Wednesday, January 27, 2016

Ulasan Filem Mat Moto : Membersihkan Imej Mamat Suka Motor


Saya pergi menonton filem Mat Moto dengan Hafiz Razali. Alhamdulillah dia belanja tiket dan popcorn menggunakan hadiah harijadinya kerana mendaftar sebagai ahli TGV Movies Club. Pada mulanya saya fikir filem ini hanyalah filem standard tentang rempit orang Melayu. Tak sangka pula filem ini mengutip kutipan tiket yang tinggi sehingga mencecah RM 1 juta, di mana ianya dianggap sebagai "sleeper hit" kerana tiada siapa yang menjangkakannya. Kemudian ianya diarahkan oleh Pekin Ibrahim dan Syafiq Yusof. 

Filem ini secara kasarnya seolah-olah seperti dokumentari tambah "road movie." Walaupun terdapat kisah dalam setiap karakter namun ianya hanya diterangkan di akhir filem. Kebanyakan filem ini pergi dari satu tempat ke tempat lain menunjukkan budaya mat moto. Motivasi karakter utama iaitu Pekin Ibrahim, seperti Goku yang mengumpul Dragon Ball pergi ke beberapa negeri dari Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka untuk mengumpul topi keledar. Kenapa? Sebab ianya adalah hasrat kawannya sebelum dia meninggal. Pekin ditemani oleh watak perempuan yang rupanya seperti Dora the Explorer yang sudah dewasa. Topi keledar yang dikumpulnya bukan calang-calang, kerana ianya berharga ribuan ringgit setiap satu. 

Antara gimik filem ini ialah orang yang menjual topi keledar tersebut adalah pelakon yang pernah memainkan watak mat rempit dalam filem-filem Melayu yang terdahulu seperti Faizal Hussein dan Shaheizy Sam. Mereka ditunjukkan sebagai sudah bertaubat dan sekarang hanya memfokuskan kepada bermain motor untuk bersuka ria, bukan untuk berlumba dan berjudi. Namun yang kecewanya sepatutnya filem ini tidak menunjukkan dahulu nama pelakon-pelakon tersebut semasa awal filem supaya ianya menjadi kejutan kepada penonton. 

Saya tak pasti mengapa filem ini mendapat perhatian. Adakah mat moto sendiri yang datang ke panggung wayang menyokong filem ini? Mungkin betul kerana budaya mat moto ini memang seringkali disalah anggap dengan mat rempit. Filem ini dalam beberapa hal seperti dokumentari menerangkan tentang siapa mat moto dan apakah minat mereka. Di sini masyarakat perlu faham memang wujud kumpulan yang gilakan bidang permotoran, baik kereta atau motosikal. Mungkin ada yang menganggap mereka ini membazir namun ada daripada mereka yang menjadikannya sumber rezeki dan lebih penting ianya satu identiti mereka. Kalau kita boleh terima kumpulan yang sukakan buku atau yang sukakan sukan tertentu, di mana mereka sanggup berbelanja banyak untuk membeli buku atau berlatih sesuatu sukan, mengapa tidak mat moto?

Saya teringat semasa membaca buku Seth Godin bertajuk Tribes di mana ianya tentang kepentingan mencari mereka yang mempunyai minat yang sama. Anda mungkin lahir sebagai Melayu dan Islam, namun tidak semestinya anda mempunyai minat yang sama. Apatah lagi perpecahan yang besar dalam kalangan umat Islam, tidak hairanlah ada daripada kalangan mereka membentuk kumpulan kecil mengikut minat masing-masing. Kita juga perlu menerima realiti bahawa manusia bergerak daripada melihat identiti mereka berdasarkan kepada kaum atau negara semata-mata kepada berdasarkan minat atau kemahiran. Dan antara sub-budaya yang paling besar adalah dalam bidang permotoran. Begitu juga dalam konteks kemahiran. Mereka yang mahir dalam bidang "programming" biasanya mempunyai "tribes" mereka sendiri merentas kaum dan agama. Dan mereka juga salah satu komuniti terbesar di Silicon Valley. Malah sekiranya anda terlibat dalam sesuatu industri, adalah lebih baik untuk tinggal atau mempunyai pejabat berdekatan tempat yang mempunyai ramai orang yang terlibat dalam industri tersebut. Contohnya industri wain yang banyak tertumpu di California Utara. Bermula daripada peladang, pengilang sehingga jurujual, kebanyakannya bertempat di situ. Formula yang sama juga digunakan oleh Hollywood dalam bidang perfileman.

Berbalik kepada soal filem Mat Moto ini, apa yang ironinya adalah penerbit filem ini adalah Skop Production kepunyaan Yusof Haslam yang banyak menerbitkan filem mengenai mat rempit. Hakikatnya merekalah yang banyak memaparkan budaya negatif mat moto ini. Adakah filem ini semacam satu pernyataan maaf kepada mat moto? Tak pasti pula. Apapun filem ini mungkin kurang menarik sekiranya anda mahukan banyak aksi perlumbaan, namun sekiranya anda adalah salah seorang daripada mat moto yang sering disalah fahami, pasti anda berasa bangga dengan kewujudan filem ini.


No comments:

Post a Comment