Filem pertama The Hobbit
menerima reaksi yang pelbagai daripada peminat The Lord of the Ring. Ada yang
memuji ada yang membenci. Yang memuji banyak yang menumpukan terhadap kesan
efek yang lebih cantik terutamanya apabila ditonton dalam 3D. Yang membenci pula
tidak suka terhadap plot cerita yang perlahan dan membosankan, di mana kurang
aksi dan banyak berjela-jela.
Namun filem The Hobbit yang
kedua ini dirasakan lebih menarik kerana kita tahu pada akhir filem mereka akan
berkonfrontasi dengan Naga Smaug. Malah kebanyakan Dwarves yang sebelum ini
dilihat sebagai watak sampingan mula menunjukkan karakter dan kita merasakan
keinginan mereka yang amat sangat untuk kembali ke tanah air yang dijajah oleh
Naga.
Malah kehadiran bangsa Elves
juga menambah perisa filem kerana kita lihat berlaku permusuhan antara mereka
dengan Dwarves. Keengganan mereka untuk peka dengan suasana di luar dan hanya
mahu meneruskan kehidupan tanpa menghiraukan bangsa lain menunjukkan sikap
mereka yang eksklusif dan ianya akan menjadi sangat signifikan apabila mereka
akhirnya menolong bangsa Manusia dalam trilogi LOTR untuk mengalahkan musuh
yang lebih jahat dan berkuasa.
Perlu diingat The Hobbit ditulis
sebelum LOTR, jadi JRR Tolkien menulis The Hobbit lebih kepada pengembaraan
Bilbo Baggins namun LOTR berlaku dalam skala yang lebih besar di mana berlaku
peperangan yang maha dahsyat. Namun dalam versi filemnya, kita melihat filem
ini memberi satu cerita di mana bermulanya kebangkitan Sauron dan kemungkinan
besar kita dapat melihat bagaimana konflik dalam LOTR bermula dalam filem
ketiga The Hobbit. Dikatakan bahawa Peter Jackson banyak mengubah plot The
Hobbit supaya nampak ada kaitan dengan LOTR walaupun dalam versi novelnya tidak
ada.
Pandangan penulis ini adalah
satu tindakan yang bijak kerana medium novel dan filem berlainan. Trilogi file
LOTR dipuji kerana berjaya memudahkan novel JRR Tolkien yang sebenarnya lebih
panjang dan berlaku dalam jangka masa yang lama kepada hanya 3 filem. Walaupun
hakikatnya filem LOTR sebenarnya sangat lama tetapi ianya dianggap satu
kejayaan yang bukan mudah dicapai. Penulis mungkin punya ratusan ribu perkataan
untuk ditulis tentang kisah yang mereka mahu sampaikan tetapi pengarah filem
hanya punya 2 jam untuk bercerita.
Pengakhiran filem The Hobbit ini
juga lebih mencemaskan kerana kemarahan Naga yang mahu menghancurkan penempatan
Manusia. Dan Bilbo Baggins merasakan bahawa mereka telah melakukan kesilapan
yang besar kerana mengejutkan raksasa dahsyat ini daripada lena yang panjang.
Pastinya filem The Hobbit akan ditunggu-tunggu pada tahun 2014.
No comments:
Post a Comment