Wednesday, June 26, 2024

6 Sebab Mengapa Zionisme akan Hancur

 


Perang yang dilancarkan oleh rejim Israel ke atas Gaza adalah bertujuan untuk membalas dendam atas serangan balas Hamas pada 7 Oktober 2023. Walaupun secara rasminya rejim Israel menyatakan kepada dunia tujuan perang di Gaza adalah untuk menghancurkan Hamas, namun apa yang berlaku sebenarnya adalah genosi penghapusan etnik Palestin daripada tanah Gaza. Jumlah penduduk Gaza yang terbunuh kini sangat sukar untuk disahkan kerana begitu banyak mayat yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang tumbang kerana roket Israel, di samping pentadbiran awam Gaza seperti kesihatan dan keselamatan yang sudah lumpuh kerana Israel menyasarkan orang penting di Gaza supaya berlaku kekacauan di Gaza kerana tiada struktur kepimpinan. Namun begitu masyarakat di Gaza masih lagi kekal bersatu padu mengharungi genosid, namun begitu, masyarakat Israel mungkin akan hancur dalam masa beberapa tahun. Ini ramalan yang ditulis oleh Ilan Pappe, penulis terkenal mengenai Palestin yang telah menulis beberapa buku seperti Ten Myths About Israel (2017) dan The Ethnic Cleansing of Palestine (2006).

Ilan Pappe lahir di Israel namun beliau telah dihalau keluar kerana mengkritik keras Zionisme dan polisi kejam Israel terhadap orang Palestin. Beliau berpandangan bahawa Zionisme di Israel sudah pun menunjukkan beberapa petanda akan hancur sejak sebelum serangan Hamas lagi. Beliau membuat perbandingan dengan peristiwa yang berlaku di Israel kini dengan peristiwa yang membawa kepada kehancuran aparteid di Afrika Selatan.


Sebab pertama Zionisme akan hancur adalah konflik dalam masyarakat di Israel sendiri. Pada masa kini terdapat dua kumpulan terbesar yang membentuk Israel. Pertama adalah Orang Israel (“State of Israel”) yang diwakili oleh  orang sekular, liberal dan kelas pertengahan yang menyumbang kepada penubuhan rejim Israel pada tahun 1948. Mereka melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat Eropah dan peradaban Barat serta mengambil inspirasi daripada kehidupan di sana. Apa sahaja isu semasa yang berlaku di Eropah akan menjadi perhatian penting bagi mereka. Mereka akan cuba mengikut trend semasa di Barat baik dari segi budaya, sosial dan pandangan politik. Walaupun mereka digelar liberal, hakikatnya istilah itu adalah palsu semata-mata kerana mereka menyokong penuh sistem aparteid di Israel. Mereka mahukan demokrasi di Israel, namun hanya untuk orang Yahudi sahaja, orang Arab diketepikan.

Kumpulan kedua adalah Orang Yahudi (“State of Judea”). Mereka tergolong daripada puak penjajah di Tebing Barat yang sedikit demi sedikit merampas tanah orang Palestin dan menghalau orang asal yang menetap di situ. Mereka menganut fahaman Yahudi nasionalis ekstrem yang mahukan seluruh Israel Raya (termasuk Jordan dan sebahagian Mesir) sebagai negara teokrasi Yahudi. Mereka juga mempunyai agenda untuk menghancurkan Masjid Al-Aqsa dan membina Kuil Ketiga di atas runtuhan Masjid tersebut.

Pertembungan kedua-dua kumpulan semakin meruncing terutamanya apabila perang di Gaza meletus. Ini kerana kebanyakan pemimpin negara dan tentera adalah daripada kumpulan Orang Yahudi yang mahukan orang Palestin tidak wujud dalam Israel Raya. Kumpulan Orang Yahudi ini juga melihat orang sekular Israel sebagai sesat. Ilan Pappe berpandangan bahawa kumpulan ini sudah pun menguasai hampir keseluruhan infrastruktur kerajaan Israel dan mereka yang tidak bersetuju dengan kumpulan ini sudahpun keluar secara beramai-ramai daripada negara Israel. Ini yang kita lihat berlaku di lapangan terbang Tel Aviv.

Sebab kedua kehancuran Israel adalah kerana krisis ekonomi. Kerajaan Israel dilihat tidak mempunyai pelan untuk menyelamatkan Israel daripada krisis ekonomi apabila perang berakhir. Malah apa yang berlaku adalah kerajaan lebih berminat untuk memanjangkan perang di mana kini ada kemungkinan tentera Israel akan bertempur pula dengan Hizbullah di selatan Lubnan. Ekonomi Israel pula menguncup sebanyak 20 peratus sejak akhir tahun 2023. Semakin banyak pelabur besar keluar dan membatalkan pelaburan mereka di Israel kerana melihat negara tersebut tidak stabil dan sedang menghadapi masalah buruh kerana ramai rakyat yang sudah melarikan diri atau dikerah menjadi tentera simpanan Israel. Kerahan tenaga ini juga menyebabkan ramai tentera Israel beranggapan mereka tidak ada lagi masa depan kerana syarikat yang mereka bekerja sebelum ini sudah pun ditutup.

Sebab yang ketiga adalah Israel telah menjadi negara pariah,di mana ia terpinggir daripada masyarakat dunia. Sebelum ini pun Israel sudah berpuluh kali melanggar resolusi PBB, namun mereka masih lagi mendapat perlindungan Amerika Syarikat dan Britain. Tetapi dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menyebabkan lebih banyak negara memutuskan hubungan atau mengurangkan urusan rasmi dengan Israel. Semakin bertambah negara Barat yang mengiktiraf Palestin, di mana baru-baru ini Sepanyol, Ireland dan Sweeden juga turut sama ikut mengiktiraf. Ia juga satu bentuk penentangan ke atas hegemoni Amerika yang masih lagi menyokong segala bentuk tindakan Israel walaupun selepas kes genosid dibuktikan. Bukan sekadar Israel dipinggirkan, malah mana-mana negara, syarikat atau individu yang masih lagi menyokong atau dilihat mesra dengan Israel akan dikritik, diboikot dan dipinggirkan.

Perubahan terbesar yang berlaku selepas meletusnya perang dan genosid di Gaza adalah meningkatnya penolakan golongan orang muda Yahudi terhadap Zionisme. Melalui pendedahan di media sosial, mata hati mereka terbuka dan terdedah dengan semua kekejaman dan agenda rasis Zionisme. Banyak pertubuhan Zionis yang berada di Amerika Syarikat mempromosi Israel dengan menggambarkan Israel sebagai syurga orang Yahudi. Namun hakikatnya syurga tersebut dibina di atas perkuburan orang Palestin. Mereka ditipu dengan propaganda bahawa tanah yang disebut Israel itu tiada penduduk, walhal orang Palestin sudah menghuni tanah yang itu selama ribuan tahun. Organisasi seperti Jewish Voice for Peace membentuk barisan hadapan dalam protes-protes di Amerika Syarikat mengkritik kekejaman Israel serta menyokong hak asasi manusia orang Palestin untuk hidup aman damai. Tanpa sokongan golongan muda Yahudi, pengaruh pelobi Israel seperti AIPAC akan semakin terhakis dan menjauhkan Amerika Syarikat daripada terus menerus membiarkan Israel berleluasa.

Sebab kelima adalah kelemahan tentera Israel sendiri. Mitos bahawa tentera Israel adalah tentera paling kuat di Timur Tengah hancur apabila dengan mudah Hamas menyerang masuk ke dalam kawasan yang dikawal oleh Israel. Israel juga ternyata tidak bersedia dari sudut strategi dan persiapan ketenteraan kerana selepas berbulan lamanya, mereka gagal menghancurkan Hamas di Gaza walaupun kekuatan Hamas tidaklah seberapa sekiranya hendak dibandingkan dengan Israel yang disokong oleh bantuan teknologi daripada Barat. Taktik Israel di Gaza juga menunjukkan kelemahan ketara dan tidak memahami konteks peperangan urban kerana kesempitan wilayah Gaza menyukarkan pergerakan kereta kebal dan membuatkan tentera Israel menjadi sasaran mudah roket Hamas. Ditambah dengan roket daripada Hizbullah dan Iran daripada utara Israel yang mendedahkan kelemahan sistem anti misil Israel seperti Iron Dome tidak berfungsi seperti mana yang diharapkan dan membuatkan rakyat Israel keseluruhan semakin tidak percaya dengan kerajaan dan kekuatan tentera Israel.

Sebab terakhir yang akan membawa kehancuran Zionisme adalah kebangkitan golongan muda yang memperjuangkan Palestin di seluruh dunia. Orang Palestin antara orang Arab yang paling ramai mempunyai sijil pendidikan tinggi dan mampu untuk menyampaikan maklumat tentang perjuangan Palestin dalam pelbagai bahasa. Di dalam pelbagai media, baik media perdana atau alternatif, orang Palestin berjaya meyakinkan ramai pihak mengapa Palestin perlu bebas daripada Zionis dibanding dengan penyokong Zionis yang semakin hari semakin hilang arah dan memalukan diri di hadapan media.

Menurut Ilan Pappe, golongan muda Palestin juga percaya dengan membangunkan organisasi yang demokratik dan “one-state solution” serta menolak “two-state solution” yang dilihat hanya merugikan Palestin dan hanya dijadikan alasan oleh Barat untuk menyokong Israel secara membuta tuli. Apakah bentuk negara Palestin yang baharu pada masa hadapan? Ini hanya boleh dijawab oleh orang Palestin sendiri dan negara luar tidak sepatutnya masuk campur. Selepas 80 tahun Palestin dijajah oleh Israel, ternyata campur tangan luar hanya memburukkan lagi keadaan. Masyarakat luar yang betul-betul murni mahu membantu Palestin perlulah hanya menyokong dan memudah cara, bukan mengarah dan mangawal orang Palestin untuk memenuhi kepentingan negara sendiri. Ada beberapa model yang boleh dijadikan panduan untuk membina negara Palestin seperti mengikut model “canton” di Switzerland atau model Belgium iaitu negara persekutuan yang mengandungi tiga kumpulan penduduk utama iaitu Flemish, French dan Dutch.

Israel berjaya terus kekal selama 80 tahun kerana sokongan Barat. Namun sokongan tersebut semakin mengikis terutamanya dalam kalangan orang muda. Semakin hari semakin bertambah jumlah orang Gaza yang terbunuh, dan tiada negara atau pemimpin yang boleh kekal dengan membunuh begitu ramai orang. Ini yang berlaku kepada Nazi Jerman pada Perang Dunia Kedua, Khemer Rouge di Kemboja dan Slobodan Milosevic pemimpin Serbia yang melakukan genosid ke atas Bosnia. Israel dan Zionisme akan pasti hancur, namun adakah umat Islam sudah bersedia dengan tanah Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang merdeka?


Oleh Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin


Penulis adalah graduan daripada ISTAC-IIUM dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam. Beliau juga adalah Exco Tugas-Tugas Khas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Tulisan ini diubah suai daripada tulisan Ilan Pappe bertajuk The Collapse of Zionism yang diterbitkan dalam laman web New Left Review.


No comments:

Post a Comment