Showing posts with label Films. Show all posts
Showing posts with label Films. Show all posts

Friday, May 8, 2020

Ulasan Siri Dokumentari Who Killed Malcolm X?



Malcolm X adalah seorang tokoh aktivis hak asasi orang kulit hitam di Amerika Syarikat. Beliau juga adalah orang Islam Amerika yang paling terkenal dalam Dunia Islam. Beliau terlibat aktif dalam organisasi Nation of Islam dan menjadi penceramah terkenal menjelajah seluruh negara mengenai penindasan orang kulit putih terhadap orang kulit hitam di Amerika. Beliau dikenali sebagai seorang orator yang unik serta mampu menyampaikan ceramah yang membuatkan pendengarnya bersemangat. Walaupun beliau tidak pernah belajar di universiti, isi ceramahnya berjaya membuat pendengar berfikir dengan lebih mendalam tentang situasi hubungan kaum di Amerika. 

Namun pada 21 Febuari 1965, Malcolm X dibunuh di dalam sebuah dewan di New York semasa sedang berucap. Beliau ditembak mati dengan senapang patah. Seorang suspek pembunuh ditangkap diluar dewan. Manakala 2 orang lagi suspek ditangkap keeesokan harinya. Ketiga-tiga suspek melalui perbicaraan dan akhirnya disabitkan kesalahan serta dihukum penjara selama 20 tahun. Namun kira-kira 10 tahun kemudian, suspek yang ditangkap di luar dewan, Talmadge Hayer membuat pengakuan bahawa 2 orang suspek lain yang ditangkap sebenarnya tidak bersalah. Dia serta 4 orang lain yang berkomplot membunuh Malcolm X. Maksudnya ada lagi 4 orang suspek pembunuh Malcolm X yang sedang berleluasa. Dia berharap dua orang yang tidak bersalah itu dilepaskan segera. Kes ini cuba dibuka semula oleh peguambela namun ditolak oleh mahkamah.

Siri dokumentari Who Killed Malcolm X yang sedang ditayangkan di Netflix adalah hasil siasatan seorang wartawan bernama Abdul-Rahman Muhamad. Beliau telah mengikuti kes pembunuhan Malcolm X begitu lama dan kecewa kenapa kerajaan Amerika Syarikat tidak serius membuat siasatan. Beliau telah mengkaji rekod pihak polis New York sejak tahun 1965 dan berpendapat bahawa mereka telah melakukan siasatan sambil lewa. Malah pihak polis New York tidak memberi perlindungan yang secukupnya kepada Malcolm X walaupun mereka tahu Malcolm X menerima ancaman bunuh. Abdul-Rahman Muhamad juga berjaya mengkaji fail kes FBI dan mendapati mereka mempunyai rekod yang cukup untuk membuat siasatan lanjut mengenai siapa sebenarnya pembunuh Malcolm X. Namun FBI tidak meneruskan siasatan dan cepat sahaja menutup kes tersebut.

Namun konspirator pembunuh Malcolm X yang paling utama adalah Nation of Islam yang diketuai oleh Elijah Muhamad. Elijah adalah guru spiritual kepada Malcolm X dan orang yang sama menarik beliau masuk Islam. Namun akibat perbezaan pendekatan dan fitnah orang sekeliling, menyebabkan hubungan Elijah Muhamad dan Malcom X menjadi retak. 3 orang suspek pembunuh termasuk Talmadge Hayer adalah ahli Nation of Islam. Namun kepimpinan Nation of Islam menafikan organisasi mereka terlibat dengan pembunuhan Malcolm X. Kenyataan rasmi mereka menggambarkan Malcolm X telah dibunuh oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan sikap dan ucapan Malcolm X yang penuh kebencian. 

Dokumentari 6 episod ini amat unik kerana berjaya menemuramah ramai pengikut Nation of Islam yang mengenali Malcolm X sejak tahun 1950-an. Disitu dapat dilihat hubungan kompleks antara Malcolm X dan Nation of Islam. Bagi mereka Malcolm X tidak mengenang budi dengan jasa Elijah Muhamad. Namun ada yang berpendapat bahawa peranan Malcolm X yang membuat Nation of Islam menjadi sebuah organisasi nasional yang popular. Dokumentari juga cuba menyiasat mengapa ramai yang tidak kisah tentang siapa yang membunuh Malcolm X, walaupun ramai orang Amerika terutamanya orang kulit hitam menjadikan Malcolm X sebagai idola. Bagi Abdul-Rahman Muhamad, ianya satu ketidakadilan walaupun banyak bukti telah dijumpai bahawa suspek yang dipenjarakan tidak bersalah.Kita sebagai umat Islam di Malaysia juga boleh menonton dokumentari ini dan memahami peranan Nation of Islam dalam menyebarkan islam kepada kalangan orang kulit hitam.

Saturday, April 25, 2020

Ulasan Filem Parasite



Parasite, sebuah filem Korea Selatan arahan Bon Joon-Ho menang anugerah Palme d’Or di Festival Filem Cannes (anugerah tertinggi filem di Perancis) dan Filem Terbaik di Anugerah Akademi Oscar (anugerah tertinggi filem di Amerika Syarikat). Ianya mengisahkan mengenai sebuah keluarga miskin yang menggunakan helah untuk bekerja di kediaman keluarga berada. Ianya bermula apabila si anak lelaki, Kevin mahu bekerja sebagai tutor bahasa Inggeris di kediaman keluarga berada kerana ianya menawarkan gaji yang lumayan. Tetapi dia tidak mempunyai kelulusan daripada universiti luar negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Dia hanyalah lulusan universiti tempatan di Korea. Akhirnya untuk meyakinkan puan keluarga berada tersebut, dia memalsukan sijil akademik.

Penipuan keluarga Kim (keluarga miskin) bertambah apabila adik perempuannya, Choi pula ditawarkan bekerja sebagai tutor seni keluarga berada tersebut, di atas cadangan Kevin. Namun puan keluarga berada itu tidak tahu yang Kevin dan Choi adalah adik-beradik. Kemudian Choi pula membuat rancangan menukar pemandu dan orang gaji kediaman keluarga berada tersebut dengan ayah dan ibu mereka. Dengan pelbagai helah dan penipuan, akhirnya mereka berempat berjaya menjadi pekerja di kediaman keluarga berada tersebut tanpa pengetahuan puan dan suaminya bahawa mereka sebenarnya adalah satu keluarga. 

Filem ini menunjukkan bahawa keluarga miskin bukanlah miskin kerana mereka tidak bijak dan tidak berusaha. Malah, pada awal filem, ditunjukkan bahawa mereka telah membuat pekerjaan yang pelbagai, namun gaji yang diperoleh tetap sedikit. Keluarga Kim berjaya mencapai kejayaan setelah memanipulasi hubungan baik dengan salah seorang kawan keluarga berada tersebut, dan juga beberapa tipu helah. Filem ini juga menunjukkan bahawa keluarga berada tersebut tidaklah terlalu cerdik. Mereka senang tertipu kerana memandang rendah orang miskin dan juga cepat percaya dengan cakap-cakap orang serta dokumen palsu.

Tema filem ini pada awalnya adalah satira hubungan antara kelas di Korea Selatan. Ianya menunjukkan hubungan yang kompleks antara yang kaya dan miskin. Filem ini membawa kepada konflik di dalam kalangan orang miskin pula, di mana mereka sanggup menggunakan keganasan semata-mata untuk mendapatkan manfaat setelah memanipulasi keluarga berada. Sebuah masyarakat yang menjadikan kejayaan material dan kekayaan wang semata-mata akan melahirkan konflik dan penipuan yang tidak berkesudahan.

Friday, January 5, 2018

Ulasan Filem Jibam

Bukan mudah hendak membikin filem adaptasi daripada novel. Banyak elemen yang mungkin menarik dalam bentuk tulisan tetapi apabila diterjemahkan ke dalam bentuk audio-visual, seringkali tak kena ataupun ‘lost in translation’. Kerisauan itulah yang penulis bimbangkan sebelum hendak menonton filem Jibam, arahan Che Mie, lakonan Mohd Ariff sebagai watak utama Jibam. Ianya adalah adaptasi daripada novel Jibam tulisan Ujang yang diterbitkan pada tahun 1992. Namun, selepas penulis menonton filem ini, penulis berminat untuk membaca novel Jibam. Ini petanda bahawa filem ini berjaya dalam misinya iaitu menceritakan kisah Jibam, sejarah keluarganya dan orang-orang kampung Jibam yang memberi kesan kepada Jibam atau terkesan dengan tindakan Jibam.

Watak Jibam adalah seorang kanak-kanak yang boleh dikatakan tidak siuman. Beliau dibuli oleh kanak-kanak lain yang tidak faham mengapa Jibam membuat perkara yang aneh. Namun begitu, keluarga Jibam dan penduduk kampung tetap menyayangi Jibam dan memastikan Jibam tidak membuat perkara yang merbahaya. Selain daripada Jibam, filem ini juga berlegar tentang misteri kematian ayah Jibam serta layanan Tok Ngah Sudin kepada Jibam. Jibam seringkali mengganggu ketenteraman Tok Ngah Sudin, menyebabkan beliau bersikap kasar dan sering kali memukul Jibam. Walaupun begitu, oleh kerana Jibam kurang mengerti, beliau masih lagi mahu meluangkan masa dengan Tok Ngah Sudin walaupun berkali-kali dihalau.

Filem ini sangat bagus dalam memaparkan suasana penduduk kampung. Namun sukar untuk memastikan tahun bilakah sepatutnya latar masa filem ini. Namun, lakonan setiap penduduk kampung sangat berkesan terutamanya reaksi mereka kepada Jibam dan kesusahan keluarga Jibam. Ini kerana ayah Jibam dianggap orang yang berjasa kepada kampung, oleh itu mereka mahu membantu keluarga Jibam seboleh mungkin. 

Ada beberapa babak melibatkan Tok Ngah Sudin memukul Jibam. Ada yang menjadi babak komedi, namun ada juga penulis merasakan ianya adalah penderaan kanak-kanak. Memang sebagai penonton, kita mungkin memikirkan mengapa Tok Ngah Sudin sangat membenci Jibam. Namun begitu, misteri ini akan dijawab pada pengakhiran. Kita sebagai penonton juga akan berasa kasihan dengan Tok Ngah Sudin, walaupun pada awalnya kita bencikan watak ini.

Penulis memuji pembikinan filem ini yang mengambil kira lakonan serta cerita yang mahu disampaikan, namun bersesuaian dengan medium filem. Boleh sahaja pembikin filem membuat filem biasa sahaja, menjadikan ianya seperti drama komedi yang sering kita tonton di televisyen. Namun kerana ketelitian pembikin filem, terutamanya dalam memaparkan suasana kampung serta misteri kematian ayahnya, ianya bukan sekadar komedi, namun tragedi orang kampung yang perlu difikirkan oleh masyarakat.

Thursday, April 27, 2017

Anime Paprika dan Ghost in the Shell


Hari tu aku baru tonton di Netflix filem Paprika, sebuah karya animasi Satoshi Kon. Aku sedar kewujudan filem ini pun kerana menonton video Youtuber Every Frame A Painting. Dalam video tersebut, dia mengulas tentang editing Satoshi Kon yang unik dalam animasi beliau. Filem Paprika ini juga menjadi inspirasi kepada filem Inception oleh Christopher Nolan (walaupun tak diakui). Ini kerana tema filem animasi ini adalah mengenai sekumpulan saintis yang cuba masuk ke dalam mimpi seseorang. Oleh kerana temanya adalah mimpi, maka style editing juga membuatkan kita keliru mana satu mimpi, mana satu realiti. Bagi aku filem ini agak menarik, cuma ambil masa untuk faham. Malah, aku rasa kalau nak tengok filem ini, buat kali pertama feel dulu, just follow the flow. Kemudian untuk tontonan kali kedua atau kali ketiga, baru cuba fahamkan plot dan karakter. Selain daripada Satoshi Kon, pembikin animasi paling terkenal daripada Jepun tentulah Hayao Miyazaki dan studio Ghiblinya. Malangnya aku tak pernah lagi tonton walau satu pun filemnya. Kena tunggu keluar di Netflix. 

Bulan ini juga sebuah filem adaptasi daripada animasi juga baru ditayangkan iaitu Ghost in the Shell. Animasi asal pertama kali ditayangkan pada tahun 1995, manakala adaptasi live action yang baru adalah lakonan Scarlett Johannson. Aku tak pernah tonton animasi asal. Khabarnya ianya adalah salah satu filem yang mempengaruhi filem Matrix kemudian. Aku rasa filem live action ini kurang menarik dari sudut lakonan. Ianya seolah-olah diadaptasi direct daripada animasi. Mungkin animasi ada feel yang lain kerana ianya dalam Bahasa Jepun, namun apabila di dalam Bahasa Inggeris, ianya agak flat. Aku perasan dalam beberapa animasi lain pun, kalau kita tonton versi dubbing English, macam tak best. Walaupun begitu, filem ini ada tema yang menarik iaitu android yang menyerupai manusia berfungsi dalam masyarakat. Oleh kerana filem ini kurang laku, mungin studio Hollywood kurang mahu mengadaptasi filem animasi Jepun selepas ini. Bagi aku animasi dan komik Jepun boleh mencabar superiority Marvel. Kenapa nak Hollywodd juga adaptasi? Bukankah orang Jepun sendiri banyak adaptasi animasi mereka ke live action? Bagi aku Hollywood pandai buat filem yang appeal kepada umum. Manakala kalau orang Jepun buat, dia hanya sesuai untuk Jepun sahaja atau mereka yang dah biasa tonton filem Jepun. Khabarnya lepas ini Akira juga akan diadaptasi kepada live action. Harapnya menjadi filem tersebut.

Saturday, March 4, 2017

Ulasan Mini Filem-Filem yang Tercalon dalam Oscars 2017


Dalam tulisan kali ini, aku akan mengulas filem-filem yang tercalon dalam beberapa kategori dalam Anugerah Akademi (Oscars) 2017. Tujuannya supaya ada catatan tentang pandangan aku tentang file mini (selain yang tercatat dalam FB dan Twitter). Kebanyakan filem-filem ini aku tonton sekitar Januari dan Febuari 2017, walaupun pada asalnya filem-filem ini ditayangkan di US pada tahun 2016. Ini kerana kebiasaannya filem yang tercalon Oscars akan mendapat publisiti dan baharulah mula ditayangkan di pasaran antarabangsa. Kecuali Arrival dan Allied, kebanyakan filem-filem ini tak mempunyai bajet yang cukup untuk publisiti.


 
 1. Hell or Highwater
Filem ini ditayangkan di Malaysia pada tahun 2016, walaupun pada masa itu belum lagi bermula musim anugerah. Kemungkinan besar kerana populariti pelakon seperti Chris Pine dan Jeff Bridges yang menyebabkan filem ini menarik perhatian. Filem ini boleh dikatakan gabungan antara filem jenayah dan western. Namun dalam masa yang sama menunjukkan kesusahan orang luar bandar yang hidup di pekan-pekan kecil tanpa pekerjaan dan mempunyai hutang yang banyak dengan bank. Mungkin anda boleh tonton filem ini untuk memahami orang kulit putih di luar bandar yang mengundi Trump, sebagai balasan kepada ahli politik establishment dan banker yang telah menipu mereka.

Tercalon untuk :-
Best Picture, Best Supporting Actor untuk Jeff Bridges, Best Original Screenplay, Best Film Editing



2. La La Land
Filem mengenai 2 orang kulit putih yang berhempas-pulas untuk berjaya dalam industri perfileman dan muzik di Los Angeles. Kebanyakan filem ini adalah dalam bentuk muzikal. Apa yang pelik dalam filem ini adalah walaupun ianya mengenai kisah percintaan, namun aku merasakan tiada sebab untuk mereka berdua jatuh cinta. Ianya berlaku secara tiba-tiba. Walaupun begitu, muzik yang diberi tumpuan iaitu jazz, sangat bagus. Filem ini sepatutnya membuka lebih banyak peluang muzikal dibikin di oleh Hollywood. Secara jujurnya aku lebih prefer Crazy Ex-Girlfriend. Muzik dan karakternya lebih menarik.
Tercalon untuk:-

Best Picture, Best Director, Best Actor untuk Ryan Gosling, Best Actress untuk Emma Stone, Best Original Screenplay, Best Cinematography, Best Original Score, Best Original Song, Best Sound Editing, Best Sound Mixing, Best Production Design, Best Costume Design, Best Film Editing



3. A Monster Calls
Sebenarnya filem ini tidak tercalon untuk Oscars. Namun aku nak ulas juga kerana bagi aku filem ini sangat bagus terutamanya lakonan pelakon utama kanak-kanak serta dari sudut struktur penceritaan. Filem ini mengisahkan tentang bagaimana seorang kanak-kanak yang bermimpi berjumpa dengan sebuah pokok yang boleh bercakap sebagai mekanisme melawan kesedihan kerana ibunya yang sedang menderita penyakit kanser. Suara pokok itu dilakonkan oleh Liam Neeson. Bagi aku sangat bagus untuk memahami bagaimana seorang kanak-kanak yang marah kepada ibunya dan orang sekeliling yang tidak betul-betul jujur dengan dia yang ibunya akan mati. Malah dalam filem ini juga disebut yang kanak-kanak ini masih muda untuk menerima realiti kematian, namun dalam masa yang sama sepatutnya dilayan sebagai remaja yang lebih matang. Walaupun filem ini berkisar tentang kematian, aku rasa sekali pun aku tak pernah dengar salah seorang karakter menyebut perkataan kematian terutamanya apa yang berlaku kepada ibu kanak-kanak itu. Kita hanya lihat dia sakit di atas katil di hospital sahaja. 


 4. Arrival
Filem ini bagi aku adalah filem terbaik dalam kalangan filem yang tercalon untuk Best Picture. Walaupun ianya sains fiksyen, namun filem ini mengingatkan aku kepada filem Inception, di mana elemen fiksyen itu kurang diberi perhatian, namun yang dipentingkan adalah drama karakter manusia. Cara bagaimana filem ini disusun juga sangat menarik, di mana pada pengakhiran baru kita sedar kaitan antara babak-babak yang kita tonton. Jikalau anda sudah menontonnya, tontonlah kali kedua untuk lebih memahaminya. Filem ini juga penting dari sudut bagaimana manusia mahu menerima kehadiran “alien” dan kerjasama umat manusia dalam menyelasaikan masalah yang berlaku. 

Tercalon untuk :-
Best Picture, Best Director, Best Adapted Screenplay, Best Sound Editing, Best Sound Mixing, Best Production Design, Best Cinematography, Best Film Editing


5. Allied
Filem oleh Robert Zemeckis ini memang sangat di”overlook.” Sama seperti filem The Walk dan Flight. Filem The Walk adalah filem kedua terbaik bagi aku tahun 2015. Filem ini bermula dengan watak Brit Pitt pergi ke Casablanca sebagai perisik British semasa Perang Dunia Kedua. Kebetulan pada waktu itu aku baru tonton filem Casablanca di Netflix. Kemudian Brad Pitt bersama-sama dengan watak Marion Cotillard, seorang perisik Perancis dalam Kedutaan Jerman membunuh Duta Jerman di Casablanca. Itu adalah bahagian pertama. Bahagian kedua pula adalah Brad Pitt dan Marion Cotillard kembali ke Britain dan berkahwin, namun beberapa tahun kemudian Marion Cotillard dituduh merisik bagi pihak Jerman. Lakonan dalam filem ini sangat mantap dan ‘chemistry’ antara Pitt dan Cotillard sangat berkesan. Pengakhiran filem ini sangat menyedihkan dan nasib baik ianya dilakonkan oleh 2 orang pelakon hebat. Aku rasa paling kurang Brad Pitt sepatutnya dicalonkan.

Tercalon untuk:-
Best Costume Design


 6. Passengers
Filem ini mendapat rating rendah daripada pengkritik. Aku tak faham. Adakah mereka sangka bahawa mereka akan menonton filem aksi sains fiksyen tetapi sangkaan mereka salah lalu memberi rating rendah? Walaupun aku setuju yang ada perbezaan ‘tone’ sepanjang filem ini, bermula dengan ‘tone’ dramatic dan gelap, kemudian menjadi romatik-komedi apabila Jennifer Lawrence dikejutkan, dan akhirnya menjadi filem aksi. Bagi aku ini hanyalah cara pembikin filem menceritakan cerita seperti begini. Bagi aku filem ini kalau dinilai sebagai sains fiksyen, sebenarnya lebih bagus daripada filem Arrival. Filem ini membuat kita terfikir tentang apa yang akan berlaku sekiranya kita kena ambil masa beratus tahun untuk menjelajah daripada satu planet ke planet yang lain. Selain itu aku rasa lakonan Chris Pratt pada awal filem sangat berkesan terutamanya apabila beliau mula tertekan kerana hidup seorang. Filem yang bagus untuk peminat sains fiksyen.

Tercalon untuk:-
Best Original Score, Best Production Design


 7. Hidden Figures
Satu lagi filem yang boleh dikategorikan sebagai filem publisiti untuk NASA. Mengisahkan mengenai 3 orang ‘computers’ atau jurukira yang mengesahkan semua pengiraan NASA sebelum mereka menghantar manusia ke angkasa lepas. Ketiga-tiga mereka adalah orang kulit hitam. Oleh kerana pada waktu itu adalah dekad 60-an, maka orang kulit hitam sukar mendapat pekerjaan yang bagus. Sumbangan mereka sangat penting dalam perkembangan NASA dan pada akhir filem ditunjukkan yang ketiga-tiga mereka menjadi orang penting dalam NASA. Bagi aku apa yang menarik adalah NASA sanggup menunjukkan bahawa pada waktu dahulu sekalipun, terdapat elemen perkauman yang kuat dalam NASA sendiri. Ini satu pengakuan yang kurang ada syarikat atau agensi yang sanggup ditonjolkan terutamanya pada zaman sekarang. Semua syarikat mahu menunjukkan bahawa mereka sangat terbuka kepada kepelbagaian.  Namun bagi aku kadang-kadang ada elemen seperti telefilem, namun kerana pelakon hebat dan bajet kesan khas yang tinggi, maka filem ini dinaik taraf. Walaupun filem ini penting tapi rasanya tak cukup untuk jadi calon filem terbaik. Selain itu, runut bunyi daripada Pharrel Williams sangat menarik.

Tercalon untuk :-
Best Picture, Best Supporting Actress untuk Octavia Spencer, Best Adapted Screenplay


 8. Hacksaw Ridge
Filem ini mengisahkan mengenai seorang tentera US yang menyertai tentera semasa Perang Dunia Kedua, namun enggan memegang senjata dan hanya mahu menjadi unit perubatan. Filem ini terbahagi kepada tiga, pertama semasa beliau bercinta dengan isterinya, kedua adalah semasa beliau berlatih di kem tentera dan hampir-hampir dibuang daripada tentera kerana enggan memegang senjata dan ketiga adalah mengenai penglibatan beliau dalam perang di Okinawa semasa beliau berjaya menyelamatkan 70 orang tentera daripada mati di medan perang akibat kecederaan. Elemen terpenting filem adalah pada babak kedua. Rupa-rupanya walaupun anda menjadi unit perubatan, namun ada undang-undang tentera yang mengatakan anda perlu berlatih menembak senjata. Filem ini banyak menghabiskan masa di bahagian kedua. Sepatutnya babak-babak berlatih boleh dipercepatkan dan konflik beliau dengan kapten juga boleh dipercepatkan supaya kita boleh sampai di bahagian ketiga di mana watak utama menunjukkan keperwiraannya dalam menyelamatkan orang. Namun begitu, ada pengkritik yang mengatakan walaupun filem ini semacam anti-perang, namun banyak keganasan yang ditunjukkan dalam bahagian ketiga filem menyebabkan mesej yang cuba disampaikan tidak kena.

Tercalon untuk :-
Best Picture, Best Director, Best Actor untuk Andrew Garfield, Best Sound Editing, Best Sound Mixing, Best Film Editing

9. Lion
Filem ini penting dari sudut perlunya kita prihatin dengan kanak-kanak yang terpisah daripada ibu bapa. Perkara ini banyak berlaku di bandar-bandar besar. Dalam filem ini, seorang budak tersalah naik keretapi dan hilang di tengah bandar Mumbai. Beliau tidak menjumpai jalan pulang dan akhirnya ditempatkan di sebuah rumah anak yatim. Namun beliau bernasib baik kerana terdapat pasangan Australia yang mahu mengambil anak angkat yang kehilangan ibu bapa. Beliau akhirnya dibawa ke Australia dan membesar di sana. 20 tahun kemudian, beliau mula mengalami krisis identiti dan cuba mencari kampung halamannya menggunakan Google Earth. Filem ini bagi aku mungkin tak cukup bagus untuk dicalonkan sebagai filem terbaik. Tetapi aku merasakan ada orang Australia yang cuba menunjukkan sisi kebaikan orang Australia dan juga identiti kepelbagaian kaum mereka. Selain itu, skor muzik untuk filem ini juga sangat epik, seolah-olah filem fantasi.

Tercalon untuk :-
Best Picture, Best Supporting Actor untuk Dev Patel, Best Adapted Screenplay, Best Original Score, Best Cinematography

Saturday, February 25, 2017

Ulasan Filem Malcolm X



Filem Malcolm X adalah sebuah filem arahan Spike Lee yang ditayangkan pada tahun 1992. Malcolm X sendiri dilakonkan oleh Denzel Washington. Filem ini diiktiraf sebagai filem penting dalam pemaparan Malcolm X sebagai pejuang nasib orang kulit hitam di Amerika Syarikat. Ianya juga terbaik dari sudut pembikinan, struktur penceritaan dan lakonan yang mantap. Bukan senang untuk memfilemkan seorang tokoh seperti Malcolm X yang mempunyai pelbagai turun naik dalam kehidupannya. Namun filem ini bertuah kerana ianya adalah adaptasi daripada autobiografi tulisan Alex Haley. Sekiranya anda membaca autobiografi tersebut, ianya seolah-olah ditulis oleh Malcolm X sendiri kerana ditulis dari sudut pandang orang pertama. Namun sebenarnya ianya ditulis oleh Alex Haley dengan menemuramah Malcolm X beberapa kali. Temuramah tersebut berlaku sejak Malcolm X menjadi orang penting dalam Nation of Islam sehinggalah selepas beliau menubuhkan organisasi orang kulit hitam yang baru. Oleh itu temuramah ini unik kerana ianya menulis kehidupan Malcolm X daripada beberapa fasa dalam kehidupan beliau. Daripada seorang yang sangat ekstrem dengan kepercayaan Elijah Muhammad, sehingga menjadi seorang Islam yang syumul setelah balik dari menunaikan Haji.

Penceritaan dalam novel bermula dengan zaman kanak-kanak beliau, di mana bapanya dibunuh kerana menyebarkan fahaman Kristian yang bertujuan menguatkan identiti kulit hitam dan menolak Kristian versi kulit putih. Ini menyebabkan Klu Klux Klan, sebuah organisasi pengganas kulit putih membunuh bapanya. Ibu Malcolm X pula adalah seorang perempuan kulit hitam yang lahir akibat ibunya yang kulit hitam dirogol oleh orang kulit putih. Ini menyebabkan kulit ibu Malcolm X sedikit cerah. Namun kerana sejarah hitamnya sebelum ini, menyebabkan ibunya sangat membenci orang kulit putih. Fahaman ini turun kepada anak-anaknya. 

Dalam filem pula, ianya bermula dengan Malcolm X pergi ke salon untuk memerangkan rambut dan membuatkannya lurus. Perbuatan ini biasanya dibuat oleh remaja kulit hitam pada masa dahulu untuk menunjukkan yang mereka ini bergaya seperti orang kulit putih. Oleh itu, filem bermula dengan memaparkan Malcolm X sebagai seorang yang cuba melunturkan identiti kulit hitamnya. Mengapa filem yang mengisahkan tentang pejuang kulit hitam bermula dengan sejarah buruk watak utama? Ini kerana untuk memaparkan perjuangan Malcolm X yang sebenar, sebelum beliau menjadi pejuang dan menyebarkan idea pembebasan kulit hitam, kita sebagai penonton kena tahu bagaimana Malcolm X berubah.

Ini satu aspek yang kurang diberi perhatian oleh pembikin filem yang mahu memaparkan tentang tokoh dan perjuangan umat Islam. Filem kena bermula dengan watak utama berada dalam kegelapan, namun dengan usaha dan hidayah Tuhan, akhirnya watak utama berubah, dan menjadi pejuang sejati. Paparan ini sangat penting kerana disitulah penonton akan lebih bersimpati dengan watak utama. Kalau pembikin filem mahu filem mereka memberi kesan kepada penonton, kita kena tunjuk bagaimana tokoh yang hebat ini berubah, barulah ianya menjadi inspirasi kepada penonton. Tidak cukup menunjukkan tokoh tersebut sudah hebat dan hanya berjuang melawan musuh luar. Hakikatnya semua tokoh hebat dalam sejarah, sebelum mengalahkan musuh luar, mereka terlebih dahulu mengalahkan musuh dalam diri sendiri iaitu nafsu.

Filem Malcolm X terbahagi kepada 4 bahagian. Bahagian pertama adalah zaman di mana Malcolm X masih muda dan ‘jahiliah’. Di sini kita ditunjukkan tentang penglibatan beliau dalam jenayah dadah serta percintaan dengan wanita kulit putih. Bagi pembikin filem yang biasa-biasa sahaja, mereka tentu akan “fast forward” bahagian ini dan ditunjukkan terus Malcolm X yang sudah berubah dan menjadi pejuang.  Namun Spike Lee membuat tindakan tepat dengan memaparkan dahulu zaman gelap Malcolm X. Bahagian hidup ini sangat penting kerana sekiranya anda membaca autobiografi beliau, Malcolm X ada menyebut bahawa antara sebab ceramah beliau ramai yang datang adalah kerana  orang ramai tahu beliau sendiri pernah terlibat dalam jenayah. Beliau menganggap bahawa penjenayah terutamanya daripada kalangan orang kulit hitam bukan orang jahat pada asalnya.  Mereka terjebak dengan jenayah kerana tiada peluang mencari pekerjaan serta melanjutkan pelajaran. Beliau sendiri menceritakan semasa beliau masih bersekolah, cita-cita beliau sebenarnya mahu menjadi peguam. Namun guru di sekolah pula yang mengatakan bahawa impian Malcolm X adalah mustahil dan sepatutnya orang kulit hitam hanya menjadi pekerja kilang sahaja.

Bahagian kedua pula adalah bahagian di mana beliau ditangkap kerana merompak. Di dalam penjara, beliau mula mendengar ceramah daripada pengikut Nation of Islam. Beliau mula melihat bahawa Nation of Islam ini terutamanya kata-kata Elijah Muhammad, pemimpin tertinggi Nation of Islam adalah penyelesaian kepada masalah orang kulit hitam di Amerika. Beliau mula banyak membaca, malah di dalam gelap semasa waktu malam dengan berbekalkan sedikit cahaya lampu. Malcolm X juga menyalin semula kamus serta berhujah dengan paderi kristian di gereja penjara  di mana beliau mengkritik Kristian yang hanya mementingkan orang kulit putih walhal Jesus Christ sendiri bukan kulit putih. Di dalam bahagian ini ditunjukkan bagaimana Malcolm X mula memahami dunia sebenar melalui penerangan pendakwah Nation of Islam. Malcolm X tidak berubah secara tiba-tiba, namun sedikit demi sedikit kekerasan beliau cair. Malcolm X juga menghormati pendakwah Nation of Islam yang berani melawan warden kulit putih, bukan dengan kekerasan, tetapi dengan kata-kata dan hujah. Dari situ beliau terinpirasi untuk menjadi seorang penceramah.

Bahagian ketiga adalah bahagian kemuncak beliau. Setelah keluar daripada penjara, Malcolm X berjumpa dengan Elijah Muhammad dan dilantik sebagai Minister untuk salah sebuah Temple Nation of Islam. Ceramah beliau dihadiri ramai orang dan mula mendapat perhatian peringkat nasional sehingga masuk dalam program televisyen nasional. Media memaparkan Malcolm X sebagai radikal dan mengajar orang kulit hitam membenci orang kulit putih. Beliau juga sangat dipengaruhi dengan idea Elijah Muhammad di mana beliau mengajak supaya orang kulit hitam membuat negara sendiri kerana mereka telah ditindas terlalu lama, oleh itu mereka perlu membina hidup di negara baru. Malcolm X dilihat sangat taksub dengan ajaran Nation of Islam sehingga tidak nampak di dalam organisasi beliau sendiri berlaku skandal.

Kehidupan Malcolm X sangat menarik kerana dalam bahagian keempat dan terakhir, beliau mula meragui ajaran Elijah Muhammad. Beliau juga dituduh oleh orang atasan dalam organisasi sebagai cuba menjadi ketua dan menjatuhkan Elijah Muhammad. Akhirnya setelah berlaku cubaan membunuh Malcolm X, beliau keluar negara dan menunaikan Haji. DI situ beliau mula belajar erti agama Islam yang sebenar dan melihat bahawa agama Islam meraikan kepelbagaian kaum. Di sini juga beliau sedar agama Islam adalah agama terbaik untuk menyelesaikan isu perkauman di Amerika Syarikat. Balik dari Haji, beliau membuat sidang media mengumumkan tentang perubahan strategi beliau dalam memperjuangkan nasib kulit hitam dengan bekerjasama dengan pelbagai pihak. Namun tidak lama selepas itu, beliau dibunuh semasa sedang berceramah di hadapan khalayak ramai. Ramai yang melihat pembunuhan beliau samada dilakukan oleh Nation of Islam atau CIA dalam usaha mengekang aktivis kulit hitam pada waktu itu.

Secara umumnya filem ini berjaya membuatkan kita berfikir tentang kesusahan perjuangn menegakkan kebenaran. Ianya tidak cukup setakat berdoa. Ianya juga satu filem dakwah yang bagus di mana ianya menunjukkan kepelbagaian kehidupan orang Islam dan ideologi dalam Islam sendiri. Filem Islamik terutamanya di Malaysia sering terperangkap dengan tema cuba memaksa penonton menjadi baik dengan menunjukkan watak utama membuat kebaikan akhirnya mendapat ganjaran daripada tuhan. Dunia sebenar tidak begitu. Orang baik juga mungkin terseksa di dunia, seperti mana Malcolm X sendiri yang mendapat cabaran dari dalam dan luar, dan akhirnya dibunuh pula. 

Jadi oleh itu, penulis mencadangkan supaya sekiranya terdapat pembikin filem yang berhasrat untuk menonjolkan elemen Islam dalam filem mereka, lebih baik mula dengan membuat filem diadaptasi daripada novel autobiografi atau kisah tokoh-tokoh Islam yang terdahulu. Melalui pengalaman sebenar penonton dapat memahami dan bersimpati dengan perjuangan yang mereka lalui dahulu. Filem yang baik, seperti mana buku yang baik, dapat memberi pengaruh yang besar dalam menginspirasikan umat Islam di luar sana, terutamanya orang muda. Dalam dunia yang dikuasai oleh audio-visual sekarang, filem patut menjadi medium yang penting dalam mengajarkan Islam yang sebenar.