Wednesday, April 22, 2015

Ulasan Filem PK : Tuhan.... Di Mana Kamu???


Memang ulasan filem ini agak lambat, Kerana filem ini ditayangkan pada Disember tahun lepas. Penulis sendiri pun tidak menonton filem ini di pawagam. Namun petanda sesebuah filem yang bagus bukan pada populariti dan jumlah kutipan tiket, tetapi pada impaknya kepada masyarakat selain wacana yang terhasil daripada tema filem tersebut. Dari sinilah kita dapat membentuk agenda sebenar "Filem Kita, Wajah Kita", apabila filem itu sendiri menjadi cerminan kehidupan seharian kita. Melalui mata watak dalam filem, kita melihat wajah sebenar masyarakat kita tanpa tapisan prejudis diri sendiri. 

Filem PK ini berlatarbelakangkan masyarakat India abad ke-21. Pertembungan antara kelompok yang kuat berpegang kepada agama dengan kelompok yang menganggap agama hanyalah urusan peribadi sahaja. Filem ini adalah mengambil semangat yang sama seperti filem "3 Idiots", juga lakonan Aamir Khan dan arahan Rajkumar Hirani. Dalam 3 Idiots, mereka mengkritik sistem pendidikan di India, manakala dalam filem PK, mereka mengkritik fanatisme agama dalam masyarakat India. Untuk pengetahuan anda, 3 Idiots adalah adaptasi novel "Five Points Someone" tulisan Chetan Bagat, seorang jurutera yang akhirnya menjadi penulis. Banyak novel beliau mendedahkan realiti sebenar keresahan anak muda di India pada zaman moden. Penulis sendiri dapat membaca novel beliau apabila ayah penulis membeli novel tersebut apabila beliau melawat India (satu tradisi ayah membawa balik buku). Novel tersebut ditulis dalam Bahasa Inggeris campuran Hindi, bukanlah novel yang baik untuk anda mengasah pembacaan anda dalam Bahasa Inggeris. Ceritanya juga sebenarnya sangatlah berbeza dengan adaptasi filem.

Berbalik kepada filem, penulis merasakan tidak perlu menceritakan tentang kritikan filem ini kepada agama terutamanya sekali agama Hindu, agama terbesar di negara India. Selain mengakui kejahilan penulis mengenai agama Hindu, penulsi juga ingin memfokuskan mengenai watak Aamir Khan sendiri iaitu PK. PK sebenarnya adalah seorang (manusia ke?) makhluk asing yang dihantar ke Bumi untuk membuat kajian, namun alat komunikasi PK dicuri orang. Seluruh filem ini selepas itu berkisar tentang bagaimana PK berkomunikasi dengan manusia, memahami cara manusia di samping berterusan mencari alat komunikasi tersebut.

Terdapat juga subplot mengenai kisah cinta antara seorang perempuan dari keluarga Hindu bernama Jaggu dan seorang lelaki Islam dari Pakistan. Namun subplot ini muncul di awal dan akhir filem. Plot ini mungkin dirancang untuk memberi sebab motivasi Jaggu, perempuan yang mempergunakan PK mengapa beliau membencikan agama kerana ditinggalkan lelaki Islam. Selain itu, ianya memberi perencah cinta segitiga apabila PK akhirnya jatuh cinta dengan Jaggu.

Nama PK sendiri bukanlah nama sebenar makhluk asing tersebut tetapi diberi orang. Maksud PK adalah mabuk, diberi orang kerana perlakuan PK yang semacam tidak tahu apa-apa menyebabkan orang sangka dia mabuk. Mungkin penulis filem mahu mengaitkan dengan kata-kata popular Mao Zedong yang mengatakan agama itu candu, sama seperti PK yang seperti orang mabuk mencari Tuhan mana yang boleh mengembalikan alat komunikasi beliau.

Babak-babak kontroversi filem ini berlaku semasa PK sedang mencari Tuhan. Ini kerana beliau diberitahu oleh orang ramai supaya mencari Tuhan untuk menyelesaikan masalah beliau. Tetapi malangnya apa yang beliau jumpa hanyalah orang agama, bukanlah Tuhan. Ini menyebabkan beliau kecewa. Ditambah lagi beliau berjumpa dengan Jaggu, seorang wartawan yang sentiasa cuba membongkarkan topeng orang yang mempergunakan agama untuk keperntingan peribadi. Akhirnya Jaggu cuba memahamkan PK bahawa sebab mengapa Tuhan masih belum menerima 'doa' PK adalah kerana 'nombor' yang mereka dail salah. Sebab itulah 'doa' tersebut masih belum sampai.

Filem ini penuh dengan komedi ala-ala Mr Bean, kerana watak utamanya naif tidak tahu langsung tentang norma kehidupan dan sensitiviti manusia. PK keliru mengapa ritual agama-agama lain, dan akhirnya membuat keputusan untuk mencuba semua agama, masuk kuil, masuk gereja, bersembahyang di masjid. Di sini beberapa pendapat mengatakan filem ini mempromosi pluralisme. Tetapi bila kita berfikir balik, bukankah watak seperti PK ini wujud dalam realiti kita. Ingatkah kita kepada mualaf seperti Malcolm X, Yusuf Islam, Hamza Yusuf dan lain-lain? Bukankah mereka dalam perjalanan mencari Tuhan, mencuba pelbagai agama dan akhirnya berjumpa dengan agama Islam. Bagaimana pula dengan ramai lagi orang yang masih kecewa dengan agama kerana tidak berjumpa dengan orang yang betul. Dan akhirnya memerangi agama. 

Tema yang dibawa oleh filem PK sangat bertepatan dengan situasi manusia zaman sekarang. Lahir begitu ramai kelompok yang mempersoalkan agama tradisi. Mereka bukan mempersoalkan kewujudan Tuhan, tetapi mempersoalkan orang agama yang memesongkannya. Dan akhirnya manusia keliru siapa Tuhan itu sebenarnya. 

Satu fitrah manusia untuk mencari Tuhan. Nabi Ibrahim pun mencari Tuhan, disangkanya baginda matahari, bulan dan bintang sebelum tutun wahyu Tuhan. Dalam Islam , kebenaran Tuhan terdapat dalam Al-Quran, oleh itu, sejauh mana tersalah 'nombor' orang agama pun, Allah SWT sudah mewahyukan 'Buku Panduan' melalui Rasul-Nya, Muhammad SAW. Beruntunglah kepada orang yang sudah menjumpai 'nombor' yang betul.

Friday, March 20, 2015

Ulasan Filem Chappie : Pemanas Badan Sebelum Star Wars 7 vs The Avengers 2



Penulis seorang peminat filem sains fiksyen. Jadi, bila penulis tahu tentang filem Chappie, kisah mengenai robot yang macam budak-budak, pastilah penulis mahu menontonnya. Apatah lagi ianya adalah karya Neil Blomkamp, yang pernah mengarah filem District 9, sebuah filem sains fiksyen yang agak berbeza semasa ianya ditayangkan. 

Seperti mana filem District 9, filem ini mengambil Afrika Selatan sebagai  latar tempat. Perkara inilah yang membuatkan penulis kagum dengan Nail Blomkamp yang berani menggunakan tempat yang jarang digunakan sebagai latar untuk sesebuah filem. Kebiasaanya pembikin filem akan menggunakan bandar besar yang popular seperti New York, Los Angeles, London, Paris, Tokyo dan pelbagai lagi. Apatah lagi Johannesburg, salah satu bandar besar di Afrika Selatan, bukanlah sebuah bandar tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Namun begitu, ianya sangat bersesuaian dengan tema filem. Kalau District 9 berkaitan dengan hubungan manusia-makhluk asing, refleksi kepada sejarah apartheid Afrika Selatan. Manakala dalam Chappie pula, bertemakan mengenai bagaimana manusia  melayan penjenayah dan kesan melampau penggunaan teknologi persenjataan yang canggih.

Penulis tidak pasti adakah bandar Johannesburg seteruk seperti yang digambarkan dalam filem. Mungkin tidak. Ianya hanyalah tambahan dramatik untuk menampakkan perlunya polis robot dalam filem ini. Chappie asalnya sebuah robot yang dibina semata-mata untuk melawan keganasan penjenayah yang semakin berleluasa di bandar Johannesburg. Apabila polis manusia sudah tidak mampu membendung jenayah. Ianya hampir sama dengan plot Robocop. Malah, penulis hampir pasti Neil Blomkamp pasti mendapat inspirasi daripada Robocop.

Namun, filem ini berbeza dari sudut pandang penceritaan. Kalau Robocop memfokuskan tentang masalah dalam polis, Chappie pula memberi ruang kepada penjenyah pula, bagaimana kalau penjenayah juga ada 'robot' mereka sendiri? Chappie menjadi berbeza daripada robot yang lain kerana dia menjadi bahan eksperimen pereka robot tersebut, Deon. Tanpa kebenaran CEO syarikat yang menghasilkan robot tersebut, Deon memuat turun aplikasi baru dalam Chappie. Aplikasi ini membuatkan robot hilang semua data yang sepatutnya ada dalam memori mereka, dan mereka akan belajar segala benda sejak dari mula, seperti bayi. Tetapi malangnya sewaktu Deon hendak mencuba eksperimen tersebut, dia diculik oleh sekumpulan penjenayah yang mahu mendapatkan rahsia polis robot daripada perekanya.

Penulis tidak pasti samada filem ini mahu menjadi komedi atau "thriller sci-fi" ala-ala Robocop yang banyak memaparkan babak-bakak 'horror'. Tetapi yang pastinya filem ini mendapat "rating" 18+. Ada waktu seolah-olah macam komedi, terutamanya apabila Chappie diajar perkara yang bukan-bukan oleh penjenayah. Chappie diajar cara bercakap, menembak dan berjalan seperti samseng. Saat itu seperti filem komedi. Oleh kerana Chappie ini memorinya kosong, ianya berkelakuan seperti budak-budak, naif dan percaya sehaja apa yang 'Mak' dan 'Ayah' nya mahu. Wallhal mereka mahu menggunakan Chappie untuk membuat aktiviti jenayah.

Tetapi filem ini banyak juga aksi tembak-menembak. Penuh dengan darah dan kata-kata kesat. Ditambah lagi dengan loghat Afrika Selatannya, kalau tiada sari kata di bawah mungkin sukar nak tangkap. Oleh sebab inilah penulis agak bingung untuk menilai filem ini. Ada waktu ianya sesuai menjadi filem keluarga, ada waktu ianya sesuai untuk orang dewasa sahaja. Pada pandangan penulis, oleh kerana nama Chappie itu sendiri sudah comel, maka sepatutnya fokus sahaja jalan penceritaan kepada Chappie dan 'keluarga palsu' nya. Kurangkan tema mengenai polis robot menentang penjenayah. Malah kadang-kadang plot sisi seperti Deon, pereka robot yang mahu mencipta robot yang lebih hebat daripada manusia, dirasakan tidak perlu. Apatah lagi ditambah dengan watak Hugh Jackman dan Sigourney Weaver, yang tidak kisahkan pun mengenai watak Chappie ini. Mereka hanya fikir tentang robot mana yang lebih sesuai untuk digunakan oleh polis. Yang boleh berfikir sendiri atau yang perlu dikawal oleh manusia.

Kalau penulis nak tonton filem mengenai robot yang lebih hebat daripada manusia, baik penulis tonton filem Terminator atau The Matrix. Sudah terbukti robot yang bijak bukan penyelesaian, malah perlu dikawal. Jadi motif Deon membuat aplikasi tersebut semacam tidak 'up to date' dengan perkembangan filem sains fiksyen sekarang. Apatah lagi, filem The Avengers 2 : Age of Ultron pun mungkin menggunakan tema yang sama.

Chappie berpotensi menjadi filem yang besar dan menarik dari sudut komedinya. Namun mungkin memang itulah hasrat pengarahnya, yang mahu menggabungkan humor dan 'action-thriller'. Memang Neil Blomkamp tidak fokus sangat tentang perkembangan watak, tetapi kepada tema robot, adakah ianya kawan atau musuh? Pengakhiran filem ini juga agak aneh, seolah-oleh filem "Transcendence", dimana memori manusia boleh dimuat turun ke dalam mesin, sama seperti Chappie yang boleh bertukar badan tetapi mengekalkan memori lama. Sekali lagi filem Chappie ini tidak fokus dan terlampau banyak tema yang cuba disumbatkan dalam durasi 2 jam. Yang pasti, tahun 2015 bukanlah tahun yang terbaik untuk memperkenalkan watak sains fiksyen baru kepada khalayak. Kemungkinan besar filem ini akan dilupakan. Kerana tahun ini adalah tahun pertembungan di antara The Avengers 2 dan Star Wars 7. Sementara filem tersebut keluar, penulis mungkin meluangkan masa menonton kembali semua filem Star Wars dan Marvel.

Thursday, March 12, 2015

Lagu Macam Sama (#2) Menunggu Karma (Nidji) vs Politik (Coldplay)

Post kali ini pula sekali terkait dengan Coldplay. Mungkin sebab penulis dengar banyak lagu Coldplay, termasuk yang kurang popular. Kali ini lagu dari artis Indonesia pula yang hampir sama. Cuba dengar dan buat perbandingan.


Menunggu Karma (2014) oleh Nidji

dan



Politik (2002) oleh Coldplay

Lagu Coldplay yang bunyinya hampir sama adalah Politik (ya, dengan K, bukan dengan C) daripada album mereka tahun 2002, A Rush of Blood to the Head. Manakala lagu Nidji, Menunggu Karma pula adalah OST dari filem Tenggelamnya kapal Van Der Wick. Lagu Politik bukanlah sangat lagu protes atau menyentuh tentang situasi politik waktu itu (walaupun kemarahan pada masa itu banyak tertumpu kepada penjajahan Amerika ke atas Afghanistan), tetapi lebih kepada menyuruh kita membuka mata dan cari dalam diri anda sendiri makna politik itu. Lagu Menunggu Karma juga tidaklah sampai karma itu kepada sang pembuat dosa, lebih kepada seorang lelaki yang menunggu cinta yang tidak hadir. (Lebih kurang novel dia, tetapi tak baca lagi, susah nak pastikan)

Bahagian dalam lagu yang hampir sama adalah sewaktu pengakhiran iaitu semasa bahagian instrumental piano. Dalam lagu Politik, temponya agak perlahan dibandingkan dengan Menunggu Karma. Lagu Menunggu Karma lebih rancak, tetapi penulis merasakan lagu ini tiba-tiba habis, seolah-olah ada sambungan selepas bahagian piano itu. Walaupun lagu Politik dianggap
 perlahan dibanding lagu lain di dalam album, tetapi ianya lagu pemula yang baik dalam album. Walaupun begitu, di dalam album tersebut, ada lagu lain yang lebih popular seperti Clocks, The Scientist dan In My Place (rasanya ada lagu Indonesia yang macam sama dengan lagu ini).

Jadi apa pendapat anda? Adakah telinga anda mendengar seperti penulis mendengar?

Sunday, March 8, 2015

Lagu Macam Sama (#1) Assalamualaikum (Faizal Tahir) vs Charlie Brown (Coldplay)

Untuk post kali ini agak berbeza sedikit kerana kita akan bercakap tentang muzik. Penulis suka mendengar muzik. Bukan sekadar fokus kepada lirik tetapi kepada lagu dan irama yang mengiringinya juga.

Penulis dengar pelbagai jenis genre muzik. Baik dari Malaysia/Indonesia atau dari UK/US. Hindustan pun boleh layan kalau iramanya menyentuh kalbu. Sebab tu kalau iramanya bagus, kita tak perlu faham pun bahasanya untuk menikmati muzik tersebut.

Untuk siri Lagu Macam Sama ini, penulis akan buat perbandingan antara 2 lagu yang macam sama. Kebiasannya penulis akan buat perbandingan antara lagu Malaysia/Indonesia dengan US/UK atau negara-negara lain. Bukanlah nak kata diorang meniru, tetapi mungkin ada beberapa bunyi
instrumen yang sama. Kadang-kadang boleh jadi sebab dipengaruhi kerana amat meminati artis tersebut. Boleh jadi juga memang mereka menggunakan beberapa elemen dalam lagu tersebut dan sudah pun dapat kebenaran dari artis asal.

Untuk siri pertama ini, penulis hendak membandingkan antara 2 lagu ini:-


Assalamualaikum (2014) oleh Faizal Tahir

dan


Charlie Brown (2011) oleh Coldplay

Lagu Assalamualaikum adalah single terbaru dari Faizal Tahir. Mungkin sebagai pemula untuk album baru beliau. Ianya berkenaan tentang rasa tidak puas hati dengan media yang memaparkan perkara buruk tentang agama Islam dan hendak menyampaikan kepada orang ramai bahawa Islam membawa keamanan dan lafaz Assalamualaikum itulah penyebarnya. Lagu yang baik dan sangat menceriakan. Muzik video dia pun macam lagu All These Things That Ive Done (UK Version) dari The Killers dimana banyak orang mengikut Faizal Tahir di jalanraya (walaupun ada yang memakai kostum Stormtroopers dan Spiderman, mungkin diorang masuk Islam kot).

Lagu yang macam sama dengan lagu Faizal Tahir ini adalah lagu Charlie Brown oleh Coldplay. Diambil dari album Mylo Xyloto. Keseluruhan album ini sebenarnya mengisahkan tentang kisah cinta Xylo dan Myloto (tak tahulah orang mana, Iceland kot). Jadi lagu ini adalah salah satu lagu mengenai kisah cinta mereka dan bagaimana mereka menjalani kehidupan di dunia post-apokaliptik yang diperintah oleh diktator bernama Major Minus (mungkin bekas guru matematik yang menang pilihanraya).

Bagaimana? Apa pendapat pembaca? Bergantung kepada telinga yang mendengar. Penulis merasakan bahagian salah satu instrumen gitar itu yang sama. Walaupun begitu ini bukan lagu Coldplay pertama yang artis Malaysia/Indonesia mempunyai lagu yang hampir sama. Nantikan post berikutnya.





Friday, January 16, 2015

SEPETANG BERSAMA TARIQ RAMADAN






Pertemuan antara Prof Dr Tariq Ramadan dengan pimpinan PKPIM-ABIM-WADAH pada 15 Julai 2012 di KDH membuka minda kita tentang prospek dan perkara-perkara yang perlu diperbetulkan oleh gerakan Islam pada masa akan datang. Beliau memulakan syarahan beliau dengan mengulang kembali kebangkitan gerakan Islam sejak 120 tahun yang lalu dimulai dengan pemikiran Muhd Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani. Beliau juga menegaskan peranan Hasan Al-Banna yang memulakan dakwahnya dengan memberi alternatif ekonomi yang dimana beliau merasakan gerakan Islam sekarang terlampau bergantung kepada ekonomi konvensional. Kita juga sebagai pewaris daripada gerakan yang membebaskan diri penjajahan fizikal perlu terus membebaskan diri daripda penjajahan politik dan budaya yang lebih dahsyat sekarang.

            Beliau juga menyebut tentang perlunya Islamis tidak memonopoli Islam dan berusaha merubah masyrakat daripada terus menjatuhkan penzalim. Beliau juga menekankan bahawa Al-Quran dan As-Sunnah adalah untuk memberi keadilan, bukannya menjatuhkan hukuman. Beliau memberi contoh model Turki dimana parti AKP yang dipimpin oleh Islamis namun mengubah prioriti dan tidak menekankan kepada pembinaan Negara Islam. Turki sekarang membuahkan hasil sebagai negara paling membangun di Eropah pada masa benua itu sekarang sedang mengalami kegawatan ekonomi.

            Prof Tariq juga memberi komen tentang kebangkitan rakyat di Asia Barat bukanlah hasil Islamis seratus-peratus. Beliau juga melihat bahawa perancangan untuk menegakkan masyarakat yang baik di Asia Barat masih lemah. Beliau melahirkan kebimbangan di Mesir di mana tentera masih berkuasa dan ditakuti Ikhwanul Muslimin akan tersilap percaturan dan menjadi kambing hitam apabila berlaku masalah pada masa hadapan. Beliau juga merasakan bahawa perlunya gerakan Islam memfokuskan diri kepada kuasa membangkang atau menegur pihak pemerintah keranan tak semua orang mampu memerintah walaupun hebat dalam membangkang.

            Perkara utama lain yang Prof Tariq bincangkan adalah pentingnya aktivis gerakan Islam untuk menghayati perjuangannya dan bukan sekadar menjadi ahli ikut-ikutan. Pentingnya melakukan perkara yang secocok dengan peribadi masing-masing dan meneguhkan kerohanian kerana ianya memberikan aktivis tujuan akhir masing-masing. Jangan menjadi orang yang cepat penat berjuang kerana bergerak tanpa halatuju. Syarahan ditamatkan dengan sesi fotografi dan ilmu yang penuh di dada untuk para aktivis sekalian.

Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
Exco PKPIM

Saturday, January 3, 2015

MEMORI TURKI 2014 (6)

Hari Keenam (Khamis / 29 Mei 2014)

Eyup Sultan dan Pusara Ammar
Abah sampai dari Kuala Lumpur ke Istanbul pada awal pagi. Beliau disambut sendiri oleh Budin di Lapangan Terbang Attarturk dan terus ke homestay kami. Pagi itu kami bersarapan dan terus bersiap untuk check out kerana kami akan terus bergerak ke Kusadasi malam ini dengan bas. Semua barang-barang akan diletak dalam van sementara kami pergi berjalan-jalan.

Perancangan pada waktu pagi adalah pergi melawat pusara arwah Ammar dan makan Sahabat Nabi, Abu Ayyub Al-Ansari. Kedua-dua tempat itu terletak di Eyub Sultan, sebuah masjid yang dibina bersebelahan dnegan Teluk Golden Horn. Di situ juga terletak perkuburan Eyub, sebuah kawasan perkuburan lama zaman Uthmaniyyah di mana bersemadinya orang-orang besar Turki. 

Kami singgah dahulu ke pusara Ammar. Terletak dekat sahaja dengan jalan. Pusara beliau masih lagi putih, antara salah satu kubur yag terbaru. Tertulis di batu pusara tulisan dalam bahasa Melayu, Turki dan Arab. Mengingatkan para pelawat yang mati itu sebenarnya tidaklah mati jikalau hamba Allah itu gugur dalam memperjuangkan agama Allah. Dan itulah sebenarnya yang menjadikan arwah Ammar seorang inspirasi. Antara orang muda Melayu yang terawal belajar di Turki bersama-sama dengan Budin dan Faiz Ghazali. Teringat lagi sewaktu penulis mengambil Budin di madrasah Hayrat di seksyen 7 Bangi. Tak disangka salah seorang pelajar madrasah tersebut menjadi sangat terkenal dan disebut-sebut. 

 Pusara Ammar dihiasi bunga merah

Pengalaman penulis dengan arwah adalah apabila kami bersama-sama dalam Misi Ziarah Ukhuwah di Kemboja. Walaupun begitu, penulis tak banyak bercakap dengan beliau kerana beliau sendiri kurang bercakap. Beliau banyak bercakap dengan saudara Ariffin, pemimpin pelajar Muslim Kemboja yang melayan kami semasa di Kemboja. Kemudian, kami ada berjumpa lagi sewaktu World Conference di SUK Shah Alam. Beliau pula yang melayan Ariffin dengan membawa beliau sekitar Kuala Lumpur. Sekali lagi penulis ingat semasa penulis sedang bersembang dengan Ariffin sewaktu makan, Ammar hanya senyap sahaja di tepi, mendengar perbualan kami yang penulis sendiri lupa apa yang kami bualkan. Kali terakhir penulis berjumpa dengan beliau adalah sewaktu menghantar Budin dan Ammar di KLIA. Mereka mahu pulang ke Istanbul untuk memulakan semester baru. Semasa itu hampir seluruh keluarga kami dan Ammar ada di sana. Akhirnya berita buruk tiba sewaktu sabtu malam ahad pada awal November. Penulis pergi sendiri ke rumah keluarga Ammar di Gombak. Namun wajah Tuan Haji Azam tetap tenang. Penulis pula yang berasa sangat keliru. Tak disangka seseorang yang kita kenal, walaupun tak rapat, pergi begitu sahaja dalam sekelip mata. 

Balik semula ke Turki, selepas menyedekahkan Al-Fatihah kepada arwah, kami bergerak pula ke Masjid Eyup. Hasrat kami untuk melihat makam Abu Ayyub Al-Ansari tidak kesampaian kerana makam tersebut dalam penambahbaikan. Kami hanya dapat lihat dari jauh. Samar-samar sahaja. Namun begitu, masih ramai pelawat yang datang dan menyedekahkan Al-Fatihah kepada Sahabat Nabi tersebut. Orang Turki memang betul-betul menghargai sejarah. Kebanyakan kawasan warisan dijaga dengan baik. Inilah yang perlu orang Malaysia pelajari.Lebih baikdaripada kita terkejar-kejar dengan membina segala macam bangunan moden namun melupakan asal-usul kita. Tanpa mempelajari masa lalu, kita takkan tahu destinasi mana yang hendak dituju pada masa hadapan. 

Makam Abu Ayyub Al-Ansari. Walaupun sudah berumur 80 taun, namun tetap turun berperang

Selepasa itu, kami pergi makan tengahari di Galata Bridge. Di bawah jambatan bersejarah tersebut, terdapat banyak restoran yang menyediakan pelbagai makanan. Kami terus pergi ke restoran yang sedang rombongan Tuan Haji Azam lawati. Mereka datang ke Turki awal beberapa hari. Di situ, kami makan makanan Turki hidangan demi hidangan. Mula-mula mereka hidangkan roti. Oleh kerana kami lapar, kami makan dengan pelahapnya. Kami sangka hanya itulah sahaja makanan yang mereka akan beri. Rupanya selepas mereka berikan nasi. Selepas nasi masakan ikan pula. Banyak makanan tak habis. Memang orang Melayu tak biasa dengan kaedah hidangan makanan Turki. 

 Suasana dari restoran Galata Bridge

Selepas itu, kami bergerak ke Muzium Topkapi. Pada waktu yang lepas, penulis dan Solah sudah datang tapi rupanya tutup. Kali ini kami masuk sekeluarga. Seperti biasa, Mama, Makteh dan Mak Chak tak nak masuk kerana tahu dalam Muzium hanya banyak berjalan. Hanya penulis, Solah, Ainun, Abah dan Pakteh sahaja yang masuk. Budin pula menolak. Mungkin sudah masuk beberapa kali. Masuk ke dalam Topkapi, sebenarnya sederhana sahaja Istana Sultan Uthmaniyyah ini. Memang tak padan dengan keluasan jajahan Uthmaniyyah. Istana ini mempunyai banyak bilik. Selain itu, taman dalam istana juga sangat luas, rasanya hampir 60 peratus hanyalah taman. Dahulu, mungkin bilik-bilik ini dihuni oleh kerabat dan kakitangan Istana. Kini, bilik-bilik ini ditukar menjadi ruang pameran barang-barang kebesaran Uthmaniyyah. Ada bilik yang menempatkan hadiah-hadiah kepada Sultan. Hadiah ini ada yang datang dari Parsi, China dan juga Eropah. Kemungkinan hadiah ini dihadiahkan sebagai tanda persahabatan antara dua kerajaan. Tapi tiada pula yang datang dari Alam Melayu. Mungkin disimpan di stor. 

Ada bilik yang menempatkan jubah dan gambar sultan-sultan. Yang paling menarik adalah bilik yang menempatkan khazanah umat Islam seperti janggut, jubah dan panji Rasulullah. Ada juga yang lebih lama seperti pedang Nabi Daud. Rasanya banyak khazanah ini dibawa ke Istanbul sewaktu Uthmaniyyah menguasai 3 tanah suci umat Islam iaitu Mekah, Madinah dan Al-Aqsa. Penulis merasakan tempat ini tidak ternilai harganya dalam konteks sejarah umat manusia dan wajib dipelihara. Malangnya kami dilarang mengambil gambar khazanah tersebut. Kemudian kami pergi puka ke tempat tidur sultan yang berada di tengah-tengah taman. Sekali lagi ianya sangat sederhana. Malah, tempat mesyuarat antara sultan dan menteri-menterinya juga sangat ringkas. Seolah-olah bilik rehat. Kami duduk di situ menunggu semua orang sampai. Pakteh yang paling lambat. Kami melawak merasakan seolah-olah Pakteh baca satu persatu setiap penerangan dalam muzium tersebut. Makteh dalam van ada menyebut, dia pernah mendengar Ungku Aziz, tokoh akademik negara pernah menyebut bahawa beliau pelik dengan orang Malaysia yang melawat muzium sekejap sahaja walhal beliau sendiri menghabiskan masa berjam-jam dalam muzium. Mungkin Pakteh mengambil nasihat Ungku Aziz.  

Penulis dihadapan ruang mesyuarat sultan dan para wazir


Kami keluar dari Topkapi dan pergi ke stesen bas antarabandar Istabul yang dipanggil Otogar. Di situ, kami telah menempah bas ke Kusadasi yang akan bergerak pada pukul 10 malam. Syarikat bas tersebut dipanggil Pamukkale. Sementara menunggu, kami bersiap-siap untuk solat dan makan malam sekaligus. Budin selepas makan dengan kami terus meminta diri. Dia tidakikut kerana sedang menghadapi peperiksaan. Naik bas di Turki seolah-olah menaiki kapal terbang. Kami kena check in bagasi kami. Malah, mereka sendiri yang akan masukkan bagasi ke dalam bas. Terdapat juga ruang yang selesa untuk penumpang berehat. Di dalam bas pula, terdapat seorang pelayan yang akan menghidangkan makanan walaupun mereka hanya bagi biskut, roti dan air. Pemandu mereka pun memakai baju seragam bersekali dengan tali leher. Tentu sangat tak selesa dalam pakaian seperti begitu selama 10 jam. Perjalanan kami ke Kusadasi mengambil masa sehingga awal pagi.Walaupun setiap kerusi ada TV tersendiri (seperti kapal terbang!), namun kami semua tidur kerana kepenatan.

Jumpa lagi pada hari ketujuh!

Sunday, December 14, 2014

MEMORI TURKI 2014 (5)

Hari Kelima (Rabu / 28 Mei 2014)

Tak banyak yang berlaku dalam hari kelima. Keluarga kami yang terdiri dari Mama, Makchak, Makteh, Pakteh dan Ainun dari Malaysia sampai di Lapangan Terbang Attarturk dalam pukul 9 pagi. Budin pergi ke sana dengan menaiki van yang kami sewa. Selepas mengambil mereka di Lapangan Terbang, van itu singgah di apartmen Malaysia di Uskudar. Kami mengangkat terus beg-beg kami yang besar kerana kami akan masuk dalam homestay. Tetapi sebelum kami ke homestay, kami singgah dulu di sebuah bukit panorama. Di situ kami bersarapan hanya dengan roti seperti pretzel dan dan roti canai. Kami makan dengan hidangan teh panas kerana kedinginan pagi. Di bukit itu terdapat taman bunga dan bendera Turki yang besar. Terdapat juga teropong untuk kita melihat kotaraya Istanbul dari atas bukit.

 Di atas bukit dengan panorama berlatarbelakangkan Istanbul

Dari bukit tersebut, kami bergerak ke homestay kami yang terletak di Daerah Fatih. Ianya terletak di kawasan Istanbul Eropah. Oleh kerana homestay itu terletak di kawasan rumah yang berselirat, pemandu van mengalami kesukaran mencari jalan yang betul. Rasanya walaupun ada nombor rumah dan nama jalan, tetapi tidak membantu dalam mencari homestay tersebut. Akhirnya jumpa juga homestay tersebut di sudut belakang. Namun rupanya itu hanyalah pejabat mereka. Homestay kami terletak di tempat lain. Jadi kami terpaksa tarik beg kami dan berjalan merentasi kawasan perumahan. Kawasan Fatih adalah kawasan lama Istanbul. Namun perumahan di sini mungkin nampak lebih moden. Rasanya dibina sekitar abad ke-19 kerana terdapat ciri-ciri Eropah. 

 Sedang berjalan ke homestay

Sampai di homestay, ianya terdapat dua tingkat, 2 bilik di tingkat atas, iaitu sama aras dengan pintu ke luar, manakala tingkat bawah tanah pula adalah dapur dan ruang tamu. Penulis tidur di bawah tanah kerana terdapat 2 katil di situ. Betul-betul di hadapan tv. Di sini kami hanya makan tengahari dengan roti dan maggi yang dibawa dari Malaysia. Petang selepas solat Zohor, kami berjalan ke kawasan Hagia Sophia. Kami berjalan sahaja ke sana kerana sukar untuk mendapatkan teksi. Walaupun sebenarnya dekat sahaja kawasan tersebut namun oleh kerana jalannya yang berbukit dan berselirat menyebabkan kami berasa jauh. Sampai sahaja ke jalan utama, kami hendak mencari teksi, namun teksi tersebut enggan mengambil kami kerana dekat sahaja, dia merasakan rugi dan tidak berbaloi. 

Akhirnya kami sampai juga ke kawasan Hagia Sophia. Di situ, hanya Makteh, Pakteh dan Ainun yang masuk kerana kami sudah masuk. Mama pernah masuk semasa datang ke Istanbul sebelum ini dan Makchak tak larat nak berjalan dalam Muzium Hagia Sophia yang besar. Di situ, kami cuba bertanya juga tentang harga tiket bas Hop-On Hop Off. Bas ini membolehkan kita bersiar di sekitar Istanbul selama satu hari dan ianya melalui tempat-tempat pelancongan. Kita boleh naik dan turun sesuka hati. Namun harganya terlampu mahal, malah dalam matawang Euro pula. Mungkin pelancong Eropah lebih tertarik. 

 Mama dan Makchak dengan pemandangan Hagia Sohpia

Selepas Makteh keluar dari Hagia Sophia, kami melawat pula Masjid Biru. Di situ, mereka bersolat sunat. Kami menghala pulang sebelum senja memerah. Di Istanbul, maghrib adalah pada pukul 6.30 malam dan isyak pula 7.30 malam. Di homestay, kami rehat dan makan malam dengan masakan Melayu. Esok, Abah pula akan tiba di Istanbul. Selepas itu, baru kami bergerak ke kawasan Anatolia pula. 

Jumpa lagi di Hari Keenam!