Friday, March 21, 2014

Usaha Mahasiswa UIAM menganjurkan debat wajar dihargai









Penulis merujuk debat yang dianjurkan di Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM pada 19 Mac 2014 yang lalu. Tajuk debat adalah Sosialis vs Harakiy di mana Saudara Fazril Saleh mewakili PKPIM bertentang dengan Saudara Amir Hamzah atau lebih dikenali sebagai Benz Ali. Moderator pula adalah Saudara Adam Roslan, seorang pelajar Kuliyyah Ekonomi.
            Kehadiran memberangsangkan daripada mahasiswa UIAM menunjukkan bahawa mahasiswa sebenarnya masih prihatin dengan isu-isu semasa. Debat ini memberi ruang kepada pihak yang terlibat untuk menjelaskan tentang kekeliruan mengenai Harakiy dan Sosialis, di mana mahasiswa sejak dari dahulu memang dipengaruhi dengan kedua-dua elemen tersebut. Debat ini menghancurkan persepsi bahawa mahasiswa itu tidak pandai mengawal emosi kerana suasana debat berlaku secara aman tanpa pergaduhan. Malah kedua-dua panel, walaupun berbeza pandangan dalam banyak perkara namun boleh lagi bersalam dan bertukar pendapat walaupun setelah selesai debat.
            Debat adalah salah satu platform terbaik untuk berbincang dan melontarkan idea dan pandangan terutamanya apabila ada 2 pihak yang berbeza pandangan. Budaya debat sebenarnya menyuburkan lagi budaya ilmu dan perkongsian idea yang sangat diperlukan di universiti di Malaysia. Kegersangan idea mahasiswa kini sebenarnya hasil tekanan pentadbiran universiti sendiri yang terlampau mengawal sehingga melampaui batas. Namun ternyata apabila mahasiswa diberi peluang, maka mereka dapat mengasah pemikiran kritikal mereka di samping melatih mereka menyanggah pendapat orang lain dengan sihat dan rasional, bukan terburu-buru dan emosional.
            Mahasiswa adalah pemimpin masa depan negara. Ternyata krisis politik dan kepimpinan negara kini sebenarnya sepatutnya sudah boleh dijangka sekiranya kita membaca sejarah dan melihat ‘track record’ pemimpin kini sewaktu mereka menjadi pemimpin mahasiswa. Pemimpin sepatutnya adalah seorang yang berilmu ataupun paling kurang menghormati orang yang berilmu. Oleh itu, sekiranya pemugaran budaya ilmu terus disuburkan di universiti maka lahirlah pemimpin negara masa depan yang lebih kompeten dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
            Menyentuh soal tajuk debat, bukanlah sangat kita mahu mempersoalkan tentang Harakiy atau Sosialis namun yang lebih penting sejauh mana kita memahami tentang kedua-dua elemen tersebut. Tenyata melalui debat ini dapat kita ketahui bahawa kaderisasi dan usrah itu sangat penting dalam membina gerakan Islam yang betul-betul dapat merubah masyarakat. Manakala sosialis pula sebenarnya sangat mementingkan tentang pembinaan sistem ekonomi negara yang betul-betul menguntungkan semua pihak, bukan hanya kepada pihak tertentu yang membolot kekayaan negara.
          Sekali lagi diucapkan tahniah kepada mahasiswa UIAM. Moga skop dan panel debat dapat diperluaskan pada masa akan datang. Tidak mustahil sekiranya panel pada masa akan datang juga melibatkan tokoh di peringkat nasional dan antarabangsa. Yang pasti, universiti dan mahasiswa yang akan meraih untung.

Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
Naib Presiden PKPIM
(Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia)

No comments:

Post a Comment