Parasite, sebuah filem Korea Selatan arahan Bon Joon-Ho menang anugerah Palme d’Or di Festival Filem Cannes (anugerah tertinggi filem di Perancis) dan Filem Terbaik di Anugerah Akademi Oscar (anugerah tertinggi filem di Amerika Syarikat). Ianya mengisahkan mengenai sebuah keluarga miskin yang menggunakan helah untuk bekerja di kediaman keluarga berada. Ianya bermula apabila si anak lelaki, Kevin mahu bekerja sebagai tutor bahasa Inggeris di kediaman keluarga berada kerana ianya menawarkan gaji yang lumayan. Tetapi dia tidak mempunyai kelulusan daripada universiti luar negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Dia hanyalah lulusan universiti tempatan di Korea. Akhirnya untuk meyakinkan puan keluarga berada tersebut, dia memalsukan sijil akademik.
Penipuan
keluarga Kim (keluarga miskin) bertambah apabila adik perempuannya, Choi pula
ditawarkan bekerja sebagai tutor seni keluarga berada tersebut, di atas cadangan
Kevin. Namun puan keluarga berada itu tidak tahu yang Kevin dan Choi adalah
adik-beradik. Kemudian Choi pula membuat rancangan menukar pemandu dan orang
gaji kediaman keluarga berada tersebut dengan ayah dan ibu mereka. Dengan
pelbagai helah dan penipuan, akhirnya mereka berempat berjaya menjadi pekerja
di kediaman keluarga berada tersebut tanpa pengetahuan puan dan suaminya bahawa
mereka sebenarnya adalah satu keluarga.
Filem ini
menunjukkan bahawa keluarga miskin bukanlah miskin kerana mereka tidak bijak
dan tidak berusaha. Malah, pada awal filem, ditunjukkan bahawa mereka telah
membuat pekerjaan yang pelbagai, namun gaji yang diperoleh tetap sedikit.
Keluarga Kim berjaya mencapai kejayaan setelah memanipulasi hubungan baik
dengan salah seorang kawan keluarga berada tersebut, dan juga beberapa tipu
helah. Filem ini juga menunjukkan bahawa keluarga berada tersebut tidaklah
terlalu cerdik. Mereka senang tertipu kerana memandang rendah orang miskin dan
juga cepat percaya dengan cakap-cakap orang serta dokumen palsu.
Tema filem ini
pada awalnya adalah satira hubungan antara kelas di Korea Selatan. Ianya
menunjukkan hubungan yang kompleks antara yang kaya dan miskin. Filem ini
membawa kepada konflik di dalam kalangan orang miskin pula, di mana mereka
sanggup menggunakan keganasan semata-mata untuk mendapatkan manfaat setelah memanipulasi
keluarga berada. Sebuah masyarakat yang menjadikan kejayaan material dan
kekayaan wang semata-mata akan melahirkan konflik dan penipuan yang tidak
berkesudahan.
No comments:
Post a Comment