Tuesday, April 26, 2016

Ulasan Filem Batman v Superman (Atau sebenarnya DC v Marvel?)


Sejujurnya saya lebih teruja menunggu filem Batman v Superman lebih daripada filem Star Wars atau Captain America : Civil War. Walaupun ramai yang merasakan ada masalah kerana ianya masih lagi diarahkan oleh Zack Snyder, di mana filem beliau Man of Steel tidak diterima baik oleh peminat. Namun bagi saya, ianya adalah satu peristiwa bersejarah, bukan sahaja dalam konteks komik namun dalam perfileman di mana 2 watak superhero yang paling popular bertembung dalam satu filem. Tetapi selepas menonoton filem ini di pawagam, saya merasakan keliru dan juga cuba memikirkan adakah filem ini bagus atau tidak? Saya mula membaca ulasan-ulasan oleh pengkritik di online serta video ulasan-ulasan dalam YouTube oleh peminat-peminat. Kebanyakannya negatif dan menyalahkan Zack Snyder kerana membikin filem yang kelam kabut. Selain itu ramai juga yang mempersoalkan tentang motivasi watak-watak dalam filem ini yang tidak jelas. Yang paling teruk dikritk adalah Lex Luthor Jr. yang dilakonkan oleh Jesse Eisenberg. Beliau dikatakan cuba meniru lakonan Joker oleh Heath Ledger namun akhirnya nampak seolah-olah mengulangi watak beliau sebagai Mark Zuckerberg dalam The Social Network. Lebih teruk lagi motivasi kejahatan beliau tidak jelas. Adakah beliau memusuhi Superman atau Batman? Mengapa hendak mencipta raksasa daripada mayat Jeneral Zod? Ataupun sebenarnya beliau diarahkan oleh seseorang?

Namun saya menonton semula filem ini dan cuba mengurangkan fakulti kritikal terhadap teknik perfileman. Ada sesetengah perkara yang mesti diterima walaupun mungkin filem tersebut tidak menerangkannya. Tidak disangka saya berasa filem ini bolehlah diterima sebagai filem yang bagus. Ia hanya perlukan tontonan kedua supaya beberapa babak dapat difahami. Begitulah juga yang saya fikirkan apabila menonton filem Man of Steel. Memang filem ini banyak 'flashback' namun selepas tontonan kedua, kita dapat lebih memahaminya. Walaupun masih lagi boleh dipersoalkan dari sudut motivasi karakter, namun itu adalah perkara yang perlu kita terima apabila menonton filem bikinan Zack Snyder. Ini berbeza apabila saya menonton kali kedua filem Star Wars : The Force Awakens. Tiba-tiba saya mempersoalkan seluruh kerelevenan francais Star Wars dan adakah ianya adalah filem sama yang menggunakan plot yang berulang-ulang.

Filrm ini banyak potensiny namun kadang-kadang kita rasa ada banyak suntingan menyebabkan sesetengah plot tidak dikembangkan dengan baik. Satu perkara yang kurang dikembangkan adalah elemen pertembungan idealogi antara Superman dan Batman. Saya belum lagi membaca komik yang menginspirasikan filem ini iaitu The Dark Knight Returns. Namun dalam filem ini kita faham Batman marah kepada Superman kerana menyebabkan kemusnahan Wayne Tower di Metropolis, namun kita kurang pasti mengapa Superman mahu menghentikan kegiatan Batman di Gotham. Kalau isu ini tidak difahami, maka kita sukar untuk melihat filem ini sebagai pertembungan ulung antara Batman dan Superman.

Babak yang paling menarik perhatian saya adalah apabila Lex Luthor meletupkan Kongers semasa Superman menghadiri perbicaraan dan beliau tidak menyedarinya. Di wajahnya terlihat rasa kekecewaan kerana tidak sempat menyelamatkan mangsa. Superman menyedari walaupun beliau mempunyai kuasa yang hebat, namun tetap tidak dapat menyelamatkan seluruh manusia. Banyak lagi plot penting yang boleh dikembangkan daripada dilema Superman namun sayangnya tidak dipergunakan dengan baik. Kadang-kadang terfikir juga saya adakah Zack Snyder yang patut dipersalahkan atau Christopher Nolan yang perlu dipersalahkan sebagai penerbit. Mungkin beliau terlampau cuba untuk mengaitkan dunia komik dengan dunia sebenar (seperti yang beliau buat dalam The Dark Knight Trilogy) menyebabkan beliau kurang memanfaatkan kelebihan yang ada dalam dunia komik yang tidak terbatas.

Filem berakhir dengan kematian Superman dan Batman cuba mengumpulkan manusia-manusia yang berkuasa luar biasa untuk mempertahankan Bumi. Kematian Superman jua seolah-olah alegori kepada pengorbanan Jesus Christ yang disalib dan ditikam di dada (menurut tradisi Katolik) di mana Superman juga ditikam oleh Doomsday di bahagian dada untuk menyelamatkan Bumi. Walau apapun yang pastinya prestasi filem-filem DC masih kurang memberangsangkan dan tidak mampu menarik perhatian khalayak ramai seperti filem-filem Marvel. Ya. Filem DC memuaskan hati peminat komik DC sekurang-kurangnya namun ianya tidak cukup untuk menjadi sebuah francais yang mempunyai perkongsian universe. Eksperimen Marvel inilah yang cukup berjaya sehingga berjaya membuatkan oran ramai berminat dengan banyak watak Marvel yang sebelum ini tidak diketahui ramai. (Sebagai contoh Guardians of the Galaxy). Ada yang menuduh bahawa terdapat konspirasi oleh Marvel yang mengupah pengkritik untuk menjatuhkan imej filem Batman V Superman ini supaya penonton mempunyai persepsi buruk sebelum menonton filem ini. Saya fikir Warner Brothers yang menerbitkan filem-filem daripada karakter DC ini sepatutnya mengupah orang baru untuk memberi garis-garis besar francais ini (seperti dalam Marvel, ianya dipandu oleh Kevin Feige). Christopher Nolan tidak sesuai kerana beliau tidak berminat sangat dengan komik manakala Zack Snyder sangat memfokuskan bab teknikal.


No comments:

Post a Comment