Wednesday, August 12, 2015

Dunia Di Tengah Pertarungan Kuasa Besar : Siapa Layak Pimpin Malaysia?


Dalam kehangatan krisis keyakinan rakyat terhadap pemimpin Malaysia, timbul pula kerisauan yang kerajaan sudah membuat keputusan untuk menandangani TPPA. TPPA adalah sebuah perjanjian perdagangan di antara negara-negara Lautan Pasifik seperti Amerika Syarikat, Jepun, Vietnam, SIngapura dan negara Malaysia sendiri. Bantahan terbesar terhadap TPPA adalah kerana ianya akan mengurangkan kedaulatan negara masing-masing dan syarikat antarabangsa pula semakin berkuasa dalam menentukan polisi dalaman negara. Di samping itu, kemungkinan kebanyakan kos perubatan dan pendidikan meningkat akibat persaingan. Ini kerana syarikat tempatan bukan sahaja bersaing  dalam negara masing-masing, tetapi terpaksa bersaing dengan syarikat antarabangsa yang lebih kukuh kewangannya. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan terkesan dalam hal ini. Sebab itulah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang mewakili pelbagai syarikat bumiputera membantah keras penglibatan Malaysia dalam TPPA.

Dalam masa yang sama, terdapat suara-suara kecil yang mengatakan penglibatan Malaysia dalam TPPA dapat menambah daya saing rakyat Malaysia terutama peniaga Melayu. Orang Melayu sudah terlalu lama di’tongkat’ oleh kerajaan, kini masa untuk membuka dimensi baru terutamanya bersaing di peringkat antarabangsa. Ada juga yang menyokong TPPA ini kerana ianya dapat menyaingi kuasa ekonomi China di Asia Pasifik. Sebab itu negara Vietnam beria-ia supaya perjanjian perdagangan ini ditandatangani segera kerana mahukan Amerika Syarikat terus berpengaruh di rantau ini. Perkara yang sama juga dibincangkan di kalangan pakar ekonomi dan geopolitik kerana TPPA ini bukan sekadar perjanjian perdagangan, tetapi akan menjadi kerjasama politik di masa hadapan untuk mengekang kuasa China.

            Namun adakah suatu perkara yang buruk sekiranya China menggantikan Amerika Syarikat sebagai ‘abang besar’ di rantau ini? China ada sebab mahu menjadikan rantau ini di bawah pemantauan mereka kerana semua negara-negara ini adalah jiran mereka. Baik di Asia Tengah, India, Asia Tenggara sehingga ke Semenanjung Korea, semua tempat ini dianggap sebagai “kejiranan” China. Ditambah lagi dengan diaspora Cina yang ramai di Asia Tenggara hasil migrasi pada abad-abad yang  lepas menyebabkan rakyat di rantau ini sudah terbiasa dengan budaya orang Cina. China juga tidak mempunyai beban sejarah yang buruk dibanding dengan Amerika Syarikat terutamanya dalam perkaitan dengan hubungan dengan umat Islam. Ya. Walaupun China masih lagi dipersoalkan dalam layanan mereka terhadap etnik Uighur, namun dosa Amerika Syarikat lebih besar terutamanya dalam konteks di Timur Tengah. Berterusan menyokong kezaliman Israel dan membiarkan rejim zalim berkuasa dengan memberi bantuan kewangan menyebabkan umat Islam tidak percaya dengan janji manis Amerika. Umat Islam juga berharap dengan pembentukan pakatan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan South Africa) dapat mengimbangi kuasa Amerika dan Eropah apatah lagi sekiranya Turki juga menganggotai BRICS jikalau tidak dapat menyertai Kesatuan Eropah.

Dalam menghadapi pertembungan kuasa-kuasa besar kini, Malaysia perlu mempunyai pemimpin yang bijaksana dan dalam masa yang sama tegas. Malaysia sebagai sebuah negara kecil memang tak mampu berhadapan semua kuasa ini sendirian. Sebab itulah Malaysia dalam dilema samada hendak menandatangani TPPA tetapi terpaksa menghadapi reaksi negatif daripada China ataupun keluar daripada TPPA namun terlepas peluang dengan kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Australia. Kebijaksanaan pemimpin sangat diperlukan terutamanya menghadapi krisis seperti tahun lepas dalam tragedi MH370 dan MH17 dimana kedua-dua tragedi mempunyai kaitan dengan China dan Russia. Sehingga kini, tiada siapa lagi yang telah dibawa ke muka pengadilan dalam kes MH17 kerana masing-masing menuding jari dan enggan mengaku kesalahan. Ini akibat krisis di timur Ukraine masih lagi belum selesai. Manakala dalam tragedi MH370 pula, Malaysia perlu mengkoordinasi antara negara-negara seperti Jepun, China, Indonesia dan Australia dalam menggunakan peralatan ketenteraan mereka untuk mencari pesawat tersebut. Oleh sebab itu Malaysia perlu berkawan dengan semua orang kerana kekurangan aset dan sumber manusia sekiranya berlaku lagi tragedi seperti ini.

            Oleh itu, dalam persoalan pemilihan kepimpinan negara, rakyat perlulah berfikir dengan lebih jauh. Jangan sekadar berfikir dalam konteks sempadan Malaysia namun fikirkan juga adakah pemimpin yang dipilih itu layak mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa. Pemimpin tersebut perlulah paling kurang mengetahui lebih daripada satu bahasa seperti Bahasa Inggeris, Arab atau Mandarin disamping mempunyai pengetahuan yang luas dalam isu-isu serantau dan antarabangsa. Dalam pertembungan kuasa besar dunia kini, Malaysia bijak dalam memfokuskan kepada pengukuhan rantau ASEAN. Ini mengambil kira peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. Namun begitu rakyat masih lagi belum merasa semangat ASEAN itu apatah lagi selepas tragedi “Boat People” Rohingya menyebabkan rakyat hilang percaya dengan keberkesanan ASEAN. Kadang-kadang rakyat melihat tindakan kerajaan Malaysia agak aneh terutamanya melibatkan polisi luar negara. Contohnya Malaysia beria sekali mempromosi “moderation” atau kesederhanaan di peringkat antarabangsa sehingga di Perhimpunan Agung PBB di New York namun tindakan kerajaan di peringkat tempatan berbeza sekali dengan apa yang dicanangkan. Kerajaan tidak boleh bersikap seperti begitu lagi dengan menganggap apa yang dilakukan di peringkat dalaman tidak memberi kesan kepada imej Malaysia di luar. Oleh sebab itu jugalah rakyat menganggap penyertaan Malaysia dalam TPPA tidak menguntungkan rakyat, hanya mengikut telunjuk Amerika Syarikat akibat tidak strategik dalam membuat perundingan. Baru-baru ini, Amerika Syarikat menaikkan penilaian Malaysia dalam Senarai Negara Pencegahan Pemerdangan Manusia. Tindakan ini dikritik hebat oleh NGO-NGO Hak Asasi Manusia kerana beranggapan tindakan Amerika hanyalah untuk memujuk Malaysia menandatangani TPPA walhal rekod Malaysia semakin buruk terutamanya setelah penemuan kem pemerdagangan manusia di Perlis.


            Rakyat Malaysia sangat berharap  supaya reputasi negara sebagai sebuah negara contoh baik dalam kalangan negara Asia Tenggar, negara Islam atau negara membangun dipulihkan semula. Malaysia sekarang dalam krisis identiti di mana pembangunan fizikal tidak selari dengan pembangunan kualiti dan integriti insan. Kini tiba masanya untuk Malaysia membangun budaya mereka sendiri dengan berasakan identiti Melayu-Islam di samping agama dan budaya pelbagai kaum. Malaysia mungkin tidak mampu menjadi kaya dan gah seperti kuasa-kuasa besar, namun Malaysia boleh menjadi contoh masyarakat majmuk dalam dunia semakin kabur sempadannya dalam ledakan teknologi maklumat.

*Tersiar dalam laman web ABIM

No comments:

Post a Comment