Saturday, March 4, 2017

Ulasan Mini Filem-Filem yang Tercalon dalam Oscars 2017


Dalam tulisan kali ini, aku akan mengulas filem-filem yang tercalon dalam beberapa kategori dalam Anugerah Akademi (Oscars) 2017. Tujuannya supaya ada catatan tentang pandangan aku tentang file mini (selain yang tercatat dalam FB dan Twitter). Kebanyakan filem-filem ini aku tonton sekitar Januari dan Febuari 2017, walaupun pada asalnya filem-filem ini ditayangkan di US pada tahun 2016. Ini kerana kebiasaannya filem yang tercalon Oscars akan mendapat publisiti dan baharulah mula ditayangkan di pasaran antarabangsa. Kecuali Arrival dan Allied, kebanyakan filem-filem ini tak mempunyai bajet yang cukup untuk publisiti.


 
 1. Hell or Highwater
Filem ini ditayangkan di Malaysia pada tahun 2016, walaupun pada masa itu belum lagi bermula musim anugerah. Kemungkinan besar kerana populariti pelakon seperti Chris Pine dan Jeff Bridges yang menyebabkan filem ini menarik perhatian. Filem ini boleh dikatakan gabungan antara filem jenayah dan western. Namun dalam masa yang sama menunjukkan kesusahan orang luar bandar yang hidup di pekan-pekan kecil tanpa pekerjaan dan mempunyai hutang yang banyak dengan bank. Mungkin anda boleh tonton filem ini untuk memahami orang kulit putih di luar bandar yang mengundi Trump, sebagai balasan kepada ahli politik establishment dan banker yang telah menipu mereka.

Tercalon untuk :-
Best Picture, Best Supporting Actor untuk Jeff Bridges, Best Original Screenplay, Best Film Editing



2. La La Land
Filem mengenai 2 orang kulit putih yang berhempas-pulas untuk berjaya dalam industri perfileman dan muzik di Los Angeles. Kebanyakan filem ini adalah dalam bentuk muzikal. Apa yang pelik dalam filem ini adalah walaupun ianya mengenai kisah percintaan, namun aku merasakan tiada sebab untuk mereka berdua jatuh cinta. Ianya berlaku secara tiba-tiba. Walaupun begitu, muzik yang diberi tumpuan iaitu jazz, sangat bagus. Filem ini sepatutnya membuka lebih banyak peluang muzikal dibikin di oleh Hollywood. Secara jujurnya aku lebih prefer Crazy Ex-Girlfriend. Muzik dan karakternya lebih menarik.
Tercalon untuk:-

Best Picture, Best Director, Best Actor untuk Ryan Gosling, Best Actress untuk Emma Stone, Best Original Screenplay, Best Cinematography, Best Original Score, Best Original Song, Best Sound Editing, Best Sound Mixing, Best Production Design, Best Costume Design, Best Film Editing



3. A Monster Calls
Sebenarnya filem ini tidak tercalon untuk Oscars. Namun aku nak ulas juga kerana bagi aku filem ini sangat bagus terutamanya lakonan pelakon utama kanak-kanak serta dari sudut struktur penceritaan. Filem ini mengisahkan tentang bagaimana seorang kanak-kanak yang bermimpi berjumpa dengan sebuah pokok yang boleh bercakap sebagai mekanisme melawan kesedihan kerana ibunya yang sedang menderita penyakit kanser. Suara pokok itu dilakonkan oleh Liam Neeson. Bagi aku sangat bagus untuk memahami bagaimana seorang kanak-kanak yang marah kepada ibunya dan orang sekeliling yang tidak betul-betul jujur dengan dia yang ibunya akan mati. Malah dalam filem ini juga disebut yang kanak-kanak ini masih muda untuk menerima realiti kematian, namun dalam masa yang sama sepatutnya dilayan sebagai remaja yang lebih matang. Walaupun filem ini berkisar tentang kematian, aku rasa sekali pun aku tak pernah dengar salah seorang karakter menyebut perkataan kematian terutamanya apa yang berlaku kepada ibu kanak-kanak itu. Kita hanya lihat dia sakit di atas katil di hospital sahaja. 


 4. Arrival
Filem ini bagi aku adalah filem terbaik dalam kalangan filem yang tercalon untuk Best Picture. Walaupun ianya sains fiksyen, namun filem ini mengingatkan aku kepada filem Inception, di mana elemen fiksyen itu kurang diberi perhatian, namun yang dipentingkan adalah drama karakter manusia. Cara bagaimana filem ini disusun juga sangat menarik, di mana pada pengakhiran baru kita sedar kaitan antara babak-babak yang kita tonton. Jikalau anda sudah menontonnya, tontonlah kali kedua untuk lebih memahaminya. Filem ini juga penting dari sudut bagaimana manusia mahu menerima kehadiran “alien” dan kerjasama umat manusia dalam menyelasaikan masalah yang berlaku. 

Tercalon untuk :-
Best Picture, Best Director, Best Adapted Screenplay, Best Sound Editing, Best Sound Mixing, Best Production Design, Best Cinematography, Best Film Editing


5. Allied
Filem oleh Robert Zemeckis ini memang sangat di”overlook.” Sama seperti filem The Walk dan Flight. Filem The Walk adalah filem kedua terbaik bagi aku tahun 2015. Filem ini bermula dengan watak Brit Pitt pergi ke Casablanca sebagai perisik British semasa Perang Dunia Kedua. Kebetulan pada waktu itu aku baru tonton filem Casablanca di Netflix. Kemudian Brad Pitt bersama-sama dengan watak Marion Cotillard, seorang perisik Perancis dalam Kedutaan Jerman membunuh Duta Jerman di Casablanca. Itu adalah bahagian pertama. Bahagian kedua pula adalah Brad Pitt dan Marion Cotillard kembali ke Britain dan berkahwin, namun beberapa tahun kemudian Marion Cotillard dituduh merisik bagi pihak Jerman. Lakonan dalam filem ini sangat mantap dan ‘chemistry’ antara Pitt dan Cotillard sangat berkesan. Pengakhiran filem ini sangat menyedihkan dan nasib baik ianya dilakonkan oleh 2 orang pelakon hebat. Aku rasa paling kurang Brad Pitt sepatutnya dicalonkan.

Tercalon untuk:-
Best Costume Design


 6. Passengers
Filem ini mendapat rating rendah daripada pengkritik. Aku tak faham. Adakah mereka sangka bahawa mereka akan menonton filem aksi sains fiksyen tetapi sangkaan mereka salah lalu memberi rating rendah? Walaupun aku setuju yang ada perbezaan ‘tone’ sepanjang filem ini, bermula dengan ‘tone’ dramatic dan gelap, kemudian menjadi romatik-komedi apabila Jennifer Lawrence dikejutkan, dan akhirnya menjadi filem aksi. Bagi aku ini hanyalah cara pembikin filem menceritakan cerita seperti begini. Bagi aku filem ini kalau dinilai sebagai sains fiksyen, sebenarnya lebih bagus daripada filem Arrival. Filem ini membuat kita terfikir tentang apa yang akan berlaku sekiranya kita kena ambil masa beratus tahun untuk menjelajah daripada satu planet ke planet yang lain. Selain itu aku rasa lakonan Chris Pratt pada awal filem sangat berkesan terutamanya apabila beliau mula tertekan kerana hidup seorang. Filem yang bagus untuk peminat sains fiksyen.

Tercalon untuk:-
Best Original Score, Best Production Design


 7. Hidden Figures
Satu lagi filem yang boleh dikategorikan sebagai filem publisiti untuk NASA. Mengisahkan mengenai 3 orang ‘computers’ atau jurukira yang mengesahkan semua pengiraan NASA sebelum mereka menghantar manusia ke angkasa lepas. Ketiga-tiga mereka adalah orang kulit hitam. Oleh kerana pada waktu itu adalah dekad 60-an, maka orang kulit hitam sukar mendapat pekerjaan yang bagus. Sumbangan mereka sangat penting dalam perkembangan NASA dan pada akhir filem ditunjukkan yang ketiga-tiga mereka menjadi orang penting dalam NASA. Bagi aku apa yang menarik adalah NASA sanggup menunjukkan bahawa pada waktu dahulu sekalipun, terdapat elemen perkauman yang kuat dalam NASA sendiri. Ini satu pengakuan yang kurang ada syarikat atau agensi yang sanggup ditonjolkan terutamanya pada zaman sekarang. Semua syarikat mahu menunjukkan bahawa mereka sangat terbuka kepada kepelbagaian.  Namun bagi aku kadang-kadang ada elemen seperti telefilem, namun kerana pelakon hebat dan bajet kesan khas yang tinggi, maka filem ini dinaik taraf. Walaupun filem ini penting tapi rasanya tak cukup untuk jadi calon filem terbaik. Selain itu, runut bunyi daripada Pharrel Williams sangat menarik.

Tercalon untuk :-
Best Picture, Best Supporting Actress untuk Octavia Spencer, Best Adapted Screenplay


 8. Hacksaw Ridge
Filem ini mengisahkan mengenai seorang tentera US yang menyertai tentera semasa Perang Dunia Kedua, namun enggan memegang senjata dan hanya mahu menjadi unit perubatan. Filem ini terbahagi kepada tiga, pertama semasa beliau bercinta dengan isterinya, kedua adalah semasa beliau berlatih di kem tentera dan hampir-hampir dibuang daripada tentera kerana enggan memegang senjata dan ketiga adalah mengenai penglibatan beliau dalam perang di Okinawa semasa beliau berjaya menyelamatkan 70 orang tentera daripada mati di medan perang akibat kecederaan. Elemen terpenting filem adalah pada babak kedua. Rupa-rupanya walaupun anda menjadi unit perubatan, namun ada undang-undang tentera yang mengatakan anda perlu berlatih menembak senjata. Filem ini banyak menghabiskan masa di bahagian kedua. Sepatutnya babak-babak berlatih boleh dipercepatkan dan konflik beliau dengan kapten juga boleh dipercepatkan supaya kita boleh sampai di bahagian ketiga di mana watak utama menunjukkan keperwiraannya dalam menyelamatkan orang. Namun begitu, ada pengkritik yang mengatakan walaupun filem ini semacam anti-perang, namun banyak keganasan yang ditunjukkan dalam bahagian ketiga filem menyebabkan mesej yang cuba disampaikan tidak kena.

Tercalon untuk :-
Best Picture, Best Director, Best Actor untuk Andrew Garfield, Best Sound Editing, Best Sound Mixing, Best Film Editing

9. Lion
Filem ini penting dari sudut perlunya kita prihatin dengan kanak-kanak yang terpisah daripada ibu bapa. Perkara ini banyak berlaku di bandar-bandar besar. Dalam filem ini, seorang budak tersalah naik keretapi dan hilang di tengah bandar Mumbai. Beliau tidak menjumpai jalan pulang dan akhirnya ditempatkan di sebuah rumah anak yatim. Namun beliau bernasib baik kerana terdapat pasangan Australia yang mahu mengambil anak angkat yang kehilangan ibu bapa. Beliau akhirnya dibawa ke Australia dan membesar di sana. 20 tahun kemudian, beliau mula mengalami krisis identiti dan cuba mencari kampung halamannya menggunakan Google Earth. Filem ini bagi aku mungkin tak cukup bagus untuk dicalonkan sebagai filem terbaik. Tetapi aku merasakan ada orang Australia yang cuba menunjukkan sisi kebaikan orang Australia dan juga identiti kepelbagaian kaum mereka. Selain itu, skor muzik untuk filem ini juga sangat epik, seolah-olah filem fantasi.

Tercalon untuk :-
Best Picture, Best Supporting Actor untuk Dev Patel, Best Adapted Screenplay, Best Original Score, Best Cinematography

No comments:

Post a Comment