Sunday, February 7, 2016

Ulasan Filem Ola Bola : Rocky Versi Malaysia


Ola Bola adalah sebuah filem Malaysia yang mempunyai jentera pemasaran yang paling besar  setakat ini. Tak hairanlah kerana diedarkan oleh Astro Shaw, syarikat sama yang memasarkan Polis Evo. Pada tahun 2014, Astro Shaw mendapat keuntungan besar melalui filem The Journey, manakala tahun 2015 pula adalah Polis Evo. Ola Bola diiklankan melalui saluran televisyen dan radio Astro, menyebabkan sukar untuk anda tidak tertarik menonton filem ini. Kali terakhir sebuah filem mempunyai strategi pemasaran seperti begini adalah Star Wars : The Force Awakens tahun lepas. Cuma penulis baru terfikir mengapa filem ini tidak ditayangkan pada bulan kemerdekaan, namun pada cuti Tahun Baru Cina.? Mungkin mereka lebih bijak kerana tahu pada waktu inilah sekolah sedang bercuti dan ibu bapa berpeluang membawa anak-anak mereka ke pawagam. Sebelum ini banyak filem Malaysia ditayangkan semasa Hari Raya Adilfitri atau cuti akhir tahun. Namun sekiranya perkembangan terbaru ini menguntungkan syarikat penerbitan, pastilah selepas ini syarikat penerbitan filem berlumba-lumba hendak menayangkan filem tempatan pada waktu cuti sekolah. Penulis fikir ini bagus dalam meningkatkan jumlah kutipan tiket filem tempatan, dan sepatutnya FINAS menggesa supaya kerajaan memberi ruang lebih banyak filem tempatan ditayangkan pada waktu cuti, dan filem luar negara hanya ditayangkan di luar waktu cuti.

Filem ini cuba dibuat mengikut 2 genre, filem patriotik dan filem sukan. Dalam ingatan penulis, filem patriotik terbaik adalah filem Sarjan Hassan lakonan P Ramlee serta Leftenan Adnan arahan Aziz M. Osman. Manakala filem sukan terbaik adalah....err....Gol dan Gincu? Jadi melihat dengan situasi tersebut, memang tidak banyak contoh filem sukan terbaik, malah filem patriotik juga kurang. Yang ada pun daripada Shuhaimi Baba seperti Hati Malaya dan Tanda Putera, di mana ianya banyak dikritik kerana terlampau "Melayu" dan tidak memaparkan semangat keMalaysiaan. Penulis ada membuat ulasan filem Tanda Putera. Boleh anda baca kemudiaan. Namun filem ini lebih cenderung kepada filem sukan. Dengan begitu banyak montaj latihan dan babak perlawanan bola. Tetapi ianya juga ada memasukkan unsur cintakan tanah air dengan menayangkan suasana pemandangan di Malaysia. Ianya sangat bagus untuk digunakan oleh Jabatan Pelancongan untuk video pemasaran mereka. 

Tetapi penulis mungkin kurang gemar apabila filem ini bermula dengan babak pada masa kini, kemudian disambung dengan babak "flashback" oleh salah seorang watak. Walaupun ianya tidaklah mengganggu, berbeza dengan filem Hati Malaya yang juga mempunyai watak zaman moden yang membayangkan tentang suasana zaman dahulu. Mungkin mereka hendak tunjukkan Soh Chin Aun pada pengakhiran filem. 

Filem ini juga bukanlah betul-betul memaparkan peristiwa semasa pasukan Malaysia berjaya memasuki Olimpik pada tahun 1980. Nama watak-watak juga ditukar. Jadi boleh dikatakan kebanyakan situasi yang dilalui mereka mungkin adalah fiksyen atau ditokok tambah untuk elemen dramatik. Jadi sekiranya anda mahukan kisah sebenar, anda perlu membaca buku atau menonton dokumentari. Namun kadang-kadang penulis agak keliru hendak membezakan watak, kerana gaya rambut yang hampir kurang sama. Yang paling berbeza pastilah Muthu. Manakala Ali pula pelakonnya seperti Zizan Razak. Dialog filem ini juga banyak bertukar-tukar, daripada Bahasa Inggers, ke Mandarin, ke Melayu. Tetapi yang paling kelakar tentunya Bahasa Melayu. Bunyinya sangat canggung dan tidak seperti orang biasa bercakap. Ada yang mengatakan perkara ini terjadi kerana mungkin skrip asal adalah dalam Bahasa Inggeris tetapi kemudian diterjemahkan ke Bahasa Melayu.

Satu lagi babak yang mungkin membuatkan penulis hendak ketawa adalah semasa mereka hendak melakukan latihan tentera. Penulis tidak pasti adakah pasukan Malaysia pada masa lalu (atau sekarang) ada melakukan latihan tentera untuk meningkatkan persefahaman dan ketahanan fizikal, namun babak tersebut penulis merasakan bahawa ianya semta-mata hendak memanjangkan lagi tempoh filem kerana kehabisan idea untuk menunjukkan montaj latihan dan perlawanan bola. Ianya adalah "unintentional comdey" dan seolah-olah memparodikan filem sukan. Penulis juga teringat satu filem sukan lain iaitu Rocky lakonan Sylvester Stallone yang pernah memenangi Filem terbaik Oscar 1977. Walaupun Rocky adalah filem mengenai sukan tinju namun kebanyakan waktu filem tersebut berlegar tentang kehidupan peribadi Rocky dan kurang babak bertinju. Ianya hanya mencapai kemuncak dalam 30 minit terakhir apabila akhirnya perlawanan antara Apollo Creed, juara dunia waktu itu menentang Rocky Balboa, jaguh kampung daripada Philadelphia. Antara babak yang paling diingati dalam filem Rocky adalah sewaktu Rocky berlatih tinju dan be"jogging" sekitar Philadelphia sehingga sampai ke tangga Muzium Philadelphia sambil diiringi dengan lagu latar yang bersemangat. Anda mungkin pernah dengar dan tonton. Ini videonya.


Adakah Ola Bola mahu menjadi seperti Rocky? Sukar untuk dibandingkan kerana sukannya berbeza. Satu tinju dan satu lagi bolasepak. Selain itu tinju adalah usaha persendirian manakala bolasepak adalah usaha berpasukan. Filem Ola Bola juga cuba memasukkan lagu semangat mereka sendiri iantu "Inilah Barisan Kita" semasa di dalam helikopter. Sepatutnya mereka mengupah pemuzik atau artis membuat lagu semangat yang akhirnya dikaitkan dengan filem ini. Contoh yang terbaik adalah lagu Gemuruh oleh Faizal Tahir. Lagu Zee Avi juga bagus cuma bukan yang terbaik untuk filem sukan yang memerlukan lagu yang lebih membakar jiwa.

Apapun filem ini adalah yang terbaik dari sudut memaparkan kepelbagaian kaum dan bahasa di Malaysia. Ianya bukan lagi filem Melayu, Cina atau India Malaysia tetapi betul-betul filem Malaysia yang boleh dibanggakan.

No comments:

Post a Comment