Thursday, November 19, 2015

Pendidikan Seimbang Penyelamat Daripada Ekstremisme

Dunia sekali lagi dikejutkan dengan serangan di Paris. Ianya berlaku selepas 10 bulan serangan di Charlie Hebdo pada awal tahun 2015. Serangan kali ini lebih teruk kerana pengganas menyerang dengan pengebom berani mati di kawasan tumpuan yang ramai seperti dewan konsert dan restoran berbanding semasa Januari lalu yang menyerang pejabat majalah Charlie Hebdo yang diketahui telah menghina beberapa agama termasuk agama Islam dengan melukis gambar Nabi Muhammad. Ini menyebabkan beberapa ekstermis cuba bertindak balas dan membalas dendam. Namun serangan terbaru ini seolah-olah seperti satu pernyataan kepada dunia bahawa mereka masih berbahaya dan mampu melancarkan serangan walaupun di tempat yang mempunyai kawalan keselamatan yang ketat.


ISIS dengan segera mengaku merancang pembunuhan tersebut. Dunia pun segera mengecam tindakan tersebut. Ada yang berjanji akan memperhebatkan lagi serangan ke atas kawasan ISIS seperti Raqqa. Ada pula yang menggesa supaya difahami orang yang sanggup melibatkan diri dengan ISIS dan cuba sedaya upaya mencegah mana-mana pihak terutamanya belia menyertai ISIS. Selain itu terdapat pandangan bahawa penyerang bukan ISIS, malah bukan Islam pun dan menganggap semua ini satu percubaan zionis Israel yang memburukkan lagi umat Islam. Ini kerana parlimen Perancis baru sahaja mengundi untuk mengiktiraf negara Palestin dan ini membuatkan Israel marah. Sekiranya kita mengambil hujah bahawa ISIS yang melancarkan serangan tersebut, kita perlu sedar bahawa semua tindakan tersebut berlaku kerana perang di Syria yang tidak berkesudahan. Ditambah dengan isu pelarian di Eropah, perang di Syria perlu tamat dengan segera. Malah Sidang Kemuncak G20 di Turki juga menjadikan Syria sebagai agenda utama. Tetapi sejauh mana persetujuan daripada semua pihak berjaya dicapai masih lagi dalam kekaburan.


Satu sisi penting yang perlu diberi perhatian adalah mengenai latar belakang pengebom berani mati dan penyerang tersebut. Kemungkinan besar mereka adalah warga Perancis sendiri yang terpengaruh dengan propaganda ISIS. Sekiranya benar maka perlulah perubahan layanan kepada Muslim Perancis sendiri. Umum mengetahui dalam 10 tahun ini kelompok ekstremis yang menolak pendatang semakin meningkat di Eropah. Mereka mula menguasai posisi-posisi penting dalam kerajaan sehingga ianya mengancam kestabilan Kesatuan Eropah sendiri kerana kebanyakan daripada mereka juga sangat bersifat nasionalistik dan menolak agenda serantau. Terpalit sekali adalah golongan migran yang sudah tinggal di negara-negara Eropah sejak seratus tahun lalu. Perancis sendiri kumpulan pendatang adalah daripada negara-negara jajahan Perancis di Amerika dan Afrika. Kini yang menetap di Perancis adalah generasi ketiga atau keempat dan mereka sudah diasimilasi dalam masyarakat dengan bercakap Bahasa Perancis dan bersekolah di sekolah awam. Namun malangnya ramai daripada remaja dan belia ini tercicir daripada sekolah dan tiada peluang pekerjaan yang baik. Di sinilah pentingnya peranan NGO dan agensi kerajaan dalam memastikan mereka mendapat ilmu dan kemahiran secukupnya dalam menghadapi hidup di masa hadapan. Ditambah pula dengan masalah keluarga, mereka perlu dipertemukan dengan kumpulan yang betul sebagai sistem sokongan supaya tidak terjebak dengan jenayah. Kebanyakan belia yang terpengaruh dengan ISIS kebanyakannya punya sejarah hidup yang buruk dan mengharap penglibatan mereka dalam ISIS adalah satu jalan pantas ke syurga.


Tetapi bagaimana pula hendak melawan naratif ISIS? Propaganda mereka sangat efektif dalam mempengaruhi kumpulan “the angry young man” dalam kalangan Muslim yang kecewa dengan sistem dan pemimpin umat Islam yang hanya mengikut telunjuk Barat. Mereka juga tidak lagi percaya kepada ilmuwan Islam kerana kebanyakan daripada ilmuwan hanyalah duduk di kerusi empuk di menara gading, dan takut untuk menegur pemerintah supaya tidak kehilangan kuasa. Oleh itu mereka melihat agenda ISIS ini lebih efektif dan cepat dalam melahirkan “negara Islam.” Walaupun begitu ramai yang sedar semuanya hanyalah utopia sahaja apabila mereka sampai di kawasan ISIS, tetapi mereka tidak boleh melarikan diri dan kalau tertangkap akan dihukum bunuh. Perlu juga diingat walaupun ISIS disertai oleh ramai pendatang daripada pelbagai negara, di mana menurut jangkaan UN mencecah 6,000 orang, tetapi kepimpinan tertinggi mereka banyak daripada AL-Qaeda dan juga bekas tentera daripada zaman Saddam Hussin. Oleh itu tidak hairanlah mereka mempunyai sistem komunikasi yang berkesan dan tahu bagaimana menggunakan propaganda untuk menakut-nakutkan rakyat di bawah taklukan mereka, di samping menarik ramai belia bersimpati dengan ISIS.


Menurut Prof Alex P. Schimdt semasa Syarahan Counter-Terrorisme anjuran GMM di KLCC pada 27 Oktober 2015, kita memerlukan naratif alternatif, bukan setakat counter-narrative melawan ISIS. Ini kerana kebanyakan penyokong ISIS enggan mendengar mana-mana hujah daripada ilmuwan lain dan hanya mendengar pandangan pemimpin dan ulama’ mereka sahaja. Kebanyakan program yang dibuat hanyalah berceramah kepada belia, dan bukannya cuba memahami hasrat mereka yang sebenar. Kemudian terdapat perbezaan di antara apa yang dijanjikan untuk dibuat dan pelaksanaan yang sebenar. Ini menyebabkan belia hilang kepercayaan dengan pihak berkuasa dan mencari alternatif lain. Prof Alex juga menyebut tentang beberapa faktor penarikan dan perlunya kita membuat pelan tindakan untuk mencegah perkara tersebut berlaku daripada berterusan cuba melawan ISIS tetapi gagal mencabut masalah daripada akarnya. Antaranya adalah peminggiran daripada masyarakat umum seperti pelarian atau bekas penjenayah dan krisis identiti diri kerana hilangnya erti hidup.


Dalam hari yang sama juga ABIM dengan kerjasama GMM menganjurkan Persidangan Meja Bulat Jihad dan Ekstremisme dan Tan Sri Prof Kamal Hasan adalah pengucaptama. Selain itu terdapat ulasan daripada Marwan Bukhari, penyelidik IDE dan Nur Hadiza Addeen, pensyarah UMS yang mengkaji tentang ekstremisme di Asia Tenggara. Pada pandangan Prof Kamal Hasan, pentingnya melahirkan generasi Muslim yang seimbang atau wasatiyyah. Inilah elemen penting yang sering dipinggirkan terutamanya dalam pendidikan belia Islam. Dan dalam pendidikan wasatiyyah tersebut, perlulah diingatkan supaya satu perkara tidak melebihi perkara yang lain. Sebab mengapa belia Islam kini menghadapi krisis identiti adalah kerana mereka keliru dengan keadaan dunia yang berbeza apabila masuk ke dalam alam pekerjaan, tetapi semasa di bangku sekolah dan univeristi diajarkan perkara berbeza. Kontradiksi begini yang perlu dielakkan dan harapan yang tinggi diletakkan kepada pendidik, baik yang rasmi ataupun ibu bapa sendiri mengajarkan nilai Islam yang betul kepada anak-anak.

No comments:

Post a Comment