi masyarakat Melayu pada waktu itu. Lakonan yang mantap dan ditambah set yang kena dengan zaman dan tidak berlebihan menggunakan CGI. Filem ini mungkin rugi, tetapi ianya akan menjadi filem rujukan rakyat Malaysia untuk sejarah pada masa akan datang.

 
Filem Malaysia/Asia Terbaik Tahun 2016
1. Hanyut
2. Redha
3. Bajirao Mastani
4. Rudy Habibie
5. Train to Busan
6. Sultan
7. Your Name
8. Apprentice
8. Interchange
10. Ada Apa Dengan Cinta 2

Wednesday, September 14, 2016

Ulasan Buku In Europe’s Shadows - Dalam Bayang-Bayang Eropah

Buku tulisan Robert Kaplan bertajuk In Europe’s Shadow adalah berbentuk sangat peribadi dan jurnalistik. Buku terbitan tahun 2016 ini berbeza dengan karya Kaplan sebelum ini seperti Asia’s Cauldron dan The Revenge of Geography. Ini kerana subjek utama buku ini adalah negara Romania, iaitu sebuah di Tenggara Eropah yang telah dilawati oleh Kaplan beberapa kali sejak 1970an sehinggalah tahun 2014. 

Buku ini menceritakan evolusi masyarakat Romania dalam zaman pemerintahan Komunis sehinggalah zaman Kapitalis dan pasca-moden sekarang. Menariknya setiap kali Kaplan datang melawat Romania, negara itu berubah dan peribadi Kaplan juga berubah seiring dengan perubahan zaman. Oleh sebab itulah Romania dilihat sangat dekat dengan pengalaman Kaplan sebagai wartawan dan juga seorang peneliti sejarah dan geo-politik. 

Negara Romania adalah sebahagian daripada rantau Balkan dan Tenggara Eropah. Rantau ini bersama-sama dengan negara Serbia, Hungary, Bulgaria, Moldova dan Bosnia dilihat sebagai rantau pertemuan di antara Ortodoks Russia, Hasburg Austria dan Turki Uthmaniah. Oleh itu setiap kali membaca sejarah rantau ini, perlulah dibaca sekali perkembangan empayar-empayar besar tersebut. 

Rantau ini sangat sukar membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu, dan hanya boleh aman atau paling kurang berfungsi pentadbirannya apabila berada di bawah naungan empayar. Ini kerana dalam rantau ini terlampau banyak kaum-kaum yang berpindah-randah dan ini menyebabkan idea negara bangsa yang popular dalam sejarah Eropah itu mustahil direalisasikan. Kaplan bagaimanapun memfokuskan perbincangan tentang pembinaan negara dalam rantau ini menerusi sejarah Romania. 

Romania sendiri mempunyai pelbagai etnik seperti Russia, Gypsy, Hungary, Turki dan Romania sendiri. Sebab itu dalam zaman moden kini, agak sukar mencari identiti negara apabila etnik dalam negara tersebut lebih cenderung berkiblatkan negara asal mereka. Etnik Hungary di Translyvania berkibatkan Hungary di utara, etnik Russia di Timur cenderung ke tanah air Russia dan etnik Turki yang tinggal berdekatan Laut Hitam cenderung kepada Turki di Selatan. Ini menyebabkan suasana politik di Romania sering tidak stabil dan kebiasaannya hanya memfokuskan tentang pembangunan ekonomi, bukan sangat pembangunan identiti bangsa sendiri. 

Melihat kembali hal ini dalam konteks negara Malaysia, kita amat bersyukur bahawa etnik-etnik Cina dan India di Malaysia mempunyai identiti Malaysia yang unik dan tidak bergantung kepada tanah asal mereka. Walaupun jalinan kebudayaan masih kekal namun kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi kepada negara Malaysia. 

Ini mungkin kerana Malaysia sendiri adalah sebuah negara yang terpisah dari sudut geografi dengan China dan India. Ini berbeza pula dengan Romania di mana ianya adalah negara yang berada di tengah-tengah Tenggara Eropah dan sering digelar sebagai “Marchland” atau tempat di mana tentera akan melintas. Ini berlaku dalam sejarah di mana tentera Turki berkali-kali melalui Romania untuk pergi menawan utara Eropah yang akhirnya berakhir di Vienna. Ini menyebabkan Romania yang walaupun beragama Kristian namun terpaksa berunding dengan Turki untuk mengelakkan kekuasaan mereka dihancurkan. 

Turki juga dilihat tidak mahu memerintah Romania secara terus, berbeza dengan apa yang mereka lakukan di Serbia dan Bulgaria di mana kawasan ini berada langsung di bawah pentadbiran Istanbul yang disebut Sanjak. Antara kisah yang paling popular di Romania tentulah kisah mengenai Vlad, the Impaler yang telah menghentikan kemaraan tentera Turki masuk ke Eropah. Di sini, orang Romania sentiasa merasakan bahawa orang Eropah Barat seperti Austria, Jerman dan Perancis sepatutnya berterima kasih kepada Romania kerana tanpa perjuangan mereka melawan Turki, tentulah Eropah ditawan oleh Uthmaniah dengan cepat. 

Robert Kaplan juga adalah wartawan yang gigih melaporkan tentang situasi di rantau Balkan pada tahun-tahun 70an dan 80an, di mana pada waktu itu sangat kurang liputan media antarabangsa. Ini kerana pemerintah Komunis tidak mesra kepada media menyebabkan media kurang berminat ditambah dengan isu-isu semasa pada waktu itu banyak tertumpu di Timur Tengah. 

Oleh kerana rantau ini dikuasai Komunis, ketegangan etnik dan agama kurang berlaku, namun situasi ekonomi sangat teruk dan menyebabkan kemarahan rakyat semakin memuncak hingga akhirnya pada tahun 1989, pemimpin tertinggi Romania, Nicolae Ceausescu dihukum gantung bersama isterinya kerana menzalimi rakyat berpuluh tahun. Dengan itu, akhirnya pemerintahan Komunis berakhir. Walaupun begitu Romania terselamat daripada ketegangan etnik, berbeza dengan apa yang berlaku di Bosnia di mana puak pengganas Serbia membunuh begitu ramai etnik Bosnia kerana berbeza agama. Kaplan menyebut bahawa Komunis hanya menangguhkan pergaduhan etnik yang telah memburuk sejak selepas perang dunia kedua, dan akhirnya meletus kembali apabila Tirai Besi jatuh. 

Buku ini juga mengulas banyak mengenai pengaruh Russia ke atas Timur dan Tenggara Eropah. Bagi Kaplan, pengaruh Russia telah pun bertapak di Romania dan negara-negara jiran melalui ekonomi dan kuasa syarikat minyak Russia. Vladimir Putin dilihat akan terus cuba menguasai Timur dan Tenggara Eropah dan menjadikannya sebagai negara satelit. 

Russia juga merasakan dirinya sebagai ‘abang besar’ dan melindungi negara-negara Ortodoks daripada ancaman ‘Barat’. Namun Kaplan sendiri merasakan dari sudut budaya, Romania lebih tertarik dengan Ortodoks yang berasal daripada Greek. Ini membuatkan orang Romania merasakan diri mereka sebahagian daripada peradaban Eropah Barat. Romania juga telah menyertai Kesatuan Eropah, dan walaupun standard demokrasi mereka masih lagi di tahap rendah, namun mereka dilihat lebih cenderung kepada Brussels daripada Moscow. 

Ini kerana mereka sangat menghargai kebebasan individu yang mereka nikmati kini berbanding semasa pemerintahan Komunis lalu. Russia bagi mereka hanya mengingatkan mereka kepada zaman Komunis. Kaplan mencadangkan supaya rantau Balkan perlu mengambil iktibar daripada sejarah dengan mengukuhkan konsep negara yang meraikan kepelbagaian etnik, seperti yang pernah berlaku pada zaman pengaruh Austria-Hungary paling kuat pada pertengahan abad ke-19. Pada waktu itu, selepas kemusnahan Eropah akibat perang Napoleon, pemimpin negara masing-masing dapat bereksperimen dalam politik pada waktu aman dengan mengukuhkan institusi kerajaan serta membangunkan ekonomi. Namun rancangan mereka tergendala apabila rakyat menolak empayar dan cenderung menyokong perjuangan menubuhkan negara bangsa atau menyokong pemerintahan Komunis. 

Oleh kerana rantau Balkan mempunyai pelbagai etnik dan sempadan antara etnik tidak jelas, menyebabkan rencana menubuhkan negara yang betul-betul stabil tidak berlaku. Oleh itu dalam zaman pasca Komunis sekarang, rencana mengukuhkan institusi kerajaan perlu diteruskan, dengan syarat keamanan dan kebebasan individu perlu dikekalkan.

Friday, September 9, 2016

Ulasan Filem Pekak : Keadilan Drama Melayu


Semasa menulis ulasan ini, media sosial masih lagi hangat dengan kontroversi filem Pekak lakonan Sharifah Amani dan Zahiril Adzim. Ini kerana dalam filem ini dipaparkan banyak babak-babak yang kurang menyenangkan seperti adegan berparti, menghisap dadah, perempuan merokok dan budak sekolah bercakap tentang perkara yang kotor. Ada yang berhujah mengatakan bahawa adegan ini tidak sepatutnya ditayangkan kerana ianya akan mempengaruhi generasi muda. Ada pula yang membalas bahawa apa yang ditayangkan itu memang suatu realiti dalam masyarakat dan itulah niat mereka dalam pembikinan filem ini, sebagai sebuah karya seni yang menelanjangkan sisi-sisi gelap kehidupan yang kita tak nampak atau sengaja kita padamkan. Ada pula yang mengkritik filem ini sebagai sebuah lagi filem yang cuba 'mengajar' moral yang tidak perlu diajar pun. Kumpulan ini menganggap hakikatnya orang yang berkelakuan jahat takkan dihukum dalam dunia ini seperti yang kita selalu lihat dalam drama dan filem, jadi 'menghukum' mereka dalam filem adalah bercanggah dengan realiti. 

Dengan memahami pemikiran tersebut, penulis terfikir tentang klise dalam penceritaan, iaitu orang jahat akan kalah pada pengakhiran cerita. Perkara ini kita selalu lihat dalam drama Melayu di mana watak jahat sudah pasti sama ada sempat bertaubat atau mati terbunuh. Inilah yang dipanggil sebagai 'keadilan drama Melayu', di mana cerita tidak boleh berakhir selagi watak jahat tidak mendapat hukuman. Dan kebiasaannya watak baik pula bersabar sahaja dengan segala perlakuan watak jahat, dan menunggu kata putus dari Tuhan di pengakhiran cerita. Dari situ penulis merasa pelik mengapa pihak yang ada masalah dengan babak tidak bermoral mengkritik hebat filem ini walhal (spoiler alert!), orang jahat dalam filem ini mati di pengakhiran. Namun siapa sebenarnya watak baik dan watak jahat dalam filem ini? 

Filem ini mempunyai 5 watak utama, Uda, seorang pekak yang juga pengedar dadah, Dara, pelajar sekolah yang naif dan terikut-ikut dengan kawannya, Melur. Melur pula seorang watak yang berlagak baik di hadapan bapa Dara namun sebenarnya liar apabila bersama dengan teman lelakinya, Azman Picasso (atau lebih dikenali sebagai Cargas!!). Azman adalah seorang penagih dadah tegar dan hanya tahu berparti. Azman pula mempunyai "sedara" yang bernama Kamil, anak orang kaya yang banyak menganjurkan parti dan cuba "On" dengan Dara. Cerita bermula apabila Uda bertemu Dara dalam lif, di mana Uda ternampak Dara sedang mendengar lagu Rintihan Hati nyanyian Othman Hamzah dalam telefon. Di sinilah pertemuan romantik antara mereka berdua bermula. Uda suka mendengar lagu Rintihan Hati kerana ianya mengingatkan Uda kepada tragedi semasa beliau masih kecil. Namun kita tak pasti mengapa Dara mendengar lagu Melayu lama ini.

Bagi penulis, watak utama yang menggerakkan plot adalah Azman kerana Azmanlah yang menelefon Uda datang ke flat beliau untuk membeli dadah daripada Uda. Filem ini cuba memaparkan kisah percintaan antara Uda dan Dara namun bagi penulis watak Uda itu sendiri sudah sangat menarik. Beliau menjual dadah pun kerana mahu mengumpul duit membuat pembedahan implan koklea supaya boleh mendengar. Babak Uda berseorangan tanpa mendengar apa-apa bunyi sangat menarik dan membuatkan penonton memikirkan apakah sebenarnya yang didengar oleh orang pekak? Boleh jadi mereka hanya membuat-buat sahaja bunyi-bunyian dalam kepala. Sebagai contoh, babak dalam lif, oleh kerana Uda tidak pernah mendengar suara Dara, maka dalam kepala Uda suara Dara sama seperti Othman Hamzah.

Semua watak dalam filem ini bukanlah watak yang baik moralnya. Dara yang dianggap "innocent" juga menipu bapanya dengan keluar malam dengan Melur. Kemudian tidaklah dipastikan mengapa Dara sangat bengang dengan bapanya. Memanglah bapanya jarang berada di rumah kerana bekerja menjadi pengawal pada waktu malam, namun tidaklah bapanya pernah mendera atau melakukan sesuatu yang teruk. Nampak bahawa Dara tiada sebab untuk marah sangat dengan bapanya, kecuali mungkin bapanya pernah memukul Uda kerana ternampak Uda berdua-duaan dengan Dara. 

Watak yang konroversi dalam filem ini adalah Melur dan Azman. Penulis terfikir juga mengapa dijadikan watak Dara dan Melur sebagai budak sekolah. Mungkin hendak menunjukkan bahawa mereka baru nak kenal dunia dan senang ditipu oleh orang yang lebih berpengalaman. Satu lagi babak yang kontroversi adalah babak Azman merogol Dara. Di sini penulis merasakan mungkin ada sesetengah penonton kurang selesa. Penulis sendiri berasa begitu. Namun babak ini sangat pelik kerana pada permulaannya, Melur dan Kamil sendiri sudah berpakat untuk membuatkan Dara khayal supaya Kamil boleh 'bermesra' dengan Dara, namun mereka sedih dan marah apabila Azman masuk dahulu ke bilik, mengunci pintu dan merogol Dara serta memukulnya sehingga parah. Jadi apa beza Kamil atau Azman? Kedua-duanya berniat mencemarkan Dara tanpa kerelaan. Filem berakhir dengan konfrontasi Uda dan Melur terhadap Azman. Akhirnya Azman dibunuh oleh Melur dengan 'seninya' sendiri dalam flat Azman. Namun sebelum itu, Uda ada berjumpa dengan Kamil dan Kamil berkata bahawa semua perkara ini berlaku pun kerana dadah yang dijual Uda. Di sini ditunjukkan bahawa dadah yang dijual itu akhirnya terkena ke batang hidung sendiri. Uda yang baru sahaja menjalakan implan koklea menanggalkan implan tersebut kerana merasakan bahawa apa gunanya pendengaran kalau tidak dapat mendengar suara Dara.

Memang diakui dalam filem ini banyak babak-babak yang boleh mendatangkan kemarahan namun sebenarnya ianya ditayangkan dengan sebab. Dan seperti yang diketahui, semua yang melakukan kejahatan akan dibalas akhirnya. Oleh itu sepatutnya kita menonton filem ini sehingga habis untuk membuat penilaian yang lebih adil. Namun sekiranya anda sudah tonton dan tetap tidak bersetuju dengan cara babak ini dibuat, mungkin akan ada pembikin filem yang lebih baik di masa hadapan yang dapat memperbaiki kelemahan tersebut. Tetapi kita kena akui bahawa babak-babak ini adalah realiti masyarakat dan perlu diketengahkan. Di sinilah kelebihan medium filem. Tak cukup sekadar statistik dan pendedahan daripada kerajaan hanya setelah melihat babak ini ditayangkan barulah kita faham dengan jelas suasana yang dialami oleh orang dalam situasi tersebut. Sangat perlu untuk kita terus menyokong filem-filem Malaysia yang jujur dengan sisi gelap masyarakat mereka, daripada membuang duit dengan cerita cinta fantasi.  Dengan kejujuran sahajalah filem Malaysia dapat mendidik dan menjadi sebuah karya seni.

Tuesday, August 30, 2016

Pokemon Go : Fear of Missing Out





In this year, the world was shocked by the arrival of new smartphone game which is called Pokemon Go. It is the continuation of the old Pokemon game from Nintendo but the differences is that this Pokemon Game must be played by going outside using your own handphone. It’s popularity caught the world by surprise and it is considered as the next level of gaming. This game had been called augmented-reality, which is the player feels like actual Pokemon trainer in the game world.

Me myself although used to play Pokemon back in the 90s when it is can be played only on Nintendo Gameboy or computer did not feels wanted to played the game as yet. I’m not sure why. It may be I’m already past the gaming phase and playing video games can’t satisfy me anymore. But of course I will try to play Pokemon Go in the future.

It is also interesting that a lot of people who did not played any Pokemon or video games in the past also addicted in playing this game. One might think only die hard Pokemon fans will attracted to this game but apparently the new style of gaming also attracted the non-gamers. Of course in this day, all smartphone can download a lot of apps game, so it is hard to distinguish between gamers and non-gamers. That is why games like Angry Birds and Candy Crush is hugely popular across the world.

I myself also think that a lot of people played this game because of peer pressure. Since their roommate or office colleague played this game, so they also wanted to try this game although did not really interested in gaming at first. We might called this phenomenon as Fear of Missing Out or FOMO. Since we live in interconnected world through social media and smartphone, it is hard nowadays to disconnect ourselves to the current issues and trend that had been happening. So whenever we see our friend in social media do certain things or write about certain things, we are compelled to talk or write about it. Failure to do so will make us feel like we did not updated on certain issues.

This new anxieties can be considered a modern one and only surfaced in the 21st century with the expansive use of the Internet technology. We can connect to other people, be it family, friends or even strangers at any time and any where. That is why we continue to read Facebook, Twitter or Whatsapp. In fact if you lost your phone or cannot connected to Internet even for one day, we feels incomplete and thinking that a lot of things in the world had moving on. This was not the norm in the past whereas we only connected to the bigger world only through printed media, radio or television. For example, if we in Malaysia and there is an earthquake in Japan, we can only know about it through 8 o’clock news. But nowadays, we can be updated on the crisis minutes after it happened through Twitter and it is reported by the people live in the place of crisis. Remember the bombing of MH17 at Eastern Ukraine? The whole world get the images of the bombed plane through pictures shared in social media since the reporter and medical personnel cannot reach the place yet since the place is still in a state of war. This is true on the report on Syria civil war since there is no reporter that could go into the place of bombing, news organization only reported things that had been shared by the combatant, be it Syrian army, the resistance, or even ISIS. Although they admit that the news is considered unreliable since it may be a propaganda vehicle. That is why reporter need to be impartial especially in the times of crisis.

We might criticize the phenomenon of Pokemon Go and dismisses it just another things that wasted our time. But if we know how to manipulate the technology, we can used it for the advancement in a lot of scientific field.  They might be an apps that resemble Pokemon Go that will help our children’s education in the future. So we should celebrate the technology and not just fixating on the gaming side. Instead of thinking on the harmful effect of Pokemon Go, why not think about the benefit that we can get in the future.


Monday, August 8, 2016

Bukan Bangsa Malaysia


Festival Filem Malaysia yang ke - 28, salah sebuah festival filem terbesar Malaysia mengumumkan pencalonan untuk setiap kategori yang dipertandinglan. Isu yang paling hangat diperkatakan adalah beberapa kategori utama dipecahkan kepada 2 iaitu Bahasa Malaysia dan Bukan Bahasa Malaysia. Kategori tersebut adalah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik. Ianya mengejutkan kerana sebelum ini hanya ada satu kategori khas iaitu Filem Terbaik Bukan Dalam Bahasa Melayu. Kategori itupun ramai yang mempertikaikan dan sepatutnya setiap filem Malaysia, dalam bahasa apa pun patut diletakkan dalam satu kategori. Sejak dari dahulu lagi Festival Filem Malaysia dikritik kerana meminggirkan filem yang tidak menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Penganjur festival berasalasan bahawa filem Malaysia mestilah menggunakan Bahasa Melayu namun pengkritik berhujah pula bahawa filem yang baik tidak tertakluk dengan bahasa yang digunakan. Yang paling penting adalah kualiti penceritaan dan lakonan. Pada tahun ini sahaja terdapat 2 filem Malaysia yang sangat baik tanpa menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya iaitu Jagat, sebuah filem yang mengisahkan tentang kehidupan masyarakat Tamil di pinggiran serta The Kid from the Big Apple, sebuah filem yang mengisahkan tentang hubungan antara datuk dan cucu anak yang sudah lama tidak balik ke tanah air dan berlatarbelakangkan masyarakat Cina di bandar. 

Ada yang berpendapat bahawa pemecahan tersebut adalah agenda syarikat penerbitan filem yang berbahasa Melayu untuk memastikan filem-filem mereka tercalon. Mereka tahu sekiranya mereka bersaing dalam kategori yang sama dengan filem yang bukan berbahasa Melayu, pastilah filem mereka susah untuk menang atau langsung tidak tercalon. Pada pandangan penulis, filem-filem Melayu dalam beberapa tahun ini sudah tidak mendapat sambutan dalam kalangan peminat tempatan. Ada yang betul-betul popular seperti Polis Evo dan Boboiboy The Movie. Ola Bola juga mendapat sambutan yang hangat walaupun menggunakan gabungan Bahasa Melayu dan Inggeris. Namun begitu, tidak dinafikan berlaku pengurangan filem Malaysia yang ditayangkan sejak tahun lepas sehingga sekarang, baik yang berbahasa Melayu atau selainnya. Ada sesetengah filem yang sangat tidak laku sehingga pihak pawagam menarik balik tayangan hanya selepas seminggu sahaja di pawagam. Antara kisah filem yang paling menyedihkan adalah Redha, di mana filem ini sangat berkualiti tinggi dan dilakonkan dengan baik oleh Nam Ron. Namun ianya hanya bertahan 2 minggu sahaja di pawagam. Penulis teringat sebulan selepas Redha ditayangkan, ada seorang kawan yang mengatakan mahu menonton filem tersebut namun malangnya beliau tidak tahu bahawa filem tersebut telah tiada di pawagam. Beliau sama seperti rakyat Malaysia lain yang menyangka bahawa setiap filem akan berkekalan di pawagam dalam jangka masa yang panjang. Namun filem yang lama ditayangkan di pawagam hanyalah filem Hollywood yang popular seperti Captain America: Civil War dan Batman v Superman. Manakala kebanyakan filem Malaysia sekiranya minggu pertama pun sudah tidak laku, pastilah pawagam merasakan kerugian bagi pihak mereka dan menarik balik filem tersebut. Penulis sendiri yang mahu menonton filem Dukun Dr Dani arahan Sabri Yunus berkemungkinan terlepas filem tersebut kerana khabarnya filem itu telah banyak ditarik balik. Yang bagusnya filem Jagat pula berjaya berkekalan di pawagam hampir 2 bulan kerana promosi media sosial dan cakap-cakap orang. Penulis sendiri hanya menonton Jagat sebulan selepas ditayangkan selepas terbaca tentang filem tersebut di media sosial. 

Mungkin ada orang lain yang lebih berkelayakan untuk menulis tentang kondisi filem Malaysia pada masa kini. Namun dalam tulisan ini, penulis mahu memfokuskan tentang pemisahan bahasa yang dibuat dalam Festival Filem Malaysia yang terbaru kali ini. Pertama adalah mengenai istilah “Bukan Bahasa Malaysia.” Apa contoh bahasa yang bukan Bahasa Malaysia? Adakah selain daripada Bahasa Melayu? Penulis berfikir bahawa istilah Bahasa Malaysia juga salah kerana istilah tersebut boleh juga dimasukkan sekali bahasa-bahasa lain yang digunakan oleh rakyat Malaysia seperti Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin. Malah penggunaan istilah Bahasa Malaysia juga memisahkan kita dengan sejarah filem Melayu yang bermula daripada Singapura. Sebab itu lebih baik menggunakan istilah “Filem Melayu” kerana ianya lebih luas dan mempunyai sejarah yang panjang. Tetapi kemudian istilah Filem Melayu juga tidak tepat pada masa sekarang kerana banyak filem-filem Malaysia kini juga dalam bahasa yang lain. Sebab itu ramai yang menggunakan istilah “industri Filem Malaysia” untuk meluaskan makna skop perfileman di Malaysia. 

Kontroversi yang berlaku baru-baru ini menunjukkan rakyat Malaysia masih dalam proses mencari identiti sebenar budaya dan kesenian kita. Penulis teringat dalam sebuah syarahan bertajuk Pembinaan Bangsa Malaysia: Aspirasi dan Realiti oleh Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Professor Adjung Universiti Selangor (UNISEL). Beliau banyak menyentuh tentang betapa rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu tidak serius dalam membina bangsa Malaysia. Ianya hanyalah istilah yang timbul apabila hendak meraih sokongan politik. Hatta dalam gagasan Wawasan 2020 juga disebut tentang agenda Bangsa Malaysia namun apabila berlaku konflik, rakyat Malaysia kembali dalam kepompong kaum masing-masing. Beliau juga mengkritik orang Melayu yang terlampau selesa dengan segala bantuan walaupun ada sesetengah orang Melayu yang berjaya dalam bidang masing-masing tanpa keistimewaan. Sehinggakan beliau pernah bermimpi bahawa pada masa depan, orang Melayu sendiri akan menolak keistimewaan tersebut demi kemajuan bangsa sendiri. Beliau tahu bahawa selagi orang Melayu ditongkat dengan keistimewaan, orang Melayu tidak akan berubah.

Memang persoalan tentang Bangsa Malaysia memerlukan kefahaman rakyat bawahan serta kemahuan orang politik. Ianya bukan sekadar perkara yang kita raikan semasa bulan kemerdekaan atau pada waktu-waktu perayaan untuk menunjukkan yang negara kita mempunyai pelbagai kaum dan agama. Namun unsur penting dalam pembinaan Bangsa Malaysia adalah penerimaan dan meraikan kepelbagaian tersebut dalam segala bidang, bukan mengikut tempat yang kita hendak sahaja. Ianya akan dilihat tidak adil oleh orang lain apabila orang Melayu diletak dalam satu kelompok, orang bukan Melayu pula dalam satu kelompok. Malah tindakan inilah yang akan merenggangkan hubungan antara kaum, bukan sangat menjamin kedudukan istimewa orang Melayu. Mengenai perjuangan Bahasa Melayu pula, adakah filem yang bukan berbahasa Melayu itu meminggirkan Bahasa Melayu? Memanglah mereka akan berbahasa Tamil atau Mandarin dalam kalangan keluarga dan rakan mereka. Namun apabila mereka berinteraksi dengan kaum lain, mereka akan berbahasa Melayu atau Inggeris. Perkara ini boleh dilihat dalam filem Jagat dan Ola Bola. Ini menunjukkn Bahasa Melayu telah diterima oleh semua kaum di Malaysia sebagai bahasa komunikasi yang penting. 

 Akhirnya soal meningkatkan kualiti filem di Malaysia adalah tugas semua kaum. Dan ianya akan dibikin dalam pelbagai bahasa kerana filem itu menunjukkan wajah masyarakat di sesebuah tempat dan mengikut zaman.

Wednesday, July 27, 2016

Ulasan Filem Star Trek Beyond


Penulis adalah peminat siri televisyen dan filem Star Trek. Penulis mula tertarik dengan Star Trek sejak daripada sekolah rendah lagi di mana stesen TV3 waktu itu menayangkan siri The Next Generations, di mana kapal angkasa Enterprise waktu itu dikepalai oleh Kapten Jean-Luc Picard lakonan Patrick Stewart (kemudian terkenal dengan lakonan sebagai Professor X dalam siri filem X-Men). Penulis teringat lagi siri TV ini sangat berbeza dengan siri TV lain yang ditayangkan pada waktu itu. Penulis tak ingat hari apa siri ini ditayangkan namun biasanya pada malam hari biasa. Pada waktu itu, susah untuk penulis untuk menonton televisyen pada waktu malam hari sekolah. Biasanya kami akan dipaksa untuk membuat kerja sekolah. Namun apabila Star Trek ditayangkan, mama membenarkan untuk tonton. Mungkin kerana idea dan cerita yang ditayangkan dalam siri ini sesuai untuk mengembangkan imaginasi kanak-kanak.

Siri TV ini membantu penulis berminat dengan sains terutamanya sains fiksyen. Inilah sumbangan terbesar sains fiksyen kepada masyarakat iaitu memecah tembok imaginasi kanak-kanak. Walaupun sering kali sainsa fiksyen dianggap mengarut, namun banyak imaginasi dalam Star Trek akhirnya menjadi kenyataan. Contohnya telefon bimbit yang kita pegang sekarang. Dalam siri Star Trek sejak 1960-an lagi sudah ditunjukkan teknologi tersebut seperti "communicator.", yang menunjukkan karakter bercakap dengan alat kecil di tangan mereka. Hasil usaha peminat Star Trek yang menonton siri tersebut dan terpengaruh dengannya sejak kecil, akhirnya fantasi menjadi realiti. Ramai jurutera dan "innovator" datang daripada mereka yang minat sains fiksyen. Oleh itu jangan pandang rendah kesan filem dan televisyen terhadap kanak-kanak. Filem dan siri TV yang bagus boleh merubah masyarakat.

Berbalik kepada filem yang penulis mahu tulis mengenainya iaitu Star Trek Beyond. Filem ini adalah siri ketiga daripada siri Star Trek "reboot" yang dimulai sejak 2009. Siri filem ini memaparkan Kapten James Kirk sejak daripada sebelum menyertai Starfleet dan bagaimana beliau menjadi kapten Enterprise. Namun begitu siri ini berbeza dengan siri Star Trek awal yang dilakonkan oleh William Shatner dan Leonard Nimoy di mana mereka mengambil pendekatan menukar timeline di mana terdapat watak jahat yang telah mengembara masa dan akhinya mengubah sejarah. Oleh itu siri filem yang terbaru ini tidak perlu mengikut siri filem yang lama sepenuhnya. Itu yang berlaku pada tahun 2009. Untuk filem terbaru ini, Enterprise telah mengembara selama 3 tahun dan Kapten Kirk, lakonan Chris Pine nampak sudah keletihan dan mula mempersoalkan objektif usaha mereka. Namun apabila cuba melaksanakan sebuah misi penyelamatan di planet terpencil, mereka diserang secara tiba-tiba menyebabkan Enterprise terhempas dan krew kapap terpisah. Filem ini menceritakan mengenai bagaimana mereka bersatu kembali dan kemudian mengalahkan watak jahat yang cuba memusnahkan Starfleet.

Penulis telah menonton semua filem Star Trek. Bagi penulis filem Star Trek yang terbaru ini boleh dikategorikan sebagai antara 5 terbaik. Ianya juga lebih baik kalau dibandingkan Star Trek 2009 dan Into Darkness. Ada banyak sebab penulis menganggap begitu. Pertama watak Kapten Kirk yang dilakonkan oleh Chris Pine mencapai tahap kematangan. Sebelum ini kita lihat watak ini sangat semberono dan tidak berfikir panjang. Walaupun begitu ianya kena dengan watak Kapten Kirk sejak dulu yang terkenal dengan bertindak dahulu, berfikir kemudian. Sebab itu ada watak Spock yang menjadi pengimbang. Bezanya Chris Pine dengan William Shatner adalah kita dapat melihat perkembangan watak tersebut. Daripada anak muda di Akademi sehinggalah kini menjadi seorang kapten kapal yang lebih matang dan rasional.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai filem ini adalah suasana di Yorktown, sebuah pusat pelabuhan Starfleet yang berbentuk sfera. Dari jauh ianya macam Death Star, namun ia sebenarnya kelihatan seperti bebola kaca yang lutsinar di mana kita dapat melihat suasana bandar dalamnya. Ianya satu perkara yang baru dalam siri Star Trek. Memang ini satu tujuan terpenting filem sains fiksyen, iaitu mencipta satu benda yang imaginatif.  Inilah salah satu sebabnya mengapa dalam beberapa dekad ini filem sains fiksyen kurang popular kerana kebanyakan teknologi telah mencapai tahap tinggi dan masyarakat seperti sudah tidak menerima rekaan dan ciptaan yang tidak masuk akal. Namun dengan teknologi visual yang semakin canggih dalam filem, banyak benda-benda baru dapat dicipta dalam medium filem menyebabkan berlaku kebangkitan filem-filem sains fiksyen. 

Penulis berharap pembikin filem Star Trek yang seterusnya akan lebih berani bereksperimen dengan kepelbagaian cerita apatah lagi sekarang berlaku pertembungan dengan filem-filem Star Wars yang baru. Memang walaupun Star Trek tidak akan mengutip tiket setinggi Star Wars, namun objektif mereka patutnya membikin filem yang mencabar minda manusia tetapi dalam masa yang sama menggunakan latar angkasa untuk mencipta aksi dan babak yang menarik untuk tontonan ramai.

Saturday, July 16, 2016

Ulasan Filem Star Wars Episode 3 : Revenge of the Sith


Filem Star Wars yang ketiga ini adalah filem Star Wars yang pertama yang saya tonton di wayang. Saya teringat semasa saya Tingkatan 5, tahun 2005 semasa bersekolah di SMKA Tun Ahmad Zaidi di Kuching. Saya dan kawan saya, Sabri Hussin dan Hazwan Mahli keluar bandar (kerana waktu itu saya di asrama) dan pergi menonton wayang di pusat bandar Kuching. Masa itu tak banyak wayang di Kuching. Saya teringat semasa pertama kali imej di gambar keluar, filem menunjukkan bintang-bintang di angkasa, kemudian berpusing dan menunjukkan kapal angkasa besar di atas Planet Coruscant, pusat pentadbiran Galactic Republic. Kemudian kamera berpusing lagi dan menunjukkan bahawa pertempuran antara pesawat pejuang dan kapal angkasa sedang berlangsung dengan sengit. Kamera mengikut dua pesawat yang dinaiki oleh Anakin Skywalker serta Obi-Wan Kenobi. Kedua-dua pesawat ini berpusing mengelak daripada ditembak oleh pesawat musuh, dan akhirnya berjaya masuk ke dalam kapal angkasa induk musuh. Tujuan mereka masuk ke dalam kapal tersebut adalah untuk menyelamatkan Canselor Palpatine yang sedang ditawan oleh Jeneral Grievous, robot separuh manusia yang mengumpul lightsaber Jedi. Babak awal filem ini sangat mengujakan, dan terus ke perang bintang tanpa perlu menunggu akhir filem. Babak ini juga adalah sambungan terus daripada siri animasi 2D Clone Wars yang banyak menunjukka kehebatan Jedi memimpin tentera Stormtrooper mengalahkan Tentera Separatist.

Peminat Star Wars secara konsensus sekarang telah mengkritik sehebat-hebatnya Prequels Star Wars. Namun bagi saya filem ketiga, Revenge of the Sith antara filem Star Wars yang terbaik. Malah saya rasa dua filem sebelum ini adalah "set-up" kepada filem ketiga ini. Dalam filem ini, konflik antara Anakin Skywalker dan Obi-Wan Kenobi memuncak. Malah kita juga faham mengapa Anakin menerima "the dark side" kerana beliau mahu menyelamatkan Padme Amidala. Namun mungkin babak Anakin membunuh kanak-kanak di Jedi Temple mungkin terlalu melampau dan berlaku secara tiba-tiba serta tidak kena dengan watak Anakin. Walaupun Anakin menunjukkan sisi gelapnya sejak filem kedua, di mana beliau membunuh puak Sands, namun kita tidak merasakan bahawa beliau akan membunuh orang biasa yang tidak memberi ancaman. Malah karakter Darth Vader dalam Star Wars Original juga jahat tetapi tidak dilihat sebagai kejam dan membunuh sesuka hati. Sebab itu sampai sekarang, masih ramai yang suka dan berpakaian kostum sebagai Darth Vader.

Babak kemuncak dalam filem ini serta keseluruhan Star Wars Saga adalah semasa Emperor Palpatine melawan Yoda di dalam Galactic Senate. Ianya adalah simbol Jedi menentang Sith. Walaupun tiada pemenang namun ternyata Emperor yang menguasai keadaan terutamanya setelah berjaya menipu Jedi bertahun lamanya serta tentera Stormtroopers yang diklon memang di bawah telunjuk Emperor. Pertarungan mereka yang berlaku di dalam Senate adalah simbolik menunjukkan pemerintahan selepas ini akan berlaku secara kuku besi serta segala pendapat tidak akan dihormati dan penentangan akan menghadapi kekuatan tentera.

Babak paling sedih adalah di mana pahlawan Jedi dibunuh oleh Stormtrooper daripada belakang dan tanpa mengetahui sebabnya. Pertarungan antara Anakan dan Obi-Wan pula adalah seperti adik-beradik. Walaupun mereka bertarung secara habis-habisan, namun mereka juga tidak sanggup membunuh sesama sendiri. Namun kerana keegoan Anakin, akhirnya beliau kalah dan dibakar oleh lava. Dari situlah sebabnya beliau memakai kostum hitam tersebut dan juga menjadi sokongan hidup kepada beliau. Saya merasakan perlu adan apresiasi yang betul kepada filem Episode 3 ini dan ditonton secara adil.

Tuesday, April 26, 2016

Ulasan Filem Batman v Superman (Atau sebenarnya DC v Marvel?)


Sejujurnya saya lebih teruja menunggu filem Batman v Superman lebih daripada filem Star Wars atau Captain America : Civil War. Walaupun ramai yang merasakan ada masalah kerana ianya masih lagi diarahkan oleh Zack Snyder, di mana filem beliau Man of Steel tidak diterima baik oleh peminat. Namun bagi saya, ianya adalah satu peristiwa bersejarah, bukan sahaja dalam konteks komik namun dalam perfileman di mana 2 watak superhero yang paling popular bertembung dalam satu filem. Tetapi selepas menonoton filem ini di pawagam, saya merasakan keliru dan juga cuba memikirkan adakah filem ini bagus atau tidak? Saya mula membaca ulasan-ulasan oleh pengkritik di online serta video ulasan-ulasan dalam YouTube oleh peminat-peminat. Kebanyakannya negatif dan menyalahkan Zack Snyder kerana membikin filem yang kelam kabut. Selain itu ramai juga yang mempersoalkan tentang motivasi watak-watak dalam filem ini yang tidak jelas. Yang paling teruk dikritk adalah Lex Luthor Jr. yang dilakonkan oleh Jesse Eisenberg. Beliau dikatakan cuba meniru lakonan Joker oleh Heath Ledger namun akhirnya nampak seolah-olah mengulangi watak beliau sebagai Mark Zuckerberg dalam The Social Network. Lebih teruk lagi motivasi kejahatan beliau tidak jelas. Adakah beliau memusuhi Superman atau Batman? Mengapa hendak mencipta raksasa daripada mayat Jeneral Zod? Ataupun sebenarnya beliau diarahkan oleh seseorang?

Namun saya menonton semula filem ini dan cuba mengurangkan fakulti kritikal terhadap teknik perfileman. Ada sesetengah perkara yang mesti diterima walaupun mungkin filem tersebut tidak menerangkannya. Tidak disangka saya berasa filem ini bolehlah diterima sebagai filem yang bagus. Ia hanya perlukan tontonan kedua supaya beberapa babak dapat difahami. Begitulah juga yang saya fikirkan apabila menonton filem Man of Steel. Memang filem ini banyak 'flashback' namun selepas tontonan kedua, kita dapat lebih memahaminya. Walaupun masih lagi boleh dipersoalkan dari sudut motivasi karakter, namun itu adalah perkara yang perlu kita terima apabila menonton filem bikinan Zack Snyder. Ini berbeza apabila saya menonton kali kedua filem Star Wars : The Force Awakens. Tiba-tiba saya mempersoalkan seluruh kerelevenan francais Star Wars dan adakah ianya adalah filem sama yang menggunakan plot yang berulang-ulang.

Filrm ini banyak potensiny namun kadang-kadang kita rasa ada banyak suntingan menyebabkan sesetengah plot tidak dikembangkan dengan baik. Satu perkara yang kurang dikembangkan adalah elemen pertembungan idealogi antara Superman dan Batman. Saya belum lagi membaca komik yang menginspirasikan filem ini iaitu The Dark Knight Returns. Namun dalam filem ini kita faham Batman marah kepada Superman kerana menyebabkan kemusnahan Wayne Tower di Metropolis, namun kita kurang pasti mengapa Superman mahu menghentikan kegiatan Batman di Gotham. Kalau isu ini tidak difahami, maka kita sukar untuk melihat filem ini sebagai pertembungan ulung antara Batman dan Superman.

Babak yang paling menarik perhatian saya adalah apabila Lex Luthor meletupkan Kongers semasa Superman menghadiri perbicaraan dan beliau tidak menyedarinya. Di wajahnya terlihat rasa kekecewaan kerana tidak sempat menyelamatkan mangsa. Superman menyedari walaupun beliau mempunyai kuasa yang hebat, namun tetap tidak dapat menyelamatkan seluruh manusia. Banyak lagi plot penting yang boleh dikembangkan daripada dilema Superman namun sayangnya tidak dipergunakan dengan baik. Kadang-kadang terfikir juga saya adakah Zack Snyder yang patut dipersalahkan atau Christopher Nolan yang perlu dipersalahkan sebagai penerbit. Mungkin beliau terlampau cuba untuk mengaitkan dunia komik dengan dunia sebenar (seperti yang beliau buat dalam The Dark Knight Trilogy) menyebabkan beliau kurang memanfaatkan kelebihan yang ada dalam dunia komik yang tidak terbatas.

Filem berakhir dengan kematian Superman dan Batman cuba mengumpulkan manusia-manusia yang berkuasa luar biasa untuk mempertahankan Bumi. Kematian Superman jua seolah-olah alegori kepada pengorbanan Jesus Christ yang disalib dan ditikam di dada (menurut tradisi Katolik) di mana Superman juga ditikam oleh Doomsday di bahagian dada untuk menyelamatkan Bumi. Walau apapun yang pastinya prestasi filem-filem DC masih kurang memberangsangkan dan tidak mampu menarik perhatian khalayak ramai seperti filem-filem Marvel. Ya. Filem DC memuaskan hati peminat komik DC sekurang-kurangnya namun ianya tidak cukup untuk menjadi sebuah francais yang mempunyai perkongsian universe. Eksperimen Marvel inilah yang cukup berjaya sehingga berjaya membuatkan oran ramai berminat dengan banyak watak Marvel yang sebelum ini tidak diketahui ramai. (Sebagai contoh Guardians of the Galaxy). Ada yang menuduh bahawa terdapat konspirasi oleh Marvel yang mengupah pengkritik untuk menjatuhkan imej filem Batman V Superman ini supaya penonton mempunyai persepsi buruk sebelum menonton filem ini. Saya fikir Warner Brothers yang menerbitkan filem-filem daripada karakter DC ini sepatutnya mengupah orang baru untuk memberi garis-garis besar francais ini (seperti dalam Marvel, ianya dipandu oleh Kevin Feige). Christopher Nolan tidak sesuai kerana beliau tidak berminat sangat dengan komik manakala Zack Snyder sangat memfokuskan bab teknikal.