Showing posts with label Current Issues. Show all posts
Showing posts with label Current Issues. Show all posts

Sunday, April 12, 2020

Elemen Pertahanan Dalam Kementerian Kesihatan



Dalam teori politik, sesebuah negara hanya boleh berfungsi sekiranya kerajaan dapat menjamin keselamatan rakyatnya. Sebab itulah kerajaan menubuhkan polis dan tentera serta memastikan mereka mempunyai dana dan peralatan yang cukup untuk menjalankan tugas. Di dalam konteks Malaysia, polis dan tentera mempunyai kad pengenalan tersendiri. Ianya sebagai bukti mereka bukan penjawat awam biasa. Sekiranya kerajaan gagal menjaga keselamatan, rakyat mungkin terpaksa mengangkat senjata sendiri, atau berisiko tercetusnya perang saudara dengan pemberontak yang merasakan mereka boleh menguasai negara sekiranya mengalahkan tentera kerajaan.

Ada juga beberapa buah negara seperti Singapura dan Korea Selatan yang membuat kerahan tenaga ke atas seluruh rakyat. Belia yang berumur sekitar awal 20-an diwajibkan menjalani latihan tentera, malah berkhidmat sehingga beberapa tahun sebagai tentera dan menetap di berek. Ianya sebagai persiapan untuk melawan mana-mana negara lain yang cuba menyerang negara. Dalam konteks Singapura, oleh kerana negaranya kecil, maka semua rakyat patut bersiap-sedia mengangkat senjata. Manakala dalam konteks Korea Selatan pula mereka melakukan kerahan tenaga kerana negara mereka masih lagi secara rasmi berperang dengan Korea Utara. Malaysia pernah mempunyai program Khidmat Negara, namun ianya tidak banyak bersifat ketenteraan, namun lebih memfokuskan kepada pembinaan jati diri dan perpaduan antara kaum.

Dunia sekarang sedang berperang dengan Covid-19, sebuah musuh yang tidak dapat dikesan dengan mata kasar. Ianya juga tidak rasional dan menjangkiti semua orang, tidak kira status ataupun warna kulit. Ianya tidak dapat dibeli dan kita tidak boleh meminta Covid-19 melakukan gencatan senjata, semata-mata kerana hendak merawat orang yang sakit ataupun mereka yang terputus bekalan. Walaupun banyak negara yang terlibat dengan perang Covid-19 telah mengerahkan tentera, mereka hanya terlibat dengan kawalan keselamatan dan pergerakan. Tidak ada satu peluru pun yang ditembak untuk membunuh Covid-19. Tugas membunuh Covid-19 terletak pada tangan doktor dan petugas kesihatan di wad kecemasan klinik dan hospital. Mereka terpaksa memakai pakaian PPE yang berat untuk melawan musuh ini. Jika tidak, mereka mungkin akan dijangkiti. Covid-19 juga langsung tidak berehat, menyebabkan pihak kesihatan juga tidak boleh berehat, 24 jam berperang dan bertukar-tukar syif dengan sumber manusia yang terhad. Mereka digelar sebagai frontliner, kerana kalau mereka kalah, seluruh penyakit Covid-19 akan tersebar dan menyerang manusia.

Keterlibatan doktor bukan perkara baru di dalam perang. Perang pada zaman dahulu menggunakan wanita sebagai doktor untuk menyembuhkan mereka yang tercedera. Di dalam Perang Crimea pada tahun 1850-an, Florence Nightingale, seorang jururawat British sanggup meredah medan perang untuk menyelamatkan tentera yang cedera. Ini mengurangkan jumlah tentera yang mati kerana kecederaan. Pertubuhan Bulan Sabit Merah pula ditubuhkan selepas perang di Itali pada tahun 1860-an. Mereka berazam untuk memastikan semua tentera yang cedera mendapat rawatan, tidak kira tentera tersebut daripada pihak kawan atau lawan. Di dalam buku Lawrence Freedman bertajuk The Future of War, salah satu inovasi tentera Amerika Syarikat adalah memastikan setiap unit tentera mempunyai doktor untuk merawat kecederaan dengan segera. Malah tentera Amerika juga dengan cepat cuba membawa mereka yang tercedera balik ke pangkalan. Ini mengurangkan kematian serta tentera yang cedera boleh sembuh dengan cepat dan kembali bertugas dengan segera.

Tetapi bagaimana pula dengan perang Covid-19? Doktor dan jururawat yang sepatutnya menjadi staf sokongan, terpaksa menjadi barisan hadapan, manakala tentera yang sebelum ini berlatih dan bersiap siaga untuk peperangan, menjadi staf sokongan pula. Ternyata cara negara membuat polisi pertahanan perlu berubah selepas musuh Covid-19 dapat dikalahkan. Kementerian Kesihatan perlu mempunyai mentaliti peperangan sekiranya pandemik global berlaku lagi. Setiap pengarah Hospital perlu bertindak sebagai jeneral di medan perang. Doktor dan petugas kesihatan perlu diberi kad pengenalan khas untuk membolehkan mereka cepat bergerak. Belanjawan Kementerian Kesihatan perlu ditingkatkan, terutamanya pembelian fasiliti dan peralatan. Penyelidikan mengenai kesihatan perlu diutamakan. Dari sudut pendidikan pula, setiap pelajar perlu diajar asas perubatan supaya bersedia dengan segala kemungkinan. 

Pihak keselamatan seperti tentera, polis, bomba dan maritim mempunyai tugas besar dalam pandemik global. Mereka perlu mengawal faktor yang paling penting dalam perang iaitu manusia. Dalam hal ini, psikologi manusia perlu difahami. Manusia adalah makhluk sosial yang memerlukan perhubungan sesama manusia. Dengan teknologi sekarang, kita ada media sosial untuk meneruskan perhubungan dengan manusia lain. Namun hubungan dalam maya tidak cukup dan lambat-laun manusia akan mula mencari benda yang sebenar. Hatta introvert dan anti-sosial yang kronik pun akan cuba mencari sebab untuk keluar dalam suasana perintah berkurung. Di sini tugas pihak keselamatan untuk memastikan bekalan makanan cukup serta interaksi manusia tetap wujud walaupun dengan penjarakkan sosial. Bagaimana kesihatan mental rakyat yang terkurung? Kalau polis dan tentera tidak mampu, mungkin pada masa hadapan, kerajaan perlu memecahkan Kementerian Kesihatan kepada dua, Kesihatan Fizikal dan Kesihatan Mental.

Thursday, May 16, 2019

Pakatan Harapan Boleh Belajar Daripada Mesir Purba



Setelah setahun pemerintahan Pakatan Harapan, pelbagai pandangan telah dikemukakan tentang prestasi mereka. Rata-rata memberi mata negatif ataupun hanya memuaskan dan banyak perlu dibaiki. Bagi Perdana Menteri sendiri, beliau memberi markah kepada kerajaan baharu 39 peratus.  Beberapa NGO dan institut kaji selidik pula lebih melihat kepada pelaksanaan manifesto, di mana kebanyakannya sudah ditunaikan sepeti pemansuhan GST, memperkenalkan caruman KWSP kepada suri rumah dan membuat siasatan mengenai kes-kes korupsi yang melibatkan menteri pada zaman dahulu.

Bagi sesetengah pengundi Pakatan Harapan semasa PRU yang lalu. Perubahan yang dilakukan kerajaan baharu adalah sangat perlahan. Mereka mahukan semua manifesto ditunaikan, malah meminta lebih daripada apa yang dijanjikan. Mereka juga mahukan menteri-menteri dan ahli parlimen melakukan tugas secara sempuran dan tidak boleh ada kecacatan. Namun ada pula pandangan bahawa perubahan perlu mengambil masa. Sekiranya berlaku secara mengejut, rakyat akan menolaknya.

Berapa lama sebenarnya tempoh yang rakyat boleh terima supaya perubahan betul-betul berlaku dalam Malaysia Baharu? Adakah rakyat perlu menunggu sehingga PRU ke-15? Ataupun semua janji ini hanya tinggal janji dan tidak dapat ditunaikan oleh kerajaan.

Apabila membuat refleksi sejarah lampau dengan mengambil Mesir Purba sebagai contoh. Ianya adalah sebuah peradaban yang wujud di sepanjang Sungai Nil bermula 3100 Sebelum Masihi dan diperintah hampir beratus firaun dengan 30 dinasti direkodkan sepanjang sejarah. Sumbangan Mesir Purba masih lagi dikaji sehingga sekarang seperti dalam industri pembinaan, perubatan dan pertanian. Namun peradaban ini akhirnya mengalami kejatuhan pada tahun 332 Sebelum Masihi apabila tentera Alexander the Great daripada Macedonia menawan Mesir dan akhirnya menubuhkan kerajaan baharu di sana. Ianya disebut sebagai Dinasti Ptolemy.

Satu perkara yang menarik mengenai dinasti ini adalah walaupun mereka berasal daripada Greek, namun mereka cuba sedaya upaya untuk meniru semula peradaban Mesir Purba. Sebagai contoh, membina kuil-kuil Tuhan Mesir Purba seperti Horus di Edfu serta menggunakan gelaran yang sama iaitu Firaun. Sejarawan menyebut tindakan kerajaan baharu ini melakukan peniruan itu adalah untuk menunjukkan kepada rakyat Mesir bahawa mereka adalah penyambung legasi peradaban Mesir Purba yang sudah beribu tahun lamanya. Selain itu, ianya adalah satu petunjuk di mana peradaban Yunani juga sangat memandang tinggi peradaban Mesir Purba dan mengambil banyak inspirasi daripada mereka.

Kembali ke zaman kini, kita melihat kerajaan Pakatan menyambung beberapa perancangan daripada zaman kerajaan BN. Sebagai contoh, Bantuan Sara Hidup (yang dahulunya disebut BR1M) masih diteruskan dan pembinaan ECRL ke Pantai Timur disambung semula dengan pengurangan kos. Ada yang berpendapat bahawa ini menunjukkan kerajaan Pakatan tidak ada idea baru. Namun apa salahnya sekiranya idea dan perancangan yang bagus dikekalkan untuk kebaikan rakyat?

Oleh itu, kerajaan Pakatan boleh mengambi iktibar daripada sejarah lampau bahawa tidak ada masalah untuk meniru perbuatan orang-orang dahulu sekiranya ianya bagus. Yang tidak bagus pula kita buangkan. Seperti kata pepatah Melayu, “Buang yang keruh, ambillah yang jernih.”

Thursday, January 18, 2018

Perbahasan Antara Pengundi Pakatan Rakyat Dengan Petugas Pakatan Harapan




Johan sedang memandu kereta hendak pulang ke rumahnya selepas menghadiri Himpunan 8 Mei di Kelana Jaya untuk membantah penipuan semasa Pilihanraya ke-13 yang baharu sahaja selesai. Pilihanraya tersebut dimenangi oleh Barisan Nasional dengan perbezaan kerusi yang tipis. Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, DAP dan PKR kekal menguasai negeri Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Tetapi malangnya kehilangan negeri Kedah. 

Johan mahu singgah di stesen minyak untuk pergi ke tandas sebentar. Beliau memberhentikan kereta berdekatan tandas dan masuk selama 5 minit. Selepas sahaja keluar, Johan terkejut kerana tidak menemui kereta beliau. Johan mencari-cari di sekitar stesen tersebut dan ternampak ada satu bilik gerakan di sebelah stesen minyak itu. Mungkin orang di situ ternampak keretanya. Nampaknya bilik gerakan tersebut masih ramai petugas parti walaupun pilihanraya dah berakhir. 

Johan terkejut apabila masuk ke dalam bilik gerakan tersebut. Johan melihat poster Mahathir Mohamad ditampal di dinding-dinding. Johan juga hanya mengenali dua sahaja Bendera-bendera yang berkibar di sekitar bilik gerakan tersebut iaitu bendera DAP dan PKR. Namun Johan tidak mengenali 2 lagi bendera yang lain. Satu bendera berwarna oren, dan satu lagi berwarna merah. Kemudian di atas bilik gerakan tersebut terdapat sebuah banner besar dengan nama Pakatan Harapan.
Johan bertanya dengan salah seorang petugas di situ.

Johan    :               Kenapa Bilik Gerakan di sini masih ramai? Bukankah Pilihanraya sudah berakhir?

Petugas :             Pilihanraya hanya beberapa minggu lagi. Nah tuan, ambil flyer ini. Undilah
                                calon Pakatan Harapan.

Johan    :               Pakatan Harapan? Apa tu? Bukankah Pakatan Rakyat?

Petugas :             Pakatan Rakyat itu dulu. Sekarang kita dikenali sebagai Pakatan Harapan. Sama sahaja. Cuma tiada PAS. Kita ganti dengan Amanah.

Johan    :               Kenapa PAS tiada? Amanah ni datang dari mana?

Petugas:              PAS yang nak bertanding sendiri. Mereka tidak mahu bekerjasama dengan parti lain. Tetapi ramai orang PAS yang keluar parti dan menyertai Amanah. Kami juga tidak percaya dengan PAS kerana mereka membuat perjanjian dengan BN. Sebab itu jangan undi diorang. 

Johan    :               Apa pula parti bendera warna merah ni? Nampak macam UMNO je. 

Petugas :             Itu parti Bersatu. Banyak bekas orang UMNO masuk parti ni. Diorang dah serik
                                dengan Najib.

Johan    :               Kenapa ada poster Mahathir belakang tu? Mana Anwar Ibrahim?

Petugas :             Anwar Ibrahim sekarang di dalam penjara. Tak boleh jadi Perdana Menteri. Oleh
                             itu,  pilihan yang kita ada hanyalah Mahathir.

Johan    :               Mana pemimpin muda yang lain? Mahathir ni boleh percaya ke?

Petugas :             Mahathir ni dah minta maaf. Jadi boleh percaya. Pemimpin lain tiada pengalaman.
                                Mahathir pula dah ada pengalaman selama 22 tahun. Rakyat kena bagi peluang  
                                kedua kepada Mahathir.

Johan    :               Tapi bukankah kerana dia menjadi PM lama sangat yang menyebabkan Malaysia
                               jadi macam sekarang. Kenapa tidak bagi peluang kedua kepada Najib?

Petugas :             Najib lagi teruk daripada Mahathir.

Johan    :               Saya sebelum ini mengundi Pakatan Rakyat. Tak kenal la Pakatan Harapan ni. 

Petugas:              Kalau abang tak mengundi Pakatan Harapan, maksudnya abang ni menyokong
                                Barisan Nasional.

Johan berasa aneh kenapa petugas bilik gerakan ini menuduh dia macam itu pula. Johan terus keluar dari bilik gerakan tersebut, menghala semula ke arah stesen minyak. Mungkin dia terlepas pandang kereta beliau. Tetapi sebelumitu, dia mahu pergi ke tandas semula. Selepas keluar dari tandas, beliau ternampak kembali kereta yang beliau letakkan di hadapan stesen minyak. Johan masuk ke dalam kereta dan terus menghala ke rumah. Dalam perjalanan pulang, beliau melihat poster dan billboard dengan gambar Anwar Ibrahim. Nampaknya dunia kembali normal.

Friday, April 21, 2017

Referendum Turki : Dari Sistem Berparlimen ke Sistem Kepresidenan


Pada 19 April yang lalu, ABIM menganjurkan sebuah forum yang membincangkan tentang keputusan referendum di Turki. Referendum tersebut dibuat oleh kerajaan yang diketuai oleh AKP di mana ianya memberi pilihan kepada rakyat untuk menjawab “Ya” atau “Tidak” dalam meningkatkan kuasa Presiden Turki. Lebih 50 peratus menjawab “Ya” manakala 40 peratus lagi menjawab “Tidak.” Forum ini menampilkan Tuan Haji Ahmad Azam, Presiden WADAH dan juga Penolong Setiausaha Agung UNIW, sebuah NGO antarabangsa berpangkalan di Turki. Panel kedua pula adalah Dr Mehmet Ozay, koresponden Anadolu Press di Kuala Lumpur.

Sistem kerajaan di Turki sebenarnya lebih kurang sama dengan Malaysia di mana semasa pilihanraya, rakyat akan memilih parti politik yang mereka sukai. Kemudian jumlah undi tersebut menentukan berapa ramai bilangan ahli parlimen yang akan dilantik oleh parti. Parti yang paling banyak ahli parlimen adalah parti yang akan menjadi kerajaan. Presiden pula dipilih oleh rakyat secara terus. Namun, di dalam perlembagaan, Presiden tidak mempunyai kuasa berbanding dengan Perdana Menteri. Namun, dalam sejarah politik Turki, sering kali Presiden dan Perdana Menteri bertembung walaupun daripada sama parti. Ini menyebabkan kerajaan yang memerintah tidak dapat berfungsi dengan baik. 

Walaupun Recep Tayyib Erdogan baru sahaja menjadi Presiden pada tahun 2015, namun oleh kerana beliau telah menjadi Perdana Menteri sejak tahun 2002, beliau mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan parti dan rakyat. Ini menyebabkan beliau mempunyai kedudukan yang unik untuk membuat reformasi dalam sistem kerajaan Turki. Walaupun begitu, usaha yang dipopularkan oleh Erdogan ini telah dilihat sebagai cubaan untuk mengekalkan kuasa beliau walaupun hakikatnya cadangan untuk meningkatkan kuasa Presiden ini telah mula disebut sejak zaman Turgut Ozal.

Rakyat Turki mahukan negara mereka lebih maju dan berpengaruh dalam pentas dunia. Walaupun kerajaan AKP berjaya menaikkan taraf negara mereka, namun ditakuti sekiranya berlaku krisis politik pada masa hadapan, negara mereka akan kucar-kacir kembali. Oleh itu, mereka perlukan kepimpinan yang kuat daripada seorang ketua seperti Presiden. Sistem yang sama juga sudah pun berlaku di Amerika Syarikat, Perancis dan Indonesia di mana Presiden adalah ketua kerajaan dan negara yang berpengaruh dan dapat melakukan polisi mereka dengan lebih cepat. Walaupun begitu, parlimen dan kehakiman perlu sentiasa menjadi semak dan imbang kepada kuasa presiden. Itulah yang membimbangkan ramai pemerhati luar dan sebahagian rakyat Turki sendiri apabila mereka melihat Presiden Erdogan terlampau berkuasa. Dalam negara yang system demokrasi berfungsi, Presiden atau Perdana Menteri sentiasa dipantau oleh ahli-ahli parlimen yang dilantik rakyat serta hakim-hakim yang bebas dan adil. Oleh itu, baik system berparlimen atau presiden, kedua-duanya perlu mendapat sokongan majority rakyat untuk berfungsi dengan baik.