Syura
adalah suatu kewajipan yang telah ditinggalkan oleh umat Islam. Itu perkara
penting yang dibincangkan oleh Sheikh Dr Ahmad al-Raisuni dalam bukunya, Syura
dan demokrasi dari perspektif Maqasid al-Shariah. Syura telahpun diamalkan oleh
Rasulullah SAW dan para sahabat namun ianya ditinggalkan apabila umat Islam
mula mempunyai raja dan bilangan penganut Islam semakin ramai sehingga urusan
pentadbiran hanya dijalankan oleh segelintir pihak. Ulama’ pula tidak mengembangkan
prinsip syura dan hanya berfungsi menjadi penasihat raja. Menurut al-Raisuni,
mereka perlu terlibat dengan lebih mendalam lagi terutamanya dalam merangka
sebuah sistem syura yang mengikut zaman dan dalam masa yang sama menepati
semangat shariah.
Oleh
itu, demi menembalikan semula semangat syura dalam umat Islam, al-Raisuni telah
menyenaraikan 10 Maqasid Syura yang memberi manfaat kepada umat. Beliau
berpandukan kepada teks kitab daripada ulama’ mazhab Hanafi bernama al-Jasas,
ulama’ mazhab Maliki bernama Abu Bakar al-Arabi dan al-Qadi Abu Bakar
al-Muradi. 10 Maqasid tersebut adalah:-
1. Mencari Kebenaran dan Ketepatan
Syura
adalah cara yang paling efektif untuk mencari kebenaran selepas wahyu Allah.
Ayat Al-Quran menyebut bahawa seseorang berada dalam kebenaran sekiranya
melakukan penyelidikan, serta terus mundur apabila tidak menggunakan akal
fikiran. Syura dapat menjadi medan mengumpul pelbagai pakar yang dapat
mengeluarkan fakta supaya umat tidak tersesat dalam kejahilan. Dalam syura,
selain cuba membezakan mana yang benar, mana yang salah, boleh jadi syura
diperlukan untuk mencari mana satu yang lebih tepat untuk diamalkan sekiranya
kedua-duanya benar.
2. Mengelakkan Hawa Nafsu dan
Kepentingan Peribadi
Nafsu
dalam diri manusia akan memberi kesan kepada keputusan seseorang. Mereka akan
sukar bersikap adil sekiranya ianya melibatkan perasaan seperti cinta, marah
atau takut. Syura yang dilakukan dapat mengurangkan kesan perasaan seseorang
terhadap sesuatu keputusan yang dibuat. Ianya tidak dibuat semata-mata untuk
kepentingan peribadi semata-mata. Ibnu Arabi menyebut bahawa syura dapat
membebaskan kebenaran dari pengaruh perasaan.
3. Mengelakkan Kediktatoran dan
Kezaliman
Syura
dapat mengelakkan keputusan hanya dibuat oleh seorang sahaja. Kediktatoran
hanya berlaku apabila sesiapapun tidak berani atau tidak mempunyai jalan untuk
membantah keputusan seseorang pemimpin. Sekiranya syura berlaku, pemimpin akan
bertindak sewajarnya dan tidak melampaui batas. Syura dalam hal ini juga bukan
sekadar melindungi rakyat daripada kezaliman, namun ianya melindungi pemimpin
daripada berleluasa menyalahgunakan kuasa. Al-Raisuni juga menyebut
kediktatoran juga boleh berlaku dalam konteks sesiapa sahaja yang memegang
kuasa seperti mufti dan seorang ayah sebagai ketua keluarga. Semuanya boleh
menjadi diktator apabila mereka mabukkan kuasa. Hanya dengan syura dapat
mengubatinya.
4. Memupuk Sifat Tawaduk
Syura
dapat mengajar seseorang supaya sentiasa mengambil kira pandangan orang dan tidak merasa tinggi
diri atau lebih hebat daripada orang lain. Ianya mengikis perasaan sombong dan
melampaui batas. Ianya juga memupuk pemikiran bahawa untuk memastikan hidup
sejahtera dalam masyarakat, kita sentiasa memerlukan orang lain untuk
melaksanakan tugas.
5. Memberikan Hak kepada yang
Berhak
Melakukan
syura sebenarnya adalah satu hak. Tidak ada pihak yang boleh memonopoli
keputusan sehinggalah meraka bersyura dahulu untuk menanyakan pandangan.
Sebagai seorang pemimpin yang mewakili kepentingan ramai, orang ramai sendiri
mestilah bersetuju dahulu dan tidak dipaksa mengikut sahaja keputusan seorang.
6. Menyuburkan Kebebasan
Kebebasan
bersuara adalah elemen penting dalam syura. Tidak berlaku syura dalam erti kata
sebenar sekiranya ahli syura takut menyatakan kebenaran. Pihak yang bersuara pula
hanya mahu mempertahankan kepentingan peribadi sahaja. Kezaliman pula terus
berlaku kepada golongan yang takut bersuara. AL-Quran juga mencatatkan bahawa
Malaikat juga berdialog dengan Allah SWT dalam hal penciptaan manusia. Ini
menunjukkan bahawa syura itu penting untuk meleraikan kekeliruan. Bertanyakan
soalan adalah satu elemen penting dalam syura.
7. Memperkasakan Pemikiran dan
Kajian
Syura
dapat menjadi medan ahli-ahli untuk meningkatkan pemikiran dan mencari ilmu
baru. Ini kerana sebelum mereka bersuara, mereka perlu memastikan yang
pandangan mereka itu tepat. Oleh itu, kajian perlu dijalankan dan akhirnya
dibentangkan di dalam syura. Dari situ, mereka dapat memikirkan dan menemui
sesuatu yang belum difikirkan lagi. Ini berbeza dengan berfikir bersendirian.
Islam memberi ruang yang luas untuk ijtihad dalam hal-hal keduniaan. Oleh itu,
ulama’ yang mengamalkan syura dapat berinteraksi dengan masyarakat supaya
mereka lebih memahami permasalahan sebelum membuat keputusan kolektif dalam
syura.
8. Menguatkan Sokongan dan
Menjayakan Pelaksanaan
Syura
dapat membuatkan orang ramai lebih selesa menjalankan tugas kerana pandangan
mereka telah diambil kira sebelum membuat keputusan. Sekiranya keputusan yang
dibuat hanya seorang, ianya boleh membuatkan orang berasa berat hati untuk
melaksanakan tugas dan membuat secara sambil lewa sahaja.
9. Kerjasama dan Kesatuan
Keputusan
dalam syura lebih dipandang tinggi oleh orang ramai dan memupuk kerjasama untuk
melaksanakannya. Ibnu Ashur menyebut bahawa permesyuaratan menghasilkan
kebenaran dan kepuasan semua pihak. Sifat kasar hanya menjauhkan diri dari
seseorang. Syura melahirkan orang yang lebih pemaaf dan bersedia untuk
mendengar pandangan orang lain. Meninggalkan syura boleh menyebabkan perpecahan.
Perpaduan tidak akan berlaku sekiranya tiada kasih sayang dan kemesraan.
10. Bersama Bertanggungjawab
Keputuan
dalam syura boleh jadi gagal. Namun itu tidak bermakna syura tidak berkesan.
Ianya mungkin masalah pelaksanaan. Ianya tanggungjawab bersama sekiranya gagal
dan kajian perlu dilakukan juga di dalam syura untuk memastikan kegagalan tidak
berlaku lagi. Kesan negatif yang lebih besar akan berlaku sekiranya tiada syura
dan memberi kesan kepada semua namun yang membuat keputusan hanya seorang
sahaja. Dr Muhammad Abdul Qadi Abu Faris menyebut bahawa syura adalah
pembahagian tugas dan tanggungjawab. Kesan baik dan buruk dikongsi bersama dan
mengelakkan masyarakat saling menuding jari sekiranya gagal.
No comments:
Post a Comment