Tuesday, October 8, 2013

Ulasan Ucapan Dasar Presiden PKPIM 2013 - Menjiwai Misi Tahriri, Tanwiri dan Taghyiri Dalam Citra Nahdah Islam



           
            Ucapan dasar adalah sesi yang utama dalam setiap muktamar. Ianya dibentangkan oleh presiden sebagai releksi sepanjang sesi lalu disamping memberi gagasan besar untuk kepemimpinan akan datang. Ahmad Fahmi Samsudin, Presiden PKPIM 2011-2013 yang membentangkan ucapan dasar ini bertujuan menggabungjalinkan idea-idea tokoh besar dengan gerakerja yang perlu dilakukan oleh mahasiswa dalam situasi dunia Islam yang sedang dilanda krisis.
            Ucapan dasar dimulakan dengan ulasan ringkas tema ucapan dasar tahun 2012 yang menekankan perjuangan anak muda bukan sekadar ‘young man opposing without cause’ tetapi golongan ‘independent and persuasive force’ yang membina gelombang kebangkitan semula ummah. Kemudian, ucapan dasar  diteruskan dengan “Misi 3 Ta” iaitu Tanwiriy (pencerahan), Tahririy (pembebasan) dan Taghyiriy (perubahan). Ketiga-tiga Ta ini adalah satu proses untuk melahirkan “the enlightened souls”. Golongan ini adalah golongan yang sedar tentang tanggungjawab dirinya kepada masyarakat. dalam konteks PKPIM, untuk merubah diri sebagai golongan sedar kita perlulah merubah dahulu cara berfikir. 

            Dlam bab seterusnya, diperingatkan bahawa PKPIM sepatutnya menjadi wadah utama dalam bagi anak muda melaksanakan Islam dengan murni. Refleksi tentang peranan Yussef Nada sebagai insan cemerlang yang menyerahkan diri untuk perjuangan Islam perlu dicontohi oleh anak muda. Perlulah disuntik keghairahan untuk membuat perubahan, bukan sekadar menyerah kepada takdir semata-mata. Namun, perubahan perlulah dibuat mengikut kesesuaian tempat supaya gerakan Islam tidak menjadi orang asing di dalam masyarakat sendiri.

            Disinggung juga dalam ucapan dasar berkenaan penglibatan PKPIM dalam PRU ke-13. Perlulah diperingatkan PKPIM bukan sekadar pemerhati dalam pilihanraya yang lalu namun adalah penggerak utama dalam pendidikan politik memberi penerangan mengenai pentingnya memilih ahli politik yang sentiasa memikirkan masalah umat. Pencerahan ini sangat penting untuk difahami oleh generasi muda kerana mereka akan menjadi penentu utama dalam PRU akan datang. Gerakan Islam juga perlu melatih ahlinya bersiap-sedia untuk berkhidmat dalam bidang politik supaya tidak menjadi politikus yang memperhambakan negara untuk kepentingan sendiri namun menjadi hamba kepada negara.
           
            Tarbiyyah adalah perkara penting yang sentiasa menjadi perhatian ahli PKPIM. Ianya penting untuk mempersiapkan diri kader gerakan. Namun pengisiannya perlulah diperluaskan terutamanya dalam menghadapi orang bukan Islam. Islah yang mahu dilakukan oleh gerakan Islam perlulah juga mencakupi pelbagai kelompok dalam negara ini. Kita perlulah kerluar dari zon selesa dan memperkenalkan keindahan Islam kepada rakyat bukan Islam kerana mereka juga adalah elemen yang penting dalam menjayakan pembinaan Bangsa Malaysia seperti yang digagaskan oleh Dato’ Dr Siddiq Fadzil.

            Selain tarbiyyah, kaderisasi juga adalah elemen penting yang sangat diperlukan oleh gerakan Islam untuk meneruskan survival perjuangan dan menjadi pelengkap kepada tarbiyyah. Contoh Nabi Muhammad SAW sentisa diamalkan iaitu melatih pemimpin yang mempunyai visi dan proses kaderisasi yang sistematik dan bertahap. Kaedah nabi adalah berasaskan didikan yang komprehensif selain meliputi aspek ruhani, jasmani, intelektual dan emosi. Untuk melaksanakan gagasan besar ini perlulah berlaku interaksi antara generasi selain kesatuan hati, pemikiran dan gerakerja.

            Untuk sesi yang lepas, beberapa idea telah disuntik untuk melicinkan gerakerja dakwah. Antaranya adalah penilaian semula kegiatan dan program. Ini adalah untuk memastikan supaya agenda tarbiyyah adalah strategik dan sistematik, bukan sekadar asal buat. Usrah ditekankan kepentingannya dan menjadi wadah untuk belajar bersama. Usrah yang lesu adalah petanda bahawa kader sendiri sudah letih dan ini perlulah diperbetulkan persepsi mereka mengenai usrah. Dengan cara berfikir begini, kelompok teras dapat dilahirkan supaya menjadi penggerak utama bagi PKPIM-ABIM-WADAH pada masa akan datang. 

            PKPIM yang telah berusia setengah abad mempunyai sejarah yang panjang dan berjaya melahirkan pemimpin yang berjasa kepada masyarakat. Anak muda mendambakan murabbi dari kalangan orang lama untuk menerapkan idealisme dan berkongsi pengalaman.  Perkara ini penting supaya kita tidak akan kehilangan sejarah dan menjadi pembakar semangat untuk lebih menghargai gerakan. 

            Ucapan dasar diakhiri dengan agenda masa depan PKPIM. Ahli PKPIM digesa mewaqafkan diri dengan jemaah kerana ianya adalah pengalaman yang berharga pada masa akan datang. Koperasi PKPIM yang ditubuhkan sesi ini juga perlu dimanfaatkan ahli sebagai platform keusahawanan. PKPIM juga perlu memperhebatkan penglibatan dengan isu antarabangsa yang banyak dipimpin oleh ABIM dan WADAH selain memperhebatkan kerjasama strategik dengan gerakan antarabangsa mahasiswa Islam. Para senior jemaah juga diminta menambah sumbangan mereka untuk memastikan projek pembangunan sekretariat berjalan lancar kerana ianya adalah pangkalan yang penting untuk penggerak. Agenda akhir adalah cadangan penubuhan Institut Penyelidikan PKPIM sebagai usaha dokumentasi sejarah PKPIM dan boleh dimanfaatkan untuk generasi akan datang.

Disediakan oleh Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
(Naib Presiden PKPIM)

No comments:

Post a Comment