Monday, August 18, 2014
Perjalanan Terakhir Seorang Rakan - Abu Qassim dalam kenangan
Hanya selepas 12 jam air mata ini mengalir
Bukan kerana menangisi pemergian arwah
Kerana aku tahu beliau ditempatkan bersama orang beriman
Namun aku menangisi dosa-dosa ku sendiri
Apabila melihat kain putih menutup jasad yang sudah tidak bernyawa
Realiti kematian masuk ke dalam hati
Tak tahu bagaimana nasib apabila dijemput ilahi
Wednesday, August 13, 2014
Umat Islam Perlu Pemimpin Seperti Erdogan
Recep Tayyib Erdogan
kini adalah ikon umat Islam seluruh dunia. Beliau yang baru sahaja menang
Pilihanraya Presiden Turki mengukuhkan lagi sokongan rakyat Turki terhadap
kepimpinan beliau. Ianya bukan jalan mudah setelah mengalami beberapa protes
dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti beliau pada tahun 2013. Beliau tetap
popular walaupun pernah menutup media sosial untuk beberapa ketika untuk
mengelakkan rahsia negara tersebar di internet. Kredibiliti beliau bertambah
apabila berjaya mengakali kelompok “Ergenekon” dalam tentera yang sentiasa
mencuba merampas kuasa dari kerajaan demokratik. Kini, tentera Turki yang
seringkali campur tangan dalam urusan politik kerana menganggap mereka sebagai
pelindung Kemalisme sudahpun tunduk atas kuasa rakyat. Rakyat, bukan jeneral,
yang menentukan siapa pemimpin mereka. Kalau rakyat mahu Erdogan dan AKP, maka
itulah yang mereka akan undi. Cabaran Erdogan paling besar adalah apabila
sekutu kuat beliau, Fethullah Gulen mula merancang menjatuhkan beliau melalui
‘tangan-tangan’ halus dalam kerajaan AKP. Namun usaha itu gagal kerana Erdogan
berjaya menghidu kelompok-kelompok ini dan menyingkirkan mereka dari kerajaan
sebelum membawa mudarat yang lebih besar.
Bukan senang menjadi
pemimpin, apatah lagi memimpin sebuah negara yang mempunyai legasi empayar yang
kuat dan gagah seperti Turki. Setelah Empayar Uthmaniyyah dipecah-pecahkan
menjadi negara-negara kecil, orang Turki mula memikirkan siapa sebenarnya yang
dimaksudkan dengan orang Turki. Sebelum ini, Turki memang sangat dekat dengan
Islam. Dengan itu datang pemimpin bernama Mustafa Kemal yang memimpin orang
Turki menghalau kuasa asing dari bumi Turki dan akhirnya membina negara untuk
Turki. Namun Turki ini sangat asing dengan Islam, malah pada beberapa ketika
memusuhi pula Islam. Tetapi dalam masa juga sangat curiga dengan Barat kerana
masih terpalit memori kalah perang dengan beberapa kuasa Barat. Pada masa itu
pula umat Islam masih lagi mencari siapa pemimpin mereka yang terbaik dalam
zaman tiadanya khalifah.
Semasa umat Islam masih
lagi melihat dunia Arab sebagai tempat lahir pemimpin umat Islam, datang
pejuang di Turki dalam bentuk Badiuzzaman Said Nursi dan Necmettin Erbakan.
Said Nursi yang pada awalnya memasuki politik akhirnya tersingkir kerana
terlalu lantang mengkritik pemerintah. Akhirnya, dalam buangan, beliau fokus
kepada pembinaan jiwa pejuang-pejuang Islam. Pentingnya memahamai pesan-pesan
Al-Quran sebelum keluar berjihad dalam bidang masing-masing. Sehingga kini,
pesan-pesan beliau diabadikan dalam Risalah An-Nur dan terus menjadi bekalan
kepada pejuang Islam seluruh dunia. Lain pula Necmettin Erbakan, beliau yang
pada mulanya menjadi Professor Kejuruteraan akhirnya membina nama melalui
politik. Namun, bukan mudah untuk menjadi pemimpin yang betul-betul dipandang
tinggi dalam suasana politik Turki yang penuh kekacauan. Apatah lagi sekiranya
parti yang anda pimpin terang-terang membawa mesej Islam, dalam suasana
pemerintahan Turki yang dikuasai oleh idea Kemalisme. Strategi beliau bijak
dengan membangun dahulu kuasa niaga penyokong-penyokong beliau di kawasan
Anatolia. Ternyata pengaruh Ankara dan Kemalisme kurang berkesan di kawasan
pedalaman Anatolia. Melalui kuasa perniagaan, akhirnya syarikat-syarikat yang
berpangkalan di kawasan yang digelar Harimau Anatolia ini yang membantu
pemimpin-pemimpin yang berjiwa Islam untuk pergi lebih jauh. Seperti Said
Nursi, Erbakan kurang bernasib baik dalam mengubah Turki ke arah yang diimpikan
beliau. Beberapa kali beliau diharamkan dari menyertai pilihanraya, malah
walaupun sudah berjaya menjadi Perdana Menteri, digulingkan pula oleh tentera
Turki.
Sejarah ringkas yang
diceritakan berikut sangat penting kerana Erdogan bukan turun dari langit
secara tiba-tiba. Kelahiran pemimpin seperti Erdogan dan rakan-rakan beliau
sekarang yang mengubah Turki menjadi negara yang dihormati adalah hasil dari
satu proses yang panjang. Pelbagai eksperimen politik dilakukan. Ada yang
berjaya, ada yang gagal. Namun semuanya menjadi pelajaran berguna untuk generasi
masa depan. Islam di Turki juga berjaya diselamatkan melalui pendidikan
berterusan kepada anak muda. Kini, umat Islam di seluruh dunia pula bertumpu di
Turki dan menyambung pelajaran mereka di sana dalam pelbagai bidang terutamanya
sains sosial. Period yang berlaku di Turki sekarang disebut-sebut ahli akademik
sebagai Neo-Ottomanisme. Menyanjung nostalgia mereka sebagai kuasa besar
sewaktu zaman Uthmaniyyah namun menghargai penat lelah mereka membina bangsa
Turki sewaktu dikelilingi oleh kuasa Barat dan Timur seperti Amerika Syarikat,
Kesatuan Eropah dan Soviet Union.
Dalam suasana umat
Islam yang semakin menyedihkan, Erdogan memberi satu model kepimpinan
alternatif yang menyegarkan. Walaupun pernah terlibat dalam parti Islam, namun
parti AKP pimpinan beliau bukanlah sangat membawa idealogi negara Islam yang
menjadi perdebatan di Timur Tengah. Fokus pentadbiran beliau adalah
membangunkan ekonomi dahulu, kemudian barulah menunjukkan pengaruh beliau di
peringkat antarabangsa. Beliau juga dikritik kerana menghormati Mustafa Kemal
Attarturk yang dianggap menghancurkan Uthmaniyyah. Beliau tahu isu ini sangat
sensitif bagi orang Turki. Penyelesaiannya beliau memperkenalkan semula Sultan
Muhammad Al-Fateh sebagai tokoh yang perlu diikuti baik orang Turki dan juga
umat Islam seluruh dunia. Tokoh sejarah ini sangat signifikan kerana beliaulah
yang memimpin tentera kerajaan Uthmaniyyah menawan Constantinople (kini
Istanbul) dan akhirnya membawa kepada terbubarnya Imperaturia Rumawi. Erdogan
mahu umat Islam mencontohi Al-Fateh, dari sekadar menjadi sultan di kawasan
tempatan seperti Anatolia, akhirnya mengubah bangsanya menjadi bangsa yang
disegani di mata antarabangsa.
Rakyat Malaysia sangat
menghargai kepimpinan Erdogan dalam dunia Islam yang penuh dengan pemimpin
palsu dan lemah. Moga setiap negara umat Islam dikurniakan kumpulan pemimpin
yang bijak dan mempunyai visi yang besar, bukan sekadar untuk rakyat negaranya
sahaja, namun untuk umat Islam seluruh dunia. Mari sama-sama kita laungkan
motto “Biz Bir Ummati” (Kita Satu Ummah)
dan pastikan ianya bergema di seluruh pelusuk dunia.
Saturday, August 2, 2014
Subuh Planet Kera - Ulasan Filem Dawn of the Planet of the Apes
Filem pertama dari reboot francais Planet of the Apes tidak disangka sangat menyegarkan. Rise of the Planet of the Apes berjaya memeparkan filem Sci-Fi bermutu tinggi dengan persoalan antara tanggungjawab manusia ke atas haiwan dengan penentangan haiwan terhadap tirani manusia. Ditambah pula dengan lakonan hebat Andy Serkis sebagai Caesar, sang beruk yang berevolusi setelah ibunya disuntik virus.
Filem sekuel ini ternyata lebih berani. Daripada menyambung kisah antara Caesar dan bekas tuannya lakonan James Franco, filem ini terus forward ke hadapan dengan menceritakan tentang virus yang menyebabkan beruk berevolusi juga menyebabkan manusia juga terkena jangkitan dan ramai yang mati. Akhirnya hanya ada beberapa kelompok manusia sahaja yang terselamat kerana imunisasi. Manakala kelompok beruk yang bebas dari kurungan sewaktu filem pertama akhirnya berjaya membina penempatan berdekatan hutan San Francisco. Bukan itu sahaja, hasil evolusi mereka dapat berkomunikasi dan berfikir dalam bahasa manusia, walaupun kebanyakan masanya hanya bertutur dalam bahasa isyarat beruk. Malah mereka membuat peraturan dalam kehidupan komuniti mereka iaitu Beruk Tidak Membunuh Beruk.
Filem ini ternyata memuaskan nafsu penyokong evolusi darwin iaitu beruk juga boleh berevolusi. Walaupun mereka juga semacam mengakui bahawa akhirnya beruk itu juga tidak ada beza perangainya dengan manusia. Namun tema utama filem ini bukanlah sangat mengenai evolusi, namun mengenai perbezaan idealogi di antara yang idealistik dan pesimis. Dalam komuniti masing-masing, ada pihak yang berpendapat beruk dan manusia boleh bekerjasama dengan harmoni, dan ada pula yang mahu memastikan pihak lain hancur dan kawasan itu milik dia sahaja.
Penulis fikir francais Apes yang baru ini bakal menjadi salah satu trilogi terhebat. Di zaman di mana sekuel dan remake menjadi satu kebiasaan, ini kali pertama dalam masa yang lama penulis tak sabar menunggu sambungan filem ini. Apa sahaja boleh terjadi. Malah penulis sendiri sangka watak utama akan mati namun akhirnya diselamatkan. Yang penting filem ketiga bakal menjadi perang besar antara beruk dan manusia. Siapa yang akan mewarisi planet Bumi ini?
Saturday, July 12, 2014
Aku Nak Robot Lawan Robot - Ulasan Filem Transformers 4
Kita tak sepatutnya mengharap lebih apabila menonton filem Transformers. Sejak daripada filem yang pertama, penulis tak pernah terlepas menonton siri filem ini di pawagam. Seperti biasa, ianya mengecewakan. Namun apabila mereka mahu membuat 'reboot' filem ini dengan watak manusia yang baru, kita sangka ada perubahan yang besar. Namun hasilnya tetap sama. Penulis fikir ini disebabkan ianya tetap diarahkan dan ditulis oleh orang yang sama, iaitu Michael Bay.
Walaupun yang keempat ini punya plot yang lebih mudah difahami, namun masalah terbesar bagi filem Transformers adalah 'sub-plot' manusianya. Orang datang menonton filem Transformers bukan mahu tengok drama swasta Shia Lebouf dengan Megan Fox atau Mark Wahlberg dan anaknya, namun kita nak tengok perang antara Autobots dan Decepticons. Sepatutnya Michael Bay sudah faham perkara ini selepas 4 filem tapi beliau masih mahukan drama manusia ini. Katanya mahukan penonton ada watak yang boleh dikaitkan dengan mereka dalam filem, tapi hakikatnya watak manusia sangat tipikal malah membosankan, robot lebih menarik dan meyakinkan.
Penulis fikir Michael Bay sepatutnya belajar daripada pembikin filem Real Steel lakonan Hugh Jackman. Itu baru filem robot yang menarik selain daripada mempunyai drama manusia yang mantap. Walaupun kita tahu plot filem hanyalah ulangan filem Rocky, namun babak pertarungan antara robot yang menjadi klimaks dalam filem ini. Malah pertarungan antara robot berakhir juga dengan resolusi drama antara manusia. Ini filem robot yang kita mahu.
Kalaupun Tranformers hanyalah filem yang berfokus antara robot dengan robot pun kami tak kisah kerana itupun yang kita mahu. Tetapi dalam filem keempat ini makin kurang pula malah terlampau banyak babak kereta kejar mengejar. Ini seolah-olah meniru filem Fast and Furious. Malah ada beberapa ketika babak kereta itu yang difokuskan manakala Optimus Prime bertarung dengan robot jahat hanya menjadi latar belakang. Ini sangat mengecewakan.
Transformers perlu menggaji penerbit dan pengarah yang baru. Hairan sekali bagaimana Steven Spielberg masih lagi menjadi penerbit filem ini. Penulis fikir mereka berdua belum betul-betul memahami apa yang peminat mahukan dalam filem Transformers. Kalau boleh buang sahaja watak manusia kerana mereka langsung tak membantu dalam menjadikan filem ini menarik.
Thursday, June 26, 2014
Ketidakstabilan Timur Tengah Bermakna Keamanan Israel
Umat Islam dikejutkan dengan penawanan dua bandar besar di
Iraq iaitu Tikrit dan Mosul beberapa minggu yang lalu oleh sebuah kumpulan yang
menamakan diri mereka Islamic State of Iraq and Levant (ISIS). Berita ini
menambah kekacauan yang berlaku di Timur Tengah setelah Mesir terus diperintah
oleh diktator selepas rampasan kuasa dan Syria masih terus bergolak dengam
Rejim Basyar Al-Assad terus mengebom rakyat tidak bersalah.
Peristiwa penawanan ini berlaku dalam keadaan yang sangat
mencurigakan di mana dalam masa sehari sahaja kumpulan ISIS ini dapat menawan
sebuah bandar besar. Manakala dilaporkan tentera Iraq cepat sahaja sudah
berundur daripada melakukan tugas mereka mempertahankan kedaulatan tanah air.
Media Barat pula menggambarkan ISIS sebagai pemisah Sunni yang cuba menawan
Iraq daripada pemerintahan orang Syiah. Peristiwa ini dilihat tidak lebih
sekadar ledakan daripada konflik Sunni-Syiah yang semakin memburuk sejak
Amerika Syarikat melakukan keputusan unilateral menawan Iraq pada tahun 2003.
ISIS memang sudah dikenali sebagai pecahan dari Al-Qaeda yang
berjuang di Syria. Malah akhirnya pihak ISIS yang sepatutnya bersama-sama
pembangkang di Syria iaitu FSA melawan rejim Basyar Al-Assad sebaliknya berperang
pula dengan FSA untuk menawan beberapa lokasi strategik. Tindakan ini
menimbulkan curiga di kalangan umat Islam di Syria. Malah kebanyakan pejuang
ISIS bukan dari Syria dan kelengkapan senjata mereka nampak terlalu canggih
dibanding senjata FSA. Mengapa mereka tiba-tiba mengalihkan perhatian mereka
daripada Syria ke Iraq?
Perlu diketahui bahawa memang tidak dinafikan di Iraq berlaku
konflik antara Sunni dan Syiah. Namun situasi ini menjadi besar apabila
pentadbiran Perdana Menteri Iraq, Nouri Al-Maliki sendiri yang meminggirkan
pihak Sunni. Hakikatnya rakyat Iraq, baik Sunni atau Syiah sudah tidak percaya
kepada kerajaan sekarang. Terlampau banyak penyalahgunaan kuasa dan rasuah di
samping ekonomi yang masih belum pulih pasca perang 2003. Oleh itu, tidak
hairan sekiranya rakyat Iraq mengangkat senjata untuk menjatuhkan kerajaan
zalim ini seperti apa yang berlaku di Syria. Peranan ISIS sengaja
dibesar-besarkan oleh media barat walhal begitu banyak ketua puak dan bekas
jeneral tentera berpaling tadah dan bersatu untuk menawan Baghdad. Malah
beberapa ketua Syiah juga menuntut Nouri Al-Maliki meletakkan jawatan kerana
polisi pentadbirannya yang memecah-belahkan Iraq.
Konflik ini jangan dilihat sekadar dalam sempadan Iraq. Ianya
melibatkan keseluruhan Timur Tengah. Tumpuan dunia mula beralih ke Iraq walhal
krisis kemanusiaan di Syria semakin memburuk dan perlukan pembelaan. Basyar
Al-Assad masih perlu dibawa ke muka pengadilan atas jenayah perang. Iran pula
panik dan bersedia untuk campur tangan secara langsung dengan menghantar
tentera Iran ke dalam Iraq, suatu tindakan yang pasti akan menimbulkan
kemarahan Barat. Amerika Syarikat pula dikiritik hebat kerana membiarkan Iraq
di tangan Nouri Al-Maliki. Akhirnya Israel tetap selamat kerana negara-negara
jiran terus bergaduh sesama sendiri.
Israel bermusuh dengan semua negara jiran. Salah satu sebab
mengapa Arab berjaya menawan Israel (walaupun sebentar) pada tahun 1967 adalah
kerana pada masa itu negara-negara Arab stabil dan mampu bekerjasama. Namun
ternyata negara Arab pada masa kini berada pada tahap yang lebih teruk. Israel
terus melakukan jenayah kemanusiaan ke atas rakyat Palestin tanpa pembelaan
umat Islam. Turki yang sepatutnya menjadi harapan Palestin akhirnya terpaksa
memfokuskan agenda luar mereka ke Syria dan Iraq. Baru-baru ini lawatan
Presiden Iran ke Turki menunjukkan bahawa kedua-dua negara ini bersedia untuk
berbincang dalam menyelesaikan konflik di Iraq dan Syria. Tindakan yang akan
dilakukan oleh Arab Saudi masih lagi menjadi teka-teki kerana ternyata masalah
yang berlaku di Iraq pasti akan melimpah masuk ke sempadan Arab Saudi.
Kita sebagai umat Islam perlu berjiwa besar. Sentiasa membaca
berita dari media Barat dengan kritikal dan bukan sekadar menelan bulat-bulat
apa yang disuapkan. Sebenarnya banyak lagi perkara yang tidak dilaporkan.
Melihat konflik ini hanya sekadar perang saudara Sunni dan Syiah adalah satu
kesilapan. Begitulah juga apa yang berlaku di Syria. Rakyat mengangkat senjata
bukan sekadar Basyar Al-Assad itu Syiah tetapi kerana tidak tahan dengan
kezaliman. Basyar Al-Assad yang mengapi-apikan konflik ini seolah-olah Sunni
mahu menghalau Syiah dari bumi Syria. Permainan yang sama juga dimainkan oleh
Nouri Al-Maliki yang cuba menarik sokongan Syiah dengan mengungkit semula kisah
Yazid bin Muawiyah yang membunuh cucu Nabi SAW.
Kita berdoa supaya lahir pemimpin yang berjaya menyatukan
orang Iraq. Rakyatnya sudah berpuluh tahun dalam kesengsaraan. Keluar mulut
harimau masuk pula mulut buaya. Matinya Saddam Hussein, lahir pula diktator
baru yang tidak punya mentaliti mahu membangun negara namun hanya mahu membalas
dendam di samping mengelilingi diri dan kroni dengan kekayaan. Masalah di Iraq
boleh selesai sekiranya berlaku perdamaian antara rakyatnya sendiri, bukan
bergantung daripada luar. Peperangan di Timur Tengah tidak akan membawa apa-apa
keuntungan kepada umat Islam.
(Tersiar juga dalam Berita Harian pada 26 Jun 2014)
Friday, March 21, 2014
Ulasan Filem Robocop - Separuh manusia, Separuh robot tetapi Polis sejati
Robocop dulu dan sekarang sangat berbeza. Filem yang dahulu lebih kepada satira kehidupan Amerika pada waktu itu sehinggakan perkhidmatan polis pun mahu diswastakan. Malah ianya terlampau ganas sehingga apabila ditayangkan di televisyen begitu banyak suntingan dilakukan. Namun, filem 'remake' ini mengalih fokus daripada parodi kepolisan kepada persoalan falsafah manusia itu sebenarnya apa. Protagonis yang kehilangan hampir seluruh badannya kecuali kepala, paru-paru dan sebelah tangan sahaja (tanpa lengan dan siku) kerana letupan diolah oleh saintis menjadi separuh robot, separuh manusia. Oleh kerana otak masih lagi berfungsi (walaupun ditambah dengan pelbagai cip komputer), protagonis dianggap masih hidup malaha apabila disedarkan dari koma, dia masih lagi mengingati mengenai diri sendiri dan keluarga. Ini sekali lagi berbeza dengan Robocop lama kerana dia langsung tiada memori tentang kehidupannya yang lalu.
Filem ini berjaya menyeimbangkan antara persoalan berat dengan aksi letupan dan kejar-mengejar yang biasa kita lihat dalam filem aksi. Ia tidak bosan dan dalam masa yang sama penonton tidak di'serang' dengan babak aksi setiap 5 minit. Malah satu perkara menarik mengenai Robocop ini walaupun dia sendiri menganggap dirinya separuh robot dan keputusan masih dibuat oleh manusia, namun seperti yang diterangkan oleh saintis pencipta sendiri, sebenarnya keputusan segalanya dibuat oleh komputer. Boleh dikatakan Robocop adalah robot yang berfikir diri dia adalah manusia.
Namun pengakhiran filem kurang memuaskan. Mungkin mahu memberi ruang kepada sekuel dan konflik sebenar bermula pada filem kedua (sama seperti The Dark Knight). Filem ini adalah satu lagi 'landmark' dalam lambakan filem 'remake' yang saya fikir mengekalkan identiti dahulu tetapi dalam masa sama berani bertanyakan soalan-soalan kontroversi yang mungkin berlaku pada masa hadapan (dalam isu ini lebih kurang sama dengan filem 'Her" yang menunjukkan hubungan manusia dan mesin itu boleh mencapai tahap yang lebih tinggi).
Usaha Mahasiswa UIAM menganjurkan debat wajar dihargai
Penulis merujuk debat yang dianjurkan di Kuliyyah Ekonomi dan
Sains Pengurusan UIAM pada 19 Mac 2014 yang lalu. Tajuk debat adalah Sosialis
vs Harakiy di mana Saudara Fazril Saleh mewakili PKPIM bertentang dengan
Saudara Amir Hamzah atau lebih dikenali sebagai Benz Ali. Moderator pula adalah
Saudara Adam Roslan, seorang pelajar Kuliyyah Ekonomi.
Kehadiran
memberangsangkan daripada mahasiswa UIAM menunjukkan bahawa mahasiswa
sebenarnya masih prihatin dengan isu-isu semasa. Debat ini memberi ruang kepada
pihak yang terlibat untuk menjelaskan tentang kekeliruan mengenai Harakiy dan
Sosialis, di mana mahasiswa sejak dari dahulu memang dipengaruhi dengan
kedua-dua elemen tersebut. Debat ini menghancurkan persepsi bahawa mahasiswa
itu tidak pandai mengawal emosi kerana suasana debat berlaku secara aman tanpa
pergaduhan. Malah kedua-dua panel, walaupun berbeza pandangan dalam banyak
perkara namun boleh lagi bersalam dan bertukar pendapat walaupun setelah selesai
debat.
Debat adalah
salah satu platform terbaik untuk berbincang dan melontarkan idea dan pandangan
terutamanya apabila ada 2 pihak yang berbeza pandangan. Budaya debat sebenarnya
menyuburkan lagi budaya ilmu dan perkongsian idea yang sangat diperlukan di
universiti di Malaysia. Kegersangan idea mahasiswa kini sebenarnya hasil
tekanan pentadbiran universiti sendiri yang terlampau mengawal sehingga
melampaui batas. Namun ternyata apabila mahasiswa diberi peluang, maka mereka
dapat mengasah pemikiran kritikal mereka di samping melatih mereka menyanggah
pendapat orang lain dengan sihat dan rasional, bukan terburu-buru dan emosional.
Mahasiswa
adalah pemimpin masa depan negara. Ternyata krisis politik dan kepimpinan
negara kini sebenarnya sepatutnya sudah boleh dijangka sekiranya kita membaca
sejarah dan melihat ‘track record’ pemimpin kini sewaktu mereka menjadi
pemimpin mahasiswa. Pemimpin sepatutnya adalah seorang yang berilmu ataupun
paling kurang menghormati orang yang berilmu. Oleh itu, sekiranya pemugaran
budaya ilmu terus disuburkan di universiti maka lahirlah pemimpin negara masa
depan yang lebih kompeten dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Menyentuh
soal tajuk debat, bukanlah sangat kita mahu mempersoalkan tentang Harakiy atau
Sosialis namun yang lebih penting sejauh mana kita memahami tentang kedua-dua
elemen tersebut. Tenyata melalui debat ini dapat kita ketahui bahawa kaderisasi
dan usrah itu sangat penting dalam membina gerakan Islam yang betul-betul dapat
merubah masyarakat. Manakala sosialis pula sebenarnya sangat mementingkan
tentang pembinaan sistem ekonomi negara yang betul-betul menguntungkan semua
pihak, bukan hanya kepada pihak tertentu yang membolot kekayaan negara.
Sekali lagi
diucapkan tahniah kepada mahasiswa UIAM. Moga skop dan panel debat dapat
diperluaskan pada masa akan datang. Tidak mustahil sekiranya panel pada masa
akan datang juga melibatkan tokoh di peringkat nasional dan antarabangsa. Yang
pasti, universiti dan mahasiswa yang akan meraih untung.
Mohammad Syazwannuddin
bin Shaharuddin
Naib Presiden PKPIM
(Persatuan Kebangsaan
Pelajar Islam Malaysia)
Subscribe to:
Posts (Atom)





