Dalam masyarakat Melayu, komik masih
lagi dianggap sebagai ‘permainan’ kanak-kanak walhal generasi ‘kanak-kanak’
yang membaca komik ini sudah dewasa. Komik secara umum sudah dianggap sebagai
satu medium penting dalam perkembangan minda kanak-kanak yang membacanya. Ianya
juga berkaitan dengan peningkatan pengaruh visual dalam pendidikan, di mana
lebih senang belajar dan terpengaruh dengan gambar yang bergerak dan
berwarna-warni daripada tulisan panjang yang membosankan. Mungkin di Malaysia
masih lagi dipandang rendah kerana kurangnya kajian akademik, walaupun begitu
masyarakat umum setuju komik, kartun, animasi, semuanya penting dalam
pendidikan.
Namun komik juga adalah satu cara
penceritaan. Bercerita tidak lagi tertakluk kepada penulisan semata-mata.
Setiap gambar menggambarkan cerita tersendiri, dan komik adalah rantaian
gambar-gambar tersebut untuk menunjukkan penceritaan sesebuah karakter. Berbeza
dengan lukisan gambar klasik, komik juga biasanya dimasukkan dialog untuk
memudahkan pembaca memahaminya, sebab itu ada yang mengatakan komik adalah
gabungan penggunaan kedua-dua deria penting manusia, melihat dan membaca.
Tetapi yang membezakan novel tulisan dan komik adalah pembaca mesti
membayangkan sendiri situasi yang diceritakan dalam novel tersebut manakala
komik sudah pun melukiskan persekitaran dan karakter cerita tersebut.
Bagaimanapun inilah sebab mengapa banyak yang mengkritik komik menyebakan
kanak-kanak kurang berimiginasi. Benar atau tidak kritikan tersebut perlu
kajian lanjut.
Tetapi penulis hendak bercerita
tentang komik lukisan dan karya asal oleh Lat iaitu Mat Som. Komik ini ditulis
berdasarkan pengalaman dengan tokok tambah oleh Lat sendiri sewaktu beliau
hidup membujang di Kuala Lumpur. Kebanyakan persekitaran dan karakter dilukis
inspirasi daripada watak sebenar. Jalan cerita Mat Som menceritakan mengenai
kehidupan Mat Som bermula daripada beliau bangun tidur, bersiap pergi kerja,
dilema pekerjaan dan perkahwinan. Mat Som adalah orang kampong yang berhijrah
dari kampung ke bandar. Beliau menumpang di rumah kawan sekampung dan bekerja
di syarikat penerbitan sebagai wartawan. Namun oleh kerana kerjanya tidak
tetap, seringkali ada masalah kewangan. Selalu beliau meminjam duit daripada
kawannya, kadang-kadang apabila dijemput kenduri pun beliau akan meminjam baju
kawannya yang lebih cantik.
Mengenai dilemma perkahwinan pula,
bapa beliau di kampung cuba memadankan beliau dengan kawan lamanya. Namun Mat
Som juga jatuh hati dengan jiran rumahnya di Kuala Lumpur, tetapi tidak berani
manyatakan hasrat. Ditambah lagi beliau merasakan masih muda dan banyak lagi
perkara yang perlu dicapai sebelum berkahwin.
Dilema yang dihadapi Mat Som ini
sebenarnya sering berlaku kepada lelaki bujang dalam unur 20-an yang berkerja
di bandar. Sehingga sekarang, kita boleh berjumpa dengan kawan-kawan yang
sedang dalam dilema yang sama. Malah zaman sekarang lebih rumit lagi dengan
perspesi masyarakat yang berubah-ubah terhadap lelaki bujang yang belum
berkahwin. Ditambah lagi dengan kos sara hidup yang lebih mahal dan wang
pendapatan bulanan yang tidak mencukupi menyebabkan perkahwinan, walaupun satu
kemahuan, namun bukan satu kemewahan. Hal mengenai perkahwinan dan kerjaya ini
sebenarnya mempunyai kesan besar dalm pembentukan persepsi lelaki terhadap
dunia. Kebanyakan kajian dilakukan terhadap remaja berusia 18 tahun ke bawah
namun masih kurang yang mengkaji tentang sifat dan tingkah laku pemuda berusia
20-an, kerana waktu inilah mereka mempunyai masalah identiti yang pelbagai dan
tekanan kehidupan yang semakin menghimpit. Ditambah lagi dengan pendidikan di
sekolah yang sebenarnya langsung tidak mempersiapkan mental mereka untuk
menjadi dewasa.
Walapun komik ini dibuat pada tahun
1988, namun latarnya berkemungkinan pada awal 70-an, dimana penulis Lat sendiri
pada masa itu adalah seorang pemuda dari kampung yang sedang berjuang untuk
hidup di bandar dan bercita-cita menjadi seorang wartawan. Komik ini adalah wajib baca kepada
pemuda-pemuda terutamanya yang sedang melalui transisi daripada alam universiti
kepada alam kerjaya. Walaupun mungkin watak Mat Som ini terus berhijrah ke
bandar selepas habis sekolah untuk bekerja, namun ramai pemuda sekarang juga
berhijrah ke bandar untuk menyambung pelajaran. Dan menjadi kebiasaan orang Malaysia,
habis belajar sahaja akan datang tekanan untuk berkahwin (walaupun ada yang
sudah berkahwin sewaktu masih belajar lagi).
Dengan inspirasi daripada komik ini, mungkin pemuda-pemuda dapat merasa
ianya normal mengalami dilema-dilema seperti begini dan jangan takut untuk
mencuba sesuatu yang baru untuk mencapai impian masing-masing
No comments:
Post a Comment