Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan imej seorang budak berumur 3
tahun yang mati terdampar di
perairan Turki. Beliau bernama Aylan Kurdi mati lemas semasa sedang berusaha dengan keluarganya melarikan diri dari
Syria ke Eropah melalui Lautan Mediterranean. Situasi beliau sama dengan ratusan ribu pelarian
Syria lain yang sanggup menyabung nyawa untuk lari ke Eropah.
Ini akibat situasi kehidupan yang semakin meruncing di Syria danTimur Tengah
menyebabkan mereka membuat keputusan untuk mencari kehidupan yang
menjanjikan masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak mereka.
Mereka melihat kehidupan di Eropah lebih baik kerana layanan mereka yang
lebih baik kepada pelarian dan kemungkinan mendapat status warganegara pada masa akan datang.
Walaupun begitu, pelarian ini tidak begitu disambut baik di
Eropah. Ramai ahli politik di sana yang
menggunakan isu ini untuk tujuan politik dengan menakut-nakutkan rakyat Eropah.
Mereka mengatakan pelarian ini akan mengganggu sosio-politik orang
Eropah kerana kebanyakan daripada mereka adalah Kristian manakala pelarian ini kebanyakannya
Muslim. Ditambah lagi dengan polisi negara yang tidak mesra pelarian,
menganggap pelarian sebagai penjenayah. Namun, orang
Eropah berpendapat bahawa isu ini bukan isu mereka sahaja tetapi seluruh dunia perlu bersama-sama dalam membantu menguruskan kemasukan pelarian
yang semakin bertambah. Setakat ini Jerman adalah negara yang menjadi contoh di
mana rakyatnya mengalu-alukan kehadiran pelarian dan polisi kerajaannya yang
melayan pelarian sebaiknya. Menariknya banyak kelab-kelab bolasepak Eropah yang berusaha mengumpul dana dan
memberi bantuan. Ada juga sehingga memberi tiket percuma kepada pelarian untuk menonton perlawanan bolasepak. Fenomena ini menunjukkan rakyat biasa Eropah masih lagi mempunyai
rasa simpati dan kemanusiaan,
walaupun pemimpin mereka terus dalam pertelagahan apakah polisi yang terbaik untuk menguruskan pelarian.
Namun penyelesaian masalah pelarian ini hanyalah jangka pendek sahaja kerana masalah sebenar adalah perang di
Syria. Setakat ini masyarakat antarabangsa masih lagi teragak-agak dan tidak berani mengambil tindakan terutamanya ke atas rejim Basyar
Al-Assad. Yang ada hanyalah tindakan pengeboman ke atas kem-kem
IS,itu pun tidak mencapai sasaran untuk melumpuhkan IS. Rundingan damai sebanyak dua kali
di Geneva ternyata tidak mencapai kata sepakat antara pihak Basyar Al-Assad
dan pembangkang. Kumpulan IS pula berterusan memerintah kawasan-kawasan di Syria
dan Iraq secara kejam dan kuku besi.
Semua sedia maklum bahawa Malaysia adalah Pengerusi ASEAN 2015
dan ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB. Sepatutnya sebagai pemimpin kepada negara
Islam, Malaysia sepatutnya menggesa supaya diadakan sesi khas untuk menghentikan perang
di Syria dan serius dalam menjayakan pelan damai. Pelarian Syria yang
melarikan diri bukan tidak sayangkan negara sendiri tetapi bahaya perang yang
membuatkan mereka melarikan diri memikirkan keluarga mereka. Hanya dengan perjanjian damai antara pihak bertelagah,
orang Syria akan lebih aman dan bilangan pelarian kemungkinan akan berkurangan sekiranya kemudahan asas
di tempat sendiri seperti makanan, air, tempat tinggal dan kesihatan kembali pulih.
Perlu juga difahami bahawa perang di Syria
juga melibatkan kuasa-kuasa besar di Timur Tengah seperti Iran dan Arab
Saudi. Hakikatnya mereka perlu dilibatkan dahulu kerana banyak bantuan kewangan dan ketenteraan datang daripada mereka. Gunakan hubungan baik
Malaysia dengan negara-negara Islam yang
lain untuk mendesak kedua-dua negara tersebut ke meja rundingan damai. Malaysia
perlu berani bertindak dan bukan sekadar pemerhati di
tepi jalan melihat sahaja peristiwa berlalu.
Menyentuh mengenai nasib kanak-kanak pelarian,
mereka perlu diberi perhatian dari sudut pendidikan kerana perang yang
telah berlangsung selama 4 tahun ini semestinya sudah memberi kesan kepada perkembangan pendidikan dan tumbesaran kanak-kanak. Elemen pembelajaran
yang perlu dipelajari adalah bukan sekadar kurikulum biasa yang diajar di
sekolah biasa,
namun mereka perlu diberi nilai tambah seperti elemen psikologi dan sukan. Elemen-elemen ini penting kerana ianya perlu dalam mengharungi kekejaman perang dan pembinaan negara pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment