Friday, March 21, 2014

Ulasan Filem Robocop - Separuh manusia, Separuh robot tetapi Polis sejati

  
  Robocop dulu dan sekarang sangat berbeza. Filem yang dahulu lebih kepada satira kehidupan Amerika pada waktu itu sehinggakan perkhidmatan polis pun mahu diswastakan. Malah ianya terlampau ganas sehingga apabila ditayangkan di televisyen begitu banyak suntingan dilakukan. Namun, filem 'remake' ini mengalih fokus daripada parodi kepolisan kepada persoalan falsafah manusia itu sebenarnya apa. Protagonis yang kehilangan hampir seluruh badannya kecuali kepala, paru-paru dan sebelah tangan sahaja (tanpa lengan dan siku) kerana letupan diolah oleh saintis menjadi separuh robot, separuh manusia. Oleh kerana otak masih lagi berfungsi (walaupun ditambah dengan pelbagai cip komputer), protagonis dianggap masih hidup malaha apabila disedarkan dari koma, dia masih lagi mengingati mengenai diri sendiri dan keluarga. Ini sekali lagi berbeza dengan Robocop lama kerana dia langsung tiada memori tentang kehidupannya yang lalu.
     Filem ini berjaya menyeimbangkan antara persoalan berat dengan aksi letupan dan kejar-mengejar yang biasa kita lihat dalam filem aksi. Ia tidak bosan dan dalam masa yang sama penonton tidak di'serang' dengan babak aksi setiap 5 minit. Malah satu perkara menarik mengenai Robocop ini walaupun dia sendiri menganggap dirinya separuh robot dan keputusan masih dibuat oleh manusia, namun seperti yang diterangkan oleh saintis pencipta sendiri, sebenarnya keputusan segalanya dibuat oleh komputer. Boleh dikatakan Robocop adalah robot yang berfikir diri dia adalah manusia.
     Namun pengakhiran filem kurang memuaskan. Mungkin mahu memberi ruang kepada sekuel dan konflik sebenar bermula pada filem kedua (sama seperti The Dark Knight). Filem ini adalah satu lagi 'landmark' dalam lambakan filem 'remake' yang saya fikir mengekalkan identiti dahulu tetapi dalam masa sama berani bertanyakan soalan-soalan kontroversi yang mungkin berlaku pada masa hadapan (dalam isu ini lebih kurang sama dengan filem 'Her" yang menunjukkan hubungan manusia dan mesin itu boleh mencapai tahap yang lebih tinggi).  

Usaha Mahasiswa UIAM menganjurkan debat wajar dihargai









Penulis merujuk debat yang dianjurkan di Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM pada 19 Mac 2014 yang lalu. Tajuk debat adalah Sosialis vs Harakiy di mana Saudara Fazril Saleh mewakili PKPIM bertentang dengan Saudara Amir Hamzah atau lebih dikenali sebagai Benz Ali. Moderator pula adalah Saudara Adam Roslan, seorang pelajar Kuliyyah Ekonomi.
            Kehadiran memberangsangkan daripada mahasiswa UIAM menunjukkan bahawa mahasiswa sebenarnya masih prihatin dengan isu-isu semasa. Debat ini memberi ruang kepada pihak yang terlibat untuk menjelaskan tentang kekeliruan mengenai Harakiy dan Sosialis, di mana mahasiswa sejak dari dahulu memang dipengaruhi dengan kedua-dua elemen tersebut. Debat ini menghancurkan persepsi bahawa mahasiswa itu tidak pandai mengawal emosi kerana suasana debat berlaku secara aman tanpa pergaduhan. Malah kedua-dua panel, walaupun berbeza pandangan dalam banyak perkara namun boleh lagi bersalam dan bertukar pendapat walaupun setelah selesai debat.
            Debat adalah salah satu platform terbaik untuk berbincang dan melontarkan idea dan pandangan terutamanya apabila ada 2 pihak yang berbeza pandangan. Budaya debat sebenarnya menyuburkan lagi budaya ilmu dan perkongsian idea yang sangat diperlukan di universiti di Malaysia. Kegersangan idea mahasiswa kini sebenarnya hasil tekanan pentadbiran universiti sendiri yang terlampau mengawal sehingga melampaui batas. Namun ternyata apabila mahasiswa diberi peluang, maka mereka dapat mengasah pemikiran kritikal mereka di samping melatih mereka menyanggah pendapat orang lain dengan sihat dan rasional, bukan terburu-buru dan emosional.
            Mahasiswa adalah pemimpin masa depan negara. Ternyata krisis politik dan kepimpinan negara kini sebenarnya sepatutnya sudah boleh dijangka sekiranya kita membaca sejarah dan melihat ‘track record’ pemimpin kini sewaktu mereka menjadi pemimpin mahasiswa. Pemimpin sepatutnya adalah seorang yang berilmu ataupun paling kurang menghormati orang yang berilmu. Oleh itu, sekiranya pemugaran budaya ilmu terus disuburkan di universiti maka lahirlah pemimpin negara masa depan yang lebih kompeten dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
            Menyentuh soal tajuk debat, bukanlah sangat kita mahu mempersoalkan tentang Harakiy atau Sosialis namun yang lebih penting sejauh mana kita memahami tentang kedua-dua elemen tersebut. Tenyata melalui debat ini dapat kita ketahui bahawa kaderisasi dan usrah itu sangat penting dalam membina gerakan Islam yang betul-betul dapat merubah masyarakat. Manakala sosialis pula sebenarnya sangat mementingkan tentang pembinaan sistem ekonomi negara yang betul-betul menguntungkan semua pihak, bukan hanya kepada pihak tertentu yang membolot kekayaan negara.
          Sekali lagi diucapkan tahniah kepada mahasiswa UIAM. Moga skop dan panel debat dapat diperluaskan pada masa akan datang. Tidak mustahil sekiranya panel pada masa akan datang juga melibatkan tokoh di peringkat nasional dan antarabangsa. Yang pasti, universiti dan mahasiswa yang akan meraih untung.

Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
Naib Presiden PKPIM
(Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia)

Wednesday, January 29, 2014

PKPIM mahu Kerajaan Selangor jadikan UNISEL sebagai model IPT terbaik



            Sejak kepimpinan Selangor beralih kepada Pakatan Rakyat pada tahun 2008, pelbagai rancangan dirangka untuk menambah baik institusi di bawah kerajaan negeri. Penambahbaikan dilakukan supaya ianya selari dengan hasrat kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Salah satu institusi yang paling menjadi perhatian rakyat Selangor adalah Universiti Selangor bertempat di Shah Alam dan Bestari Jaya.
            6 tahun berlalu namun prestasi UNISEL dilihat belum mencapai tahap yang membanggakan. Pelbagai masalah yang timbul terutamanya melibatkan kebajikan mahasiswa UNISEL. Kemudahan asrama yang sepatutnya dinikmati oleh mahasiswa tidak dapat digunakan kerana menghadapi masalah kontraktor. Akibatnya pentadbiran UNISEL terpaksa menyewa kediaman di luar sebagai asrama. Ini hanya menyusahkan pelajar dan membuang masa mereka yang terpaksa berulang-alik antara fakulti dan asrama.
            Apa yang lebih menyedihkan adalah pentadbiran UNISEL kurang berkomunikasi dengan perwakilan pelajar. Banyak maklumat tidak didedahkan dan keputusan yang dibuat tidak dibawa berbincang dengan mahasiswa terlebih dahulu. Tindakan peminggiran ini adalah usaha menafikan suara mahasiswa dan menganggap bahawa mahasiswa hanya belajar di kelas dan tidak mampu untuk berfikir dan mengurus aktiviti sendiri.
            Perkara ini sangat bertentangan dengan janji Pakatan Rakyat yang mahu universiti diberi kuasa autonomi dan mahasiswa diberi kebebasan mengurus aktiviti sendiri daripada terus dikongkong oleh pentadbiran universiti. Kerajaan Selangor perlu menunjukkan UNISEL sebagai model IPT yang terbaik untuk meyakinkan mahasiswa Kerajaan Selangor kali ini betul-betul meraikan anak muda.
            Oleh itu, sempena Pilihanraya Kampus Unisel yang akan diadakan pada 11 Febuari ini, PKPIM menggesa pemilihan ini dilakukan dengan semangat meraikan kebebasan bersuara dan berfikir serta menghayati amalan syura baik di peringkat mahasiswa dengan pentadbiran universiti atau antara mahasiswa sendiri. Semua kelompok perlulah diraikan dan bukan memberi keistimewaan kepada golongan tertentu sahaja.
            Kami juga meminta exco pendidikan negeri, Dr Halimah Ali untuk melibatkan semua kelompok mahasiswa dalam perancangan  membina model mahasiswa yang terbaik daripada UNISEL. Ini supaya mahasiswa UNISEL menjadi ikutan dan harapan kepada mahasiswa lain di seluruh Malaysia. Kami juga mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh mahasiswa UNISEL dalam PRK kali ini. 
Hidup Biar Berjasa!

Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
Naib Presiden PKPIM  

(tersiar juga di Harakahdaily dan Web PKPIM)

Monday, January 6, 2014

Internet takkan menipu

    
     Sejak ledakan media sosial, hampir semua manusia mempunyai sebuah akaun dalam media sosial. Baik Facebook, Twitter, Instagram dan pelbagai lagi yang bakal muncul pada masa depan. Akaun blogpost penulis ini pun boleh dimasukkan dalam kategori media sosial. Malah kehadiran Whatsapp, We Chat dan Viber menambah lagi alat untuk manusia berkomunikasi. Bukan sahaja telefon rumah sudah menjadi tidak berguna lagi, malah kegunaan telefon bimbit kita untuk menelefon dan bermesej mungkin akan dianggap ketinggalan zaman pada masa akan datang.
    Penulis hampir terlupa bagaimana kehidupan sebelum kita semua sangat asyik dengan telefon pintar masing-masing. Kita sibuk mencari-cari rakan di media sosial namun melupakan rakan dan keluarga di hadapan kita sendiri. Ironinya kita sendiri menjadi sangat anti sosial, mengadu bermacam-macam di FB  dan Tweet tapi senyap sahaja apabila ditanya pendapat secara berhadapan. Malah kita sangat teringinkan 'like' sehingga sanggup membuat 'post' yang kontroversi. Dari situ berlaku perdebatan FB yang kita tahu kadang-kadang hanya melibatkan orang-orang yang tak pernah mengenal satu sama lain. Orang yang di sebelah sana mungkin sahaja professor, atau mungkin seorang penganggur yang tiada kerja lain.
     Satu aplikasi yang penting dalam media sosial adalah butang 'share'. Sesuatu gambar, video atau 'post' boleh kita kongsikan dengan orang lain. Daripada sinilah datang fenomena 'viral' kerana apabila sesuatu perkara itu menarik minat orang, ramai yang akan share. Ada yang suka share bahan-bahan yang berfaedah seperti kata-kata nasihat, kisah inspirasi dan ayat-ayat Al-Quran atau Hadis. Kebiasaanya tujuan dibuat perkara ini alasannya adalah untuk dakwah. Ada yang suka berkongsi perkara-perkara humor, dan yang lebih teruk lagi yang suka 'share' video atau gambar yang 'horrific' atau menggerunkan. Sekali lagi alasannya adalah untuk dakwah dan mahu membuatkan orang mengingati mati. Walaupun begitu tak pernah lagi kita dengar ada orang yang terus bertaubat nasuha apabila melihat gambar-gambar semacam begitu. Paling kurang mereka akan mengucap 'Astaghfirullah' dan kemudian menyambung kembali pelayarannya di internet.
      Satu perkara yang merisaukan penulis adalah kita begitu percaya dengan segala apa yang dikongsikan dalam media sosial. Kita menekan butang 'share' dengan begitu cepat tanpa memeriksa dahulu kesahihan sumber maklumat. Kadang-kadang maklumat yang diambil itu diambil dari laman yang jelas punya keraguan malah ada sesetengah laman itu memang sengaja membuat cerita-cerita palsu. Tujuannya tak lain adalah untuk humor dan parodi tetapi perkara itu mungkin tidak disedari oleh orang dari negara lain. 
         Malah kesilapan ini bukan sekadar dilakukan oleh orang awam tetapi syarikat-syarikat berita besar juga pernah melakukan kesilapan ini dimana mereka tidak mensahihkan dahulu maklumat yang diterima kerana mahu menjadi laman berita terawal yang menyiarkan berita tergempar. Walaupun begitu wartawan profesional menyedari perkara ini tetapi kadang-kadang mereka menganggap bahawa berita itu akan menjadi basi sekiranya lambat disiarkan dan kadang-kadang mereka tiada sumber kewangan yang mencukup untuk pergi ke tempat kejadian untuk mensahihkan berita. Contoh terbaik perang saudara di Syria. Banyak maklumat diambil dari media sosial hasil liputan orang ramai. Malah begitu banyak video dan gambar tak dapat mereka sahihkan dan sekiranya mereka menyiarkan berita tergempar tersebut, mereka hanya meletakkan sumber mereka dan bergantung kepada penonton untuk percaya atau tidak. Contoh tempatan pula adalah gambar murid yang tersepit di kerusi pada hari pertama persekolahan. Walaupun mungkin ada seorang sahaja yang tersepit namun kerana ada pihak yang menggabungkan gambar-gambar lama dan baru murid tersepit di kerusi maka menghasilkan ilusi seolah-olah tahun ini begitu ramai murid yang tersepit di kerusi. 
      Fenonmena 'viral' ini sebenarnya hanyalah penyakit lama manusia yang suka bertukar-tukar cerita yang tak betul. Cuma sebelum ini mungkin ianya mengambil masa yang lama untuk tersebar tetapi kini dalam masa satu hari boleh tersebar di seluruh dunia. Malah kita juga kena menukar sikap kita yang sangat percayakan dengan maklumat internet. Jangan menganggap ianya sebagai fakta, paling kurang apabila anda membacanya anggap sahaja sebagai satu pendapat. Diminta juga gunakan logik akal sebab kadang-kadang ada maklumat itu sangat mengarut namun sebab orang lain 'share', kita pun share jugak. Maka betullah media sosial ini hanya meningkatkan 'social pressure' kepada orang ramai.

Sunday, December 29, 2013

Ulasan Filem Tokan - Penjenayah juga guna Facebook

       Asalnya mahu merancang menontong filem Walter Mitty, namun akibat malas menunggu lama maka filem 'Tokan' ini ditonton dengan rakan-rakan. Filem ini langsung tak diketahui siapa pelakonnya atau jalan cerita. Boleh kata tonton dengan risiko. Namun sebaik sahaja filem bermula dan melihat nama-nama seperti Pekin Ibrahim dan Wan Hanafi Su maka harapan filem ini akan menjadi bagus semakin tinggi.
       Filem ini boleh dikatakan hampir tiada watak protagonis. Semuanya memang jahat kecuali watak Liyana Jasmay, namun dia sendiri tahu dia dikelilingi oleh orang jahat. Tokan yang bermaksud tokei penjual dadah adalah sebuah cerita yang kita tahu pengakhirannya pasti tak baik dan akan ada orang yang mati. Filem ini menunjukkan bahawa penjenayah juga melalui masalah-masalah yang sama seperti orang biasa. Malah ini ditegaskan lagi dengan kenyataan seorang watak yang mengatakan bahawa berhati-hati dengan orang sekitar kita yang pakai facebook kerana mereka mungkin penjenayah.
     Malah watak Zizan Razak yang sepatutnya menjadi 'pak lawak' dalam cerita ini juga memberi satu persembahan yang mantap dalam menunjukkan watak orang muda yang marah dengan 'bos'nya. Babak-babak terakhir sewaktu bos mereka, Wan Hanafi Su yang mula insaf boleh menjadi menarik sekiranya pengarah pandai memanipulasi cerita dan kurang babak kejar-mengejar.
      Watak bos itu mengingatkan kita kepada watak dalam 'The Godfather' iaitu Michael Corleone yang menjadi ketua gengster kerana mahu melindungi keluarga. Namun babak pembunuhan bos itu sepatutnya boleh menjadi babak dramatik dan bukan sekadar seperti kematian watak sampingan. Inilah salah satu kelemahan filem ini dimana pengarah tak boleh tentukan yang mana satu watak utamanya.
         Salah satu babak yang mencemaskan adalah semasa pembunuh upahan itu bertemu dengan watak Pekin Ibrahim, penolong bos yang setia tetapi tak pernah terjebak dengan dadah. Babak ini menunjukkan Pekin Ibrahim tidak sedar yang lelaki yang menyelamatkan Liyana Jasmay itu adalah pembunuh yang cuba membnunuh 'bos' nya. Tetapi pertembungan ini tidak dikembangkan, malah sewaktu pengakhiran, babak perlawanan antara 2 watak ini juga sangat hambar.
         Filem ini boleh pergi jauh, sekurang-kurangnya mempunyai plot yang menarik dan pelakon yang mantap dibandingkan dengan filem gengster Melayu yang lain. Jelas sekali filem ini mahu mengikut filem-filem gensgter barat. Namun akibat kekangan kewangan mungkin banyak perancangan terpaksa diubah dan terpaksa menayangkan filem yang boleh dianggap biasa-biasa sahaja.

          

Sunday, December 22, 2013

Ulasan Filem - The Hobbit : The Desolation of Smaug



                Filem pertama The Hobbit menerima reaksi yang pelbagai daripada peminat The Lord of the Ring. Ada yang memuji ada yang membenci. Yang memuji banyak yang menumpukan terhadap kesan efek yang lebih cantik terutamanya apabila ditonton dalam 3D. Yang membenci pula tidak suka terhadap plot cerita yang perlahan dan membosankan, di mana kurang aksi dan banyak berjela-jela.
                Namun filem The Hobbit yang kedua ini dirasakan lebih menarik kerana kita tahu pada akhir filem mereka akan berkonfrontasi dengan Naga Smaug. Malah kebanyakan Dwarves yang sebelum ini dilihat sebagai watak sampingan mula menunjukkan karakter dan kita merasakan keinginan mereka yang amat sangat untuk kembali ke tanah air yang dijajah oleh Naga.
                Malah kehadiran bangsa Elves juga menambah perisa filem kerana kita lihat berlaku permusuhan antara mereka dengan Dwarves. Keengganan mereka untuk peka dengan suasana di luar dan hanya mahu meneruskan kehidupan tanpa menghiraukan bangsa lain menunjukkan sikap mereka yang eksklusif dan ianya akan menjadi sangat signifikan apabila mereka akhirnya menolong bangsa Manusia dalam trilogi LOTR untuk mengalahkan musuh yang lebih jahat dan berkuasa.
                Perlu diingat The Hobbit ditulis sebelum LOTR, jadi JRR Tolkien menulis The Hobbit lebih kepada pengembaraan Bilbo Baggins namun LOTR berlaku dalam skala yang lebih besar di mana berlaku peperangan yang maha dahsyat. Namun dalam versi filemnya, kita melihat filem ini memberi satu cerita di mana bermulanya kebangkitan Sauron dan kemungkinan besar kita dapat melihat bagaimana konflik dalam LOTR bermula dalam filem ketiga The Hobbit. Dikatakan bahawa Peter Jackson banyak mengubah plot The Hobbit supaya nampak ada kaitan dengan LOTR walaupun dalam versi novelnya tidak ada.
                Pandangan penulis ini adalah satu tindakan yang bijak kerana medium novel dan filem berlainan. Trilogi file LOTR dipuji kerana berjaya memudahkan novel JRR Tolkien yang sebenarnya lebih panjang dan berlaku dalam jangka masa yang lama kepada hanya 3 filem. Walaupun hakikatnya filem LOTR sebenarnya sangat lama tetapi ianya dianggap satu kejayaan yang bukan mudah dicapai. Penulis mungkin punya ratusan ribu perkataan untuk ditulis tentang kisah yang mereka mahu sampaikan tetapi pengarah filem hanya punya 2 jam untuk bercerita.
                Pengakhiran filem The Hobbit ini juga lebih mencemaskan kerana kemarahan Naga yang mahu menghancurkan penempatan Manusia. Dan Bilbo Baggins merasakan bahawa mereka telah melakukan kesilapan yang besar kerana mengejutkan raksasa dahsyat ini daripada lena yang panjang. Pastinya filem The Hobbit akan ditunggu-tunggu pada tahun 2014.

Wednesday, December 11, 2013

PPSMI : Wrong medication for the wrong disease



            The problem with PPSMI is  still brought to the center whenever someone influential raise it up. Since its inception on 2002 and eventual cancellation on 2009, many organization and individual stand to object the policy or support it. This policy had a big impact on students, teacher, parents, administrator and policy maker. 

             Many student organization such as PKPIM had been in  contact with students who had been effected by this policy in their curriculum and the teacher who is implementing the policy in the classroom. It is no secret that the ministry is not ready to implement this policy because student and teacher itself is not ready, that is the main reason why PPSMI is being cancelled and being replaced with MBMMBI.

            Then, why is there still voices demanding to return us back to this policy? Even worse, some of them even suggested to revert back some of the school to teach all subjects only in English instead of Bahasa Melayu that is become a national policy nowadays. This suggestion is making our Malaysian society even divided as it is.

            We must remember that the reason to implement PPSMI is to enhance the performance of English either in speaking or writing. Ministry thought that by teaching Science and Mathematics in English, then the students fluency in English will increase. They thought wrong and their wrongness had been highlighted by many academician in language and education filed. Many NGO’s that is enganging with civil society also knows that this policy is problematic and pressured the government to drop it.

            The policy not only effecting the English language subject, but also in Science and Mathematics subject. Manys students loose interest in the subject they dont understand, others loose respect to their teacher who themselves cannot speak English properly. But still, the fluency in English that is expected to be materialized is yet to be achieved.

            Instead of stressing to learn Science and Mathematics in English, why not strive to improve our own English learning? If the problem is in English education, solve it properly by making sure the teacher reaches the high standard in education. Always making sure they are equipped with good facilities to help them educate students. Student itself must always be nurtured to love English language, not to view it as a hard subject that is only being taken to pass SPM.

            Giving the wrong medication to the wrong disease will make a patient even more sick. That is what happening when PPSMI is still in implementation. English is seen as a burden and an enemy to the student. Learning language should be voluntary and not to be forced. Lot of improvement can be made if we focus on how to teach instead of continuing debating this polemic. Everybody knows only a few people is still demanding this policy. The reason their voices is being heard is because they have influences.

            The voices of majority should be respected which is to respect Bahasa Melayu as a language of communication in our education. At the same time, we demand that the way of teaching English should be more on making student like the language instead of just try to get A in the subject.