Sejak
kepimpinan Selangor beralih kepada Pakatan Rakyat pada tahun 2008, pelbagai
rancangan dirangka untuk menambah baik institusi di bawah kerajaan negeri. Penambahbaikan
dilakukan supaya ianya selari dengan hasrat kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim. Salah satu institusi yang paling menjadi perhatian rakyat
Selangor adalah Universiti Selangor bertempat di Shah Alam dan Bestari Jaya.
6 tahun
berlalu namun prestasi UNISEL dilihat belum mencapai tahap yang membanggakan.
Pelbagai masalah yang timbul terutamanya melibatkan kebajikan mahasiswa UNISEL.
Kemudahan asrama yang sepatutnya dinikmati oleh mahasiswa tidak dapat digunakan
kerana menghadapi masalah kontraktor. Akibatnya pentadbiran UNISEL terpaksa
menyewa kediaman di luar sebagai asrama. Ini hanya menyusahkan pelajar dan
membuang masa mereka yang terpaksa berulang-alik antara fakulti dan asrama.
Apa yang
lebih menyedihkan adalah pentadbiran UNISEL kurang berkomunikasi dengan
perwakilan pelajar. Banyak maklumat tidak didedahkan dan keputusan yang dibuat tidak
dibawa berbincang dengan mahasiswa terlebih dahulu. Tindakan peminggiran ini
adalah usaha menafikan suara mahasiswa dan menganggap bahawa mahasiswa hanya
belajar di kelas dan tidak mampu untuk berfikir dan mengurus aktiviti sendiri.
Perkara ini
sangat bertentangan dengan janji Pakatan Rakyat yang mahu universiti diberi
kuasa autonomi dan mahasiswa diberi kebebasan mengurus aktiviti sendiri
daripada terus dikongkong oleh pentadbiran universiti. Kerajaan Selangor perlu
menunjukkan UNISEL sebagai model IPT yang terbaik untuk meyakinkan mahasiswa
Kerajaan Selangor kali ini betul-betul meraikan anak muda.
Oleh itu,
sempena Pilihanraya Kampus Unisel yang akan diadakan pada 11 Febuari ini, PKPIM
menggesa pemilihan ini dilakukan dengan semangat meraikan kebebasan bersuara
dan berfikir serta menghayati amalan syura baik di peringkat mahasiswa dengan
pentadbiran universiti atau antara mahasiswa sendiri. Semua kelompok perlulah
diraikan dan bukan memberi keistimewaan kepada golongan tertentu sahaja.
Kami juga
meminta exco pendidikan negeri, Dr Halimah Ali untuk melibatkan semua kelompok
mahasiswa dalam perancangan membina
model mahasiswa yang terbaik daripada UNISEL. Ini supaya mahasiswa UNISEL
menjadi ikutan dan harapan kepada mahasiswa lain di seluruh Malaysia. Kami juga
mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh mahasiswa UNISEL dalam PRK kali
ini.
Hidup Biar Berjasa!
Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
Naib Presiden PKPIM
(tersiar juga di Harakahdaily dan Web PKPIM)
(tersiar juga di Harakahdaily dan Web PKPIM)
No comments:
Post a Comment