Friday, January 16, 2015

SEPETANG BERSAMA TARIQ RAMADAN






Pertemuan antara Prof Dr Tariq Ramadan dengan pimpinan PKPIM-ABIM-WADAH pada 15 Julai 2012 di KDH membuka minda kita tentang prospek dan perkara-perkara yang perlu diperbetulkan oleh gerakan Islam pada masa akan datang. Beliau memulakan syarahan beliau dengan mengulang kembali kebangkitan gerakan Islam sejak 120 tahun yang lalu dimulai dengan pemikiran Muhd Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani. Beliau juga menegaskan peranan Hasan Al-Banna yang memulakan dakwahnya dengan memberi alternatif ekonomi yang dimana beliau merasakan gerakan Islam sekarang terlampau bergantung kepada ekonomi konvensional. Kita juga sebagai pewaris daripada gerakan yang membebaskan diri penjajahan fizikal perlu terus membebaskan diri daripda penjajahan politik dan budaya yang lebih dahsyat sekarang.

            Beliau juga menyebut tentang perlunya Islamis tidak memonopoli Islam dan berusaha merubah masyrakat daripada terus menjatuhkan penzalim. Beliau juga menekankan bahawa Al-Quran dan As-Sunnah adalah untuk memberi keadilan, bukannya menjatuhkan hukuman. Beliau memberi contoh model Turki dimana parti AKP yang dipimpin oleh Islamis namun mengubah prioriti dan tidak menekankan kepada pembinaan Negara Islam. Turki sekarang membuahkan hasil sebagai negara paling membangun di Eropah pada masa benua itu sekarang sedang mengalami kegawatan ekonomi.

            Prof Tariq juga memberi komen tentang kebangkitan rakyat di Asia Barat bukanlah hasil Islamis seratus-peratus. Beliau juga melihat bahawa perancangan untuk menegakkan masyarakat yang baik di Asia Barat masih lemah. Beliau melahirkan kebimbangan di Mesir di mana tentera masih berkuasa dan ditakuti Ikhwanul Muslimin akan tersilap percaturan dan menjadi kambing hitam apabila berlaku masalah pada masa hadapan. Beliau juga merasakan bahawa perlunya gerakan Islam memfokuskan diri kepada kuasa membangkang atau menegur pihak pemerintah keranan tak semua orang mampu memerintah walaupun hebat dalam membangkang.

            Perkara utama lain yang Prof Tariq bincangkan adalah pentingnya aktivis gerakan Islam untuk menghayati perjuangannya dan bukan sekadar menjadi ahli ikut-ikutan. Pentingnya melakukan perkara yang secocok dengan peribadi masing-masing dan meneguhkan kerohanian kerana ianya memberikan aktivis tujuan akhir masing-masing. Jangan menjadi orang yang cepat penat berjuang kerana bergerak tanpa halatuju. Syarahan ditamatkan dengan sesi fotografi dan ilmu yang penuh di dada untuk para aktivis sekalian.

Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
Exco PKPIM

No comments:

Post a Comment