Kali ini ada lagu daripada US yang membuatkan penulis teringatkan lagu daripada artis Malaysia. Kebiasaannya ia terbalik, lagu Malaysia atau Indonesia ada persamaan daripada lagu Hollywood atau British. Penulis pertama kali mendengar lagu Wildest Dreams oleh Taylor Swift dalam album beliau 1989 yang keluar pada tahun 2014. Pada waktu itu penulis tidaklah tertarik sangat dengan lagu tersebut, mungkin kerana penulis secara umumnya ada mixed reaction semasa pertama kali mendengar album 1989. Tetapi penulis memang ada teringatkan ada satu lagu Malaysia yang lebih kurang sama dengan Wildest Dreams, cuma penulis tidak ingat siapa. Kalau anda peminat Taylor Swift pasti anda sudah mendengar lagu ini berulang kali. Ini linknya.
Lagu ini dilancarkan sebagai single setahun kemudian dan seperti yang disangka menjadi sangat popular dan dimainkan berulang kali di radio. Dan pada satu hari penulis teringat rasanya di Era FM, DJ Adi Fashla menyebut sebelum memainkan lagu Wildest Dreams, menyebut apabila dia mendengar lagu ini, dia teringatkan lagu 1000 Penipuan oleh Farah Asyikin. Ini videonya.
Lagu 1000 Penipuan ini dibuat sempena Siri TV Gol Dan Gincu pada tahun 2006, manakala Wildest Dreams pula dibuat pada tahun 2014. Persamaannya tidaklah begitu ketara namun oleh kerana persamaan itu berada di korus membuatkan kita tidak boleh terlepas daripada membandingkannya. Namun secara jujur mungkin lagu Taylor Swift lebih bagus. Mungkin kerana lagu ini juga dicipta bersama Max Martin dan Shellbeck, genius muzik yang datang daripada tanah suci muzik pop, Sweeden. Merekalah yang banyak merubah Taylor Swift daripada artis country/rock ke elektronik/pop. Transformasi Taylor Swift sangat berhasil menjadikan beliau artis yang dipuji oleh pengkritik dan disayangi oleh jutaan peminat serta dianggap artis paling penting dekad 2010an, mungkin dibelakang sedikit daripada Adele. Namun mereka berdua masih lagi muda dan masih ada masa lagi untuk bersaing. Kelebihan Taylor Swift lebih kepada lirik manakala Adele mempunyai suara yang unik. Apapun kedua-dua lagu 1000 Penipuan dan Wildest Dreams mempunyai kelebihan sendiri dan sedap untuk didengari.
Ola Bola adalah sebuah filem Malaysia yang mempunyai jentera pemasaran yang paling besar setakat ini. Tak hairanlah kerana diedarkan oleh Astro Shaw, syarikat sama yang memasarkan Polis Evo. Pada tahun 2014, Astro Shaw mendapat keuntungan besar melalui filem The Journey, manakala tahun 2015 pula adalah Polis Evo. Ola Bola diiklankan melalui saluran televisyen dan radio Astro, menyebabkan sukar untuk anda tidak tertarik menonton filem ini. Kali terakhir sebuah filem mempunyai strategi pemasaran seperti begini adalah Star Wars : The Force Awakens tahun lepas. Cuma penulis baru terfikir mengapa filem ini tidak ditayangkan pada bulan kemerdekaan, namun pada cuti Tahun Baru Cina.? Mungkin mereka lebih bijak kerana tahu pada waktu inilah sekolah sedang bercuti dan ibu bapa berpeluang membawa anak-anak mereka ke pawagam. Sebelum ini banyak filem Malaysia ditayangkan semasa Hari Raya Adilfitri atau cuti akhir tahun. Namun sekiranya perkembangan terbaru ini menguntungkan syarikat penerbitan, pastilah selepas ini syarikat penerbitan filem berlumba-lumba hendak menayangkan filem tempatan pada waktu cuti sekolah. Penulis fikir ini bagus dalam meningkatkan jumlah kutipan tiket filem tempatan, dan sepatutnya FINAS menggesa supaya kerajaan memberi ruang lebih banyak filem tempatan ditayangkan pada waktu cuti, dan filem luar negara hanya ditayangkan di luar waktu cuti.
Filem ini cuba dibuat mengikut 2 genre, filem patriotik dan filem sukan. Dalam ingatan penulis, filem patriotik terbaik adalah filem Sarjan Hassan lakonan P Ramlee serta Leftenan Adnan arahan Aziz M. Osman. Manakala filem sukan terbaik adalah....err....Gol dan Gincu? Jadi melihat dengan situasi tersebut, memang tidak banyak contoh filem sukan terbaik, malah filem patriotik juga kurang. Yang ada pun daripada Shuhaimi Baba seperti Hati Malaya dan Tanda Putera, di mana ianya banyak dikritik kerana terlampau "Melayu" dan tidak memaparkan semangat keMalaysiaan. Penulis ada membuat ulasan filem Tanda Putera. Boleh anda baca kemudiaan. Namun filem ini lebih cenderung kepada filem sukan. Dengan begitu banyak montaj latihan dan babak perlawanan bola. Tetapi ianya juga ada memasukkan unsur cintakan tanah air dengan menayangkan suasana pemandangan di Malaysia. Ianya sangat bagus untuk digunakan oleh Jabatan Pelancongan untuk video pemasaran mereka.
Tetapi penulis mungkin kurang gemar apabila filem ini bermula dengan babak pada masa kini, kemudian disambung dengan babak "flashback" oleh salah seorang watak. Walaupun ianya tidaklah mengganggu, berbeza dengan filem Hati Malaya yang juga mempunyai watak zaman moden yang membayangkan tentang suasana zaman dahulu. Mungkin mereka hendak tunjukkan Soh Chin Aun pada pengakhiran filem.
Filem ini juga bukanlah betul-betul memaparkan peristiwa semasa pasukan Malaysia berjaya memasuki Olimpik pada tahun 1980. Nama watak-watak juga ditukar. Jadi boleh dikatakan kebanyakan situasi yang dilalui mereka mungkin adalah fiksyen atau ditokok tambah untuk elemen dramatik. Jadi sekiranya anda mahukan kisah sebenar, anda perlu membaca buku atau menonton dokumentari. Namun kadang-kadang penulis agak keliru hendak membezakan watak, kerana gaya rambut yang hampir kurang sama. Yang paling berbeza pastilah Muthu. Manakala Ali pula pelakonnya seperti Zizan Razak. Dialog filem ini juga banyak bertukar-tukar, daripada Bahasa Inggers, ke Mandarin, ke Melayu. Tetapi yang paling kelakar tentunya Bahasa Melayu. Bunyinya sangat canggung dan tidak seperti orang biasa bercakap. Ada yang mengatakan perkara ini terjadi kerana mungkin skrip asal adalah dalam Bahasa Inggeris tetapi kemudian diterjemahkan ke Bahasa Melayu.
Satu lagi babak yang mungkin membuatkan penulis hendak ketawa adalah semasa mereka hendak melakukan latihan tentera. Penulis tidak pasti adakah pasukan Malaysia pada masa lalu (atau sekarang) ada melakukan latihan tentera untuk meningkatkan persefahaman dan ketahanan fizikal, namun babak tersebut penulis merasakan bahawa ianya semta-mata hendak memanjangkan lagi tempoh filem kerana kehabisan idea untuk menunjukkan montaj latihan dan perlawanan bola. Ianya adalah "unintentional comdey" dan seolah-olah memparodikan filem sukan. Penulis juga teringat satu filem sukan lain iaitu Rocky lakonan Sylvester Stallone yang pernah memenangi Filem terbaik Oscar 1977. Walaupun Rocky adalah filem mengenai sukan tinju namun kebanyakan waktu filem tersebut berlegar tentang kehidupan peribadi Rocky dan kurang babak bertinju. Ianya hanya mencapai kemuncak dalam 30 minit terakhir apabila akhirnya perlawanan antara Apollo Creed, juara dunia waktu itu menentang Rocky Balboa, jaguh kampung daripada Philadelphia. Antara babak yang paling diingati dalam filem Rocky adalah sewaktu Rocky berlatih tinju dan be"jogging" sekitar Philadelphia sehingga sampai ke tangga Muzium Philadelphia sambil diiringi dengan lagu latar yang bersemangat. Anda mungkin pernah dengar dan tonton. Ini videonya.
Adakah Ola Bola mahu menjadi seperti Rocky? Sukar untuk dibandingkan kerana sukannya berbeza. Satu tinju dan satu lagi bolasepak. Selain itu tinju adalah usaha persendirian manakala bolasepak adalah usaha berpasukan. Filem Ola Bola juga cuba memasukkan lagu semangat mereka sendiri iantu "Inilah Barisan Kita" semasa di dalam helikopter. Sepatutnya mereka mengupah pemuzik atau artis membuat lagu semangat yang akhirnya dikaitkan dengan filem ini. Contoh yang terbaik adalah lagu Gemuruh oleh Faizal Tahir. Lagu Zee Avi juga bagus cuma bukan yang terbaik untuk filem sukan yang memerlukan lagu yang lebih membakar jiwa.
Apapun filem ini adalah yang terbaik dari sudut memaparkan kepelbagaian kaum dan bahasa di Malaysia. Ianya bukan lagi filem Melayu, Cina atau India Malaysia tetapi betul-betul filem Malaysia yang boleh dibanggakan.
Anugerah Juara Lagu atau AJL yang ke - 30 berlangsung pada 24 Januari yang lalu. Seperti biasa penulis menonton persembahan setiap artis dan cuba membuat ramalan siapakah pemenangnya. Walaupun bukan semua yang penulis sempat tengok, tetapi ada lah lebih kurang 70 peratus. Penting untuk menilai kualiti persembahan, bukan sekadar kualiti lirik atau rakaman dalam album kerana juri AJL adalah berdasarkan persembahan, kemudian baru melihat kualiti lirik dan lagu.
Secara jujurnya AJL kali ini sukar untuk menentukn pemenangnya, bukan sangat kerana ramai artis yang memberi persembahan mantap, namun kerana persembahan hanya biasa-biasa sahaja dan kurang gimik yang menggegar. Adakah kerana masalah bajet? Sebelum AJL berlangsung, penulis mengharapkan Faizal Tahir dengan lagu Assalamualaikum akan memberi persembahan unik dan bertenaga, namun akhirnya beliau memilih untuk mempersembahkan lagu secara akustik. Walaupun ramai yang memuji kerana membawa mesej kemanusiaan dengan memaparkan "slideshow" mangsa perang terutamanya Syria, namun penulis merasakan lagu ini bukanlah lagu sedih untuk dibawakan secara akustik. Kebiasaannya lagu akustik hanya berkesan sekiranya lagu tersebut membawa mesej sedih atau memikat, namun bagi penulis, lagu Assalamualaikum adalah lagu gembira. Walaupun lirik lagu bermula dengan suasana negatif, namun sekiranya kita meneliti lirik lagu ianya menjadi semakin positif dan komposisi lagu tersebut sangat kena dengan lirik lagu. Penulis merasakan sekiranya Faizal Tahir membaawakan lagu ini dengan nada gembira, pasti beliau akan memenangi Juara Lagu, sebuah trofi yang beliau tak pernah menangi walaupun beberapa kali memasuki peringkat akhir.
Tetapi dari sudut lain pula, mungkin Faizal Tahir enggan memberi sepenuh tenaga dalam majlis yang seperti iklan ini. Ramai penonton dan peminat muzik agak bengang dengan iklan berlebihan daripada penaja, Qu Puteh. Sejak dari tahun lepas, rakyat Malaysia agak menyampah dan melihat bahawa penajaan ini hanya memburukkan TV3 dan industri muzik Malaysia. Penulis sendiri tak faham mengapa dibiarkan Qu Puteh campur tangan secara melampau dalam penerbitan rancangan ini, kerana ianya langsung tidak ada kaitan dengan muzik. Walaupun begitu tidak dinafikan AJL memang telah meminggirkan kebanyakan pembikin muzik yang bebas dan hanya memberi ruang kepada mereka yang popular atau mempunyai naungan syarikat besar. Diharapkan pada masa depan, terdapat stesen televisyen atau media yang mampu menganjurkan pertandingan muzik yang benar-benar memberi ruang kepada mereka yang berbakat, di samping mempromosi mereka yang sudah popular. Mesti ada keseimbangan.
Mengenai kemenangan Akim & The Majistret, memang tidak disangka namun penulis merasakan ianya pilihan selamat kerana penulis sendiri tidak dapat memberi kata putus artis manakah yang paling terbaik. Penulis pada mulanya meramalkan Dayang Nurfaizah, namun beliau hanya meraih vokal terbaik, sama seperti tahun lepas. Bagi penulis, sepatutnya mereka beri sahaja anugerah kepada Dayang kerana beliau juga sama seperti Faizal Tahir, veteran dalam AJL dan tidak pernah meraih gelaran juara. Walaupun lagu Potret mempunyai lirik yang bermesej, namun sekiranya kita menggunakan hujah itu maka bagi penulis lirik Assalamualaikum lebih bagus. Oleh itu, lebih baik menggunakan hujah vokal di mana Dayang ternyata adalah artis terbaik dalam sudut vokal.
Apa yang kita boleh jangka untuk AJL tahun depan? Sukar untuk dijangka kerana kebanyakan lagu sekarang, baik di Malaysia atau di luar negara kebanyakan bergantung kepada penerbit dan artis yang terlibat hanya menyanyikan sahaja, bukan menulis lirik atau menulis lagu. Walaupun pada masa lalu sekalipun lagu yang masuk ke AJL bukan ditulis oleh artis yang menyanyikan tetapi orang lain sebagai contoh M. Nasir, Habsah Hasan dan Loloq. Namun kebanyakan lagu pada masa lalu bersifat balada, pop atau rock. Namun sekarang genre lagu semakin sukar untuk dipisahkan. Ada rap campur tradisional, ada rock campur elektronik. Ini menyebabkan apabila dipersembahkan di atas pentas, ianya agak berlainan dengan seperti dalam rakaman. Lagu Apa Khabar oleh Joe Flizzow yang menang tahun lepas adalah rap yang mudah dan tidak melibatkan instrumen yang pelbagai. Sebab itu ia dapat memenangi Juara di samping lirik yang mantap. Diharap finalis AJL tahun depan dapat lebih berani dan melakukan gimik yang dapat menggegar.
Saya pergi menonton filem Mat Moto dengan Hafiz Razali. Alhamdulillah dia belanja tiket dan popcorn menggunakan hadiah harijadinya kerana mendaftar sebagai ahli TGV Movies Club. Pada mulanya saya fikir filem ini hanyalah filem standard tentang rempit orang Melayu. Tak sangka pula filem ini mengutip kutipan tiket yang tinggi sehingga mencecah RM 1 juta, di mana ianya dianggap sebagai "sleeper hit" kerana tiada siapa yang menjangkakannya. Kemudian ianya diarahkan oleh Pekin Ibrahim dan Syafiq Yusof.
Filem ini secara kasarnya seolah-olah seperti dokumentari tambah "road movie." Walaupun terdapat kisah dalam setiap karakter namun ianya hanya diterangkan di akhir filem. Kebanyakan filem ini pergi dari satu tempat ke tempat lain menunjukkan budaya mat moto. Motivasi karakter utama iaitu Pekin Ibrahim, seperti Goku yang mengumpul Dragon Ball pergi ke beberapa negeri dari Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka untuk mengumpul topi keledar. Kenapa? Sebab ianya adalah hasrat kawannya sebelum dia meninggal. Pekin ditemani oleh watak perempuan yang rupanya seperti Dora the Explorer yang sudah dewasa. Topi keledar yang dikumpulnya bukan calang-calang, kerana ianya berharga ribuan ringgit setiap satu.
Antara gimik filem ini ialah orang yang menjual topi keledar tersebut adalah pelakon yang pernah memainkan watak mat rempit dalam filem-filem Melayu yang terdahulu seperti Faizal Hussein dan Shaheizy Sam. Mereka ditunjukkan sebagai sudah bertaubat dan sekarang hanya memfokuskan kepada bermain motor untuk bersuka ria, bukan untuk berlumba dan berjudi. Namun yang kecewanya sepatutnya filem ini tidak menunjukkan dahulu nama pelakon-pelakon tersebut semasa awal filem supaya ianya menjadi kejutan kepada penonton.
Saya tak pasti mengapa filem ini mendapat perhatian. Adakah mat moto sendiri yang datang ke panggung wayang menyokong filem ini? Mungkin betul kerana budaya mat moto ini memang seringkali disalah anggap dengan mat rempit. Filem ini dalam beberapa hal seperti dokumentari menerangkan tentang siapa mat moto dan apakah minat mereka. Di sini masyarakat perlu faham memang wujud kumpulan yang gilakan bidang permotoran, baik kereta atau motosikal. Mungkin ada yang menganggap mereka ini membazir namun ada daripada mereka yang menjadikannya sumber rezeki dan lebih penting ianya satu identiti mereka. Kalau kita boleh terima kumpulan yang sukakan buku atau yang sukakan sukan tertentu, di mana mereka sanggup berbelanja banyak untuk membeli buku atau berlatih sesuatu sukan, mengapa tidak mat moto?
Saya teringat semasa membaca buku Seth Godin bertajuk Tribes di mana ianya tentang kepentingan mencari mereka yang mempunyai minat yang sama. Anda mungkin lahir sebagai Melayu dan Islam, namun tidak semestinya anda mempunyai minat yang sama. Apatah lagi perpecahan yang besar dalam kalangan umat Islam, tidak hairanlah ada daripada kalangan mereka membentuk kumpulan kecil mengikut minat masing-masing. Kita juga perlu menerima realiti bahawa manusia bergerak daripada melihat identiti mereka berdasarkan kepada kaum atau negara semata-mata kepada berdasarkan minat atau kemahiran. Dan antara sub-budaya yang paling besar adalah dalam bidang permotoran. Begitu juga dalam konteks kemahiran. Mereka yang mahir dalam bidang "programming" biasanya mempunyai "tribes" mereka sendiri merentas kaum dan agama. Dan mereka juga salah satu komuniti terbesar di Silicon Valley. Malah sekiranya anda terlibat dalam sesuatu industri, adalah lebih baik untuk tinggal atau mempunyai pejabat berdekatan tempat yang mempunyai ramai orang yang terlibat dalam industri tersebut. Contohnya industri wain yang banyak tertumpu di California Utara. Bermula daripada peladang, pengilang sehingga jurujual, kebanyakannya bertempat di situ. Formula yang sama juga digunakan oleh Hollywood dalam bidang perfileman.
Berbalik kepada soal filem Mat Moto ini, apa yang ironinya adalah penerbit filem ini adalah Skop Production kepunyaan Yusof Haslam yang banyak menerbitkan filem mengenai mat rempit. Hakikatnya merekalah yang banyak memaparkan budaya negatif mat moto ini. Adakah filem ini semacam satu pernyataan maaf kepada mat moto? Tak pasti pula. Apapun filem ini mungkin kurang menarik sekiranya anda mahukan banyak aksi perlumbaan, namun sekiranya anda adalah salah seorang daripada mat moto yang sering disalah fahami, pasti anda berasa bangga dengan kewujudan filem ini.
Sempena demam AJL ke - 30 yang bakal menjelang, mari kita sambung siri Lagu Macam Sama pula. Penulis terperasan sebuah lagu daripada band Malaysia, Akim & The Masjistret bertajuk Obses macam pernah dengar. Cuba anda dengar.
Bagaimana? Ada perasan macam lagu siapa? Kalau anda minat kepada band Muse terutamanya lagu-lagu mereka pada awal tahun 2000an. Tentu anda perasan muzik yang lebih kurang sama dengan lagu Muse bertajuk Hysteria. Cuba anda bandingkan.
Bagaimana? Adakah anda setuju dengan pendapat penulis? Malah komen di Youtube juga semacam bersetuju bahawa lagu Obses ini sangat dipengaruhi oleh Muse. Penulis melihat bahawa Akim & The Majistret antara kumpulan yang lebih kepada "band-centric," terutamanya dalam suasana muzik yang kurang genre rock yang popular. Dari sudut lirik pun semacam ada persamaan. Namun Akim lebih merujuk kepada obsesnya kepada seseorang namun Muse tidak pasti pula histeria kan apa.
Lagu Akim ini baru sahaja dikeluarkan tahun lepasa manakalah lagu Muses adalah daripada album mereka Absolution pada tahun 2003. Penulis teringat lagi dengan lagu-lagu Muse yang popular sewaktu penulis bersekolah menengah, merekalah antara kumpulan hard rock yang paling popular pada waktu itu. Sekiranya Akim dan ahli bandnya lebih kurang umur penulis, pastilah mereka sangat terpengaruh. Namun lagu ini hampir sama, tak tahulah samada label Muse perasan ataupun tidak. Apapun Akim tercalon ke AJL 30 dengan lagu Potret dan ini sudah beberapa tahun beliau tercalon ke peringkat akhir. Beliau antara kumpulan rock yang berjaya masuk di samping Bunkface dan Faizal Tahir.
Dalam akhir tahun 2015, sebuah filem Bollywood yang bertajuk
Bajirao Mastani ditayangkan di pawagam Malaysia. Filem ini bertemakan cinta dan
berlatar belakangkan India semasa abad ke – 18. Watak utama dalam filem ini
adalah Bajirao, seorang Perdana Menteri dalam Empayar Maratha, isterinya
Kashibai dan isteri kedua yang juga orang Islam, Mastani. Filem ini bermula
dengan perlantikan Bajirao sebagai Perdana Menteri dan berjanji akan menawan Delhi
daripada kerajaan Mughal. Kemudian mereka memperluaskan kuasa Maratha dengan
menawan kawasan-kawasan berhampiran sehinggalah mereka diminta bantuan daripada
Bundelkhand yang sedang dikepung oleh puteri Raja sendiri Mastani. Mula-mula
Bajirao tidak mahu kerana mengganggu kempen perangnya, namun setelah melihat
kecekalan Mastani, Bajirao akhirnya bersetuju untuk membebaskan Bundelkhand.
Setelah berjaya, kota tersebut membuat perayaan besar-besaran untuk Bajirao dan
Bajirao juga telah jatuh hati dengan Mastani. Bajirao menghadiahkan Mastani
sebuah pedang kecil, dan bagi budaya Bundelkhand, ianya dianggap sebagai satu
perminangan untuk berkahwin. Mastani menerimanya tetapi malangnya Bajirao sudah
pun berkahwin dan lebih merumitkan Bajirao adalah Hindu manakala Mastani adalah
orang Islam.
Inilah dia permulaan konflik filem ini apabila Mastani tiba
ke ibu kota Maratha untuk bersama Bajirao, tetapi tidak diterima oleh ibu
Bajirao kerana mengganggap tiada poligami dalam budaya dan agama mereka. Malah
sami Hindu pun berasa marah dengan Bajirao kerana melakukan dosa apabila
berkahwin tanpa ritual Hindu dan isteri keduanya pula adalah orang Islam.
Bajirao juga dipinggirkan oleh keluarga dan rakan kerana percintaannya dengan
Mastani. Isterinya yang pertama, Kashibai juga sangat sedih dengan tindakan
suaminya itu. Kerana terlampau risaukan Mastani, Bajirao yang bersungguh mahu
menawan Delhi juga menangguhkan hasratnya kerana takutkan akan ada cubaan
membunuh Mastani. Filem berakhir dengan Bajirao dan Mastani meninggal dunia dan
meninggalkan seorang anak.
Menonton filem ini pada mulanya merasakan akan menonton filem
epik perang terutamanya antara Empayar Maratha dan Mughal. Namun apabila plot
filem di ibu kota Maratha, ianya menjadi filem cinta dan konflik keluarga. Jadi
sekiranya anda mahukan filem perang, filem ini mungkin bukan pilihan. Namun
begitu, filem ini bersungguh-sungguh dalam memaparkan perwatakan dan
persekitaran pada abad ke – 18. Tidak pasti adakah mereka membina set baru atau
menggunakan binaan sebenar seperti yang dilihat semasa di Bundelkhand dan
kediaman Bajirao di Pune. Babak perangnya walaupun sebentar sahaja tetapi
tidaklah mengecewakan. Babak tersebut sangat penting kerana di situlah Bajirao
terhutang budi kepada Mastani apabila menyelamatkannya daripada Mastani.
Penonton juga perlulah diingatkan filem ini bukanlah betul-betul
mengikutkan fakta sejarah yang sebenar. Seawal filem ini lagi sudah ada pengumuman
bahawa ada beberapa plot yang ditambah dan mereka juga tidak berhasrat untuk
mengguris hati mana-mana pihak. Walaupun filem ini hanyalah untuk 18 tahun ke
atas, namun masih terdapat beberapa babak yang dipotong. Penulis merasakan
bahawa babak yang dipotong adalah mengenai permusuhan antara Islam dan Hindu.
Penulis berasa kecewa mengapa babak-babak tersebut dipotong kerana penulis
memikirkan bahawa filem ini hanya akan ditonton oleh orang dewasa yang faham
situasi sejarah pada waktu itu. Pemotongan semacam itu dirasakan mengganggu
filem epik sejarah seperti ini. Kalau begitu, sukar rakyat Malaysia belajar
sesuatu yang penting daripada sejarah, samada yang baik ataupun buruk. Perlulah
diingat bahawa sehingga sekarang, masih berlaku permusuhan antara penganut
Hindu dan Islam di beberapa tempat di India. Dengan memahami konteks sejarah,
kita dapat menghargai mengapa kisah percintaan antara Bajirao dan Mastani ini
sangat penting dalam naratif sejarah India.
Oleh kerana itu, penulis mungkin memahami mengapa filem ini
memfokuskan kisah cinta antara dua watak utama tersebut. Ini kerana walaupun
sejarah India dipenuhi dengan perang antara kota, tamadun dan agama, namun
watak-watak dalam sejarah bukan semua begitu. Kisah ini sebenarnya diinspirasi
daripada tulisan Mastani sendiri. Oleh itu, tidak semua kisah-kisah sejarah
yang ditulis oleh orang istana dapat menggambarkan keseluruhan masyarakat pada
waktu itu. Kita sendiri sebagai watak dalam kehidupan masa kini juga sangat
penting menulis kisah hidup kita sendiri dan pemerhatian kita terhadap
masyarakat sekitar dan suasana negara. Pada masa hadapan, pengkaji sejarah
bukan sekadar akan melihat rekod rasmi kerajaan, namun akan membaca bagaimana
perasaan dan interaksi antara watak-watak dalam sejarah.
Untuk tahun 2016 penulis membuat azam baru iaitu menonton filem tempatan sebanyak mungkin. Ini menggantikan "kafarah" langsung tak tengok filem tempatan tahun lepas. Penulis juga memikirkan mahu menonton filem-filem dari negara lain seperti Bollywood dan Cina daripada menonton filem Hollywood kerana penulis berfikir bahawa Hollywood telah kehilangan idea (contoh filem Star Wars yang baru hanyalah "recycle" filem terdahulu). Selain itu tak banyak filem Hollywood yang bagus masuk panggung di Malaysia, kalau anda hendak tengok pun sama ada tunggu ditayangkan di Astro ataupun "download" secara haram. Sebab itulah penulis baru sahaja menonton filem Birdman, filem yang memenangi anugerah filem terbaik Oscars Disember lalu. Sebab itulah ada beberapa segmen masyarakat terutamanya orang Islam yang menolak menonton wayang, kerana filem yang sampai di Malaysia bukanlah filem yang bagus, malah sesetengahnya "offensive." Hanya apabila Astro menayangkan filem yang bagus terutamaya di HBO atau dengan "download" (secara haram), barulah orang Islam terbuka mindanya dengan filem-filem yang bagus. Satu lagi penulis juga kecewa kerana kurang filem Indonesia ditayangkan di Malaysia. Kali terakhir penulis menonton filem Sukarno di KLCC, itupun ramai penonton daripada kalangan orang Indonesia. Syarikat "film distributor" dan pemilik panggung wayang di Malaysia perlu diyakinkan bahawa filem Indonesia punya tarikan di sini dan perlu diperbanyakkan tayangannya daripada terlalu fokuskan kepada filem Hollywood yang kebanyakannya tak laku pun di Amerika sendiri.
Baik, berbalik kepada filem Jagat yang penulis hendak ulas. Filem ini adalah filem tempatan berbahasa Tamil. Latar belakang filem ini adalah di kawasan pekan di Hulu Perak pada awal tahun 1990an. Penulis faham mengapa filem ini memilih suasana masyarakat di pinggiran, dengan menunjukkan kehidupan orang India yang semacam terpisah dengan majoriti orang India di Malaysia, namun penulis tak pasti mengapa latar tahun 1990an dipilih. Penulis pasti bahawa watak yang ditunjukkan masih lagi wujud sehingga sekarang, ianya bukanlah sekadar satu sejarah tetapi masih lagi realiti. Namun mungkin pengarah filem sengaja hendak membuang mana-mana babak mengenai teknologi baru dan hanya memfokuskan tentang interaksi watak-watak ini dalam zaman pra-internet. Boleh juga filem ini diinspirasikan daripada kisah benar namun tidak spesifik kepada mana-mana individu.
Watak utama filem ini adalah Apoi dan pakciknya, Mexico (mungkin sekali "nickname"). Kita ditunjukkan dengan watak Apoi yang mempunyai bakat seni di sekolah tetapi gurunya hanya menyuruhnya fokus kepada subjek yang akan diuji semasa UPSR. Apoi juga sering dimarah oleh ayahnya kerana kurang cemerlang dalam akademiknya. Menarik melihat watak Apoi ini adalah walaupun sering dimarah tetapi masih lagi optimis dalam kehidupannya. Apoi malah pernah bertanya kepada pakciknya, kenapa tidak boleh belajar dengan menonton televisyen sahaja? Kerana pada awal filem kita melihat Apoi menonton filem aksi Tamil. Mungkin inilah sebabnya filem ini memilih latar belakang 1990an, kerana pada masa itu adalah kemuncak zaman industri Malaysia dan cemerlang dalam peperiksaan adalah segala-galanya dan mana-mana kaedah baru dalam pedagogi pembelajaran akan ditolak. Berbeza zaman sekarang di mana rakyat Malaysia dalam proses mempelajari kaedah pendidikan terbaik untuk kanak-kanak, dan meningkatnya populariti pendidikan swasta dan alternatif.
Watak pakciknya pula bermula dengan melihat beliau tidak bekerja namun akhirnya terjebak dalam dunia gengster. Walaupun kawan-kawan gengsternya adalah orang India namun ketua mereka adalah orang Cina. Satu babak menarik adalah di mana mereka menyembah Tuhan Cina dan berbai'ah dengan darah sebagai tanda "brotherhood." Walaupun begitu gengster mereka tidaklah sampai berbunuhan dan Mexico pun masih lagi ada kebaikan kerana menolak tawaran mengedar dadah. Sekurang-kurangnya mereka ada "limitation." Mexico juga adalah gengster yang berani di mana mencabar sesiapa yang tidak puas hati supaya melawan satu lawan satu dan jangan melibatkan kawan-kawan lain. Namun Mexico hampir masuk penjara kerana dituduh membunuh dan peristiwa tersebut betul-betul memberi kesan kepada cara beliau menjalani kehidupan.
Filem ini lebih kepada "character studies" dan bukanlah sangat bergantung kepada plot. Filem ini patut dipuji terutamanya dengan sinematografi, lakonan mantap dan berkesan serta runut bunyi yang moden tetapi dalam masa yang sama terdapat elemen tradisional India. Filem ini boleh sahaja menjadi drama Tamil TV2 sempena Hari Deepavali, tetapi mereka bijak dalam memanfaatkan kelebihan filem. Antara pelakon yang menyerlah dalam filem ini adalah ayah kepada Apoi, kerana wataknya bukanlah stereotaip ayah yang pemarah, tetapi beliau juga mempunyai pandangan kritikal kepada situasi kehidupan masyarakat India pada masa itu yang terpinggir, dan pentingnya pendidikan sebagai jalan keluar. Sebab itulah beliau sangat marah kepada anaknya yang tak serius dalam belajar. Filem ini dikategorikan sebagai 18 tahun ke atas. Mungkin kerana babak minum arak yang sangat banyak. Filem ini memaparkan 2 streotaip masyarakat India iaitu gengsterisme dan alkoholisme. Walaupu begitu penonton filem mungkin tak pasti adakah watak-watak ini berjaya keluar dalam lingkaran ganas kehidupan mereka. Babak terakhir filem ini adalah Mexico menghulurkan sebatang rokok kepada anak saudaranya, Apoi. Sama seperti poster filem ini yang kontroversial iaitu Apoi memegang rokok. Dan akhirnya berakhir dengan "wide shot" tempat pembuangan sampah