Monday, September 28, 2015

Masalah Pelarian Tidak Akan Selesai Selagi Perang Di Syria Tidak Berakhir


Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan imej seorang budak berumur 3 tahun yang mati terdampar di perairan Turki. Beliau bernama Aylan Kurdi mati lemas semasa sedang berusaha dengan keluarganya melarikan diri dari Syria ke Eropah melalui Lautan Mediterranean. Situasi beliau sama dengan ratusan ribu pelarian Syria lain yang sanggup menyabung nyawa untuk lari ke Eropah. Ini akibat situasi kehidupan yang semakin meruncing di Syria danTimur Tengah menyebabkan mereka membuat keputusan untuk mencari kehidupan yang menjanjikan masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak mereka. Mereka melihat kehidupan di Eropah lebih baik kerana layanan mereka yang lebih baik kepada pelarian dan kemungkinan mendapat status warganegara pada masa akan datang.

Walaupun begitu, pelarian ini tidak begitu disambut baik di Eropah. Ramai ahli politik di sana yang menggunakan isu ini untuk tujuan politik dengan menakut-nakutkan rakyat Eropah. Mereka mengatakan pelarian ini akan mengganggu sosio-politik orang Eropah kerana kebanyakan daripada mereka adalah Kristian manakala pelarian ini kebanyakannya Muslim. Ditambah lagi dengan polisi negara yang tidak mesra pelarian, menganggap pelarian sebagai penjenayah. Namun, orang Eropah berpendapat bahawa isu ini bukan isu mereka sahaja tetapi seluruh dunia perlu bersama-sama dalam membantu menguruskan kemasukan pelarian yang semakin bertambah. Setakat ini Jerman adalah negara yang menjadi contoh di mana rakyatnya mengalu-alukan kehadiran pelarian dan polisi kerajaannya yang melayan pelarian sebaiknya. Menariknya banyak kelab-kelab bolasepak Eropah yang berusaha mengumpul dana dan memberi bantuan. Ada juga sehingga memberi tiket percuma kepada pelarian untuk menonton perlawanan bolasepak. Fenomena ini menunjukkan rakyat biasa Eropah masih lagi mempunyai rasa simpati dan kemanusiaan, walaupun pemimpin mereka terus dalam pertelagahan apakah polisi yang terbaik untuk menguruskan pelarian.

Namun penyelesaian masalah pelarian ini hanyalah jangka pendek sahaja kerana  masalah sebenar adalah perang di Syria. Setakat ini masyarakat antarabangsa masih lagi teragak-agak dan tidak berani mengambil tindakan terutamanya ke atas rejim Basyar Al-Assad. Yang ada hanyalah tindakan pengeboman ke atas kem-kem IS,itu pun tidak mencapai sasaran untuk melumpuhkan IS. Rundingan damai sebanyak dua kali di Geneva ternyata tidak mencapai kata sepakat antara pihak Basyar Al-Assad dan pembangkang. Kumpulan IS pula berterusan memerintah kawasan-kawasan di Syria dan Iraq secara kejam dan kuku besi.

Semua sedia maklum bahawa Malaysia adalah Pengerusi ASEAN 2015 dan ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB. Sepatutnya sebagai pemimpin kepada negara Islam, Malaysia sepatutnya menggesa supaya diadakan sesi khas untuk menghentikan perang di Syria dan serius dalam menjayakan pelan damai. Pelarian Syria yang melarikan diri bukan tidak sayangkan negara sendiri tetapi bahaya perang yang membuatkan mereka melarikan diri memikirkan keluarga mereka. Hanya dengan perjanjian damai antara pihak bertelagah, orang Syria akan lebih aman dan bilangan pelarian kemungkinan akan berkurangan sekiranya kemudahan asas di tempat sendiri seperti makanan, air, tempat tinggal dan kesihatan kembali pulih.

Perlu juga difahami bahawa perang di Syria juga melibatkan kuasa-kuasa besar di Timur Tengah seperti Iran dan Arab Saudi. Hakikatnya mereka perlu dilibatkan dahulu kerana banyak bantuan kewangan dan ketenteraan datang daripada mereka. Gunakan hubungan baik Malaysia dengan negara-negara Islam yang lain untuk mendesak kedua-dua negara tersebut ke meja rundingan damai. Malaysia perlu berani bertindak dan bukan sekadar pemerhati di tepi jalan melihat sahaja peristiwa berlalu. 

Menyentuh mengenai nasib kanak-kanak pelarian, mereka perlu diberi perhatian dari sudut pendidikan kerana perang yang telah berlangsung selama 4 tahun ini semestinya sudah memberi kesan kepada perkembangan pendidikan dan tumbesaran kanak-kanak. Elemen pembelajaran yang perlu dipelajari adalah bukan sekadar kurikulum biasa yang diajar di sekolah biasa, namun mereka perlu diberi nilai tambah seperti elemen psikologi dan sukan. Elemen-elemen ini penting kerana ianya perlu dalam mengharungi kekejaman perang dan pembinaan negara pada masa akan datang.

Monday, September 14, 2015

Understanding the Middle Path Road : Conversation with Nuruddeen Lemu




ABIM was honored to be visited by one of the leading scholars and Muslim activist which is Sheikh Muhammad Nuruddeen Lemu. He is the Director of Research and Training at Da’wah Institute of Nigeria (DIN). He is also actively giving talk and handling workshop for preparing Muslim youth as a Da’wah activist. His mother is a renown Muslim scholars and ABIM and IIIT had published one of her books in 1996 which was title “Penyakit Dakwah” or “Disease in Da’wah”. The conversation with him is very fruitful in terms of understanding the situation of Muslim in Nigeria and we as Malaysian could learn something or two from them. Indeed, their society also highly influenced by religion especially with the population of Muslims and Christians is almost the same and if without any proper dialogue could lead to religious tension.

He starts with the situation with Muslim first. He said that before anyone who wants to study abroad, he should master the knowledge of Islam and the Muslims situation in their society first. One of the thing that is happening is the division between the literalist and those who have the sufi tendency. A lot of young Muslim that learns at Saudi Arabia coming back with literalist influence and this create tension with scholars and Islamic group that is from Maliki Mazhab. One of the debates were the Maulud celebration. But over the years the debate is slowing when it is learned that several scholars like Ibnu Katsir and Ibnu Hajar Asqalani (which is respected by the literalist) also agree with Maulud celebration. Since then, the Maulud celebration getting bigger into tenth of thousand and bolder until their gathering was done in front of mosque with literalist Imam. This again create unnecessary tension. Sheikh Nuruddeen suggested that this Maulud celebration should not about showing force but as a tools to brings social issues to the upfront. Every 11th of Rabiulawal, the Maulud will organized like a rally to demand from the local government to improve the facilities such as hospitals, schools and water treatment. If this were done, even the literalist and the non-Muslim will join your Maulud rally.

Sheikh also shared about his interaction with Christians leaders. He said that it is important to really frank and open about the internal issues of Muslim instead of trying to paint everything perfect in the Muslim world. The non-Muslim knows about these issues and they want to know our explanation in things like the implementation of hudud, injustice towards women affair and extremism. Our obligation is to explain the differences of opinion and show that Islam is a rational religion.

Lastly, sheikh about 5 principle that should be practiced by every young Muslim in terms of interacting with the modern society. He outlined it with acronym “TREES” which is mean first is “Trusting Reason”. This means that our religion and the obligation is rational and can be reasoned with. The second is “Respecting Differences”. This reflect on the complexity of today society. As a Muslim, we should not force our opinion onto someone else. Use discussion and healthy debate. If the opponent still adamant with their opinion, let them be. There are wisdom in differences of opinion. The third principle is “Emphasizing Social Obligation”. Everything that we try to achieve is for this obligation. It is pointless to spend money and time to create changes but the majority part of the society still did not feel it. This reflects on Islamic organization who only concern with their internal activities but forgetting their surrounding society. The fourth one is “Embracing Maxim”. This is related to respecting differences but in term of identity. Islam purpose may towards uniting ummah under the oneness of God, but we also need to embrace the differences of race, culture and language throughout the world. Islam manage to spread throughout the world, even until now start to being embraced by people in Europe and American continent because of universality of message. The last one is “Setting Priorities” which is there is a lack of it in the Muslim society now. We easily get angered or start hurting each other just for the little things while there is a lot of issues that we can agreed together.

The conversation is very fruitful and sheikh wish that Muslim youth in Malaysia should always be an example to the young Muslim around the world. Malaysia has a lot of opportunities and had gone through many challenges. It is time for Malaysian youth to start thinking globally and leading the Muslim youth in international scene.

Wednesday, September 9, 2015

Kepentingan Belia Islam Memahami Maqasid Syariah Dalam Menghadapi Cabaran Zaman


Pada 31 Julai dan 1 Ogos yang lepas, Angkatan Belia Islam (ABIM) bersama-sama dengan Akademi Intelektual Muda (AIM), Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya telah menganjurkan siri syarahan dan bengkel bersama tokoh Maqasid Syariah Kontemporari, Dr Jasser Auda. Penulis berkesempatan mengikuti syarahan beliau.Pada lawatan kali ini, beliau menumpukan tentang cabaran-cabaran belia, dan ramai peserta juga daripada kalangan belia. Ini mungkin kerana topic Maqasid Syariah mula menjadi tajuk perbincangan hangat terutamanya dalam menilai semula kefahaman rakyat Malaysia dalam hal-hal syariah. Pemimpin negara juga mula menyebut tentang Maqasid Syariah, mengingatkan supaya hukum Syariah di Malaysia perlu difahami semua rakyat, bukan memaksa rakyat menerima sahaja tanpa sebarang perbincangan dan perundingan.

Cabaran yang dihadapi belia Islam pada masa kini adalah mengenai kefahaman umat Islam sendiri. Dr Jasser Auda mengingatkan bahawa Syariah adalah daripada Allah, namun Fiqh adalah ijtihad ulama’. Manakala Maqasid Syariah sentiasa menjadi rujukan supaya Fiqh sentiasa di landasan yang lurus. Fiqh jugalah yang boleh fleksibel dan mengikut tempat dan masa. Tujuan syariah yang terbesar adalah ketauhidan kepada  Allah SWT. Jangan jadikan syariah itu sekadar sebab untuk menghukum pesalah walhal kondisi masyarakat yang melahirkan punca pesalah itu melakukan jenayah. Dengan Maqasid Syariah, kita meletakkan Allah sebagai perkara utama. Oleh itu, umat Islam perlu menghormati segala makhluk Allah, baik daripada kalangan haiwan, tumbuhan dan alam sekitar. Selain itu, umat Islam juga perlu menghormati penganut agama lain dalam beramal dengan agama mereka sendiri. Dakwah itu perlu namun jangan sampai member tekanan kepada orang bukan Islam.

Dr Jasser Auda juga menyebut bahawa Maqasid Syariah boleh digunakan oleh penggerak NGO dalam menentukan prioriti semasa krisis. Pastikan menyelamatkan nyawa dahulu yang menjadi agenda utama, baharulah agenda lain seperti pendidikan dan keselamatan difikirkan. Refleksi semula kes pelarian Rohingya baru-baru ini di perairan Malaysia, sepatutnya kerajaan memastikan pelarian diselamatkan dahulu daripada bahaya lemas di tengah laut. Tindakan melambatkan semata-mata kerana masalah imigresen hanyalah bertentangan dengan maksud syariah sebenar.

Belia juga perlu menggunakan Maqasid dalam hal-hal sosial dan kekeluargaan. Dr Jasser Auda member contoh dalam masyarakat Arab ada orang yang sengaja menangguhkan perkahwinan semata-mata kerana hendak mengumpul duit supaya boleh mengadakan kenduri secara besar-besaran. Perkara ini sangat bertentangan dengan kehendak syariah kerana nikah itu suatu perkara yang harus dan perlu dilaksanakan segera apabila pihak lelaki dan perempuan sudah bersedia, dan kenduri itu boleh dilakukan kemudian kerana ianya sunat dan boleh dilakukan mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Sebagai pendakwah, Maqasid Syariah boleh digunakan dalam memahamkan umat tentang suruhan dan larangan yang terdapat dalam Islam. Contoh terbaik adalah mengenai larangan meminum arak. Mungkin kita di Malaysia mudah kerana hampir semua rakyat Malaysia tahu tentang Islam mengharamkan arak, jadi rakan-rakan bukan Islam kebiasaannya akan menghormati umat Islam. Namun bagi Dr Jasser Auda yang tinggal di negara Barat, beliau perlu memberi penjelasan yang logikal kepada rakan-rakannya yang bukan Islam mengapa beliau tidak boleh meminum arak. Hanya menyebut arak itu najis adalah tidak praktikal dan menunjukkan umat Islam tidak melakukan kajian yang mendalam apakah kandungan sebenar setiap arak atau alkohol. Ditambah lagi terdapat pelbagai jenis arak dan masing-masing ada kadar berbeza yang boleh memabukkan. Oleh itu, kita perlu memberitahu bahawa dalam Islam, mendekati perkara yang mengharamkan juga sudah ditegah. Walaupun ada yang mengajak minum hanya seteguk yang tidak memabukkan, namun nafsu manusia pastinya akan terpengaruh dan mahukan lebih lagi. Sebab itulah arak diharamkan terus, tidak kiralah berapa banyak kuantiti pun.

Menyentuh tentang isu perkahwinan homoseksual di mana banyak negara Barat sudah meluluskannya, Dr Jasser Auda mengkritik masyarakat barat yang telah mengubah definisi perkahwinan. Manusia daripada pelbagai agama dan bangsa mentakrifkan perkahwinan adalah antara lelaki dan perempuan, tindakan negara Barat ini hanya merosakkan fitrah yang sudah ditentukan oleh Tuhan. Ini kerana daripada perkahwinan akan lahir anak dan pembangunan nilai seseorang anak memerlukan lelaki sebagai ayah dan perempuan sebagai ibu. Beliau juga mahu kita membaca semula sejarah di mana tamadun Yunani dan Rom hancur kerana semakin bertambah homoseksual. Walaupun begitu, Dr Jasser Auda mengakui memang wujud orang yang mempunyai 2 jantina dan Islam mengiktiraf dan berlaku adil kepada mereka, namun umat Islam tidak sekali-kali membenarkan perlakuan tidak sopan dan seks bebas.

Dr Jasser Auda juga menjawab soalan daripada peserta mengenai kepentingan ekspresi seni dalam masyarakat, dan ianya perlu dikategorikan sebagai fardhu kifayah, di mana perlu sebuah kelompok dalam umat Islam yang mempelajarinya. Manusia memang secara fitrahnya tertarik kepada perkara yang indah dan cantik. Allah SWT mencipta dunia dan persekitaran dengan keindahan, dengan itu manusia terinspirasi dengan keindahan tersebut dan mencipta seni yang indah. Setiap seni yang dibuat, baik melalui lukisan, rekabentuk, muzik, malah perfileman juga perlu membawa kepada menginsafi kebesaran Tuhan dan melahirkan nilai yang baik dalam masyarakat.  Namun Dr Jasser Auda mengingatkan supaya pengamal seni dan media perlu kuat dari sudut akidah dan sentiasa sedar bahawa setiap yang mereka lakukan mempunyai kesan besar kepada masyarakat.


Berbalik kepada peranan belia dalam dunia yang penuh fitnah ini, Dr Jasser Auda menyeru supaya belia berani dalam melakukan perkara yang baru. Tak perlu menunggu sistem bertukar, kerana kadang-kadang ianya mengecewakan menyebabkan belia tidak proaktif. Orang lama dalam gerakan dakwah kini sudah mencapai zaman tua. Walaupun mereka pernah membuat perubahan semasa zaman 70-an dan 80-an, namun mereka kini menjadi rekod rosak yang mengulang perkara yang sama walhal dunia sudah berubah. Dr Jasser Auda menasihati orang lama supaya membantu orang muda supaya mereka dapat mengambil alih tugas mereka pada masa akan datang. Setiap kali orang muda berperanan memimpin umat, tentu umat akan ke hadapan dan mempunyai masa depan yang cerah.  

Friday, September 4, 2015

Ulasan Buku - Mat Som (1989) Perjuangan Hidup di Kuala Lumpur


Dalam masyarakat Melayu, komik masih lagi dianggap sebagai ‘permainan’ kanak-kanak walhal generasi ‘kanak-kanak’ yang membaca komik ini sudah dewasa. Komik secara umum sudah dianggap sebagai satu medium penting dalam perkembangan minda kanak-kanak yang membacanya. Ianya juga berkaitan dengan peningkatan pengaruh visual dalam pendidikan, di mana lebih senang belajar dan terpengaruh dengan gambar yang bergerak dan berwarna-warni daripada tulisan panjang yang membosankan. Mungkin di Malaysia masih lagi dipandang rendah kerana kurangnya kajian akademik, walaupun begitu masyarakat umum setuju komik, kartun, animasi, semuanya penting dalam pendidikan.

Namun komik juga adalah satu cara penceritaan. Bercerita tidak lagi tertakluk kepada penulisan semata-mata. Setiap gambar menggambarkan cerita tersendiri, dan komik adalah rantaian gambar-gambar tersebut untuk menunjukkan penceritaan sesebuah karakter. Berbeza dengan lukisan gambar klasik, komik juga biasanya dimasukkan dialog untuk memudahkan pembaca memahaminya, sebab itu ada yang mengatakan komik adalah gabungan penggunaan kedua-dua deria penting manusia, melihat dan membaca. Tetapi yang membezakan novel tulisan dan komik adalah pembaca mesti membayangkan sendiri situasi yang diceritakan dalam novel tersebut manakala komik sudah pun melukiskan persekitaran dan karakter cerita tersebut. Bagaimanapun inilah sebab mengapa banyak yang mengkritik komik menyebakan kanak-kanak kurang berimiginasi. Benar atau tidak kritikan tersebut perlu kajian lanjut.

Tetapi penulis hendak bercerita tentang komik lukisan dan karya asal oleh Lat iaitu Mat Som. Komik ini ditulis berdasarkan pengalaman dengan tokok tambah oleh Lat sendiri sewaktu beliau hidup membujang di Kuala Lumpur. Kebanyakan persekitaran dan karakter dilukis inspirasi daripada watak sebenar. Jalan cerita Mat Som menceritakan mengenai kehidupan Mat Som bermula daripada beliau bangun tidur, bersiap pergi kerja, dilema pekerjaan dan perkahwinan. Mat Som adalah orang kampong yang berhijrah dari kampung ke bandar. Beliau menumpang di rumah kawan sekampung dan bekerja di syarikat penerbitan sebagai wartawan. Namun oleh kerana kerjanya tidak tetap, seringkali ada masalah kewangan. Selalu beliau meminjam duit daripada kawannya, kadang-kadang apabila dijemput kenduri pun beliau akan meminjam baju kawannya yang lebih cantik.

Mengenai dilemma perkahwinan pula, bapa beliau di kampung cuba memadankan beliau dengan kawan lamanya. Namun Mat Som juga jatuh hati dengan jiran rumahnya di Kuala Lumpur, tetapi tidak berani manyatakan hasrat. Ditambah lagi beliau merasakan masih muda dan banyak lagi perkara yang perlu dicapai sebelum berkahwin.

Dilema yang dihadapi Mat Som ini sebenarnya sering berlaku kepada lelaki bujang dalam unur 20-an yang berkerja di bandar. Sehingga sekarang, kita boleh berjumpa dengan kawan-kawan yang sedang dalam dilema yang sama. Malah zaman sekarang lebih rumit lagi dengan perspesi masyarakat yang berubah-ubah terhadap lelaki bujang yang belum berkahwin. Ditambah lagi dengan kos sara hidup yang lebih mahal dan wang pendapatan bulanan yang tidak mencukupi menyebabkan perkahwinan, walaupun satu kemahuan, namun bukan satu kemewahan. Hal mengenai perkahwinan dan kerjaya ini sebenarnya mempunyai kesan besar dalm pembentukan persepsi lelaki terhadap dunia. Kebanyakan kajian dilakukan terhadap remaja berusia 18 tahun ke bawah namun masih kurang yang mengkaji tentang sifat dan tingkah laku pemuda berusia 20-an, kerana waktu inilah mereka mempunyai masalah identiti yang pelbagai dan tekanan kehidupan yang semakin menghimpit. Ditambah lagi dengan pendidikan di sekolah yang sebenarnya langsung tidak mempersiapkan mental mereka untuk menjadi dewasa.


Walapun komik ini dibuat pada tahun 1988, namun latarnya berkemungkinan pada awal 70-an, dimana penulis Lat sendiri pada masa itu adalah seorang pemuda dari kampung yang sedang berjuang untuk hidup di bandar dan bercita-cita menjadi seorang wartawan.  Komik ini adalah wajib baca kepada pemuda-pemuda terutamanya yang sedang melalui transisi daripada alam universiti kepada alam kerjaya. Walaupun mungkin watak Mat Som ini terus berhijrah ke bandar selepas habis sekolah untuk bekerja, namun ramai pemuda sekarang juga berhijrah ke bandar untuk menyambung pelajaran. Dan menjadi kebiasaan orang Malaysia, habis belajar sahaja akan datang tekanan untuk berkahwin (walaupun ada yang sudah berkahwin sewaktu masih belajar lagi).  Dengan inspirasi daripada komik ini, mungkin pemuda-pemuda dapat merasa ianya normal mengalami dilema-dilema seperti begini dan jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru untuk mencapai impian masing-masing 

Wednesday, August 12, 2015

Dunia Di Tengah Pertarungan Kuasa Besar : Siapa Layak Pimpin Malaysia?


Dalam kehangatan krisis keyakinan rakyat terhadap pemimpin Malaysia, timbul pula kerisauan yang kerajaan sudah membuat keputusan untuk menandangani TPPA. TPPA adalah sebuah perjanjian perdagangan di antara negara-negara Lautan Pasifik seperti Amerika Syarikat, Jepun, Vietnam, SIngapura dan negara Malaysia sendiri. Bantahan terbesar terhadap TPPA adalah kerana ianya akan mengurangkan kedaulatan negara masing-masing dan syarikat antarabangsa pula semakin berkuasa dalam menentukan polisi dalaman negara. Di samping itu, kemungkinan kebanyakan kos perubatan dan pendidikan meningkat akibat persaingan. Ini kerana syarikat tempatan bukan sahaja bersaing  dalam negara masing-masing, tetapi terpaksa bersaing dengan syarikat antarabangsa yang lebih kukuh kewangannya. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan terkesan dalam hal ini. Sebab itulah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang mewakili pelbagai syarikat bumiputera membantah keras penglibatan Malaysia dalam TPPA.

Dalam masa yang sama, terdapat suara-suara kecil yang mengatakan penglibatan Malaysia dalam TPPA dapat menambah daya saing rakyat Malaysia terutama peniaga Melayu. Orang Melayu sudah terlalu lama di’tongkat’ oleh kerajaan, kini masa untuk membuka dimensi baru terutamanya bersaing di peringkat antarabangsa. Ada juga yang menyokong TPPA ini kerana ianya dapat menyaingi kuasa ekonomi China di Asia Pasifik. Sebab itu negara Vietnam beria-ia supaya perjanjian perdagangan ini ditandatangani segera kerana mahukan Amerika Syarikat terus berpengaruh di rantau ini. Perkara yang sama juga dibincangkan di kalangan pakar ekonomi dan geopolitik kerana TPPA ini bukan sekadar perjanjian perdagangan, tetapi akan menjadi kerjasama politik di masa hadapan untuk mengekang kuasa China.

            Namun adakah suatu perkara yang buruk sekiranya China menggantikan Amerika Syarikat sebagai ‘abang besar’ di rantau ini? China ada sebab mahu menjadikan rantau ini di bawah pemantauan mereka kerana semua negara-negara ini adalah jiran mereka. Baik di Asia Tengah, India, Asia Tenggara sehingga ke Semenanjung Korea, semua tempat ini dianggap sebagai “kejiranan” China. Ditambah lagi dengan diaspora Cina yang ramai di Asia Tenggara hasil migrasi pada abad-abad yang  lepas menyebabkan rakyat di rantau ini sudah terbiasa dengan budaya orang Cina. China juga tidak mempunyai beban sejarah yang buruk dibanding dengan Amerika Syarikat terutamanya dalam perkaitan dengan hubungan dengan umat Islam. Ya. Walaupun China masih lagi dipersoalkan dalam layanan mereka terhadap etnik Uighur, namun dosa Amerika Syarikat lebih besar terutamanya dalam konteks di Timur Tengah. Berterusan menyokong kezaliman Israel dan membiarkan rejim zalim berkuasa dengan memberi bantuan kewangan menyebabkan umat Islam tidak percaya dengan janji manis Amerika. Umat Islam juga berharap dengan pembentukan pakatan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan South Africa) dapat mengimbangi kuasa Amerika dan Eropah apatah lagi sekiranya Turki juga menganggotai BRICS jikalau tidak dapat menyertai Kesatuan Eropah.

Dalam menghadapi pertembungan kuasa-kuasa besar kini, Malaysia perlu mempunyai pemimpin yang bijaksana dan dalam masa yang sama tegas. Malaysia sebagai sebuah negara kecil memang tak mampu berhadapan semua kuasa ini sendirian. Sebab itulah Malaysia dalam dilema samada hendak menandatangani TPPA tetapi terpaksa menghadapi reaksi negatif daripada China ataupun keluar daripada TPPA namun terlepas peluang dengan kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Australia. Kebijaksanaan pemimpin sangat diperlukan terutamanya menghadapi krisis seperti tahun lepas dalam tragedi MH370 dan MH17 dimana kedua-dua tragedi mempunyai kaitan dengan China dan Russia. Sehingga kini, tiada siapa lagi yang telah dibawa ke muka pengadilan dalam kes MH17 kerana masing-masing menuding jari dan enggan mengaku kesalahan. Ini akibat krisis di timur Ukraine masih lagi belum selesai. Manakala dalam tragedi MH370 pula, Malaysia perlu mengkoordinasi antara negara-negara seperti Jepun, China, Indonesia dan Australia dalam menggunakan peralatan ketenteraan mereka untuk mencari pesawat tersebut. Oleh sebab itu Malaysia perlu berkawan dengan semua orang kerana kekurangan aset dan sumber manusia sekiranya berlaku lagi tragedi seperti ini.

            Oleh itu, dalam persoalan pemilihan kepimpinan negara, rakyat perlulah berfikir dengan lebih jauh. Jangan sekadar berfikir dalam konteks sempadan Malaysia namun fikirkan juga adakah pemimpin yang dipilih itu layak mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa. Pemimpin tersebut perlulah paling kurang mengetahui lebih daripada satu bahasa seperti Bahasa Inggeris, Arab atau Mandarin disamping mempunyai pengetahuan yang luas dalam isu-isu serantau dan antarabangsa. Dalam pertembungan kuasa besar dunia kini, Malaysia bijak dalam memfokuskan kepada pengukuhan rantau ASEAN. Ini mengambil kira peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. Namun begitu rakyat masih lagi belum merasa semangat ASEAN itu apatah lagi selepas tragedi “Boat People” Rohingya menyebabkan rakyat hilang percaya dengan keberkesanan ASEAN. Kadang-kadang rakyat melihat tindakan kerajaan Malaysia agak aneh terutamanya melibatkan polisi luar negara. Contohnya Malaysia beria sekali mempromosi “moderation” atau kesederhanaan di peringkat antarabangsa sehingga di Perhimpunan Agung PBB di New York namun tindakan kerajaan di peringkat tempatan berbeza sekali dengan apa yang dicanangkan. Kerajaan tidak boleh bersikap seperti begitu lagi dengan menganggap apa yang dilakukan di peringkat dalaman tidak memberi kesan kepada imej Malaysia di luar. Oleh sebab itu jugalah rakyat menganggap penyertaan Malaysia dalam TPPA tidak menguntungkan rakyat, hanya mengikut telunjuk Amerika Syarikat akibat tidak strategik dalam membuat perundingan. Baru-baru ini, Amerika Syarikat menaikkan penilaian Malaysia dalam Senarai Negara Pencegahan Pemerdangan Manusia. Tindakan ini dikritik hebat oleh NGO-NGO Hak Asasi Manusia kerana beranggapan tindakan Amerika hanyalah untuk memujuk Malaysia menandatangani TPPA walhal rekod Malaysia semakin buruk terutamanya setelah penemuan kem pemerdagangan manusia di Perlis.


            Rakyat Malaysia sangat berharap  supaya reputasi negara sebagai sebuah negara contoh baik dalam kalangan negara Asia Tenggar, negara Islam atau negara membangun dipulihkan semula. Malaysia sekarang dalam krisis identiti di mana pembangunan fizikal tidak selari dengan pembangunan kualiti dan integriti insan. Kini tiba masanya untuk Malaysia membangun budaya mereka sendiri dengan berasakan identiti Melayu-Islam di samping agama dan budaya pelbagai kaum. Malaysia mungkin tidak mampu menjadi kaya dan gah seperti kuasa-kuasa besar, namun Malaysia boleh menjadi contoh masyarakat majmuk dalam dunia semakin kabur sempadannya dalam ledakan teknologi maklumat.

*Tersiar dalam laman web ABIM

Wednesday, April 22, 2015

Ulasan Filem PK : Tuhan.... Di Mana Kamu???


Memang ulasan filem ini agak lambat, Kerana filem ini ditayangkan pada Disember tahun lepas. Penulis sendiri pun tidak menonton filem ini di pawagam. Namun petanda sesebuah filem yang bagus bukan pada populariti dan jumlah kutipan tiket, tetapi pada impaknya kepada masyarakat selain wacana yang terhasil daripada tema filem tersebut. Dari sinilah kita dapat membentuk agenda sebenar "Filem Kita, Wajah Kita", apabila filem itu sendiri menjadi cerminan kehidupan seharian kita. Melalui mata watak dalam filem, kita melihat wajah sebenar masyarakat kita tanpa tapisan prejudis diri sendiri. 

Filem PK ini berlatarbelakangkan masyarakat India abad ke-21. Pertembungan antara kelompok yang kuat berpegang kepada agama dengan kelompok yang menganggap agama hanyalah urusan peribadi sahaja. Filem ini adalah mengambil semangat yang sama seperti filem "3 Idiots", juga lakonan Aamir Khan dan arahan Rajkumar Hirani. Dalam 3 Idiots, mereka mengkritik sistem pendidikan di India, manakala dalam filem PK, mereka mengkritik fanatisme agama dalam masyarakat India. Untuk pengetahuan anda, 3 Idiots adalah adaptasi novel "Five Points Someone" tulisan Chetan Bagat, seorang jurutera yang akhirnya menjadi penulis. Banyak novel beliau mendedahkan realiti sebenar keresahan anak muda di India pada zaman moden. Penulis sendiri dapat membaca novel beliau apabila ayah penulis membeli novel tersebut apabila beliau melawat India (satu tradisi ayah membawa balik buku). Novel tersebut ditulis dalam Bahasa Inggeris campuran Hindi, bukanlah novel yang baik untuk anda mengasah pembacaan anda dalam Bahasa Inggeris. Ceritanya juga sebenarnya sangatlah berbeza dengan adaptasi filem.

Berbalik kepada filem, penulis merasakan tidak perlu menceritakan tentang kritikan filem ini kepada agama terutamanya sekali agama Hindu, agama terbesar di negara India. Selain mengakui kejahilan penulis mengenai agama Hindu, penulsi juga ingin memfokuskan mengenai watak Aamir Khan sendiri iaitu PK. PK sebenarnya adalah seorang (manusia ke?) makhluk asing yang dihantar ke Bumi untuk membuat kajian, namun alat komunikasi PK dicuri orang. Seluruh filem ini selepas itu berkisar tentang bagaimana PK berkomunikasi dengan manusia, memahami cara manusia di samping berterusan mencari alat komunikasi tersebut.

Terdapat juga subplot mengenai kisah cinta antara seorang perempuan dari keluarga Hindu bernama Jaggu dan seorang lelaki Islam dari Pakistan. Namun subplot ini muncul di awal dan akhir filem. Plot ini mungkin dirancang untuk memberi sebab motivasi Jaggu, perempuan yang mempergunakan PK mengapa beliau membencikan agama kerana ditinggalkan lelaki Islam. Selain itu, ianya memberi perencah cinta segitiga apabila PK akhirnya jatuh cinta dengan Jaggu.

Nama PK sendiri bukanlah nama sebenar makhluk asing tersebut tetapi diberi orang. Maksud PK adalah mabuk, diberi orang kerana perlakuan PK yang semacam tidak tahu apa-apa menyebabkan orang sangka dia mabuk. Mungkin penulis filem mahu mengaitkan dengan kata-kata popular Mao Zedong yang mengatakan agama itu candu, sama seperti PK yang seperti orang mabuk mencari Tuhan mana yang boleh mengembalikan alat komunikasi beliau.

Babak-babak kontroversi filem ini berlaku semasa PK sedang mencari Tuhan. Ini kerana beliau diberitahu oleh orang ramai supaya mencari Tuhan untuk menyelesaikan masalah beliau. Tetapi malangnya apa yang beliau jumpa hanyalah orang agama, bukanlah Tuhan. Ini menyebabkan beliau kecewa. Ditambah lagi beliau berjumpa dengan Jaggu, seorang wartawan yang sentiasa cuba membongkarkan topeng orang yang mempergunakan agama untuk keperntingan peribadi. Akhirnya Jaggu cuba memahamkan PK bahawa sebab mengapa Tuhan masih belum menerima 'doa' PK adalah kerana 'nombor' yang mereka dail salah. Sebab itulah 'doa' tersebut masih belum sampai.

Filem ini penuh dengan komedi ala-ala Mr Bean, kerana watak utamanya naif tidak tahu langsung tentang norma kehidupan dan sensitiviti manusia. PK keliru mengapa ritual agama-agama lain, dan akhirnya membuat keputusan untuk mencuba semua agama, masuk kuil, masuk gereja, bersembahyang di masjid. Di sini beberapa pendapat mengatakan filem ini mempromosi pluralisme. Tetapi bila kita berfikir balik, bukankah watak seperti PK ini wujud dalam realiti kita. Ingatkah kita kepada mualaf seperti Malcolm X, Yusuf Islam, Hamza Yusuf dan lain-lain? Bukankah mereka dalam perjalanan mencari Tuhan, mencuba pelbagai agama dan akhirnya berjumpa dengan agama Islam. Bagaimana pula dengan ramai lagi orang yang masih kecewa dengan agama kerana tidak berjumpa dengan orang yang betul. Dan akhirnya memerangi agama. 

Tema yang dibawa oleh filem PK sangat bertepatan dengan situasi manusia zaman sekarang. Lahir begitu ramai kelompok yang mempersoalkan agama tradisi. Mereka bukan mempersoalkan kewujudan Tuhan, tetapi mempersoalkan orang agama yang memesongkannya. Dan akhirnya manusia keliru siapa Tuhan itu sebenarnya. 

Satu fitrah manusia untuk mencari Tuhan. Nabi Ibrahim pun mencari Tuhan, disangkanya baginda matahari, bulan dan bintang sebelum tutun wahyu Tuhan. Dalam Islam , kebenaran Tuhan terdapat dalam Al-Quran, oleh itu, sejauh mana tersalah 'nombor' orang agama pun, Allah SWT sudah mewahyukan 'Buku Panduan' melalui Rasul-Nya, Muhammad SAW. Beruntunglah kepada orang yang sudah menjumpai 'nombor' yang betul.

Friday, March 20, 2015

Ulasan Filem Chappie : Pemanas Badan Sebelum Star Wars 7 vs The Avengers 2



Penulis seorang peminat filem sains fiksyen. Jadi, bila penulis tahu tentang filem Chappie, kisah mengenai robot yang macam budak-budak, pastilah penulis mahu menontonnya. Apatah lagi ianya adalah karya Neil Blomkamp, yang pernah mengarah filem District 9, sebuah filem sains fiksyen yang agak berbeza semasa ianya ditayangkan. 

Seperti mana filem District 9, filem ini mengambil Afrika Selatan sebagai  latar tempat. Perkara inilah yang membuatkan penulis kagum dengan Nail Blomkamp yang berani menggunakan tempat yang jarang digunakan sebagai latar untuk sesebuah filem. Kebiasaanya pembikin filem akan menggunakan bandar besar yang popular seperti New York, Los Angeles, London, Paris, Tokyo dan pelbagai lagi. Apatah lagi Johannesburg, salah satu bandar besar di Afrika Selatan, bukanlah sebuah bandar tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Namun begitu, ianya sangat bersesuaian dengan tema filem. Kalau District 9 berkaitan dengan hubungan manusia-makhluk asing, refleksi kepada sejarah apartheid Afrika Selatan. Manakala dalam Chappie pula, bertemakan mengenai bagaimana manusia  melayan penjenayah dan kesan melampau penggunaan teknologi persenjataan yang canggih.

Penulis tidak pasti adakah bandar Johannesburg seteruk seperti yang digambarkan dalam filem. Mungkin tidak. Ianya hanyalah tambahan dramatik untuk menampakkan perlunya polis robot dalam filem ini. Chappie asalnya sebuah robot yang dibina semata-mata untuk melawan keganasan penjenayah yang semakin berleluasa di bandar Johannesburg. Apabila polis manusia sudah tidak mampu membendung jenayah. Ianya hampir sama dengan plot Robocop. Malah, penulis hampir pasti Neil Blomkamp pasti mendapat inspirasi daripada Robocop.

Namun, filem ini berbeza dari sudut pandang penceritaan. Kalau Robocop memfokuskan tentang masalah dalam polis, Chappie pula memberi ruang kepada penjenyah pula, bagaimana kalau penjenayah juga ada 'robot' mereka sendiri? Chappie menjadi berbeza daripada robot yang lain kerana dia menjadi bahan eksperimen pereka robot tersebut, Deon. Tanpa kebenaran CEO syarikat yang menghasilkan robot tersebut, Deon memuat turun aplikasi baru dalam Chappie. Aplikasi ini membuatkan robot hilang semua data yang sepatutnya ada dalam memori mereka, dan mereka akan belajar segala benda sejak dari mula, seperti bayi. Tetapi malangnya sewaktu Deon hendak mencuba eksperimen tersebut, dia diculik oleh sekumpulan penjenayah yang mahu mendapatkan rahsia polis robot daripada perekanya.

Penulis tidak pasti samada filem ini mahu menjadi komedi atau "thriller sci-fi" ala-ala Robocop yang banyak memaparkan babak-bakak 'horror'. Tetapi yang pastinya filem ini mendapat "rating" 18+. Ada waktu seolah-olah macam komedi, terutamanya apabila Chappie diajar perkara yang bukan-bukan oleh penjenayah. Chappie diajar cara bercakap, menembak dan berjalan seperti samseng. Saat itu seperti filem komedi. Oleh kerana Chappie ini memorinya kosong, ianya berkelakuan seperti budak-budak, naif dan percaya sehaja apa yang 'Mak' dan 'Ayah' nya mahu. Wallhal mereka mahu menggunakan Chappie untuk membuat aktiviti jenayah.

Tetapi filem ini banyak juga aksi tembak-menembak. Penuh dengan darah dan kata-kata kesat. Ditambah lagi dengan loghat Afrika Selatannya, kalau tiada sari kata di bawah mungkin sukar nak tangkap. Oleh sebab inilah penulis agak bingung untuk menilai filem ini. Ada waktu ianya sesuai menjadi filem keluarga, ada waktu ianya sesuai untuk orang dewasa sahaja. Pada pandangan penulis, oleh kerana nama Chappie itu sendiri sudah comel, maka sepatutnya fokus sahaja jalan penceritaan kepada Chappie dan 'keluarga palsu' nya. Kurangkan tema mengenai polis robot menentang penjenayah. Malah kadang-kadang plot sisi seperti Deon, pereka robot yang mahu mencipta robot yang lebih hebat daripada manusia, dirasakan tidak perlu. Apatah lagi ditambah dengan watak Hugh Jackman dan Sigourney Weaver, yang tidak kisahkan pun mengenai watak Chappie ini. Mereka hanya fikir tentang robot mana yang lebih sesuai untuk digunakan oleh polis. Yang boleh berfikir sendiri atau yang perlu dikawal oleh manusia.

Kalau penulis nak tonton filem mengenai robot yang lebih hebat daripada manusia, baik penulis tonton filem Terminator atau The Matrix. Sudah terbukti robot yang bijak bukan penyelesaian, malah perlu dikawal. Jadi motif Deon membuat aplikasi tersebut semacam tidak 'up to date' dengan perkembangan filem sains fiksyen sekarang. Apatah lagi, filem The Avengers 2 : Age of Ultron pun mungkin menggunakan tema yang sama.

Chappie berpotensi menjadi filem yang besar dan menarik dari sudut komedinya. Namun mungkin memang itulah hasrat pengarahnya, yang mahu menggabungkan humor dan 'action-thriller'. Memang Neil Blomkamp tidak fokus sangat tentang perkembangan watak, tetapi kepada tema robot, adakah ianya kawan atau musuh? Pengakhiran filem ini juga agak aneh, seolah-oleh filem "Transcendence", dimana memori manusia boleh dimuat turun ke dalam mesin, sama seperti Chappie yang boleh bertukar badan tetapi mengekalkan memori lama. Sekali lagi filem Chappie ini tidak fokus dan terlampau banyak tema yang cuba disumbatkan dalam durasi 2 jam. Yang pasti, tahun 2015 bukanlah tahun yang terbaik untuk memperkenalkan watak sains fiksyen baru kepada khalayak. Kemungkinan besar filem ini akan dilupakan. Kerana tahun ini adalah tahun pertembungan di antara The Avengers 2 dan Star Wars 7. Sementara filem tersebut keluar, penulis mungkin meluangkan masa menonton kembali semua filem Star Wars dan Marvel.