Friday, March 20, 2015

Ulasan Filem Chappie : Pemanas Badan Sebelum Star Wars 7 vs The Avengers 2



Penulis seorang peminat filem sains fiksyen. Jadi, bila penulis tahu tentang filem Chappie, kisah mengenai robot yang macam budak-budak, pastilah penulis mahu menontonnya. Apatah lagi ianya adalah karya Neil Blomkamp, yang pernah mengarah filem District 9, sebuah filem sains fiksyen yang agak berbeza semasa ianya ditayangkan. 

Seperti mana filem District 9, filem ini mengambil Afrika Selatan sebagai  latar tempat. Perkara inilah yang membuatkan penulis kagum dengan Nail Blomkamp yang berani menggunakan tempat yang jarang digunakan sebagai latar untuk sesebuah filem. Kebiasaanya pembikin filem akan menggunakan bandar besar yang popular seperti New York, Los Angeles, London, Paris, Tokyo dan pelbagai lagi. Apatah lagi Johannesburg, salah satu bandar besar di Afrika Selatan, bukanlah sebuah bandar tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Namun begitu, ianya sangat bersesuaian dengan tema filem. Kalau District 9 berkaitan dengan hubungan manusia-makhluk asing, refleksi kepada sejarah apartheid Afrika Selatan. Manakala dalam Chappie pula, bertemakan mengenai bagaimana manusia  melayan penjenayah dan kesan melampau penggunaan teknologi persenjataan yang canggih.

Penulis tidak pasti adakah bandar Johannesburg seteruk seperti yang digambarkan dalam filem. Mungkin tidak. Ianya hanyalah tambahan dramatik untuk menampakkan perlunya polis robot dalam filem ini. Chappie asalnya sebuah robot yang dibina semata-mata untuk melawan keganasan penjenayah yang semakin berleluasa di bandar Johannesburg. Apabila polis manusia sudah tidak mampu membendung jenayah. Ianya hampir sama dengan plot Robocop. Malah, penulis hampir pasti Neil Blomkamp pasti mendapat inspirasi daripada Robocop.

Namun, filem ini berbeza dari sudut pandang penceritaan. Kalau Robocop memfokuskan tentang masalah dalam polis, Chappie pula memberi ruang kepada penjenyah pula, bagaimana kalau penjenayah juga ada 'robot' mereka sendiri? Chappie menjadi berbeza daripada robot yang lain kerana dia menjadi bahan eksperimen pereka robot tersebut, Deon. Tanpa kebenaran CEO syarikat yang menghasilkan robot tersebut, Deon memuat turun aplikasi baru dalam Chappie. Aplikasi ini membuatkan robot hilang semua data yang sepatutnya ada dalam memori mereka, dan mereka akan belajar segala benda sejak dari mula, seperti bayi. Tetapi malangnya sewaktu Deon hendak mencuba eksperimen tersebut, dia diculik oleh sekumpulan penjenayah yang mahu mendapatkan rahsia polis robot daripada perekanya.

Penulis tidak pasti samada filem ini mahu menjadi komedi atau "thriller sci-fi" ala-ala Robocop yang banyak memaparkan babak-bakak 'horror'. Tetapi yang pastinya filem ini mendapat "rating" 18+. Ada waktu seolah-olah macam komedi, terutamanya apabila Chappie diajar perkara yang bukan-bukan oleh penjenayah. Chappie diajar cara bercakap, menembak dan berjalan seperti samseng. Saat itu seperti filem komedi. Oleh kerana Chappie ini memorinya kosong, ianya berkelakuan seperti budak-budak, naif dan percaya sehaja apa yang 'Mak' dan 'Ayah' nya mahu. Wallhal mereka mahu menggunakan Chappie untuk membuat aktiviti jenayah.

Tetapi filem ini banyak juga aksi tembak-menembak. Penuh dengan darah dan kata-kata kesat. Ditambah lagi dengan loghat Afrika Selatannya, kalau tiada sari kata di bawah mungkin sukar nak tangkap. Oleh sebab inilah penulis agak bingung untuk menilai filem ini. Ada waktu ianya sesuai menjadi filem keluarga, ada waktu ianya sesuai untuk orang dewasa sahaja. Pada pandangan penulis, oleh kerana nama Chappie itu sendiri sudah comel, maka sepatutnya fokus sahaja jalan penceritaan kepada Chappie dan 'keluarga palsu' nya. Kurangkan tema mengenai polis robot menentang penjenayah. Malah kadang-kadang plot sisi seperti Deon, pereka robot yang mahu mencipta robot yang lebih hebat daripada manusia, dirasakan tidak perlu. Apatah lagi ditambah dengan watak Hugh Jackman dan Sigourney Weaver, yang tidak kisahkan pun mengenai watak Chappie ini. Mereka hanya fikir tentang robot mana yang lebih sesuai untuk digunakan oleh polis. Yang boleh berfikir sendiri atau yang perlu dikawal oleh manusia.

Kalau penulis nak tonton filem mengenai robot yang lebih hebat daripada manusia, baik penulis tonton filem Terminator atau The Matrix. Sudah terbukti robot yang bijak bukan penyelesaian, malah perlu dikawal. Jadi motif Deon membuat aplikasi tersebut semacam tidak 'up to date' dengan perkembangan filem sains fiksyen sekarang. Apatah lagi, filem The Avengers 2 : Age of Ultron pun mungkin menggunakan tema yang sama.

Chappie berpotensi menjadi filem yang besar dan menarik dari sudut komedinya. Namun mungkin memang itulah hasrat pengarahnya, yang mahu menggabungkan humor dan 'action-thriller'. Memang Neil Blomkamp tidak fokus sangat tentang perkembangan watak, tetapi kepada tema robot, adakah ianya kawan atau musuh? Pengakhiran filem ini juga agak aneh, seolah-oleh filem "Transcendence", dimana memori manusia boleh dimuat turun ke dalam mesin, sama seperti Chappie yang boleh bertukar badan tetapi mengekalkan memori lama. Sekali lagi filem Chappie ini tidak fokus dan terlampau banyak tema yang cuba disumbatkan dalam durasi 2 jam. Yang pasti, tahun 2015 bukanlah tahun yang terbaik untuk memperkenalkan watak sains fiksyen baru kepada khalayak. Kemungkinan besar filem ini akan dilupakan. Kerana tahun ini adalah tahun pertembungan di antara The Avengers 2 dan Star Wars 7. Sementara filem tersebut keluar, penulis mungkin meluangkan masa menonton kembali semua filem Star Wars dan Marvel.

1 comment: