Wednesday, November 6, 2013

Thor : The Dark World - Pra Peperangan sebelum The Avengers 2

    Tidak dinafikan Marvel Studios sekarang adalah komoditi paling hangat dalam Hollywood. Semenjak filem Iron Man pada tahun 2008, 'kilang' filem mereka tak henti-henti mengeluarkan filem. Kemuncak kegilaan filem superhero tiba pada tahun 2012 apabila The Avengers ditayangkan. Kumpulan superhero yang sebelum ini hanya dilihat sebagai budak-budak oleh watak DC Comics, Justice League (Batman, Superman DLL) menjadi watak paling dikenali seluruh dunia. Ditambah lagi dengan karisma Iron Man, The Avengers menjadi filem yang bakal diulang-ulang dalam televisyen dan akan sentiasa ditonton. Plot filem mudah namun ditambah dengan watak-watak kesukaan ramai dan penungguan selama 4 tahun, filem ini memuaskan peminat genre superhero-saifai.
    Setahun berlalu, tarikan Marvel masih lagi terasa. Namun setelah reaksi yang pelbagai sejak Iron Man 3, peminat filem mula berasa bimbang dengan Marvel. Untuk pengetahuan, Marvel sudah merancang untuk francais mereka 10 tahun yang akan datang. Ini bermakna hampir setiap tahun paling kurang 2 filem Marvel. Ada yang meramalkan tahun 2013 adalah tahun merudum filem superhero, namun ternyata belum terbukti dengan sambutan kepada Man of Steel dan reaksi peminat kepada sekuelnya, Superman vs Batman.
    Perasaan apabila menonton sekuel kepada Thor ini seperti menonton trailer kepada filem The Avengers 2 yang bakal ditayangkan tahun 2015. Terlalu banyak 'jargon' yang tak diketahui oleh kipas-susah-mati komik atau filem. Malah resolusi filem sangat dijangka, tiada langsung konflik yang membuat kita rasa hero itu akan mati kerana kita tahu dia akan selamat. Ini salah satu aspek penting dalam filem seperti begini, hero perlu ditekan sehingga mencapai matlamat dengan susah payah, dan lebih baik mematikan seorang watak supaya kemarahan kepada sang penjahat bertambah.
   Masalah terlampau banyak sekuel/prekuel/reboot ini memang dibimbangi oleh pengkritik filem. Ini mematikan sebarang usaha untuk membuat filem dengan idea baru kerana penerbit filem takut untuk merisikokan duit mereka untuk watak dan dunia yang tidak dikenali. Akibatnya kita melihat Hollywood banyak mengitar semula watak lama dan mengintrepetasikan dalam wajah dan dunia yang baru kepada generasi baru.
    Mungkin sudah tiba masanya rakyat Malaysia bertukar kiblat daripada menonton filem Hollywood kepada filem dari negara lain seperti China,Indonesia, Thailand, Korea dan Eropah. Filem-filem mereka lebih pelbagai dan mempunyai karya yang lebih bermakna. Lebih baik lagi kalau kita raikan segala macam filem Malaysia. Teruk macamana pun pastinya ia akan mendorong penerbit/pengarah/pelakon membikin filem yang lebih baik setelah mendapat untung.

No comments:

Post a Comment