Tuesday, October 8, 2013

Jadikan TITAS sebagai platform memahami agama Islam




            Rancangan Kementerian Pendidikan untuk menjadikan TITAS sebagai subjek wajib di IPTS perlu dianggap sebagai langkah yang positif dalam memberi peluang orang bukan Islam di Malaysia mempelajari tentang agama Islam. Ini kerana Tamadun Islam adalah cerminan kepada pelaksanaan agama Islam dalam konteks masyarakat dan negara. Pemahaman rakyat bukan Islam tentang Islam mampu memelihara keharmonian antara agama di negara Malaysia ini.

            Tidak melampau sekiranya kita mengatakan bahawa Tamadun Islam adalah peradaban berpengaruh yang membentuk peta antarabangsa kini. Baik berpusat di Baghdad, Kaherah, Istanbul, Andalusia atau di Melaka kebanyakan intelektual bersetuju Tamadun Islam berperanan besar dalam kebangkitan Eropah pada abad ke-17 dan 18. Dan akhirnya kebangkitan di Eropah sebaliknya membentuk peta Asia Tenggara pada zaman moden ini melalui penjajahan baik dalam bentuk perluasan kuasa, penyebaran agama dan pemaksaan pemikiran terhadap masyarakat di Timur.
            Tamadun Islam juga membantu rakyat memahami bagaimana Malaysia dibentuk di mana Islam memainkan peranan yang besar dalam menggubal  perlembagaan dan undang-undang. Ini mengelakkan rakyat kita terpesona dengan bagaimana Barat membina negara mereka di mana agama diletakkan di bawah negara atau sekurangnya-kurangnya agama tidak dilibatkan dalam urusan negara. Ini berbeza dengan Malaysia di mana agama Islam perlu diambil kira dalam segala keputusan di samping memastikan kebebasan penganut agama lain mengamalkan agama mereka.

            Sekiranya ada yang membuat penilaian bahawa mempelajari sejarah umat Islam tidak penting dan menghalang kemajuan maka kelompok ini bolehlah disebut ‘tertinggal keretapi’ kerana pengajian sejarah Islam kini sangat diminati di universiti-universiti besar di Barat. Tidal pernah ada intelektual besar di dunia yang menafikan kepentingan mempelajari sejarah mana-mana bangsa. Apatah lagi Tamadun Islam di mana ianya memberi kesan yang besar terhadap halatuju Malaysia.

            Disarankan juga umat Islam Malaysia bersungguh-sungguh mempelajari sejarah bangsa lain seperti Tamadun China dan India di mana dari sinilah datangnya kebudayaan dan asal-usul rakan-rakan sewarganegara. Selain itu, seluruh rakyat Malaysia perlu mendalami Peradaban Barat kerana hasil penjajahan mereka sehingga sekarang mempengaruhi cara kehdupan kita. Ianya juga penting kerana sekiranya kita cuba membanding kesan interaksi Tamadun Islam dengan bangsa-bangsa lain berbanding Peradaban Barat maka kita akan sedar tidak berlakunya persengketaan besar. Contoh terbaik penyebaran Islam di Alam Melayu yang berlangsung dengan harmoni. Ini berbeza dengan Barat yang sentiasa menimbulkan kekacauan di kawasan yang ditaklukinya seperti di India, Timur Tengah dan Benua Amerika sekadar menamakan beberapa contoh. 

            Sekali lagi ditegaskan subjek TITAS sangat penting kepada rakyat Malaysia. Ianya perlu dipelajari sebagai rasa tanggungjawab dalam memahami kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia melalui pengajian sejarah. Jangan disempitkan subjek ini hanya sekadar untuk lulus ujian semata-mata. Jangan pula kita berasa terbeban dan membuta tuli menolak subjek ini sebagai tidak penting. Seperti kata-kata hikmah “Those who cannot learn from history are doomed to repeat it”.

Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin

No comments:

Post a Comment