Friday, September 9, 2016

Ulasan Filem Pekak : Keadilan Drama Melayu


Semasa menulis ulasan ini, media sosial masih lagi hangat dengan kontroversi filem Pekak lakonan Sharifah Amani dan Zahiril Adzim. Ini kerana dalam filem ini dipaparkan banyak babak-babak yang kurang menyenangkan seperti adegan berparti, menghisap dadah, perempuan merokok dan budak sekolah bercakap tentang perkara yang kotor. Ada yang berhujah mengatakan bahawa adegan ini tidak sepatutnya ditayangkan kerana ianya akan mempengaruhi generasi muda. Ada pula yang membalas bahawa apa yang ditayangkan itu memang suatu realiti dalam masyarakat dan itulah niat mereka dalam pembikinan filem ini, sebagai sebuah karya seni yang menelanjangkan sisi-sisi gelap kehidupan yang kita tak nampak atau sengaja kita padamkan. Ada pula yang mengkritik filem ini sebagai sebuah lagi filem yang cuba 'mengajar' moral yang tidak perlu diajar pun. Kumpulan ini menganggap hakikatnya orang yang berkelakuan jahat takkan dihukum dalam dunia ini seperti yang kita selalu lihat dalam drama dan filem, jadi 'menghukum' mereka dalam filem adalah bercanggah dengan realiti. 

Dengan memahami pemikiran tersebut, penulis terfikir tentang klise dalam penceritaan, iaitu orang jahat akan kalah pada pengakhiran cerita. Perkara ini kita selalu lihat dalam drama Melayu di mana watak jahat sudah pasti sama ada sempat bertaubat atau mati terbunuh. Inilah yang dipanggil sebagai 'keadilan drama Melayu', di mana cerita tidak boleh berakhir selagi watak jahat tidak mendapat hukuman. Dan kebiasaannya watak baik pula bersabar sahaja dengan segala perlakuan watak jahat, dan menunggu kata putus dari Tuhan di pengakhiran cerita. Dari situ penulis merasa pelik mengapa pihak yang ada masalah dengan babak tidak bermoral mengkritik hebat filem ini walhal (spoiler alert!), orang jahat dalam filem ini mati di pengakhiran. Namun siapa sebenarnya watak baik dan watak jahat dalam filem ini? 

Filem ini mempunyai 5 watak utama, Uda, seorang pekak yang juga pengedar dadah, Dara, pelajar sekolah yang naif dan terikut-ikut dengan kawannya, Melur. Melur pula seorang watak yang berlagak baik di hadapan bapa Dara namun sebenarnya liar apabila bersama dengan teman lelakinya, Azman Picasso (atau lebih dikenali sebagai Cargas!!). Azman adalah seorang penagih dadah tegar dan hanya tahu berparti. Azman pula mempunyai "sedara" yang bernama Kamil, anak orang kaya yang banyak menganjurkan parti dan cuba "On" dengan Dara. Cerita bermula apabila Uda bertemu Dara dalam lif, di mana Uda ternampak Dara sedang mendengar lagu Rintihan Hati nyanyian Othman Hamzah dalam telefon. Di sinilah pertemuan romantik antara mereka berdua bermula. Uda suka mendengar lagu Rintihan Hati kerana ianya mengingatkan Uda kepada tragedi semasa beliau masih kecil. Namun kita tak pasti mengapa Dara mendengar lagu Melayu lama ini.

Bagi penulis, watak utama yang menggerakkan plot adalah Azman kerana Azmanlah yang menelefon Uda datang ke flat beliau untuk membeli dadah daripada Uda. Filem ini cuba memaparkan kisah percintaan antara Uda dan Dara namun bagi penulis watak Uda itu sendiri sudah sangat menarik. Beliau menjual dadah pun kerana mahu mengumpul duit membuat pembedahan implan koklea supaya boleh mendengar. Babak Uda berseorangan tanpa mendengar apa-apa bunyi sangat menarik dan membuatkan penonton memikirkan apakah sebenarnya yang didengar oleh orang pekak? Boleh jadi mereka hanya membuat-buat sahaja bunyi-bunyian dalam kepala. Sebagai contoh, babak dalam lif, oleh kerana Uda tidak pernah mendengar suara Dara, maka dalam kepala Uda suara Dara sama seperti Othman Hamzah.

Semua watak dalam filem ini bukanlah watak yang baik moralnya. Dara yang dianggap "innocent" juga menipu bapanya dengan keluar malam dengan Melur. Kemudian tidaklah dipastikan mengapa Dara sangat bengang dengan bapanya. Memanglah bapanya jarang berada di rumah kerana bekerja menjadi pengawal pada waktu malam, namun tidaklah bapanya pernah mendera atau melakukan sesuatu yang teruk. Nampak bahawa Dara tiada sebab untuk marah sangat dengan bapanya, kecuali mungkin bapanya pernah memukul Uda kerana ternampak Uda berdua-duaan dengan Dara. 

Watak yang konroversi dalam filem ini adalah Melur dan Azman. Penulis terfikir juga mengapa dijadikan watak Dara dan Melur sebagai budak sekolah. Mungkin hendak menunjukkan bahawa mereka baru nak kenal dunia dan senang ditipu oleh orang yang lebih berpengalaman. Satu lagi babak yang kontroversi adalah babak Azman merogol Dara. Di sini penulis merasakan mungkin ada sesetengah penonton kurang selesa. Penulis sendiri berasa begitu. Namun babak ini sangat pelik kerana pada permulaannya, Melur dan Kamil sendiri sudah berpakat untuk membuatkan Dara khayal supaya Kamil boleh 'bermesra' dengan Dara, namun mereka sedih dan marah apabila Azman masuk dahulu ke bilik, mengunci pintu dan merogol Dara serta memukulnya sehingga parah. Jadi apa beza Kamil atau Azman? Kedua-duanya berniat mencemarkan Dara tanpa kerelaan. Filem berakhir dengan konfrontasi Uda dan Melur terhadap Azman. Akhirnya Azman dibunuh oleh Melur dengan 'seninya' sendiri dalam flat Azman. Namun sebelum itu, Uda ada berjumpa dengan Kamil dan Kamil berkata bahawa semua perkara ini berlaku pun kerana dadah yang dijual Uda. Di sini ditunjukkan bahawa dadah yang dijual itu akhirnya terkena ke batang hidung sendiri. Uda yang baru sahaja menjalakan implan koklea menanggalkan implan tersebut kerana merasakan bahawa apa gunanya pendengaran kalau tidak dapat mendengar suara Dara.

Memang diakui dalam filem ini banyak babak-babak yang boleh mendatangkan kemarahan namun sebenarnya ianya ditayangkan dengan sebab. Dan seperti yang diketahui, semua yang melakukan kejahatan akan dibalas akhirnya. Oleh itu sepatutnya kita menonton filem ini sehingga habis untuk membuat penilaian yang lebih adil. Namun sekiranya anda sudah tonton dan tetap tidak bersetuju dengan cara babak ini dibuat, mungkin akan ada pembikin filem yang lebih baik di masa hadapan yang dapat memperbaiki kelemahan tersebut. Tetapi kita kena akui bahawa babak-babak ini adalah realiti masyarakat dan perlu diketengahkan. Di sinilah kelebihan medium filem. Tak cukup sekadar statistik dan pendedahan daripada kerajaan hanya setelah melihat babak ini ditayangkan barulah kita faham dengan jelas suasana yang dialami oleh orang dalam situasi tersebut. Sangat perlu untuk kita terus menyokong filem-filem Malaysia yang jujur dengan sisi gelap masyarakat mereka, daripada membuang duit dengan cerita cinta fantasi.  Dengan kejujuran sahajalah filem Malaysia dapat mendidik dan menjadi sebuah karya seni.

2 comments:

  1. Baru je tengok filem ni....rasa mcm tak sesuai jugak sebenaarnyaaa....haha...tapi still tengok..hihi

    ReplyDelete
  2. apa pandangan anda mengenai filem ini? adakah ianya bagus? atau sekadar bergantung kpd shock value shj?

    ReplyDelete