Friday, March 21, 2014

Ulasan Filem Robocop - Separuh manusia, Separuh robot tetapi Polis sejati

  
  Robocop dulu dan sekarang sangat berbeza. Filem yang dahulu lebih kepada satira kehidupan Amerika pada waktu itu sehinggakan perkhidmatan polis pun mahu diswastakan. Malah ianya terlampau ganas sehingga apabila ditayangkan di televisyen begitu banyak suntingan dilakukan. Namun, filem 'remake' ini mengalih fokus daripada parodi kepolisan kepada persoalan falsafah manusia itu sebenarnya apa. Protagonis yang kehilangan hampir seluruh badannya kecuali kepala, paru-paru dan sebelah tangan sahaja (tanpa lengan dan siku) kerana letupan diolah oleh saintis menjadi separuh robot, separuh manusia. Oleh kerana otak masih lagi berfungsi (walaupun ditambah dengan pelbagai cip komputer), protagonis dianggap masih hidup malaha apabila disedarkan dari koma, dia masih lagi mengingati mengenai diri sendiri dan keluarga. Ini sekali lagi berbeza dengan Robocop lama kerana dia langsung tiada memori tentang kehidupannya yang lalu.
     Filem ini berjaya menyeimbangkan antara persoalan berat dengan aksi letupan dan kejar-mengejar yang biasa kita lihat dalam filem aksi. Ia tidak bosan dan dalam masa yang sama penonton tidak di'serang' dengan babak aksi setiap 5 minit. Malah satu perkara menarik mengenai Robocop ini walaupun dia sendiri menganggap dirinya separuh robot dan keputusan masih dibuat oleh manusia, namun seperti yang diterangkan oleh saintis pencipta sendiri, sebenarnya keputusan segalanya dibuat oleh komputer. Boleh dikatakan Robocop adalah robot yang berfikir diri dia adalah manusia.
     Namun pengakhiran filem kurang memuaskan. Mungkin mahu memberi ruang kepada sekuel dan konflik sebenar bermula pada filem kedua (sama seperti The Dark Knight). Filem ini adalah satu lagi 'landmark' dalam lambakan filem 'remake' yang saya fikir mengekalkan identiti dahulu tetapi dalam masa sama berani bertanyakan soalan-soalan kontroversi yang mungkin berlaku pada masa hadapan (dalam isu ini lebih kurang sama dengan filem 'Her" yang menunjukkan hubungan manusia dan mesin itu boleh mencapai tahap yang lebih tinggi).  

No comments:

Post a Comment