Friday, January 5, 2018

Ulasan Filem Jibam

Bukan mudah hendak membikin filem adaptasi daripada novel. Banyak elemen yang mungkin menarik dalam bentuk tulisan tetapi apabila diterjemahkan ke dalam bentuk audio-visual, seringkali tak kena ataupun ‘lost in translation’. Kerisauan itulah yang penulis bimbangkan sebelum hendak menonton filem Jibam, arahan Che Mie, lakonan Mohd Ariff sebagai watak utama Jibam. Ianya adalah adaptasi daripada novel Jibam tulisan Ujang yang diterbitkan pada tahun 1992. Namun, selepas penulis menonton filem ini, penulis berminat untuk membaca novel Jibam. Ini petanda bahawa filem ini berjaya dalam misinya iaitu menceritakan kisah Jibam, sejarah keluarganya dan orang-orang kampung Jibam yang memberi kesan kepada Jibam atau terkesan dengan tindakan Jibam.

Watak Jibam adalah seorang kanak-kanak yang boleh dikatakan tidak siuman. Beliau dibuli oleh kanak-kanak lain yang tidak faham mengapa Jibam membuat perkara yang aneh. Namun begitu, keluarga Jibam dan penduduk kampung tetap menyayangi Jibam dan memastikan Jibam tidak membuat perkara yang merbahaya. Selain daripada Jibam, filem ini juga berlegar tentang misteri kematian ayah Jibam serta layanan Tok Ngah Sudin kepada Jibam. Jibam seringkali mengganggu ketenteraman Tok Ngah Sudin, menyebabkan beliau bersikap kasar dan sering kali memukul Jibam. Walaupun begitu, oleh kerana Jibam kurang mengerti, beliau masih lagi mahu meluangkan masa dengan Tok Ngah Sudin walaupun berkali-kali dihalau.

Filem ini sangat bagus dalam memaparkan suasana penduduk kampung. Namun sukar untuk memastikan tahun bilakah sepatutnya latar masa filem ini. Namun, lakonan setiap penduduk kampung sangat berkesan terutamanya reaksi mereka kepada Jibam dan kesusahan keluarga Jibam. Ini kerana ayah Jibam dianggap orang yang berjasa kepada kampung, oleh itu mereka mahu membantu keluarga Jibam seboleh mungkin. 

Ada beberapa babak melibatkan Tok Ngah Sudin memukul Jibam. Ada yang menjadi babak komedi, namun ada juga penulis merasakan ianya adalah penderaan kanak-kanak. Memang sebagai penonton, kita mungkin memikirkan mengapa Tok Ngah Sudin sangat membenci Jibam. Namun begitu, misteri ini akan dijawab pada pengakhiran. Kita sebagai penonton juga akan berasa kasihan dengan Tok Ngah Sudin, walaupun pada awalnya kita bencikan watak ini.

Penulis memuji pembikinan filem ini yang mengambil kira lakonan serta cerita yang mahu disampaikan, namun bersesuaian dengan medium filem. Boleh sahaja pembikin filem membuat filem biasa sahaja, menjadikan ianya seperti drama komedi yang sering kita tonton di televisyen. Namun kerana ketelitian pembikin filem, terutamanya dalam memaparkan suasana kampung serta misteri kematian ayahnya, ianya bukan sekadar komedi, namun tragedi orang kampung yang perlu difikirkan oleh masyarakat.

No comments:

Post a Comment