Asalnya mahu merancang menontong filem Walter Mitty, namun akibat malas menunggu lama maka filem 'Tokan' ini ditonton dengan rakan-rakan. Filem ini langsung tak diketahui siapa pelakonnya atau jalan cerita. Boleh kata tonton dengan risiko. Namun sebaik sahaja filem bermula dan melihat nama-nama seperti Pekin Ibrahim dan Wan Hanafi Su maka harapan filem ini akan menjadi bagus semakin tinggi.
Filem ini boleh dikatakan hampir tiada watak protagonis. Semuanya memang jahat kecuali watak Liyana Jasmay, namun dia sendiri tahu dia dikelilingi oleh orang jahat. Tokan yang bermaksud tokei penjual dadah adalah sebuah cerita yang kita tahu pengakhirannya pasti tak baik dan akan ada orang yang mati. Filem ini menunjukkan bahawa penjenayah juga melalui masalah-masalah yang sama seperti orang biasa. Malah ini ditegaskan lagi dengan kenyataan seorang watak yang mengatakan bahawa berhati-hati dengan orang sekitar kita yang pakai facebook kerana mereka mungkin penjenayah.
Malah watak Zizan Razak yang sepatutnya menjadi 'pak lawak' dalam cerita ini juga memberi satu persembahan yang mantap dalam menunjukkan watak orang muda yang marah dengan 'bos'nya. Babak-babak terakhir sewaktu bos mereka, Wan Hanafi Su yang mula insaf boleh menjadi menarik sekiranya pengarah pandai memanipulasi cerita dan kurang babak kejar-mengejar.
Watak bos itu mengingatkan kita kepada watak dalam 'The Godfather' iaitu Michael Corleone yang menjadi ketua gengster kerana mahu melindungi keluarga. Namun babak pembunuhan bos itu sepatutnya boleh menjadi babak dramatik dan bukan sekadar seperti kematian watak sampingan. Inilah salah satu kelemahan filem ini dimana pengarah tak boleh tentukan yang mana satu watak utamanya.
Salah satu babak yang mencemaskan adalah semasa pembunuh upahan itu bertemu dengan watak Pekin Ibrahim, penolong bos yang setia tetapi tak pernah terjebak dengan dadah. Babak ini menunjukkan Pekin Ibrahim tidak sedar yang lelaki yang menyelamatkan Liyana Jasmay itu adalah pembunuh yang cuba membnunuh 'bos' nya. Tetapi pertembungan ini tidak dikembangkan, malah sewaktu pengakhiran, babak perlawanan antara 2 watak ini juga sangat hambar.Filem ini boleh pergi jauh, sekurang-kurangnya mempunyai plot yang menarik dan pelakon yang mantap dibandingkan dengan filem gengster Melayu yang lain. Jelas sekali filem ini mahu mengikut filem-filem gensgter barat. Namun akibat kekangan kewangan mungkin banyak perancangan terpaksa diubah dan terpaksa menayangkan filem yang boleh dianggap biasa-biasa sahaja.
No comments:
Post a Comment