Friday, February 15, 2019

Bibliomaster - Ulasan Buku Mecca - The Sacred City (2014) oleh Ziauddin Sardar


1. Ziauddin Sardar bekerja di Hajj Research Center untuk mengkaji isu logistik semasa melaksanakan ibadat Haji. Dia pernah cuba untuk menunaikan Haji dengan menggunakan keldai supaya dapat merasai sendiri bagaimana orang dahulu melakukan Haji. Adakah berjalan kaki bermakna lebih meningkatkan perasaan spiritual berbanding pergi Haji dengan kenderaan. Mekah pada waktu Haji juga sangat tercemar kerana ekzos kenderaan dan mereka mengkaji adakah dengan berjalan kaki akan lebih membantu persekitaran hijau.

2. Hampir setiap rumah orang Islam terdapat gambar Kaabah dan Masjidil Haram. Ianya sebagai niat dan doa yang mereka akan pergi ke Mekah suatu hari nanti. Namun ada beza membaca dan melihat gambar Kaabah dengan betul-betul menziarahi Mekah.

3. Sukar untuk mengkaji sejarah Mekah dari sudut arkeologi kerana Arab Saudi sudah memusnahkan semua landskap untuk projek pembesaran Masjidil Haram. Sejarah Mekah hanya boleh diketahui melalui buku sejarah dan travelog pengembara. Sebagai contoh dalam Bible, Book of Psalms dan buku Edward Gibbon menceritakan yang orang Yunani sudah mengetahui kewujudan Kaabah. Mekah menjadi titik pertemuan pedagang darat daripada Parsi dan juga pedagang laut daripada India dan Asia Tenggara. Sebab itulah pekerjaan Nabi Muhammad adalah pedagang. Asal-usul Nabi Ibrahim juga diperdebatkan, sama ada daripada Ur, berdekatan dengan Baghdad moden atau Urfa di selatan Turki.

4. Mekah pada zaman Nabi Muhammad hanya ada beberapa ribu orang sahaja. Kisah Nabi Muhammad menerima wahyu tersebar dengan cepat. Ajaran Islam menyerupai Kristian dan orang Quraysh pada waktu itu membenci Byzantine, oleh itu Islam menjadi musuh. Allah bersumpah dengan nama Mekah sebagai ibu segala kota. Selepas Perjanjian Hudaibiyah, suku kaum Quraysh sudah hilang musuh utama iaitu orang Islam dan mula kembali berperang sesama sendiri. Konflik antara suku kaum menyebabkan Nabi Muhammad membuat tindakan menakluk Mekah kerana berlaku pertempuran di sekitar Kaabah, ini telah melanggar perjanjian. Selepas pembukaan Mekah, sejarah Islam banyak tertumpu kepada Madinah dan melupakan Mekah.

5. Selepas pembukaan, Madinah menjadi kota terkuat, bukan lagi Mekah. Ini memberi kesan kepada ketua suku kaum Quraysh. Di Mekah, anda boleh berkuasa dengan keturunan, tetapi di Madinah, seseorang dinilai dengan merit keimanan dan kekuatan keilmuan Islam. Walaupun semua berhala sudah dimusnahkan, tetapi mentaliti jahiliyyah masih ada dalam kalangan orang Mekah. Mekah terus diperintah oleh ketua yang mempunyai kaitan dengan Quraysh sehinggalah 1517 apabila Turki berkuasa. Semasa perang Siffin, Ali berpusat di Kufah (berdekatan dengan Parsi) manakala Aisyah berpusat di Mekah. Pergelutan kuasa antara Muawiyah dan Ali adalah kerana isu pembunuhan Uthman. Selain itu, Ali melantik ramai orang Madinah sebagai penasihat. Ini mendatangkan kemarahan orang Islam yang berketurunan Mekah. Saidina Ali juga membunuh ramai orang Khawarij dan ini menyebabkan auroriti Ali semakin melemah. Semasa zaman Yazid, Mekah diserang untuk menjatuhkan Abdullah ibn Zubair, anak kepada Asma Abu Bakar kerana tidak setuju dengan pemerintahan Umayyah. Beliau dibunuh dan disalib. Ibn Zubair antara orang terawal yang membesarkan Majidil Haram.
 
 6. Setiap benda yang datang dari Mekah dianggap sebagai barang suci, walaupun pada zaman moden kemungkinan besar dibuat di China. Adakah kerana ianya datang daripada orang Quraysh sendiri yang hendak menunjukkan Mekah lebih hebat daripada tempat lain? Pada zaman Abbasiyah, setiap mazhab termasuk Syiah ada tempat tersendiri dalam masjid. Pemberontakan Qarmatian berdekatan di Bahrain berlaku kerana menganggap Abbasiyah menyeleweng daripada Islam. Qarmatian menyerang Mekah dan membawa lari Hajarul Aswad. Mereka dilindungi oleh Fatimiyyah di Mesir. Kerajaan Fatimiyyah juga pertama kali melantik Sharif Mekah bernama Jafar ibn Muhammad al-Hasani. Pada waktu ini, khalifah di Baghdad sudah hilang kuasa, yang ada hanya nama. Pada waktu ini, Naser-e-Khosraw (Tajikistan) melawat Mekah dan melihat Masjidil Haram tidak terjaga. 

7. Reynoaud de Chatillon, seorang crusader yang pernah ditangkap dan dipenjarakan di Syria, merancang untuk menyerang Mekah dan Madinah. Namun dikalahkan berdekatan dengan Madinah oleh tentera Salahuddin al-Ayyubi. Pada waktu ini, Ibn Arabi melawat Mekah dan menulis buku Meccan Revelations. Beliau merasakan orang Islam tidak betul-betul memahami Haji dan fungsi Kaabah itu sendiri. Tetapi orang Mekah tidak suka cara kesufian Ibn Arabi. Selepas Mongol masuk Islam, raja Mamluk dan raja Mongol masing-masing berebut mahu namanya disebut dalam khutbah. Ibn Battuta pernah melawat Mekah pada tahun 1327 dan pada waktu ini Mekah aman dan kaya-raya.

8. Pada zaman Sultan Selim I (1517), Turki menjadi pelindung kepada Mekah dan Madinah. Pada waktu ini, Turki dan Mamluk di Mesir banyak bertembung dengan Portugis untuk menguasai Laut Merah. Portugis mempunyai hasrat untuk menyerang Mekah. Portugis sebenarnya mahukan emas daripada Afrika dan apabila tidak menjumpai emas, mereka mula mencari jalan ke Timur. Portugis pernah menyerang Jeddah dan menguasai Aden di Yemen. Sharif Mekah juga banyak bergantung kepada isteri Sultan (Gulnus Sultan, 1648) untuk memperbaiki perkhidmatan di Mekah, seperti sekolah, masjid, perpustakaan dan hospital. Mimar Sinan sendiri pernah membina empat madrasah untuk setiap mazhab sebagai pusat pengajian. Hakikatnya jarang ada Sultan Turki pergi mengerjakan Haji. 

9. Keluarga Saud yang memerintah Mekah sekarang tidak ada kaitan keturunan dengan semua Sharif sebelum ini. Pada tahun 1950-an, Mekah dihuni oleh 200,000 orang sewaktu Haji. Pada waktu ini, beberapa bangunan yang lebih tinggi daripada masjid mula dibina walaupun dibantah oleh orang tempatan. Raja Faisal mahu menjadikan Mekah sebagai pusat umat Islam pada tahun 1970-an dan menganjurkan persidangan yang mengumpulkan semua tokoh-tokoh umat Islam. Perubahan yang cuba dilakukan Faisal beliau apabila beliau dibunuh oleh sepupu sendiri yang ekstrem Wahhabi kerana dianggap melakukan penyelewengan. Hajj Centre membuat kajian bahawa warisan orang Hijaz akan dimusnahkan kalau projek pembangunan berterusan, tetapi keluarga Saud yang berketurunan Najd mengabaikannya. Hajj Centre juga mencadangkan cara yang terbaik untuk melakukan korban untuk mengelakkan pencemaran dan mahu kenderaan dilarang masuk ke Mina.

10. Pada tahun 1979, Masjidil Haram ditawan oleh Utaibi yang mengaku sebagai Mahdi. Selepas tentera Saudi sendiri gagal mengalahkan mereka, Arab Saudi meminta bantuan CIA. CIA operatif diminta untuk masuk Islam secara ekspres sebelum dibenarkan masuk ke Mekah. Iran pernah dilarang menunaikan Haji kerana ramai sangat Syiah di Mekah dan ini menakutkan Arab Saudi. Pada tahun 1987, Syiah dilarang masuk ke masjid dan ini menyebabkan protes sehingga ramai yang terbunuh. Sistem kuota diperkenalkan pada tahun 1988 dan Iran diberi kuota terbesar iaitu 115,000 orang.

Thursday, October 4, 2018

10 Maqasid Syura Menurut al-Raisuni


Syura adalah suatu kewajipan yang telah ditinggalkan oleh umat Islam. Itu perkara penting yang dibincangkan oleh Sheikh Dr Ahmad al-Raisuni dalam bukunya, Syura dan demokrasi dari perspektif Maqasid al-Shariah. Syura telahpun diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat namun ianya ditinggalkan apabila umat Islam mula mempunyai raja dan bilangan penganut Islam semakin ramai sehingga urusan pentadbiran hanya dijalankan oleh segelintir pihak. Ulama’ pula tidak mengembangkan prinsip syura dan hanya berfungsi menjadi penasihat raja. Menurut al-Raisuni, mereka perlu terlibat dengan lebih mendalam lagi terutamanya dalam merangka sebuah sistem syura yang mengikut zaman dan dalam masa yang sama menepati semangat shariah. 

Oleh itu, demi menembalikan semula semangat syura dalam umat Islam, al-Raisuni telah menyenaraikan 10 Maqasid Syura yang memberi manfaat kepada umat. Beliau berpandukan kepada teks kitab daripada ulama’ mazhab Hanafi bernama al-Jasas, ulama’ mazhab Maliki bernama Abu Bakar al-Arabi dan al-Qadi Abu Bakar al-Muradi. 10 Maqasid tersebut adalah:-

1. Mencari Kebenaran dan Ketepatan
Syura adalah cara yang paling efektif untuk mencari kebenaran selepas wahyu Allah. Ayat Al-Quran menyebut bahawa seseorang berada dalam kebenaran sekiranya melakukan penyelidikan, serta terus mundur apabila tidak menggunakan akal fikiran. Syura dapat menjadi medan mengumpul pelbagai pakar yang dapat mengeluarkan fakta supaya umat tidak tersesat dalam kejahilan. Dalam syura, selain cuba membezakan mana yang benar, mana yang salah, boleh jadi syura diperlukan untuk mencari mana satu yang lebih tepat untuk diamalkan sekiranya kedua-duanya benar. 

2. Mengelakkan Hawa Nafsu dan Kepentingan Peribadi
Nafsu dalam diri manusia akan memberi kesan kepada keputusan seseorang. Mereka akan sukar bersikap adil sekiranya ianya melibatkan perasaan seperti cinta, marah atau takut. Syura yang dilakukan dapat mengurangkan kesan perasaan seseorang terhadap sesuatu keputusan yang dibuat. Ianya tidak dibuat semata-mata untuk kepentingan peribadi semata-mata. Ibnu Arabi menyebut bahawa syura dapat membebaskan kebenaran dari pengaruh perasaan.

3. Mengelakkan Kediktatoran dan Kezaliman
Syura dapat mengelakkan keputusan hanya dibuat oleh seorang sahaja. Kediktatoran hanya berlaku apabila sesiapapun tidak berani atau tidak mempunyai jalan untuk membantah keputusan seseorang pemimpin. Sekiranya syura berlaku, pemimpin akan bertindak sewajarnya dan tidak melampaui batas. Syura dalam hal ini juga bukan sekadar melindungi rakyat daripada kezaliman, namun ianya melindungi pemimpin daripada berleluasa menyalahgunakan kuasa. Al-Raisuni juga menyebut kediktatoran juga boleh berlaku dalam konteks sesiapa sahaja yang memegang kuasa seperti mufti dan seorang ayah sebagai ketua keluarga. Semuanya boleh menjadi diktator apabila mereka mabukkan kuasa. Hanya dengan syura dapat mengubatinya.

4. Memupuk Sifat Tawaduk
Syura dapat mengajar seseorang supaya sentiasa mengambil  kira pandangan orang dan tidak merasa tinggi diri atau lebih hebat daripada orang lain. Ianya mengikis perasaan sombong dan melampaui batas. Ianya juga memupuk pemikiran bahawa untuk memastikan hidup sejahtera dalam masyarakat, kita sentiasa memerlukan orang lain untuk melaksanakan tugas. 

5. Memberikan Hak kepada yang Berhak
Melakukan syura sebenarnya adalah satu hak. Tidak ada pihak yang boleh memonopoli keputusan sehinggalah meraka bersyura dahulu untuk menanyakan pandangan. Sebagai seorang pemimpin yang mewakili kepentingan ramai, orang ramai sendiri mestilah bersetuju dahulu dan tidak dipaksa mengikut sahaja keputusan seorang.



6. Menyuburkan Kebebasan
Kebebasan bersuara adalah elemen penting dalam syura. Tidak berlaku syura dalam erti kata sebenar sekiranya ahli syura takut menyatakan kebenaran. Pihak yang bersuara pula hanya mahu mempertahankan kepentingan peribadi sahaja. Kezaliman pula terus berlaku kepada golongan yang takut bersuara. AL-Quran juga mencatatkan bahawa Malaikat juga berdialog dengan Allah SWT dalam hal penciptaan manusia. Ini menunjukkan bahawa syura itu penting untuk meleraikan kekeliruan. Bertanyakan soalan adalah satu elemen penting dalam syura.

7. Memperkasakan Pemikiran dan Kajian
Syura dapat menjadi medan ahli-ahli untuk meningkatkan pemikiran dan mencari ilmu baru. Ini kerana sebelum mereka bersuara, mereka perlu memastikan yang pandangan mereka itu tepat. Oleh itu, kajian perlu dijalankan dan akhirnya dibentangkan di dalam syura. Dari situ, mereka dapat memikirkan dan menemui sesuatu yang belum difikirkan lagi. Ini berbeza dengan berfikir bersendirian. Islam memberi ruang yang luas untuk ijtihad dalam hal-hal keduniaan. Oleh itu, ulama’ yang mengamalkan syura dapat berinteraksi dengan masyarakat supaya mereka lebih memahami permasalahan sebelum membuat keputusan kolektif dalam syura.

8. Menguatkan Sokongan dan Menjayakan Pelaksanaan
Syura dapat membuatkan orang ramai lebih selesa menjalankan tugas kerana pandangan mereka telah diambil kira sebelum membuat keputusan. Sekiranya keputusan yang dibuat hanya seorang, ianya boleh membuatkan orang berasa berat hati untuk melaksanakan tugas dan membuat secara sambil lewa sahaja.

9. Kerjasama dan Kesatuan
Keputusan dalam syura lebih dipandang tinggi oleh orang ramai dan memupuk kerjasama untuk melaksanakannya. Ibnu Ashur menyebut bahawa permesyuaratan menghasilkan kebenaran dan kepuasan semua pihak. Sifat kasar hanya menjauhkan diri dari seseorang. Syura melahirkan orang yang lebih pemaaf dan bersedia untuk mendengar pandangan orang lain. Meninggalkan syura boleh menyebabkan perpecahan. Perpaduan tidak akan berlaku sekiranya tiada kasih sayang dan kemesraan.

10. Bersama Bertanggungjawab
Keputuan dalam syura boleh jadi gagal. Namun itu tidak bermakna syura tidak berkesan. Ianya mungkin masalah pelaksanaan. Ianya tanggungjawab bersama sekiranya gagal dan kajian perlu dilakukan juga di dalam syura untuk memastikan kegagalan tidak berlaku lagi. Kesan negatif yang lebih besar akan berlaku sekiranya tiada syura dan memberi kesan kepada semua namun yang membuat keputusan hanya seorang sahaja. Dr Muhammad Abdul Qadi Abu Faris menyebut bahawa syura adalah pembahagian tugas dan tanggungjawab. Kesan baik dan buruk dikongsi bersama dan mengelakkan masyarakat saling menuding jari sekiranya gagal.

Thursday, January 18, 2018

Perbahasan Antara Pengundi Pakatan Rakyat Dengan Petugas Pakatan Harapan




Johan sedang memandu kereta hendak pulang ke rumahnya selepas menghadiri Himpunan 8 Mei di Kelana Jaya untuk membantah penipuan semasa Pilihanraya ke-13 yang baharu sahaja selesai. Pilihanraya tersebut dimenangi oleh Barisan Nasional dengan perbezaan kerusi yang tipis. Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, DAP dan PKR kekal menguasai negeri Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Tetapi malangnya kehilangan negeri Kedah. 

Johan mahu singgah di stesen minyak untuk pergi ke tandas sebentar. Beliau memberhentikan kereta berdekatan tandas dan masuk selama 5 minit. Selepas sahaja keluar, Johan terkejut kerana tidak menemui kereta beliau. Johan mencari-cari di sekitar stesen tersebut dan ternampak ada satu bilik gerakan di sebelah stesen minyak itu. Mungkin orang di situ ternampak keretanya. Nampaknya bilik gerakan tersebut masih ramai petugas parti walaupun pilihanraya dah berakhir. 

Johan terkejut apabila masuk ke dalam bilik gerakan tersebut. Johan melihat poster Mahathir Mohamad ditampal di dinding-dinding. Johan juga hanya mengenali dua sahaja Bendera-bendera yang berkibar di sekitar bilik gerakan tersebut iaitu bendera DAP dan PKR. Namun Johan tidak mengenali 2 lagi bendera yang lain. Satu bendera berwarna oren, dan satu lagi berwarna merah. Kemudian di atas bilik gerakan tersebut terdapat sebuah banner besar dengan nama Pakatan Harapan.
Johan bertanya dengan salah seorang petugas di situ.

Johan    :               Kenapa Bilik Gerakan di sini masih ramai? Bukankah Pilihanraya sudah berakhir?

Petugas :             Pilihanraya hanya beberapa minggu lagi. Nah tuan, ambil flyer ini. Undilah
                                calon Pakatan Harapan.

Johan    :               Pakatan Harapan? Apa tu? Bukankah Pakatan Rakyat?

Petugas :             Pakatan Rakyat itu dulu. Sekarang kita dikenali sebagai Pakatan Harapan. Sama sahaja. Cuma tiada PAS. Kita ganti dengan Amanah.

Johan    :               Kenapa PAS tiada? Amanah ni datang dari mana?

Petugas:              PAS yang nak bertanding sendiri. Mereka tidak mahu bekerjasama dengan parti lain. Tetapi ramai orang PAS yang keluar parti dan menyertai Amanah. Kami juga tidak percaya dengan PAS kerana mereka membuat perjanjian dengan BN. Sebab itu jangan undi diorang. 

Johan    :               Apa pula parti bendera warna merah ni? Nampak macam UMNO je. 

Petugas :             Itu parti Bersatu. Banyak bekas orang UMNO masuk parti ni. Diorang dah serik
                                dengan Najib.

Johan    :               Kenapa ada poster Mahathir belakang tu? Mana Anwar Ibrahim?

Petugas :             Anwar Ibrahim sekarang di dalam penjara. Tak boleh jadi Perdana Menteri. Oleh
                             itu,  pilihan yang kita ada hanyalah Mahathir.

Johan    :               Mana pemimpin muda yang lain? Mahathir ni boleh percaya ke?

Petugas :             Mahathir ni dah minta maaf. Jadi boleh percaya. Pemimpin lain tiada pengalaman.
                                Mahathir pula dah ada pengalaman selama 22 tahun. Rakyat kena bagi peluang  
                                kedua kepada Mahathir.

Johan    :               Tapi bukankah kerana dia menjadi PM lama sangat yang menyebabkan Malaysia
                               jadi macam sekarang. Kenapa tidak bagi peluang kedua kepada Najib?

Petugas :             Najib lagi teruk daripada Mahathir.

Johan    :               Saya sebelum ini mengundi Pakatan Rakyat. Tak kenal la Pakatan Harapan ni. 

Petugas:              Kalau abang tak mengundi Pakatan Harapan, maksudnya abang ni menyokong
                                Barisan Nasional.

Johan berasa aneh kenapa petugas bilik gerakan ini menuduh dia macam itu pula. Johan terus keluar dari bilik gerakan tersebut, menghala semula ke arah stesen minyak. Mungkin dia terlepas pandang kereta beliau. Tetapi sebelumitu, dia mahu pergi ke tandas semula. Selepas keluar dari tandas, beliau ternampak kembali kereta yang beliau letakkan di hadapan stesen minyak. Johan masuk ke dalam kereta dan terus menghala ke rumah. Dalam perjalanan pulang, beliau melihat poster dan billboard dengan gambar Anwar Ibrahim. Nampaknya dunia kembali normal.

Friday, January 5, 2018

Ulasan Filem Jibam

Bukan mudah hendak membikin filem adaptasi daripada novel. Banyak elemen yang mungkin menarik dalam bentuk tulisan tetapi apabila diterjemahkan ke dalam bentuk audio-visual, seringkali tak kena ataupun ‘lost in translation’. Kerisauan itulah yang penulis bimbangkan sebelum hendak menonton filem Jibam, arahan Che Mie, lakonan Mohd Ariff sebagai watak utama Jibam. Ianya adalah adaptasi daripada novel Jibam tulisan Ujang yang diterbitkan pada tahun 1992. Namun, selepas penulis menonton filem ini, penulis berminat untuk membaca novel Jibam. Ini petanda bahawa filem ini berjaya dalam misinya iaitu menceritakan kisah Jibam, sejarah keluarganya dan orang-orang kampung Jibam yang memberi kesan kepada Jibam atau terkesan dengan tindakan Jibam.

Watak Jibam adalah seorang kanak-kanak yang boleh dikatakan tidak siuman. Beliau dibuli oleh kanak-kanak lain yang tidak faham mengapa Jibam membuat perkara yang aneh. Namun begitu, keluarga Jibam dan penduduk kampung tetap menyayangi Jibam dan memastikan Jibam tidak membuat perkara yang merbahaya. Selain daripada Jibam, filem ini juga berlegar tentang misteri kematian ayah Jibam serta layanan Tok Ngah Sudin kepada Jibam. Jibam seringkali mengganggu ketenteraman Tok Ngah Sudin, menyebabkan beliau bersikap kasar dan sering kali memukul Jibam. Walaupun begitu, oleh kerana Jibam kurang mengerti, beliau masih lagi mahu meluangkan masa dengan Tok Ngah Sudin walaupun berkali-kali dihalau.

Filem ini sangat bagus dalam memaparkan suasana penduduk kampung. Namun sukar untuk memastikan tahun bilakah sepatutnya latar masa filem ini. Namun, lakonan setiap penduduk kampung sangat berkesan terutamanya reaksi mereka kepada Jibam dan kesusahan keluarga Jibam. Ini kerana ayah Jibam dianggap orang yang berjasa kepada kampung, oleh itu mereka mahu membantu keluarga Jibam seboleh mungkin. 

Ada beberapa babak melibatkan Tok Ngah Sudin memukul Jibam. Ada yang menjadi babak komedi, namun ada juga penulis merasakan ianya adalah penderaan kanak-kanak. Memang sebagai penonton, kita mungkin memikirkan mengapa Tok Ngah Sudin sangat membenci Jibam. Namun begitu, misteri ini akan dijawab pada pengakhiran. Kita sebagai penonton juga akan berasa kasihan dengan Tok Ngah Sudin, walaupun pada awalnya kita bencikan watak ini.

Penulis memuji pembikinan filem ini yang mengambil kira lakonan serta cerita yang mahu disampaikan, namun bersesuaian dengan medium filem. Boleh sahaja pembikin filem membuat filem biasa sahaja, menjadikan ianya seperti drama komedi yang sering kita tonton di televisyen. Namun kerana ketelitian pembikin filem, terutamanya dalam memaparkan suasana kampung serta misteri kematian ayahnya, ianya bukan sekadar komedi, namun tragedi orang kampung yang perlu difikirkan oleh masyarakat.

Tuesday, May 16, 2017

Memahami Situasi Tanah Melayu Semasa Abad ke-19

 Maaf kerana dah dua minggu tak update blog ni. Mungkin agak tertekan sedikit. Rasanya dalam 2 minggu ini perkara penting yang telah dibut seperti membeli buku di pesta buku (menyebabkan aku muflis walaupun asalnya target nak belanja RM50 je). Tapi aku merasakan yang pesta buku tahun ini kurang buku baru diterbitkan. Banyak penerbit nak habiskan buku-buku lama. Aku menjangkakan penerbitan buku Melayu di Malaysia makin suram. Bukan sebab orang tak baca buku, tetapi orang memilih untuk membeli. Apatah lagi dalam beberapa tahun ini, banyak buku baru yang keluar menyebabkan orang membeli secara borong, tetapi tak baca pun. Jadi nafsu membeli makin kurang dan mungkin ramai yang mahu fokus kepada menghabiskan pembacaan. Bagi aku itu yang terbaik sekali. Kita kena didik budaya membaca yang segar dan kritikal, bukan membeli dan membaca sesebuah buku itu kerana cover dia nampak cantik.

Walaupun begitu, aku sendiri dalam beberapa minggu ini banyak menghabiskan masa membaca buku yang aku beli sebelum pesta buku, iaitu buku Kerajaan karya Anthony Millner. Buku ini telah lama diterbitkan iaitu pada tahun 1982, namun ianya diterbitkan semula oleh SIRD dalam Bahasa Melayu. Buku ini sangat menarik di mana ianya menceritakan tentang bagaimana kita mahu menganalisis hikayat-hikayat Melayu. Hikaya yang menjadi tumpuan adalah Hikayat Pahang dan Hikayat Deli. Penulis membuat penilaian bahawa hikayat Melayu perlu dibaca bukan sekadar menumpukan kepada teks hikayat, tetapi cuba memahami apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh penulis hikayat. Contohnya kebanyakan hikayat ditulis oleh sesebuah kesultanan untuk mengabsahkan asal-usul mereka sebagai keturunan yang layak memerintah. Kemudian, kita juga perlu memikirkan siapakah target group hikayat-hikayat ini? Buku ini juga menyentuh tentang sejarah Tanah Melayu pada abad ke-19. Aku sendiri memang berminat dengan sejarah pada abad ke-19. Oleh itu, buku ini memang kena dengan citarasa aku. Banyak benda yang kita kena fahami tentang suasana dan peristiwa penting di Tanah Melayu pada abad ke-19. Tak cukup sekiranya kita belajar sejarah Malaysia, kita mula dengan Sejarah Melaka, kemudian kita lompat terus ke Sejarah Malaya sebelum pendudukan Jepun. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku terutamanya semasa penjajahan Belanda dan British.

Thursday, April 27, 2017

Anime Paprika dan Ghost in the Shell


Hari tu aku baru tonton di Netflix filem Paprika, sebuah karya animasi Satoshi Kon. Aku sedar kewujudan filem ini pun kerana menonton video Youtuber Every Frame A Painting. Dalam video tersebut, dia mengulas tentang editing Satoshi Kon yang unik dalam animasi beliau. Filem Paprika ini juga menjadi inspirasi kepada filem Inception oleh Christopher Nolan (walaupun tak diakui). Ini kerana tema filem animasi ini adalah mengenai sekumpulan saintis yang cuba masuk ke dalam mimpi seseorang. Oleh kerana temanya adalah mimpi, maka style editing juga membuatkan kita keliru mana satu mimpi, mana satu realiti. Bagi aku filem ini agak menarik, cuma ambil masa untuk faham. Malah, aku rasa kalau nak tengok filem ini, buat kali pertama feel dulu, just follow the flow. Kemudian untuk tontonan kali kedua atau kali ketiga, baru cuba fahamkan plot dan karakter. Selain daripada Satoshi Kon, pembikin animasi paling terkenal daripada Jepun tentulah Hayao Miyazaki dan studio Ghiblinya. Malangnya aku tak pernah lagi tonton walau satu pun filemnya. Kena tunggu keluar di Netflix. 

Bulan ini juga sebuah filem adaptasi daripada animasi juga baru ditayangkan iaitu Ghost in the Shell. Animasi asal pertama kali ditayangkan pada tahun 1995, manakala adaptasi live action yang baru adalah lakonan Scarlett Johannson. Aku tak pernah tonton animasi asal. Khabarnya ianya adalah salah satu filem yang mempengaruhi filem Matrix kemudian. Aku rasa filem live action ini kurang menarik dari sudut lakonan. Ianya seolah-olah diadaptasi direct daripada animasi. Mungkin animasi ada feel yang lain kerana ianya dalam Bahasa Jepun, namun apabila di dalam Bahasa Inggeris, ianya agak flat. Aku perasan dalam beberapa animasi lain pun, kalau kita tonton versi dubbing English, macam tak best. Walaupun begitu, filem ini ada tema yang menarik iaitu android yang menyerupai manusia berfungsi dalam masyarakat. Oleh kerana filem ini kurang laku, mungin studio Hollywood kurang mahu mengadaptasi filem animasi Jepun selepas ini. Bagi aku animasi dan komik Jepun boleh mencabar superiority Marvel. Kenapa nak Hollywodd juga adaptasi? Bukankah orang Jepun sendiri banyak adaptasi animasi mereka ke live action? Bagi aku Hollywood pandai buat filem yang appeal kepada umum. Manakala kalau orang Jepun buat, dia hanya sesuai untuk Jepun sahaja atau mereka yang dah biasa tonton filem Jepun. Khabarnya lepas ini Akira juga akan diadaptasi kepada live action. Harapnya menjadi filem tersebut.