Recep Tayyib Erdogan
kini adalah ikon umat Islam seluruh dunia. Beliau yang baru sahaja menang
Pilihanraya Presiden Turki mengukuhkan lagi sokongan rakyat Turki terhadap
kepimpinan beliau. Ianya bukan jalan mudah setelah mengalami beberapa protes
dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti beliau pada tahun 2013. Beliau tetap
popular walaupun pernah menutup media sosial untuk beberapa ketika untuk
mengelakkan rahsia negara tersebar di internet. Kredibiliti beliau bertambah
apabila berjaya mengakali kelompok “Ergenekon” dalam tentera yang sentiasa
mencuba merampas kuasa dari kerajaan demokratik. Kini, tentera Turki yang
seringkali campur tangan dalam urusan politik kerana menganggap mereka sebagai
pelindung Kemalisme sudahpun tunduk atas kuasa rakyat. Rakyat, bukan jeneral,
yang menentukan siapa pemimpin mereka. Kalau rakyat mahu Erdogan dan AKP, maka
itulah yang mereka akan undi. Cabaran Erdogan paling besar adalah apabila
sekutu kuat beliau, Fethullah Gulen mula merancang menjatuhkan beliau melalui
‘tangan-tangan’ halus dalam kerajaan AKP. Namun usaha itu gagal kerana Erdogan
berjaya menghidu kelompok-kelompok ini dan menyingkirkan mereka dari kerajaan
sebelum membawa mudarat yang lebih besar.
Bukan senang menjadi
pemimpin, apatah lagi memimpin sebuah negara yang mempunyai legasi empayar yang
kuat dan gagah seperti Turki. Setelah Empayar Uthmaniyyah dipecah-pecahkan
menjadi negara-negara kecil, orang Turki mula memikirkan siapa sebenarnya yang
dimaksudkan dengan orang Turki. Sebelum ini, Turki memang sangat dekat dengan
Islam. Dengan itu datang pemimpin bernama Mustafa Kemal yang memimpin orang
Turki menghalau kuasa asing dari bumi Turki dan akhirnya membina negara untuk
Turki. Namun Turki ini sangat asing dengan Islam, malah pada beberapa ketika
memusuhi pula Islam. Tetapi dalam masa juga sangat curiga dengan Barat kerana
masih terpalit memori kalah perang dengan beberapa kuasa Barat. Pada masa itu
pula umat Islam masih lagi mencari siapa pemimpin mereka yang terbaik dalam
zaman tiadanya khalifah.
Semasa umat Islam masih
lagi melihat dunia Arab sebagai tempat lahir pemimpin umat Islam, datang
pejuang di Turki dalam bentuk Badiuzzaman Said Nursi dan Necmettin Erbakan.
Said Nursi yang pada awalnya memasuki politik akhirnya tersingkir kerana
terlalu lantang mengkritik pemerintah. Akhirnya, dalam buangan, beliau fokus
kepada pembinaan jiwa pejuang-pejuang Islam. Pentingnya memahamai pesan-pesan
Al-Quran sebelum keluar berjihad dalam bidang masing-masing. Sehingga kini,
pesan-pesan beliau diabadikan dalam Risalah An-Nur dan terus menjadi bekalan
kepada pejuang Islam seluruh dunia. Lain pula Necmettin Erbakan, beliau yang
pada mulanya menjadi Professor Kejuruteraan akhirnya membina nama melalui
politik. Namun, bukan mudah untuk menjadi pemimpin yang betul-betul dipandang
tinggi dalam suasana politik Turki yang penuh kekacauan. Apatah lagi sekiranya
parti yang anda pimpin terang-terang membawa mesej Islam, dalam suasana
pemerintahan Turki yang dikuasai oleh idea Kemalisme. Strategi beliau bijak
dengan membangun dahulu kuasa niaga penyokong-penyokong beliau di kawasan
Anatolia. Ternyata pengaruh Ankara dan Kemalisme kurang berkesan di kawasan
pedalaman Anatolia. Melalui kuasa perniagaan, akhirnya syarikat-syarikat yang
berpangkalan di kawasan yang digelar Harimau Anatolia ini yang membantu
pemimpin-pemimpin yang berjiwa Islam untuk pergi lebih jauh. Seperti Said
Nursi, Erbakan kurang bernasib baik dalam mengubah Turki ke arah yang diimpikan
beliau. Beberapa kali beliau diharamkan dari menyertai pilihanraya, malah
walaupun sudah berjaya menjadi Perdana Menteri, digulingkan pula oleh tentera
Turki.
Sejarah ringkas yang
diceritakan berikut sangat penting kerana Erdogan bukan turun dari langit
secara tiba-tiba. Kelahiran pemimpin seperti Erdogan dan rakan-rakan beliau
sekarang yang mengubah Turki menjadi negara yang dihormati adalah hasil dari
satu proses yang panjang. Pelbagai eksperimen politik dilakukan. Ada yang
berjaya, ada yang gagal. Namun semuanya menjadi pelajaran berguna untuk generasi
masa depan. Islam di Turki juga berjaya diselamatkan melalui pendidikan
berterusan kepada anak muda. Kini, umat Islam di seluruh dunia pula bertumpu di
Turki dan menyambung pelajaran mereka di sana dalam pelbagai bidang terutamanya
sains sosial. Period yang berlaku di Turki sekarang disebut-sebut ahli akademik
sebagai Neo-Ottomanisme. Menyanjung nostalgia mereka sebagai kuasa besar
sewaktu zaman Uthmaniyyah namun menghargai penat lelah mereka membina bangsa
Turki sewaktu dikelilingi oleh kuasa Barat dan Timur seperti Amerika Syarikat,
Kesatuan Eropah dan Soviet Union.
Dalam suasana umat
Islam yang semakin menyedihkan, Erdogan memberi satu model kepimpinan
alternatif yang menyegarkan. Walaupun pernah terlibat dalam parti Islam, namun
parti AKP pimpinan beliau bukanlah sangat membawa idealogi negara Islam yang
menjadi perdebatan di Timur Tengah. Fokus pentadbiran beliau adalah
membangunkan ekonomi dahulu, kemudian barulah menunjukkan pengaruh beliau di
peringkat antarabangsa. Beliau juga dikritik kerana menghormati Mustafa Kemal
Attarturk yang dianggap menghancurkan Uthmaniyyah. Beliau tahu isu ini sangat
sensitif bagi orang Turki. Penyelesaiannya beliau memperkenalkan semula Sultan
Muhammad Al-Fateh sebagai tokoh yang perlu diikuti baik orang Turki dan juga
umat Islam seluruh dunia. Tokoh sejarah ini sangat signifikan kerana beliaulah
yang memimpin tentera kerajaan Uthmaniyyah menawan Constantinople (kini
Istanbul) dan akhirnya membawa kepada terbubarnya Imperaturia Rumawi. Erdogan
mahu umat Islam mencontohi Al-Fateh, dari sekadar menjadi sultan di kawasan
tempatan seperti Anatolia, akhirnya mengubah bangsanya menjadi bangsa yang
disegani di mata antarabangsa.
Rakyat Malaysia sangat
menghargai kepimpinan Erdogan dalam dunia Islam yang penuh dengan pemimpin
palsu dan lemah. Moga setiap negara umat Islam dikurniakan kumpulan pemimpin
yang bijak dan mempunyai visi yang besar, bukan sekadar untuk rakyat negaranya
sahaja, namun untuk umat Islam seluruh dunia. Mari sama-sama kita laungkan
motto “Biz Bir Ummati” (Kita Satu Ummah)
dan pastikan ianya bergema di seluruh pelusuk dunia.
No comments:
Post a Comment