Friday, February 5, 2016

Seputar Anugerah Juara Lagu ke - 30


Anugerah Juara Lagu atau AJL yang ke - 30 berlangsung pada 24 Januari yang lalu. Seperti biasa penulis menonton persembahan setiap artis dan cuba membuat ramalan siapakah pemenangnya. Walaupun bukan semua yang penulis sempat tengok, tetapi ada lah lebih kurang 70 peratus. Penting untuk menilai kualiti persembahan, bukan sekadar kualiti lirik atau rakaman dalam album kerana juri AJL adalah berdasarkan persembahan, kemudian baru melihat kualiti lirik dan lagu. 

Secara jujurnya AJL kali ini sukar untuk menentukn pemenangnya, bukan sangat kerana ramai artis yang memberi persembahan mantap, namun kerana persembahan hanya biasa-biasa sahaja dan kurang gimik yang menggegar. Adakah kerana masalah bajet? Sebelum AJL berlangsung, penulis mengharapkan Faizal Tahir dengan lagu Assalamualaikum akan memberi persembahan unik dan bertenaga, namun akhirnya beliau memilih untuk mempersembahkan lagu secara akustik. Walaupun ramai yang memuji kerana membawa mesej kemanusiaan dengan memaparkan "slideshow" mangsa perang terutamanya Syria, namun penulis merasakan lagu ini bukanlah lagu sedih untuk dibawakan secara akustik. Kebiasaannya lagu akustik hanya berkesan sekiranya lagu tersebut membawa mesej sedih atau memikat, namun bagi penulis, lagu Assalamualaikum adalah lagu gembira. Walaupun lirik lagu bermula dengan suasana negatif, namun sekiranya kita meneliti lirik lagu ianya menjadi semakin positif dan komposisi lagu tersebut sangat kena dengan lirik lagu. Penulis merasakan sekiranya Faizal Tahir membaawakan lagu ini dengan nada gembira, pasti beliau akan memenangi Juara Lagu, sebuah trofi yang beliau tak pernah menangi walaupun beberapa kali memasuki peringkat akhir. 

Tetapi dari sudut lain pula, mungkin Faizal Tahir enggan memberi sepenuh tenaga dalam majlis yang seperti iklan ini. Ramai penonton dan peminat muzik agak bengang dengan iklan berlebihan daripada penaja, Qu Puteh. Sejak dari tahun lepas, rakyat Malaysia agak menyampah dan melihat bahawa penajaan ini hanya memburukkan TV3 dan industri muzik Malaysia. Penulis sendiri tak faham mengapa dibiarkan Qu Puteh campur tangan secara melampau dalam penerbitan rancangan ini, kerana ianya langsung tidak ada kaitan dengan muzik. Walaupun begitu tidak dinafikan AJL memang telah meminggirkan kebanyakan pembikin muzik yang bebas dan hanya memberi ruang kepada mereka yang popular atau mempunyai naungan syarikat besar. Diharapkan pada masa depan, terdapat stesen televisyen atau media yang mampu menganjurkan pertandingan muzik yang benar-benar memberi ruang kepada mereka yang berbakat, di samping mempromosi mereka yang sudah popular. Mesti ada keseimbangan.

Mengenai kemenangan Akim & The Majistret, memang tidak disangka namun penulis merasakan ianya pilihan selamat kerana penulis sendiri tidak dapat memberi kata putus artis manakah yang paling terbaik. Penulis pada mulanya meramalkan Dayang Nurfaizah, namun beliau hanya meraih vokal terbaik, sama seperti tahun lepas. Bagi penulis, sepatutnya mereka beri sahaja anugerah kepada Dayang kerana beliau juga sama seperti Faizal Tahir, veteran dalam AJL dan tidak pernah meraih gelaran juara. Walaupun lagu Potret mempunyai lirik yang bermesej, namun sekiranya kita menggunakan hujah itu maka bagi penulis lirik Assalamualaikum lebih bagus. Oleh itu, lebih baik menggunakan hujah vokal di mana Dayang ternyata adalah artis terbaik dalam sudut vokal.

Apa yang kita boleh jangka untuk AJL tahun depan? Sukar untuk dijangka kerana kebanyakan lagu sekarang, baik di Malaysia atau di luar negara kebanyakan bergantung kepada penerbit dan artis yang terlibat hanya menyanyikan sahaja, bukan menulis lirik atau menulis lagu. Walaupun pada masa lalu sekalipun lagu yang masuk ke AJL bukan ditulis oleh artis yang menyanyikan tetapi orang lain sebagai contoh M. Nasir, Habsah Hasan dan Loloq. Namun kebanyakan lagu pada masa lalu bersifat balada, pop atau rock. Namun sekarang genre lagu semakin sukar untuk dipisahkan. Ada rap campur tradisional, ada rock campur elektronik. Ini menyebabkan apabila dipersembahkan di atas pentas, ianya agak berlainan dengan seperti dalam rakaman. Lagu Apa Khabar oleh Joe Flizzow yang menang tahun lepas adalah rap yang mudah dan tidak melibatkan instrumen yang pelbagai. Sebab itu ia dapat memenangi Juara di samping lirik yang mantap. Diharap finalis AJL tahun depan dapat lebih berani dan melakukan gimik yang dapat menggegar.

No comments:

Post a Comment