Friday, January 16, 2015

SEPETANG BERSAMA TARIQ RAMADAN






Pertemuan antara Prof Dr Tariq Ramadan dengan pimpinan PKPIM-ABIM-WADAH pada 15 Julai 2012 di KDH membuka minda kita tentang prospek dan perkara-perkara yang perlu diperbetulkan oleh gerakan Islam pada masa akan datang. Beliau memulakan syarahan beliau dengan mengulang kembali kebangkitan gerakan Islam sejak 120 tahun yang lalu dimulai dengan pemikiran Muhd Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani. Beliau juga menegaskan peranan Hasan Al-Banna yang memulakan dakwahnya dengan memberi alternatif ekonomi yang dimana beliau merasakan gerakan Islam sekarang terlampau bergantung kepada ekonomi konvensional. Kita juga sebagai pewaris daripada gerakan yang membebaskan diri penjajahan fizikal perlu terus membebaskan diri daripda penjajahan politik dan budaya yang lebih dahsyat sekarang.

            Beliau juga menyebut tentang perlunya Islamis tidak memonopoli Islam dan berusaha merubah masyrakat daripada terus menjatuhkan penzalim. Beliau juga menekankan bahawa Al-Quran dan As-Sunnah adalah untuk memberi keadilan, bukannya menjatuhkan hukuman. Beliau memberi contoh model Turki dimana parti AKP yang dipimpin oleh Islamis namun mengubah prioriti dan tidak menekankan kepada pembinaan Negara Islam. Turki sekarang membuahkan hasil sebagai negara paling membangun di Eropah pada masa benua itu sekarang sedang mengalami kegawatan ekonomi.

            Prof Tariq juga memberi komen tentang kebangkitan rakyat di Asia Barat bukanlah hasil Islamis seratus-peratus. Beliau juga melihat bahawa perancangan untuk menegakkan masyarakat yang baik di Asia Barat masih lemah. Beliau melahirkan kebimbangan di Mesir di mana tentera masih berkuasa dan ditakuti Ikhwanul Muslimin akan tersilap percaturan dan menjadi kambing hitam apabila berlaku masalah pada masa hadapan. Beliau juga merasakan bahawa perlunya gerakan Islam memfokuskan diri kepada kuasa membangkang atau menegur pihak pemerintah keranan tak semua orang mampu memerintah walaupun hebat dalam membangkang.

            Perkara utama lain yang Prof Tariq bincangkan adalah pentingnya aktivis gerakan Islam untuk menghayati perjuangannya dan bukan sekadar menjadi ahli ikut-ikutan. Pentingnya melakukan perkara yang secocok dengan peribadi masing-masing dan meneguhkan kerohanian kerana ianya memberikan aktivis tujuan akhir masing-masing. Jangan menjadi orang yang cepat penat berjuang kerana bergerak tanpa halatuju. Syarahan ditamatkan dengan sesi fotografi dan ilmu yang penuh di dada untuk para aktivis sekalian.

Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
Exco PKPIM

Saturday, January 3, 2015

MEMORI TURKI 2014 (6)

Hari Keenam (Khamis / 29 Mei 2014)

Eyup Sultan dan Pusara Ammar
Abah sampai dari Kuala Lumpur ke Istanbul pada awal pagi. Beliau disambut sendiri oleh Budin di Lapangan Terbang Attarturk dan terus ke homestay kami. Pagi itu kami bersarapan dan terus bersiap untuk check out kerana kami akan terus bergerak ke Kusadasi malam ini dengan bas. Semua barang-barang akan diletak dalam van sementara kami pergi berjalan-jalan.

Perancangan pada waktu pagi adalah pergi melawat pusara arwah Ammar dan makan Sahabat Nabi, Abu Ayyub Al-Ansari. Kedua-dua tempat itu terletak di Eyub Sultan, sebuah masjid yang dibina bersebelahan dnegan Teluk Golden Horn. Di situ juga terletak perkuburan Eyub, sebuah kawasan perkuburan lama zaman Uthmaniyyah di mana bersemadinya orang-orang besar Turki. 

Kami singgah dahulu ke pusara Ammar. Terletak dekat sahaja dengan jalan. Pusara beliau masih lagi putih, antara salah satu kubur yag terbaru. Tertulis di batu pusara tulisan dalam bahasa Melayu, Turki dan Arab. Mengingatkan para pelawat yang mati itu sebenarnya tidaklah mati jikalau hamba Allah itu gugur dalam memperjuangkan agama Allah. Dan itulah sebenarnya yang menjadikan arwah Ammar seorang inspirasi. Antara orang muda Melayu yang terawal belajar di Turki bersama-sama dengan Budin dan Faiz Ghazali. Teringat lagi sewaktu penulis mengambil Budin di madrasah Hayrat di seksyen 7 Bangi. Tak disangka salah seorang pelajar madrasah tersebut menjadi sangat terkenal dan disebut-sebut. 

 Pusara Ammar dihiasi bunga merah

Pengalaman penulis dengan arwah adalah apabila kami bersama-sama dalam Misi Ziarah Ukhuwah di Kemboja. Walaupun begitu, penulis tak banyak bercakap dengan beliau kerana beliau sendiri kurang bercakap. Beliau banyak bercakap dengan saudara Ariffin, pemimpin pelajar Muslim Kemboja yang melayan kami semasa di Kemboja. Kemudian, kami ada berjumpa lagi sewaktu World Conference di SUK Shah Alam. Beliau pula yang melayan Ariffin dengan membawa beliau sekitar Kuala Lumpur. Sekali lagi penulis ingat semasa penulis sedang bersembang dengan Ariffin sewaktu makan, Ammar hanya senyap sahaja di tepi, mendengar perbualan kami yang penulis sendiri lupa apa yang kami bualkan. Kali terakhir penulis berjumpa dengan beliau adalah sewaktu menghantar Budin dan Ammar di KLIA. Mereka mahu pulang ke Istanbul untuk memulakan semester baru. Semasa itu hampir seluruh keluarga kami dan Ammar ada di sana. Akhirnya berita buruk tiba sewaktu sabtu malam ahad pada awal November. Penulis pergi sendiri ke rumah keluarga Ammar di Gombak. Namun wajah Tuan Haji Azam tetap tenang. Penulis pula yang berasa sangat keliru. Tak disangka seseorang yang kita kenal, walaupun tak rapat, pergi begitu sahaja dalam sekelip mata. 

Balik semula ke Turki, selepas menyedekahkan Al-Fatihah kepada arwah, kami bergerak pula ke Masjid Eyup. Hasrat kami untuk melihat makam Abu Ayyub Al-Ansari tidak kesampaian kerana makam tersebut dalam penambahbaikan. Kami hanya dapat lihat dari jauh. Samar-samar sahaja. Namun begitu, masih ramai pelawat yang datang dan menyedekahkan Al-Fatihah kepada Sahabat Nabi tersebut. Orang Turki memang betul-betul menghargai sejarah. Kebanyakan kawasan warisan dijaga dengan baik. Inilah yang perlu orang Malaysia pelajari.Lebih baikdaripada kita terkejar-kejar dengan membina segala macam bangunan moden namun melupakan asal-usul kita. Tanpa mempelajari masa lalu, kita takkan tahu destinasi mana yang hendak dituju pada masa hadapan. 

Makam Abu Ayyub Al-Ansari. Walaupun sudah berumur 80 taun, namun tetap turun berperang

Selepasa itu, kami pergi makan tengahari di Galata Bridge. Di bawah jambatan bersejarah tersebut, terdapat banyak restoran yang menyediakan pelbagai makanan. Kami terus pergi ke restoran yang sedang rombongan Tuan Haji Azam lawati. Mereka datang ke Turki awal beberapa hari. Di situ, kami makan makanan Turki hidangan demi hidangan. Mula-mula mereka hidangkan roti. Oleh kerana kami lapar, kami makan dengan pelahapnya. Kami sangka hanya itulah sahaja makanan yang mereka akan beri. Rupanya selepas mereka berikan nasi. Selepas nasi masakan ikan pula. Banyak makanan tak habis. Memang orang Melayu tak biasa dengan kaedah hidangan makanan Turki. 

 Suasana dari restoran Galata Bridge

Selepas itu, kami bergerak ke Muzium Topkapi. Pada waktu yang lepas, penulis dan Solah sudah datang tapi rupanya tutup. Kali ini kami masuk sekeluarga. Seperti biasa, Mama, Makteh dan Mak Chak tak nak masuk kerana tahu dalam Muzium hanya banyak berjalan. Hanya penulis, Solah, Ainun, Abah dan Pakteh sahaja yang masuk. Budin pula menolak. Mungkin sudah masuk beberapa kali. Masuk ke dalam Topkapi, sebenarnya sederhana sahaja Istana Sultan Uthmaniyyah ini. Memang tak padan dengan keluasan jajahan Uthmaniyyah. Istana ini mempunyai banyak bilik. Selain itu, taman dalam istana juga sangat luas, rasanya hampir 60 peratus hanyalah taman. Dahulu, mungkin bilik-bilik ini dihuni oleh kerabat dan kakitangan Istana. Kini, bilik-bilik ini ditukar menjadi ruang pameran barang-barang kebesaran Uthmaniyyah. Ada bilik yang menempatkan hadiah-hadiah kepada Sultan. Hadiah ini ada yang datang dari Parsi, China dan juga Eropah. Kemungkinan hadiah ini dihadiahkan sebagai tanda persahabatan antara dua kerajaan. Tapi tiada pula yang datang dari Alam Melayu. Mungkin disimpan di stor. 

Ada bilik yang menempatkan jubah dan gambar sultan-sultan. Yang paling menarik adalah bilik yang menempatkan khazanah umat Islam seperti janggut, jubah dan panji Rasulullah. Ada juga yang lebih lama seperti pedang Nabi Daud. Rasanya banyak khazanah ini dibawa ke Istanbul sewaktu Uthmaniyyah menguasai 3 tanah suci umat Islam iaitu Mekah, Madinah dan Al-Aqsa. Penulis merasakan tempat ini tidak ternilai harganya dalam konteks sejarah umat manusia dan wajib dipelihara. Malangnya kami dilarang mengambil gambar khazanah tersebut. Kemudian kami pergi puka ke tempat tidur sultan yang berada di tengah-tengah taman. Sekali lagi ianya sangat sederhana. Malah, tempat mesyuarat antara sultan dan menteri-menterinya juga sangat ringkas. Seolah-olah bilik rehat. Kami duduk di situ menunggu semua orang sampai. Pakteh yang paling lambat. Kami melawak merasakan seolah-olah Pakteh baca satu persatu setiap penerangan dalam muzium tersebut. Makteh dalam van ada menyebut, dia pernah mendengar Ungku Aziz, tokoh akademik negara pernah menyebut bahawa beliau pelik dengan orang Malaysia yang melawat muzium sekejap sahaja walhal beliau sendiri menghabiskan masa berjam-jam dalam muzium. Mungkin Pakteh mengambil nasihat Ungku Aziz.  

Penulis dihadapan ruang mesyuarat sultan dan para wazir


Kami keluar dari Topkapi dan pergi ke stesen bas antarabandar Istabul yang dipanggil Otogar. Di situ, kami telah menempah bas ke Kusadasi yang akan bergerak pada pukul 10 malam. Syarikat bas tersebut dipanggil Pamukkale. Sementara menunggu, kami bersiap-siap untuk solat dan makan malam sekaligus. Budin selepas makan dengan kami terus meminta diri. Dia tidakikut kerana sedang menghadapi peperiksaan. Naik bas di Turki seolah-olah menaiki kapal terbang. Kami kena check in bagasi kami. Malah, mereka sendiri yang akan masukkan bagasi ke dalam bas. Terdapat juga ruang yang selesa untuk penumpang berehat. Di dalam bas pula, terdapat seorang pelayan yang akan menghidangkan makanan walaupun mereka hanya bagi biskut, roti dan air. Pemandu mereka pun memakai baju seragam bersekali dengan tali leher. Tentu sangat tak selesa dalam pakaian seperti begitu selama 10 jam. Perjalanan kami ke Kusadasi mengambil masa sehingga awal pagi.Walaupun setiap kerusi ada TV tersendiri (seperti kapal terbang!), namun kami semua tidur kerana kepenatan.

Jumpa lagi pada hari ketujuh!