Wednesday, September 14, 2016

Ulasan Buku In Europe’s Shadows - Dalam Bayang-Bayang Eropah

Buku tulisan Robert Kaplan bertajuk In Europe’s Shadow adalah berbentuk sangat peribadi dan jurnalistik. Buku terbitan tahun 2016 ini berbeza dengan karya Kaplan sebelum ini seperti Asia’s Cauldron dan The Revenge of Geography. Ini kerana subjek utama buku ini adalah negara Romania, iaitu sebuah di Tenggara Eropah yang telah dilawati oleh Kaplan beberapa kali sejak 1970an sehinggalah tahun 2014. 

Buku ini menceritakan evolusi masyarakat Romania dalam zaman pemerintahan Komunis sehinggalah zaman Kapitalis dan pasca-moden sekarang. Menariknya setiap kali Kaplan datang melawat Romania, negara itu berubah dan peribadi Kaplan juga berubah seiring dengan perubahan zaman. Oleh sebab itulah Romania dilihat sangat dekat dengan pengalaman Kaplan sebagai wartawan dan juga seorang peneliti sejarah dan geo-politik. 

Negara Romania adalah sebahagian daripada rantau Balkan dan Tenggara Eropah. Rantau ini bersama-sama dengan negara Serbia, Hungary, Bulgaria, Moldova dan Bosnia dilihat sebagai rantau pertemuan di antara Ortodoks Russia, Hasburg Austria dan Turki Uthmaniah. Oleh itu setiap kali membaca sejarah rantau ini, perlulah dibaca sekali perkembangan empayar-empayar besar tersebut. 

Rantau ini sangat sukar membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu, dan hanya boleh aman atau paling kurang berfungsi pentadbirannya apabila berada di bawah naungan empayar. Ini kerana dalam rantau ini terlampau banyak kaum-kaum yang berpindah-randah dan ini menyebabkan idea negara bangsa yang popular dalam sejarah Eropah itu mustahil direalisasikan. Kaplan bagaimanapun memfokuskan perbincangan tentang pembinaan negara dalam rantau ini menerusi sejarah Romania. 

Romania sendiri mempunyai pelbagai etnik seperti Russia, Gypsy, Hungary, Turki dan Romania sendiri. Sebab itu dalam zaman moden kini, agak sukar mencari identiti negara apabila etnik dalam negara tersebut lebih cenderung berkiblatkan negara asal mereka. Etnik Hungary di Translyvania berkibatkan Hungary di utara, etnik Russia di Timur cenderung ke tanah air Russia dan etnik Turki yang tinggal berdekatan Laut Hitam cenderung kepada Turki di Selatan. Ini menyebabkan suasana politik di Romania sering tidak stabil dan kebiasaannya hanya memfokuskan tentang pembangunan ekonomi, bukan sangat pembangunan identiti bangsa sendiri. 

Melihat kembali hal ini dalam konteks negara Malaysia, kita amat bersyukur bahawa etnik-etnik Cina dan India di Malaysia mempunyai identiti Malaysia yang unik dan tidak bergantung kepada tanah asal mereka. Walaupun jalinan kebudayaan masih kekal namun kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi kepada negara Malaysia. 

Ini mungkin kerana Malaysia sendiri adalah sebuah negara yang terpisah dari sudut geografi dengan China dan India. Ini berbeza pula dengan Romania di mana ianya adalah negara yang berada di tengah-tengah Tenggara Eropah dan sering digelar sebagai “Marchland” atau tempat di mana tentera akan melintas. Ini berlaku dalam sejarah di mana tentera Turki berkali-kali melalui Romania untuk pergi menawan utara Eropah yang akhirnya berakhir di Vienna. Ini menyebabkan Romania yang walaupun beragama Kristian namun terpaksa berunding dengan Turki untuk mengelakkan kekuasaan mereka dihancurkan. 

Turki juga dilihat tidak mahu memerintah Romania secara terus, berbeza dengan apa yang mereka lakukan di Serbia dan Bulgaria di mana kawasan ini berada langsung di bawah pentadbiran Istanbul yang disebut Sanjak. Antara kisah yang paling popular di Romania tentulah kisah mengenai Vlad, the Impaler yang telah menghentikan kemaraan tentera Turki masuk ke Eropah. Di sini, orang Romania sentiasa merasakan bahawa orang Eropah Barat seperti Austria, Jerman dan Perancis sepatutnya berterima kasih kepada Romania kerana tanpa perjuangan mereka melawan Turki, tentulah Eropah ditawan oleh Uthmaniah dengan cepat. 

Robert Kaplan juga adalah wartawan yang gigih melaporkan tentang situasi di rantau Balkan pada tahun-tahun 70an dan 80an, di mana pada waktu itu sangat kurang liputan media antarabangsa. Ini kerana pemerintah Komunis tidak mesra kepada media menyebabkan media kurang berminat ditambah dengan isu-isu semasa pada waktu itu banyak tertumpu di Timur Tengah. 

Oleh kerana rantau ini dikuasai Komunis, ketegangan etnik dan agama kurang berlaku, namun situasi ekonomi sangat teruk dan menyebabkan kemarahan rakyat semakin memuncak hingga akhirnya pada tahun 1989, pemimpin tertinggi Romania, Nicolae Ceausescu dihukum gantung bersama isterinya kerana menzalimi rakyat berpuluh tahun. Dengan itu, akhirnya pemerintahan Komunis berakhir. Walaupun begitu Romania terselamat daripada ketegangan etnik, berbeza dengan apa yang berlaku di Bosnia di mana puak pengganas Serbia membunuh begitu ramai etnik Bosnia kerana berbeza agama. Kaplan menyebut bahawa Komunis hanya menangguhkan pergaduhan etnik yang telah memburuk sejak selepas perang dunia kedua, dan akhirnya meletus kembali apabila Tirai Besi jatuh. 

Buku ini juga mengulas banyak mengenai pengaruh Russia ke atas Timur dan Tenggara Eropah. Bagi Kaplan, pengaruh Russia telah pun bertapak di Romania dan negara-negara jiran melalui ekonomi dan kuasa syarikat minyak Russia. Vladimir Putin dilihat akan terus cuba menguasai Timur dan Tenggara Eropah dan menjadikannya sebagai negara satelit. 

Russia juga merasakan dirinya sebagai ‘abang besar’ dan melindungi negara-negara Ortodoks daripada ancaman ‘Barat’. Namun Kaplan sendiri merasakan dari sudut budaya, Romania lebih tertarik dengan Ortodoks yang berasal daripada Greek. Ini membuatkan orang Romania merasakan diri mereka sebahagian daripada peradaban Eropah Barat. Romania juga telah menyertai Kesatuan Eropah, dan walaupun standard demokrasi mereka masih lagi di tahap rendah, namun mereka dilihat lebih cenderung kepada Brussels daripada Moscow. 

Ini kerana mereka sangat menghargai kebebasan individu yang mereka nikmati kini berbanding semasa pemerintahan Komunis lalu. Russia bagi mereka hanya mengingatkan mereka kepada zaman Komunis. Kaplan mencadangkan supaya rantau Balkan perlu mengambil iktibar daripada sejarah dengan mengukuhkan konsep negara yang meraikan kepelbagaian etnik, seperti yang pernah berlaku pada zaman pengaruh Austria-Hungary paling kuat pada pertengahan abad ke-19. Pada waktu itu, selepas kemusnahan Eropah akibat perang Napoleon, pemimpin negara masing-masing dapat bereksperimen dalam politik pada waktu aman dengan mengukuhkan institusi kerajaan serta membangunkan ekonomi. Namun rancangan mereka tergendala apabila rakyat menolak empayar dan cenderung menyokong perjuangan menubuhkan negara bangsa atau menyokong pemerintahan Komunis. 

Oleh kerana rantau Balkan mempunyai pelbagai etnik dan sempadan antara etnik tidak jelas, menyebabkan rencana menubuhkan negara yang betul-betul stabil tidak berlaku. Oleh itu dalam zaman pasca Komunis sekarang, rencana mengukuhkan institusi kerajaan perlu diteruskan, dengan syarat keamanan dan kebebasan individu perlu dikekalkan.

No comments:

Post a Comment